Bab 7
“Ya
sayang, saya pun rindukan sayang juga. Balik? Mestilah nak balik! Saat ni pun
saya nak balik jumpa sayang. Tak sabar nak jumpa kekasih saya yang comel tu! Nak
peluk cium kekasih yang saya cintai, rindui,” begitu mesra dia bercakap di
telefon bimbitnya di ruang balkoni bilikku ini.
“Sayang nak ke mana? Eropah? Buat
apa? Pertunjukan fesyen! Ala, tak dapatlah kita nak jumpa! Rindu sangat tau!
Memang saya rindu sangat kat sayang!”
Aku
terduduk di birai katil mendengar bicara mesranya itu. Aku sedih dengan nasibku
ini. Sepatutnya orang lain yang menjadi pengantin baru akan berasa gembira
dengan pasangannya. Tetapi aku merana. Dua kali merana sebenarnya. Putus tunang
dan tidak diakui oleh suami sendiri. Hubungan kami hanya di atas kertas!
“Bila
sayang balik ke Malaysia? Tiga minggu lagi? Lamanya tu!”
Memang
banyak kudengar hubungan yang hanya diakui di atas kertas, tetapi aku ingat ia
hanya sah di dalam novel-novel cinta yang kubaca. Rupanya kisah kejadian
sebenar berlaku kepada diriku. Entah bala apakah yang menimpa aku kini! Memang
lumayan pedihnya perasaan ku! Janganlah aku berendam air mata selepas ini!
“Sayang... sayang! Jangan bimbang!
Saya takkan jatuh cinta dengan sepupu saya ni! Kami sudah ada perjanjian! Ya,
tiba masanya nanti, kami akan lakukan apa yang sepatutnya! Saya akan ceraikan
dia! Tapi, bukan sekarang!” jawabnya di talian.
Kemudian
dia ketawa mesra. Kalau dengan aku, jangan harap dia akan ketawa mesra. Kecuali
di depan ibu bapa kami. Dia memang pandai berpura-pura.
‘Ya
Allah sakitnya hatiku. Ya Allah jangan Kau duga aku begini. Aku tidak sekuat
ini menghadapi hukuman ini. Hukuman ini sebenarnya membunuh aku!’
“Balik?
Saya akan balik petang ni sayang! Tak sabar nak jumpa sayang! Tapi sayang tak
de pulak. Dah tiga hari saya macam patung di rumah kampung ini, sayang tahu
tak?” jawabnya lagi. Kalau dengan aku, tak sabar dia hendak balik ke bandar
bertemu dengan kekasih hatinya.
‘Aleh,
tak sabar jumpa kekasih konon!’
“Hmm,
biarlah dia dengan hidup dia, dan saya dengan hidup saya! Kami sudah ada perjanjian
lah sayang! Don’t worry babe!” katanya. Dia ketawa. Aku bertambah pilu. Aku
pura-pura membaca buku cerita yang baru aku beli minggu lalu. Dia masuk ke
dalam bilik semula.
“Aku
akan balik ke bandar petang ini. Awak balik ke mana?” soalnya. Aku kekok
sebenarnya. Kekok hendak bercerita dengannya. Cukuplah dia membantu menutupi
aibku selama tiga hari ini. Dia memang sudah menjalankan tugasnya dengan baik.
Orang kampung percaya dengan kehadirannya.
“Saya akan balik ke rumah sewa saya.
Hari Isnin saya kerja,” jawabku. Aku angguk. Sedih pula hatiku. Selama tiga
hari kami sama-sama di rumah ini. Dan, aku tidak mengambil cuti sempena
pernikahan ini.
“Saya akan hantar awak?” soalnya.
Aku pandang wajah kacak dengan kulit kemerah-merahan itu. Aku geleng.
“Tak perlu nak susah-susahkan diri,
cukuplah tiga hari awak dah tolong saya, saya bawa kereta sendiri,” jawabku. Sebenarnya
dadaku sebak. Ah, buat apa aku nak menangis. Bukan bawa untung, pujukku kepada diri
sendiri. Tetapi kenapa aku sangat sebak juga?
“Kita bertolak sama-sama,” aku
angguk. Aku tunduk dan tidak mahu melihat matanya.
“Selepas ini kita akan meneruskan
hidup kita macam biasa,” pesannya lagi. Dia ingat aku sudah lupa akan
perjanjian kami.
“Baik, kita akan bertolak sama-sama
tetapi lain-lain destinasi,” katanya. Aku angguk juga.
“Terima kasih sekali lagi sebab
tutup aib saya,” aku mengulang semula. Aku memang terhutang budi kepadanya.
“Tak apa, tetapi syarat saya awak
kena patuhi, jangan ganggu hidup saya selepas ini,” jawabnya. Aku angguk.
“Oh ya, sebelum saya lupa, awak
mengandung berapa bulan?” aku terkedu. Fitnah orang kampung sukar kutahan. Aku
diam. Aku menahan pilu di dada.
“Tak apalah kalau awak tak nak
cerita,” katanya pula. Dia sudah keluar semula ke ruang balkoni.
‘Sebenarnya aku tak mengandung!
Orang kampung dan bekas tunang aku saja yang fitnah aku! Ibu bapa aku pula
percaya bulat-bulat fitnah tu!’ aku hanya mampu bersuara dalam hati. Tidak
sampai hati aku hendak bercerita perkara yang sebenarnya.
***
“Kami
pergi dulu ayah,” katanya sambil menyalami tangan ayahku. Ayahku membisikkan
sesuatu di telinganya.
Aku
melihat air mata ayah bergenang di kolam matanya. Entah apa yang ayah pesankan
kepada lelaki itu. Nukman Faris terangguk-angguk mendengar pesanan ayahku.
Begitu besar harapan ayah kepada suami di atas kertasku itu? Aku dan emak hanya
memerhati dari jarak agak jauh. Kami menghampiri ayah dan Nukman Faris setelah
mereka berdua memandang ke arah kami.
“Jaga suami baik-baik nak. Ayah dan
emak dah lepaskan kamu kepada suami kamu ni. Jadi kamu berdua pandai-pandailah
menjaga rumah tangga kamu ya,” kata emak pula. Nukman Faris mengangguk.
“Ya mak, jangan risau mak,” kataku
pula. Kami berpelukan. Aku teresak-esak dalam pelukan emak. Aku bagaikan tidak
mahu berpisah dengan ibu bapaku saat ini. Namun kerana tugasku, terpaksa juga
aku berangkat. Aku takut esok aku tidak akan sempat ke tempat kerja. Kemudian
aku menyalami ayah pula.
“Mak dan ayah doakan hubungan kamu
akan sentiasa dirahmati dan berpanjangan,” kami berpandangan. Masing-masing
kami menelan air liur yang terasa pahitnya. Aku
tertunduk akhirnya.
“Tasya,” panggilnya lembut. Aku
memandangnya. Dia tersenyum. Aku tahu itu senyum yang dibuat-buat untuk mengaburi
ibu bapaku. Dia menghulurkan tangannya. Aku cepat-cepat menyalami tangannya dan
dia memeluk tubuhku lantas mengucup dahiku. Syahdu kurasakan. Mungkin kerana
kami akan berpisah lama dan kami tidak sehaluan lagi selepas ini.
“Ingat janji kita ya, jangan sampai
mak ayah awak tahu,” itu sahaja yang dibisikkannya. Aku mengangguk dengan air
mata bergenang di pipi.
“Kamu akan terus ke rumah ibu bapa
kamu Nukman?” Nukman Faris terus mengangguk.
“Tak dapatlah kamu ke rumah Mak Long
kamu Tasya, kamu tak ada cuti lagikan!”
kata emak. Aku angguk. Aku tidak sepatutnya memohon cuti dalam keadaan hubungan
kami yang tidak sebaik pasangan lain.
“Hujung minggu saja mak,” jawabku
sedih. Sebenarnya aku masih ada cuti beberapa hari lagi. Aku sengaja tidak mahu
memberitahu kepada emak. Aku bimbang jika emak memaksa aku pergi ke rumah
Nukman.
“Tak apalah mak, nanti saya jemput
Tasya ke rumah mak ayah saya, minggu depan saya dah fly ke Australia,” katanya memujuk ibu bapaku pula. Aku faham
tugasnya yang selalu ke luar negara. Namun walaupun dia tidak bertugas, aku
tahu dia tidak akan mempedulikan aku lagi.
“Tak bawa isteri sekali?” soal emak
seperti memerangkap. Terkejut Nukman Faris. Mataku lagi, sudah membuntang.
Soalan emak terlalu drastik. Takkan bertugas pun Nukman Faris hendak bawa
isteri. Memang tidak masuk di akalku.
“Err, saya kan mengajar mak, ayah,”
jawabku cepat-cepat. Aku tahu Nukman Faris sudah bengang dengan soalan atau
amaran itu.
“Ya tak ya juga kan, nanti-nantilah
ikut Nukman ke luar negara Tasya,” kata emak. Aku angguk. Aku tidak tahu di
mana sepatutnya aku letakkan mukaku.
“Ya mak, jika ada kesempatan saya
akan bawa Tasya ke luar negara dengan mak dan ayah sekali, kan Tasya?” aku
angguk apabila namaku disebut.
Aku
tahu dan pasti hal itu tidak akan berlaku. Ini kerana kedua ibu bapa kami tahu
situasi sebenar pernikahan kami. Walaupun ibu bapanya sangat gembira dan reda
dengan pernikahan kami tetapi dari sisi Nukman, tidak selari dengan harapan ibu
bapa kami.
“Insya
Allah, mudah-mudahan hajat kita semua disampaikan Tuhan,” kata ayah pula. Aku
mahu sahaja demam mendengar kata-kata ayah yang berbaur doa itu. Aku melihat
dalam rembang sinar matahari, Nukman Faris tersenyum manis memandang emak dan
ayahku. Tuhan, berilah aku kekuatan!
“Kirim
salam dengan mak ayah kamu Nukman,” kata emak. Nukman Faris mengangguk dan
tersenyum manis. Ah aku sudah jatuh cinta berkali-kali dengan wajah kacak itu.
“In
sha Allah mak, ayah. Saya pergi dulu,” janjinya. Aku terus menapak ke kereta
Myviku. Dia pula bergerak ke kereta BMW hitam model terbarunya. Aku hanya mampu
memandang!