Kali Pertama
Tubuh ini tegun. Tidak bergerak walau seinci. Siapa sangka, di kala diri ini memerlukan bantuan, datangnya seorang insan yang tiba tepat pada masanya.
Sama macam cerita dongeng. Apabila seorang puteri diraja berada dalam bahaya, akan munculnya sang putera yang gagah berani untuk datang membantu. Itulah perumpaan yang sesuai.
Siapa yang menegur? Siapa lagi jikalau bukan kawan lelaki saya ini.
Rafie Razali.
Pandangan jejaka itu beralih pada sekumpulan lelaki yang sedang melepak di lorong tersebut. Seketika itu, dia melepaskan nafas berat.
"Haih.... aku faham situasi kau. Mari sini, ikut aku," ajaknya.
"Eh, ke mana?"
"Daripada kau lalu jalan ni, lebih baik kau gunakan jalan yang lain. Jom." Walau hati ini berasa ragu, saya bersetuju dengan ajakannya. Tanpa berlengah, saya mengekorinya dari belakang.
Sepanjang perjalanan saya asyik memandang Rafie dari belakang. Saya termenung, memikirkan kebaikannya yang sudi menolong saya.
Saya tersenyum sendirian. Rafie yang saya kenal hatinya sangat keras. Kalau ditanya sepatah, sepatahlah dia membalas. Macam tak ada perasaan. Namun, sejak akhir-akhir ini, sisinya sudah berbeza. Jika mana saya berada dalam kesusahan, dia ada untuk membantu.
Tiba-tiba sahaja Rafie menoleh ke belakang. Maka bertemulah mata kami berdua.
"Eh!" Saya membuat reaksi terkejut. Begitu juga dengan dia.
"Eh! Ah! Ermm... maaf... errmm... kalau kau... errr... nak pergi ke kantin, kau boleh je lalu lorong belah sana tu. Lepas tu nanti kau dah sampai ke kantin," kata Rafie dengan jari telunjuknya.
"Oh! Errr... terima kasih."
"Sama-sama," balasnya tanpa memandang saya. Sekelip mata, kejanggalan antara kami mula menimbul.
Baru sahaja hendak kaki ini hendak menuju ke kantin, barulah saya perasan hanya tinggal 10 minit masa untuk saya berehat. Bekas makanan yang berada di tangan ditatap lama. Bekas berisi roti telur.
Ikutkan hari ini saya masak lebih. Sebabnya mahu berkongsi dengan Rina dan Mei. Tapi setelah memikirkan masa sudah semakin suntuk, ia membuat saya berfikir sejenak. Pasti mereka rakan-rakan saya sudah habis makan. Kalau makan seorang diri rasa macam tak best pula.
Perlahan-lahan saya memandang Rafie. Mungkin saya perlu mengajak dia untuk makan sama. Bolehlah saya jadikan ini sebagai hadiah untuknya kerana menolong saya sebentar tadi.
Ya, saya dah buat keputusan.
"Rafie," panggil saya.
Jejaka itu menoleh. "Iya?"
"Urmm... saya ada makanan lebih. Mulanya saya ingat nak share dengan Rina dan Mei. Tapi sejak kami terpisah tadi, saya tak dapat jumpa diorang. Masa rehat pun dah nak habis. Silap-silap diorang mungkin dah habis makan. Jadi... kalau boleh... awak nak sikit?" Walau malu, saya buang perasaan ini jauh-jauh. Buat apa hendak malu sedangkan Rafie ini kawan saya juga.
"Eh? Fasal tu... aku..." Rafie teragak-agak. Dia seperti mahu menolak.
Tak mengapa, saya akan gunakan taktik berbisa saya. Memek muka ini diubah menjadi sedih. Dahi juga turut berkerut. Mata? Semestinya buat-buat hendak menangis.
"Ala... nanti tak habis macam mana?" rayu saya kepadanya. Rafie terkesima.
"Itu..."
Pipinya digaru. Sekali pun matanya melilau ke sekeliling, ia akhirnya terhenti pada wajah saya. Ketika itulah wajah sedih dipamerkan. Sengaja mahu menekannya.
Akhirnya dia akur. "Yalah... aku terima pelawaan kau tu. Tapi kita makan dekat astaka sana tu boleh? Selesa sikit sebab tak ramai sangat orang," ajaknya. Tanpa banyak bicara, saya bersetuju.
*****************************
Sesampai sahaja di astaka, saya pun mengambil tempat untuk duduk. Bekal yang berisi roti telur dibuka lalu dibahagikan, yang mana bahagian untuk Rafie diletakkan pada penutup bekas makanan.
"Nah, roti telur untuk awak." Saya berikan penutup bekas yang berisi roti telur kepadanya. Rafie menyambut baik.
"Terima kasih." Dia membaca bismillah sebelum memakannya. Masuk sahaja roti telur itu ke dalam mulutnya, pantas dia memujinya kerana rasanya sangatlah sedap.
"Boleh tahan roti telur kau ni. Kau buat sendiri ke? Rasa bersalah pula bila makan makanan kau. Lagi-lagi bila kau yang buat roti ni."
"Eh, jangan risau. Memang saya buat roti telur ni untuk dimakan. Lainlah kalau awak nak buat sebagai mainan," gurau saya lalu ketawa. Dia juga tergetus tawa kecil.
Sekeping roti telur diambil. Roti itu kemudian disantap oleh saya. Sedap. Tak hairanlah Rafie nampak berselera.
"Nasib baik awak ada, Rafie. Kalau tak sia-sia saya masak lebih." Sejujurnya saya bersyukur dia ada untuk habiskan makanan ini. Kalau tak sia-sialah saya bangun awal pagi semata-mata mahu memasaknya.
Rafie mengangguk. Sejurus itu jejaka ini memakan lagi beberapa lagi baki roti telur.
Dalam beberapa ketika, tangan Rafie yang berminyak ditatapnya.
"Maaf kalau aku nak tanya. Kau masak roti ni pakai minyak ke?" soal Rafie.
"Iya, saya guna minyak. Kenapa ya?"
"Tak ada apa sangat cuma..." Dia menjeda. Tangan kirinya mengusap belakang kepala.
"Kalau nak lagi sedap, aku cadangkan kau untuk guna marjerin sebagai pengganti minyak."
"Oh, ya ke! Tak tahu pula. Mak saya sendiri pakai minyak untuk masak roti telur ni. Jadi saya ikut je. Maaf kalau awak tak suka." Saya meminta maaf kepadanya, takut jika ia membuatkan Rafie tidak menyukai roti telur ini.
"Eh? Errr... janganlah cakap macam tu. Bukan aku tak suka, cuma beritahu je. Lagipun, kau boleh je cuba guna marjerin ni lain kali. Betul tak?"
"Ya, betul juga. Ada masa nanti saya cuba resepi awak tu."
"Cun! Nanti kalau awak dah buatnya, roger saya tau. Mesti lagi sedap dari biasa. Pakai minyak pun dah rasa sedap. Kalau dengan marjerin macam manalah rasanya nanti. Mesti sesedap makanan syurga," seloroh Rafie spontan. Gembira hati mendengarnya. Jadi kegigihan saya pada pagi tadi bukanlah sia-sia.
"Macam makanan syurga ya. Baiklah, demi awak Rafie, esok juga saya buat roti telur tu. Untuk awak, saya sanggup buat."
Rafie terdiam. Sekali gus, kunyahannya juga terhenti. Matanya sama sekali tidak berkelip.
"Kenapa awak?" soal saya kehairanan.
Dia menggeleng dan melilau ke arah lain. "Errr... Sebenar aku usik kau je. Kau... betul-betul nak buat ke?"
"Ehhhh!" Saya bersungut. Langsung kepala ini tertunduk kecewa. Eh silap! Saya tak kecewa pun, cuma sengaja nak berdrama.
"Huhuhu... maaflah, saya ni bendul sangat orangnya." Lantaran itu, saya mendongak semula. Bibir ini disungging lebar.
"Tapi saya tetap nak buat roti telur tu juga. Saya nak pakai resepi awak beri. Dan paling penting, saya nak awak rasa sendiri kelazatan masakan saya ni," nyata saya lagi lalu ketawa gedik.
Tiba-tiba sahaja Rafie mula mengekek. Terpinga-pinga dibuatnya saya hingga menimbulkan tanda tanya dalam dirinya.
"Kenapa awak ketawa? Salah ke?"
"Taklah. Aku cuma rasa yang kau ni... errmm... nampak comel bila buat macam tu. Lagi-lagi dengan perangai naif awak tu." Pipi saya mula berasap. Ia berwarna merah jambu. Pantas saya menyorok muka.
Ya Allah, boleh pula dia puji yang saya comel. Rasanya seperti... alamak... saya rasa... malu. Degupan jantung mulai laju. Apakah semua ini? Apa yang sudah terjadi dengan saya.
Tiba-tiba, Rafie bangun dari posisi duduknya. "Waktu rehat dah nak tamat. Jadi... aku gerak dulu ya."
"Eh? Awak dah nak pergi? Awak ambillah lagi lebihan ni. Ada banyak lagi ni." Saya menghulurkan lebihan roti telur ke arahnya. Pelawaan saya diterima baik. Dia mengambil sebahagian lagi roti telur itu.
"Terima kasih, Inas. Aku makan roti ni sambil berjalan nanti," katanya.
Namun, sebelum Rafie membawa diri, ada sesuatu yang perlu saya ucapkan padanya. "Sebelum awak pergi urmmm..." Saya menjeda seketika.
"Iya?" Rafie menunggu ayat yang bakal telruah dari mulut saya.
"Terima kasih sebab tolong saya tadi. Saya hargai jasa awak," ucap saya malu-malu. Kalaulah dia tidak muncul tadi, barangkali keresahan saya akan menjadi lebih teruk.
Senyuman ikhlas diberikan oleh jejaka yang berambut sedikit ikal ini. "Tak ada hal. Sebagai seorang kawan, aku tak nak parut lama kau kembali terluka. Kau kan ada pengalaman yang buruk dengan lelaki. Jadi, aku tak boleh abaikannya."
"Eh? Itu..." Saya mula teringat akan detik hitam yang berlaku kepada diri saya. Detik yang membuatkan saya takut akan lelaki.
"Maaf sebab buka cerita lama," Rafie bagaimanapun cuba menenangkan saya. Dia tahu saya memang agak sensitif dengan peristiwa itu.
"Aku harap kau okey, Inas. Ingatlah, aku akan sentiasa tolong kau. Kita jumpa dekat kelas nanti. Hati-hati tau, kawanku."
Saya tersenyum. "Okey, Rafie. Jumpa nanti."
Bila melihat bayang Rafie yang jauh meninggalkan saya, terus fikiran saya teringat detik-detik ketika saya diselamatkan oleh Rafie sebentar tadi. Tindakannya itu telah mengingatkan saya tentang memori ketika waktu sekolah rendah.
Percaya atau tidak, kejadian yang berlaku sebentar tadi pernah dilalui saya. Ia berlaku ketika saya berada di sekolah rendah.
Pada ketika itu saya ingin pulang ke kelas. Malangnya sekumpulan pelajar lelaki melepak di koridor kelas hingga menyukarkan saya untuk melintasi mereka. Namun, siapa sangka seorang pengawas lelaki telah menolong saya dengan menghalau pelajar tersebut agar tidak menghalang laluan orang ramai.
Tanpa dia sedar, dia telah membantu saya yang sememangnya takut untuk melintasi kumpulan tersebut. Pengawas itu ialah Rafie.
"Awak masih tak berubah, Rafie. Awak masih baik dengan saya." Dada ini ditekup dengan tangan. Entah mengapa dada ini terasa berdebar-debar. Jantung pula berdegup laju. Ini pertama kali saya berasa sebegitu. Perasaan baharu.
Bersambung...