Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 23

Geletekan Maut

Beberapa bulan telah berlalu. Khabar angin mengenai saya dan Rafie seperti air pasang yang sudah surut, perlahan-lahan ia hilang. Cerita sudah basi, buat apa nak heboh lagi. Tambahan pula, sekarang kami sudah jarang jalan berdua, memandangkan kami pulang bersama kawan-kawan yang lain.

Geng Impian. Itulah nama geng saya. Geng yang pada asalnya diwujudkan demi memenuhi janji saya dengan Rafie.

Berkat kesabaran kami selama beberapa bulan, siapa sangka saya sudah mampu bersembang dengan beberapa lelaki. Namun, bukan semua lelaki. Cuma ahli Geng Impian sahaja yang saya mampu seperti Rafie, Yusri dan rakan-rakannya. Kalau lelaki yang lain, masih belum mampu

Rafie pula?

Sudah tentu dia sudah berkawan dengan Yusri dan yang lain. Hendak kata rapat boleh juga, ke mana Yusri pergi, Rafie juga ada bersamanya.

Okey, berbalik kepada cerita sekarang. Peperiksaan akhir tahun telah pun tamat, tetapi disebabkan peraturan sekolah, kesemua pelajar dikehendaki untuk menghadirkan diri ke sekolah.

Pelik bukan, dah habis peperiksaan pun kena datang sekolah. Walhal, bukan apa-apa pun. Tetapi hendak bagaimana lagi, dah peraturan sekolah begitu, nak tak nak kena ikut juga.

Memandangkan kini saya mempunyai masa terluang, Cikgu Shuna telah meminta saya untuk menolongnya membersihkan sebuah bilik lama. Disebabkan saya tidak mampu untuk melakukannya seorang diri, cubalah saya mengajak rakan baik saya, iaitu Rina untuk menolong sama.

"Rina, jomlah tolong Cikgu Shuna. Lagipun kita kan tak buat apa-apa sekarang ni," ajak saya sambil mengoyang-goyangkan tubuhnya.

"Tolong apa pula ni, Inas?"

"Cikgu minta kita kemaskan sebuah bilik ni. Bilik ni katanya dah lama tak digunakan."

"Eh, dah lama tak guna? Kalau macam tu maksudnya bilik dah kotorlah kan. Tak naklah Inas. Aku malas lah. Mesti banyak benda nak kena kemas." Rina mencari alasan.

"Alaaa... jomlah. Takkanlah awak nak biarkan Inas seorang je yang buat? Lagipun, Cikgu Shuna sendiri cakap yang bilik tu untuk kegunaan kita juga nanti." Mendayu-dayu saya merayu. Sejujurnya saya memang betul-betul mengharapkan bantuan dia.

"Jap! Untuk kita? Maksud awak?" Penerangan saya sebentar tadi berjaya menarik perhatiannya.

"Dia nak bagi bilik tu dekat kitalah. Tahun depan kan kita jadi senior. Dia cakap, bilik tu kalau nak lepak sampai petang pun boleh. Asalkan kunci bilik tu dijaga dengan baik." Benar, inilah janji Cikgu Shuna.

Membulat mata Rina saat mendengarnya. "Wah, macam bagus je idea tu! Besar tak bilik tu?"

"Tak besar sangat tapi sesuai untuk kita dan geng yang lain berehat."

Rina sudah tersengih.

"Menarik! Kalau macam tu, Rina akan tolong Inas. Apa kata kita ajak yang lain. Lagi-lagi budak lelaki. Manalah tahu, kita boleh settlekan dengan cepat," cadang Rina yang semakin teruja.

"Seriuslah Rina! Yaayyy! Rinalah kawan Inas yang paling baik dekat dunia ni." Sengaja saya mengampunya. Pada masa yang sama tubuh gadis lincah ini dipeluk erat.

"Hehehe. Thank you Inas."

Selepas itu dengan segera Rina memaklumkan perkara itu kepada geng kami yang lain menerusi apllikasi WhatsApp.

***

Geng Impian

Rina: Guys! Inas cakap Cikgu Shuna minta tolong kita utk bersihkan satu bilik ni. Bilik tu bila dah bersihkah boleh jadi

tempat lepak kita tahun depan. Korang nak tolong tak?

Yusri: Boleh je, nanti aku ajak Irwan dengan Hairi sekali.

Irwan: Aku on je.

Hairi: Aku pun.

Yusri: Oh ya, Rafie kau jangan seen je. Nanti kita gerak sekali sama-sama.

Rina: Baguslah kalau macam tu. Rafie, boleh kan?

Rafie: Maaf aku tak nampak mesej ni. Bye.

Yusri: Oi, kau sabar jap. Aku cari kau. Tunggu dan jangan lari.

***

Begitulah yang tertera dalam Whatsapp. Ia membuatkan Rina menggetus ketawa.

"Inas, tengoklah boyfrie... oppss! Kawan awak ni. Dia nak larilah."

Saya mencebik lalu memalingkan muka. Pura-pura tak dengar.  "Tak dengar. Tak dengar."

"Alalala, malulah tu." Saya menutup telinga.

"Tak dengar!" Cepat-cepat saya beredar sebelum dikejar Rina.

*****************************

Beberapa minit kemudian, semua ahli Geng Impian sudah berkumpul di dalam bilik tersebut. Malah ramai terkejut Rafie turut berada di sini.

"Cun, nampaknya semua geng kita dah ada dekat sini," kata Rina teruja.

"Tak ada hal, Rina. Aku dan Mona pun dah tak sabar nak bantu." Pernyataan Wani itu disertai dengan anggukan dua rakannya.

"Nice Wani! Aku harap sangat bantuan kau." Kemudian, pandangan Rina beralih pada Rafie.

"So Rafie... aku ingat kau tak nak tolong tadi. Dah ubah fikiran ke?" Soalannya itu berbaur sinis.

"Ya, ya. Aku tahu yang korang tak expect aku kat sini." omel Rafie. Gayanya macam malas melayan.

"Ingatkan kau nak lari tadi. Tahu-tahu kau sampai sini lagi awal dari aku," celah Yusri.

"Kau ingat aku ni biawak hidup ke? Mestilah aku nak buat something. Bosanlah duduk termenung, tak buat apa kat sekolah."

Saya tersenyum kerana tahu cerita sebenar disebalik keberadaan Rafie di bilik ini. Kalau hendak tahu, apa yang saya perasan, Rafie ada satu kelemahan. Dia tidak mampu berkata tidak sekiranya saya yang mengajak. Baru merayu sekali dia terus setuju.

Tidak mahu masa terbuang, saya menepuk kuat tangan ini. Mahu mendapatkan perhatian daripada kawan-kawan.

"Okey, korang! Memandangkan ramai yang dah ada, apa kata kita mulakan kerja sekarang?" Ajakan saya itu mendapat persetujuan dari yang lain. Tanpa berlengah kami membahagikan kerja.

Pelajar lelaki ditugaskan untuk mengemas bilik. Sementara itu, kami budak perempuan menolong Cikgu Shuna di bilik kaunseling.

"Yus, kitaorang nak gerak ni. Nanti kalau ada apa-apa problem mesej aku tau," beritahu Rina kepada Yusri.

"Alright." Yusri memberi isyarat okey. Segera saya, Rina dan Mei berjalan menuju ke bilik Cikgu Shuna.

*****************************

Yusri dan rakan-rakannya gigih mengemas bilik ini dengan sikap kerjasama yang tinggi. Akan tetapi, makin mereka meneruskan kerja makin diri mereka berasa penat hingga terasa lelahnya. Bukan apa, meja-meja yang perlu dialihkan terlalu banyak. Malah tidak semua meja-meja itu elok, memandangkan ada sebahagiannya telah reput.

Disebabkan adanya meja reput itu, terpaksalah mereka berulang-alik dari bilik itu ke stor sekolah. Ia sangat memenatkan oleh kerana stor tersebut berada di tingkat paling bawah, walhal bilik yang mereka kemaskan berada di tingkat dua bangunan sekolah.

Merasakan yang ia memakan masa yang agak lama, Rafie pun mencadangkan satu idea.

"Korang, tak rasa ke yang benda ni boleh makan masa kalau kita berempat je yang buat? Nak tak kita minta bantuan orang lain?"

Irwan menyokong pendapat Rafie.

"Betul juga cakap Rafie tu. Aku pun dah penat dah ni. Silap silap minggu depan baru settle." Peluh pada dahinya jelas kelihatan. Sememangnya dia tengah penat.

"Tak apa aku cuba panggil member aku untuk tolong kita." Yusri memberi idea.

"Bagus. Lagi cepat lagi bagus." Rafie bersetuju.

Telefon bimbit dicapai dari poket Yusri. Lantas dia menghantar mesej kepada beberapa kenalannya. Alang-alang tengah berehat, sengajalah Hairi membuka perbualan dengan mengusik Rafie mengenai hubungannya dengan Inas.

"Oh ya, Rafie. Kau dah kenal Inas sejak dari sekolah rendah kan?" soal lelaki bertubuh sasa ini.

Dia perasan sejak beberapa hari ini, hubungan Rafie dan Inas tampak lebih akrab, hinggakan kemesraan mereka itu terlampau jelas di mata rakan-rakannya yang lain. Ia menimbulkan kemusykilan.

"Ha'ah, boleh tahan lama juga. Kenapa kau tanya?"

"Tak adalah. Aku perhati je korang ni. Dulu waktu khabar angin tersebar, bukan main korang nafi, tapi sejak akhir-akhir ni makin mesra je korang. Siap gelak ketawa lagi. Macam ada apa-apa je. Ke... memang ada?" usiknya lagi.

Usikan itu mendapat perhatian Irwan. Malah dia turut bersetuju dengan pernyataan Hairi.

"Tulah tu. Korang ni couple ke? Cemburu pula aku tengok."

"Maaf aku tak dengar." Rafie memejamkan matanya. Malah dia berpura-pura memekakkan telinga. 

"Alah, janganlah macam ni. Kau malu dengan kitaorang ke. Kata kawan," rungut Irwan.

"Tak dengar! Tak dengar!" omel jejaka kurus itu lagi. Kali ini matanya pula ditutup.

Tindakan Rafie itu menimbulkan rasa geram dalam diri Hairi.

"Ish! Dia degillah Wan. Nampaknya tak ada cara lain ni."

Sementara Rafie masih menutup mata, Irwan dan Hairi tersengih lalu memandang sesama sendiri. Mereka mempunyai satu rancangan.

Tiba-tiba Rafie terasa tangannya bagai ditarik oleh seseorang. Dia membuka mata. Sedar-sedar Hairi sudah pun mengunci kedua-dua belah tangannya. 

"Oi! Apa ni korang? Lepaskan aku!" Meronta-ronta jejaka bertubuh kurus agar dirinya dilepaskan. Namun, suaranya itu bagai seekor nyamuk yang membuat bising di telinga manusia. Sekali pun tidak diendahkan.

Dia cuba melepaskan diri. Malangnya ia sukar, tubuh Hairi yang sasa telah mengunci tangannya ke belakang. Hairi dan Irwan sudah tersengih.

"Sekarang Irwan, geletek dia sampai dia jawab." Arahan Hairi itu membuatkan Irwan mendekati Rafie dengan wajah yang tersenyum sinis

"Yeah, rasakan ni. Geletekan maut!." Segera Irwan pun menggeletek pinggang Rafie.

"Oi! Apa ni! Hahahaha! Janganlah! Hahahaha! Geli woi! Hahaha!" raung Rafie yang cuba menahan geli.

"Jawab soalah aku dulu baru aku berhenti." Irwan ketawa jahat dan terus menggeletek rakannya itu.

Begitu juga dengan Hairi. "Rasakan geletekan maut dari kitaorang. Hahahaha."

"Woi! Hahahaha! Gelilah woi! Yush! Tolong aku oi!

Yusri membuat wajah sinis. "Hahaha! Nope! Aku tak akan tolong kau. Sebab aku pun nak tahu juga. Geletek dia lagi Irwan." Terus geletekan itu menjadi semakin laju. Berdentum-dentum bunyi bilik itu dengan bunyi tapak kaki Rafie yang cuba melepaskan diri

"Tak korang! Jangan! Jangan wei! Jangaaaannn!"

Setelah puas mereka menggeletek Rafie tangan dan tubuhnya akhirnya dilepaskan. Tercungap-cungap dirinya bagai hendak putus nyawa.

Mereka yang lain? Apalah yang mampu mereka buat melainkan menghamburkan tawaan setelah melihat Rafie sebegitu.

Yusri menghampiri Rafie yang sudah terbaring di atas lantai. "Tak sangka yang kau akhirnya rapat dengan kitaorang sampai macam ni, kan?"

Irwan dan Hairi memandang sesama mereka. Tidak lama kemudian, mereka tersenyum. Benar kata Yusri, sejak akhir-akhir ini hubungan Rafie dan mereka bertiga sudah tidak seperti dahulu.

Jika dahulu Rafie suka mengelak daripada bertemu dengan mereka, tetapi kini dia asyik mengikut sahaja ke mana Yusri dan rakan-rakannya pergi. Bahkan untuk pergi ke tandas pun dia selalu mengikuti mereka.

"Mungkin betul cakap kau. Dulu mamat ni pun macam nak tak nak je berkawan dengan kita," kata Irwan yang mengenang kisah beberapa bulan yang lepas.

"Itulah, aku pun geram dengan kau dahulu, Rafie. Kalau aku hilang sabar dah lama penumbuk aku sampai ke muka kau. Nasib baiklah aku tak pernah tumbuk muka kau." luah Hairi yang mengimbas kembali pandangannya terhadap Rafie suatu ketika dahulu.

"Tapi tulah, siapa sangka orang yang hati keras macam kau ni akhirnya berjaya berkawan dengan kitaorang. Kalau tak sebabkan Inas, mesti kau menyendiri sampai sekarang." Tambah Yusri dengan rasa syukur.

Rafie pun bangun dari baringnya.  Dia duduk bersila di atas lantai. Seraya itu, dirinya mendengus perlahan.

"Korang ni, benda dah lepas kan? Kenapalah nak kenang balik. Ya, aku minta maaf sebab layan korang macam tu. Dulu aku susah nak percayakan orang. Tu sebab aku macam tu." ujar Rafie. Dari riak wajah dia tampak bersyukur.

"Aku bersyukur yang kita dapat berkawan. Nasib Inas tolong aku. Kalau tak disebabkan janji kitaorang, mesti kita takkan berkawan seperti sekarang," terang Rafie lagi. Yusri yang mendengar mengangguk setuju.

"Nampaknya kitaorang perlu berterima kasih dekat Inas juga, kan korang?" Yusri memandang Irwan dan Hairi. Mereka mengiyakan. 

"Tapikan Rafie. Aku nak tanya sesuatu dekat kau. Aku perasan bila kalau bersembang dengan Inas kemain lembut je suara. Bila dengan kitaorang tak pula." Irwan menyatakan kemusykilannya. 

"Itulah tu. Tu sebab kitaorang tanya hubungan korang berdua macam mana? Couple ke atau kawan je?" Sokong Hairi.

"Kitaorang kawan biasa je lah... kot." Rafie menggaru pipi. Namun, Hairi dan Irwan bagai tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Boleh pula ada kot dekat hujung ayatnya.

"Jap, kenapa ada kot? Maksudnya kau sendiri tak pasti?" soal Irwan penasaran.

"Maaf aku nak sambung mengemas." Rafie cuba mengelak. Dia tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut. Jejaka kurus ini bingkas bangun dari duduknya. 

Malangnya, tangan sasa milik Hairi berjaya menangkap tangan kanan milik Rafie. "Nanti dulu!" 

"Kau nak lari mana?" Suara garau Hairi membuat Rafie gerun. Dia sudah tahu nasib yang bakal diterimanya.

"Wei, jangan cakap kau nak buat lagi?" Rayuan itu menyebabkan Hairi menyengih lebar. Sempat juga dia ketawa jahat.

"Irwan! Geletek dia lagi," arah Hairi. Tangan Irwan sudah mula memberi isyarat untuk menggeletek. 

Yusri pula menggetus ketawa. "Hahahaha... habislah kau, Rafie."

"Oi! Aku dah cakapkan aku dengan dia kawan je. Yush, tolong aku."

"Berseronoklah, Rafie." Yusri menyambung kembali kerjanya dengan mengangkat meja. Sedikit pun tidak menghiraukannya.

Hairi pula sudah mengunci tangan Rafie. Muka Irwan pula sudah tidak sabar untuk menggeletek. Tiada apa yang mampu Rafie lakukan melainkan menjerit dan terlolong. Malangnya tidak diendahkan.

"Wei! Cukuplah! Cukuplah oi! Berhentilaaahhh! Oiiiiii!" 

Bersambung...

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk