Bab 15
“Silalah
masuk. Inilah rumah kita,” katanya membuka pintu rumahnya. Semua lampu di ruang
tamu itu terpasang. Aku teragak-agak
hendak masuk ke dalam rumahnya itu. Dia tarik tanganku yang agak sejuk.
Serba-salah aku dibuatnya.
“Kita? Rumah kita?” dia angguk dengan
senyuman manis. Mahu sahaja aku pengsan di depannya menerima senyuman manis itu.
Senyuman Amri hambar sahaja untukku. Apakah lelaki ini masih berlakon di depanku?
‘Kenapa
rumah kita? Sedangkan kita akan berpisah tak lama lagi? Perjanjian sudah
termaktub, apakah lelaki di depannya ini lupa?’ lelaki itu kehairanan melihat
aku garu kepala yang tidak gatal. Aku sudah kebingungan sendiri memandang pintu
rumah suami sementara itu.
“Ya,
rumah kita. Kenapa?” aku teragak-agak disoal tiba-tiba. Bagaikan seorang
pesalah pula. Ya, mesti aku rasa bersalah sebab aku mungkin akan diceraikan dan
aku tidak layak untuk berkongsi sebuah rumah dengannya tanpa perkongsian kasih
sayang antara kami. Lelaki ini mungkin hanya mahu mengambil hatiku pada saat
yang aku disangkanya mengandung. Ah, timbul lagi perasaan tidak enak di hatiku.
Kalaulah lelaki itu tahu, mahu sahaja aku pergi dari rumah ini dan kembali ke
rumahku. Di situ aku akan berasa betapa damainya duniaku tanpa sesiapa melihat
kesedihan dan rasa serba salahku.
“Kenapa
macam tak suka?” aku diasak dengan pelbagai soalan yang ternyata amat
membuatkan hati kecilku terasa sungguh kecewa dan perasaanku berbaur-baur
dengan apa yang berlaku antara aku dan dia. Kalau Amri tidak membuat hal,
mungkin kami sudah hidup bahagia seperti suami isteri yang lain. Namun mungkin
sudah takdirnya kami terpisah setelah dia membuat hal; ah, tidak perlu
diulangi. Dia telah melakukan sesuatu yang mengaibkan aku. Dan, kalau kami jadi
disandingkan pada hari itu, aku tidak tahu apa akan berlaku kepada rumah tangga
kami. Namun, bersama dengan lelaki ini aku juga seperti berada di dalam
gelombang di lautan. Rumah tangga kami bagaikan sentiasa dilambung gelombang.
Sedihnya!
“Suka!”
jawabku setelah aku melihat wajahnya tertunggu-tunggu akan jawapanku. Pandangan
mata tajamnya ke anak mataku usah diceritakan. Semuanya menjadikan jantungku
libang-libu!
“Kenapa tak nak masuk?” aku pandang
wajahnya. Aku pandang keseluruhan ruang tamu rumah itu. Pandai juga lelaki itu
menghias rumahnya. Mungkin emaknya masuk campur. Tetapi kenapa aku dibawa ke
rumahnya? Apakah motif lelaki ini?
“Siapa tinggal di sini?” dia sengih.
Aku terbayangkan gadis lain yang menjadi kekasihnya. Walaupun aku tidak pernah
bertemu dengan kekasihnya namun aku tahu hubungan mereka intim. Kasihan pula,
mereka terpisah kerana aku. Bagaimanakah aku hendak memohon kemaafan kepada
kekasihnya itu? bagaimanakah perasaan hati orang yang disakiti? Bukankah sakit
dan marah bagaikan air panas menggelegak di cerek.
Ah,
kenapakah aku tega bersetuju dengan cadangan emak dan ayah agar aku meneruskan
sahaja majlis perkahwinanku dengan menukar pasangan lelakinya! Aku sepatutnya
menolak cadangan ayah dan emak. Kini, setelah aku tahu suamiku mempunyai
kekasih lain, apakah yang harus aku lakukan? Mendesak suamiku ini menceraikan
aku atau menyuruhnya kahwin sahaja dengan kekasihnya? Aku? Tidak ada
perasaankah aku?
Sanggupkah
aku bermadu? Atau, sanggupkah kekasihnya bermadu denganku? Tidakkah dia memberi
syarat suamiku agar menceraikan aku dahulu dan barulah mereka bernikah. Ah,
terasa betapa rumitnya kehidupanku sekarang. Aku terasa betapa aku sudah
kehabisan lelaki. Mungkinkah begitu tuduhan kekasihnya itu terhadapku. Betapa
terdesaknya aku pada masa itu. aduhai, kalau boleh diundurkan masa aku tidak
mahu bernikah dengan sepupuku sendiri dan hidup dalam keadaan yang serba-salah
seperti sekarang ini.
Wajahnya
kacaknya terserlah pada cahaya yang samar-samar itu. Ah, sukanya aku memandang
wajah itu tetapi aku terasa sayu pula apabila memikirkan aku telah merampas
kekasih orang. Namun, aku akan bersetuju dengan apa pun tindakannya selepas
ini. Bila-bila sahaja jika dia mahu menceraikan aku, aku akan bersetuju dengan
kemahuannya. Aku tidak mahu merasa bersalah sehingga ke akhir hayatku.
“Puas hati telek wajah saya?”
bisiknya di telingaku.
“Ha!”
Ya Allah, meremang tubuhku. Perasan pula lelaki ini. Mahu sahaja aku melompat
melihat tubuhnya yang sudah tidak sampai setengah inci dari mukaku. Apakah dia
hendak buat ini? Aku tolak wajahnya dan aku cepat-cepat masuk ke ruang tamu
rumahnya itu. Aku menundukkan wajah dan tidak berani hendak memandang wajah
tampan itu. Ketakutan menyelubungi wajah itu seperti rusa takutkan singa.
“Ah, perasan! Awak ni kenapa, mana
ada saya telek wajah awak!” kataku yang menjauhkan diri daripadanya. Aku sakit
hati diperbuat begitu olehnya. Aku terasa hembusan nafasnya. Oh Tuhan!
“Mana ada perasan! Saya nampak awak
telek wajah saya!” ulangnya lagi sambil tersenyum dengan penuh tampan. Ah, aku
tidak mahu jatuh cinta entah ke berapa kali dengan suami sendiri. Dan, aku pun
tidak mahu di hadapannya akan perasaan yang berkumpul di dadaku ini. Aku nampak
senyuman mesranya memandang aku yang masih tersipu.
“Mana ada!” aku berdalih lagi. Habis
seluruh mukaku terasa panas. Mana aku mahu mengaku sedang menelek wajah kacak
milik suamiku itu.
“Ada!” katanya mendekatiku. Mukaku
sudah membahang. ‘Matilah aku!’ Bisikku dalam hati.
“Tak ada!” kataku. Dia sudah
menangkap tanganku.
“Saya tahu awak telek wajah saya!”
bisiknya di telingaku. Aku menjauhkan diri darinya. Aku sudah masuk ke ruang
tamu rumahnya itu dan berdiri di ruang tengah. Sofanya berwarna hitam
kupandang. Aku tidak berani hendak duduk di sofa itu.
“Tak apalah jika awak tak mengaku.
Saya faham awak malu dan saya tahu saya kacak!” ucapnya setelah agak lama kami
mendiamkan diri. Aku tersenyum kelat dan menggeleng. Aku tertanya sendirian.
Apakah yang sudah berlaku kepada lelaki ini sehingga menunjukkan kemesraannya
begini. Apakah dia sudah menukar perasaannya kepadaku atau dia hanya hendak
mengambil hatiku? Walaupun aku berasa gembira dengan apa yang ditunjukkannya
tetapi aku tidak suka dengan perbuatannya kepadaku. Jika rahsiaku terbongkar
lagi pada masa yang sama, apakah perasaannya yang baru berubah untukku itu akan
berubah semula menjadi benci, dendam dan sakit hati? Aku galau sendiri malah
aku takut, tersangat takut jika rahsiaku sendiri terbongkar. Ini kerana aku
tidak dan belum membuat pengakuan yang aku tidak mengandung. Mereka hanya
mendapat perkhabaran daripada keluarga Amri yang menyatakan aku mengandung dan
menjadi penyebab mengapa mereka memutuskan pertunangan denganku. Kad
perkahwinan pula sudah diatur.
Jadi,
ayah dan emakku sudah kebingungan lantas mencarikan pengganti untuk pengantin
lelaki. Lelaki yang malang menjadi pengganti Amri ialah sepupuku sendiri.
Keluargaku berasa malu dengan apa yang berlaku. Perkahwinan terpaksa diteruskan
juga. Tinggal dua minggu sahaja pernikahan dilangsungkan.
Ia
sangat menyakitkan bagi diriku. Sekarang pun aku berhadapan dengan situasi
bagaimana mahu berterus-terang dengan lelaki di depanku yang aku tidak
mengandung.
“Perasan!” kataku. Dia sudah
melabuhkan punggungnya di sofa kulit itu.
“Mari kita duduk. Tentu awak penat
beberapa jam di dalam kereta. Saya faham, awak berbadan dua,” katanya lagi. Aku
mengangguk dan menuruti katanya. Bertambah-tambah kalut wajahku. Aku seperti
sudah melakukan pembohongan secara terang-terangan. Kini aku tersepit antara
hendak berterus-terang atau berdiam diri sehingga hari terakhir perkahwinan
kami.
“Tak penat sangat, saya ok!” kataku
perlahan. Aku duduk di sisinya. Sebenarnya aku segan sangat. Tuhan sahaja yang
tahu perasaan debar dan kebingungan yang bercampur-campur mengganggu perasaanku.
“Awak suka tak rumah ni?” apa yang
hendak aku jawab? Aku tidak terfikirpun hendak mempunyai rumah dengan lelaki
ini atau apa sahaja hartanya, aku tidak sesekali terfikir ia akan menjadi harta
kami bersama. Aku masih terkejut
dan tidak menyangka yang dia sudah
mempunyai rumah dan membawa aku ke rumahnya ini. Menurut emak, aku akan dibawa
ke rumah emak mertuaku di Damansara Utama. Kenapa aku dibawa ke sini?
“Tak suka? Hiasannya agak kelakian?”
dia desak aku lagi. Aku kurang arif tentang hiasan dalaman. Bagiku kalau rumah
ini sudah lengkap dengan segala kelengkapan rumah, aku tidak akan mengungkit
atau mengubah apa-apa lagi. Cukuplah dengan apa yang ada. Lagipun aku sangat
berkira tentang soal bajet. Aku tidak suka membazir. Kata ayah, membazir itu
amalan syaitan.
“Oklah ni!” jawabku ringkas. Tentu
dia tertunggu-tunggu. Dia berdiri dan menghidupkan suis televisyennya yang agak
besar. Mungkin lebih besar daripada televisyen di rumah sewaku. Mungkin saiznya
50”. Aku mengagak sahaja.
“Oh, ok kalau hiasan macam rumah
saya ni!” aku angguk.
“Kenapa awak bawa saya ke sini?”
soalku. Aku tidak selesa di sini. Aku bimbang keluarganya dan keluargaku akan
menunggu kami.
“Awak macam resah!” aku angguk. Mestilah
aku berasa resah dan gugup hendak berdua-duaan begini. Ini baru kali kedua kami
bertemu. Sebelum ini kami bersama-sama di rumah keluargaku. Jantungku pun
rasanya macam hendak pecah. Janganlah dia buat benda-benda tak baik kepadaku.
“Tak apa, saya akan beritahu mama
dan mak awak,kita akan tidur di sini malam ini.” Aku buntangkan mata. Debarku
menjelma.
“Kenapa pula? Tentu mama awak
tertunggu-tnggukan kedatangan kita petang ni!” dia geleng. Telefonnya berbunyi.
Aku kaku di sisinya. Sebelah tangannya memegang tanganku. Apakah mimpi lelaki
ini? Selalunya tanganku ini terlalu jijik baginya. Aku faham siapa dirinya di
sisinya.
“Assalamualaikum mama, ya ada.” Aku
dengar sahaja apa yang diperbualkannya. Pasti mamanya yang menghubunginya.
“Err, ada mama. Kami di rumah saya.
Saya dan dia tidur sini.” Jawabnya. Aku sudah butangkan mata. Kenapa pula kami
tidur di rumah ini. Aku nak tidur di bilik man? Aku tinjau-tinjau kawasan
seperti para pemimpin meninjau kawsasan mereka sendiri.
“Bila? Esok? Pagi atau petang? Pagi?
Ok!” dia letak telefon. Kemudian pandang wajahku. Aku menajamkan alat dengarku
mendengar perbualan mereka.
“Siapa tu?”
“Mama!”
“Dia nak apa?” soalku dengan
berkerut dahi. Kenapa aku dikurungnya di sini? Aku tahu dia tidak mahu bertemu
dengan aku di sini. Mungkin rumah ini dia beli sebagai tempat dia membawa
kekasihnya. Kenapa dia bawa aku ke sini?
Aku
yakin mama mertuaku bertanyakan tentang aku. Kenapa dia hendak menyembunyikan
aku di rumahnya ini? Alagkah baiknya kalau aku terus dibawa pulang ke rumah
keluarganya. Tak perlu lagi aku singgah di mana-mana dan berasa kekok di
sampingnya.
“Dia nak awak duduk seminggu cuti ni
di rumah saya! Kita ada majlis!” nafasku semakin gemuruh. Apa yang dikatakan kepada lelaki ini. Meminta aku duduk
sebilik, serumah dengan sedapur dengannya selama seminggu? Hendak apa
dibuatnya? Takkan aku hendak jadi patung di depannya?