Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 34

Terseliuh

"Huwaaa! Sedihnya kena tinggal seorang diri." Rina bersungut. Dagunya ditongkat malas di atas pahanya. Jelas dia berasa jengkel.

Setelah mendengar rungutannya itu, Irwan memandang hairan. Dia yang tidak mahu ikut, tiba-tiba dia yang merungut.

"Eleh, seorang konon. Habis tu, kitaorang ni apa? Tunggul?" Irwan mencelah.

"Diamlah kau! Kau kan lelaki. Aku ni perempuan, mana boleh masuk dengan korang," tegas gadis kasar ini lalu memalingkan muka.

"Ya, ya je perempuan. Perangai kau tak macam perempuan pun." Begitu selamba Irwan berseloroh. Bagi mencurah minyak ke dalam api. Serta merta baran Rina menaik.

"Oi! Kasar pulak kau ya. Aku pukul kang!" Tangannya sudah terangkat untuk memukul.

Takutnya Irwan sampai menutup mukanya, risau dipukul oleh gadis berperangai kasar ini.

"Uish! Janganlah. Kau ni... aku gurau sikit dah nak marah," rungut Irwan pula.

Yusri menyengih sahaja melihat kerenah mereka berdua itu. Setiap kali berjumpa, setiap itulah mereka akan bergaduh. Langsung dia menyampuk perbualan mereka. 

"Korang. Janganlah gaduh-gaduh. Karang terkahwin nanti, macam mana?"

Rina tergelak kecil.  "Kahwin? Dengan dia ni? Tolonglah. Buat lawak pun hambar," sindir gadis itu. 

"Wei! Sekurang-kurangnya aku mencuba okey. Tak ada lah hambar sangat," tempelak Irwan.

Yusri menggelengkan kepalanya. 

"Korang ni kan, kita kat sini nak chill-chill je. Bukannya nak bergaduh. Kau pun satu Rina, kenapa kau tak ikut je diorang. Ni dahlah tak ikut, lepas tu merungut. Aku dengan Irwan boleh je jaga tikar kita ni." 

"Bukan tak nak ikut, Yus. Aku cuma nak bagi ruang untuk Inas je. Lagipun... aku tak nak kacau dia dengan Rafie." Itulah alasan Rina. 

"Eh! Diorang dah couple ke sampai kau cakap macam tu?" soal Irwan kepadanya.

"Taklah. Aku cuma kesian dekat Inas. Yalah, sebelum ni kan dia takut lelaki. Cuma Rafie je dia yang boleh tolong dia. Lagipun... Inas..." Ayat Rina terhenti. Dia mengeleng sekilas sebelum menyambung ayatnya.

"Rasanya aku tak perlu ceritakan selebihnya. Korang sendiri patut tahu, kan?" Pandangan Rina berubah ke arah Yusri.

"Kau nak cakap yang Inas suka Rafie?" Yusri mahukan kepastian.

Rina tertawa kecil dan terus mengiyakan. "Dahlah, aku tak mahu cerita lebih, nampak sendu pula aku nanti." Rina bangun dari duduknya. Langit malam yang dihuni bintang-bintang ditatapnya, sambil itu juga dia mengeliat.

"Kesian Inas. Selama ni, dia cukup takut dengan lelaki, tapi semenjak dia mula berkawan dengan Rafie, aku dapat sense yang dia tersuka dekat Rafie. Dia terlalu polos. Terlalu naif. Maklumlah, pertama kali rapat dengan lelaki, kan," luah gadis ini lagi.

Irwan hanya mengangguk. Lain pula dengan Yusri, dia menyengih senget. Tidak lama kemudian, dia mula tertawa.

Rina dan Irwan memandang sesama mereka. Pasti dia fikir yang Yusri sudah gila, ketawa tanpa sebab.

"Kenapa Yus? Macam orang tak betul je kau ni." Irwan berkerut dahi.

"Tak sangka. Rupa-rupanya diorang suka sama suka rupanya." Pernyataan jejaka kacak ini mengejutkan Rina dan Irwan

"Apa maksud kau tu Yus? Maksudnya Rafie pun ada hati dekat Inas ke?" tanya Rina. Sekali gus, mendekati Yusri.

Jejaka tinggi lampai itu membalas dengan anggukkan kepala. Tangan Rina terus menutup mulutnya yang sudah terlopong. 

Terkejutnya Irwan sampai memegang bahu Yusri. Dia hendakkan kepastian. "Seriuslah! Asal kau tak pernah cerita pun dekat aku pasal ni?" 

"Benda baru berlaku. Macam mana aku nak cerita," ujar Yusri lalu mendongak langit. Irwan pun menjatuhkan tangannya ke bawah.

Rina pula tertunduk senyum. "Jadi ia bukan bertepuk sebelah tangan ya. Untungnya Inas. Diorang tu nampak serasi, kan."

"Ya, aku akui tu. Sayangnya itu semua bergantung kepada diorang. Cuma diorang je yang mampu tentukan nasib masing-masing," terang Yusri dengan mengharapkan Rafie dapat meluahkan perasaannya kepada Inas pada hari ini.

Dia yakin hari inilah peluang yang terbaik untuk Rafie. Namun begitu, dalam hati Yusri ada sedikit rasa ragu. Bukanlah dia tidak mempercayai Rafie, tetapi dia ketahui bahawa hati rakannya itu terlalu keras untuk meluah.

'Perlukah aku beritahu semua ini kepada Rafie?' monolog Yusri sendirian. Dia mengharapkan semuanya baik-baik sahaja.

*****************************

Saya pandang kiri dan kanan. Begitu ramai orang di pesta ini. Ramainya sampai memaksa kami berempat fokus dengan perjalanan. Silap langkah, pasti berlanggar. 

Melihatkan keadaan begini, Mei cuba memberi idea.

"Korang, rasanya lebih elok kalau kita beli bersama-sama. Bukan apa, nanti tersesat pula."

Hairi dan Rafie bersetuju dengan pendapat Mei. Disebabkan itu, Rafie menyuarakan pendapatnya.

"Kalau macam tu, apa kata kalau kita cari satu tempat untuk berkumpul? Lepas dah habis beli kita tunggu dekat satu tempat yang senang orang ingat. Contohnya macam food truck Pizza Hut sana tu." Jari telunjuk Rafie ditujukan pada food truck yang dimaksudkannya.

"Nice juga. Barulah bebas sikit. Kalau macam tu kita berkumpul dekat food truck tu nanti," kata Mei yang setuju dengan pendapat itu.

Setelah itu, kami berempat sebulat suara bersetuju untuk mengikut rancangan Rafie. Kini, tinggallah saya bersama-sama dengan Mei, setelah dua jejaka tersebut meninggalkan kami berdua.

"Mari Inas. Kita beli oden dekat gerai tu." Kami pun berjalan berpimpin tangan, tidak mahu terpisah tatkala meneroka setiap reruai. 

Tak lama selepas itu, bau harum kuah oden menusuk hidung, ia membangkitkan selera kami berdua. Itu tandanya kami sudah sampai di reruai yang menjual oden.

"Wah, kuatnya bau oden ni! Dah lama saya mengidam nak makan," gumam saya teruja.

"Jangan ingat awak seorang je ma. Perut saya pun dah berkeroncong juga." Sempat kami bergurau seketika.

Tanpa membuang masa, kami pun memilih isi-isi oden mengikut kemahuan kami. Hendak memilih kena berhati-hati, perlu ikut bajet juga, memandangkan satu bebola ketam RM 3. Itu baru satu bebola ketam, belum lagi dicampur isi-isi yang lain. 

Setelah kesemuanya selesai, kami pun membayarnya. Bungkusan plastik berisi dua bekas oden dipegang oleh Mei. Merasakan tiada apa yang hendak dibeli, saya dan Mei mengambil keputusan untuk menuju ke food truck Pizza Hut seperti yang dijanjikan oleh kami berempat.

Semasa dalam perjalanan, kami berdua merapatkan tubuh masing-masing, kami mahu mengelakkan diri daripada terpisah. Sempat jugalah saya memandang sekeliling. Biasalah, mahu mencuci mata. Bukan orang, tetapi barangan di setiap reruai.

Tatkala saya memandang  ke sebelah kiri, dapatlah dilihat seorang ibu sedang memimpin tangan anaknya. Apabila di toleh ke sebelah kanan pula, terlihat pula sekumpulan remaja yang melepak, berbual kosong dan tertawa. 

Riuhnya suasana pesta ini, sampaikan tidak mampu untuk dihuraikan dengan kata-kata. Sudahlah dihiasi dengan suara orang ramai, dicampur pula dengan bunyi muzik latar berentak techno yang dimainkan di segenap penjuru tapak pesta ini.

Sedang saya memerhatikan sekeliling, mata ini tertumpu pada sebuah reruai yang menjual cenderamata. Saya tertarik, langsung menimbulkan rasa curiga. Cepat-cepat saya memanggil Mei. Kalau boleh nak mengajaknya singgah sebentar.

"Mei, kedai tu jual cenderamata lah. Cantik-cantik pula tu. Nak singgah sekeja-"

Saya saya menoleh, diri ini mula tercengang. Mei... dah hilang. 

"Eh? Mei?"

Jantung saya bagai terhenti satu saat. Saya sedar, bahawa saya berada dalam masalah sekarang.

"Mei! Mei!" Saya menjerit berkali-kali. Mengharapkan suara saya didengarinya. 

Mata saya meliar ke sekeliling, tiada satu pun bayang seorang gadis cina yang berkaca mata. Resahnya hati hingga membuatkan kepala ini menjadi buntu. Barulah saya sedar bahawa saya tidak ingat langsung jalan untuk ke food truck yang dimaksudkan Rafie sebentar tadi.

Rasa menyesal akhirnya bertamu. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur, sesal kemudian tidak berguna. Saya berjalan secara rawak, mengharapkan dapat bertemu semula dengan rakan-rakan saya. Rawaknya perjalanan ini membuatkan saya semakin gopoh.

"Eh, adoi!"

Malangnya, kegopohan itu mengakibatkan satu insiden yang tidak diingini. Saya terjatuh, gara-gara memijak seketul batu. 

Saya cuba bangun. Malangnya tak berdaya. Pergelangan kaki saya... sakit. Nampak macam terseliuh. Apalah nasib hari ini. Ingat dapatlah bergembira, tetapi duka yang menimpa.

Air mata mula bergenang. Namun, selembut-lembutnya hati ini, tetap saya cekalkan hati. Saya cuba bangkit. Tak mahu mengalah. Tapi apakan daya, kalau usaha tapi tak berdaya, pengakhirannya tetap sama. Sekali lagi saya jatuh terduduk. Kaki ini makin sakit. 

Air mata yang sudah sedia mengalir, menjadi deras. Mengapa nasib saya semuanya jadi begini. Tiada siapa yang dapat membantu saya. 

Ya.

Tiada siapa. 

Tiada... 

langsung...

"Inas?" Suara seorang lelaki memanggil nama saya. Cepat-cepat saya menoleh.

Benar kata orang, takdir tuhan sememangnya tidak diduga. Dalam diri ini terperangkap dengan kesukaran, akan ada seorang insan yang selalu hadir untuk membantu. Saya tarik balik kata-kata saya tadi. Ada insan yang sudi membantu.

"Rafie." Tanpa sedar saya menyebut namanya.

"Apa yang awak buat ni? Kenapa sampai terjatuh ni?" Dia datang menghampiri saya. 

Saya tersenyum dengan air mata masih berlinang. Lega. Sungguh hati ini lega. Saya mengusap wajah yang berair dengan lengan baju. 

"Tsk... tsk... Rafie..." Suara saya teresak-esak.

"Eh? Kenapa awak menangis ni? Awak okey tak ni?"

"Saya okey. Syukur, saya bersyukur sangat. Tsk... Nasib saya jumpa awak. Saya tersesat tadi sebab tak fokus semasa berjalan."

Rafie berlutut. Mata hazel miliknya menatap wajah ini. "Lah, ya ke. Awak okey tak ni? Tadi saya nampak macam teruk je awak terjatuh tadi."

"Tak okey. Kaki saya... sakit. Mungkin terseliuh agaknya," adu saya dengan suara menahan kesakitan. Bahagian kaki yang terseliuh ditujukkan padanya.

Dia mengangguk faham. "Tak apa, biar saya bawa awak jumpa dengan nurse. Tak silap booth kecemasan ada dekat sana," terang Rafie.

"Awak boleh bangun?" Rafie menghulurkan bantuan.

Saya cuba menahan malu. Mesti muka saya nampak buruk dimatanya sekarang. 

"Ya, boleh je. Cuma sakit sikit je," balas saya tanpa memandang wajah Rafie.

Perlahan-lahan saya gagahkan diri untuk berdiri.Hampir sahaja hendak jatuh tetapi Rafie sempat mencapai lengan saya. Pegangannya kasar, tetapi dilembutkan kembali. Dia kemudian membantu saya untuk bangun.

"Maaf sebab sentuh awak." Dia meminta maaf.

"Tak mengapa, awak cuma nak bantu saya je." Saya tahu lelaki dengan perempuan tidak sepatutnya bersentuhan. Namun begitu, kata ustazah jika saya berada dalam keadaan darurat seperti ini, ia dibolehkan. Bukanlah saya mencari alasan tetapi ini pengetahuan.

Pegangan Rafie dilepaskan. Langsung jejaka ini mengukir senyuman.

"Nasib saya tergerak hati pergi dekat awak. Kalau tak, saya tak perasan awak yang terjatuh tadi," ujarnya dengan suara ditahan. Namun, suara itulah yang menenangkan hati saya.

"Terima kasih," ucap saya perlahan.

Kami berkalan kami menuju ke khemah perubatan. Jika ada waktu saya tidak mampu berjalan, saya terpaksa berpaut pada lengannya. Apabila sampai sahaja di khemah kecemasan, segera saya dirawat oleh jururawat. 

Tapak yang terseliuh dibalut. Kata doktor ada kaki saya membengkak. Kemungkinan mengambil masa dua minggu untuk pulih sepenuhya. Setelah selesai, saya pun dibenarkan untuk kembali berjalan semula.

"Macam mana? Dah Okey?" Rafie bertanya mengenai keadaan saya.

"Iya, saya rasa lagi baik dari sebelum ni. Walaupun ada sakit-sakit sedikit."

"Awak nak berehat dulu? Kaki awak mesti sakit lagi, kan. Alang-alang, kita duduk dekat bangku tepi tasik tu," ajaknya.

Saya ragu-ragu untuk menerima. Bukanlah saya tidak suka untuk bersama dengannya, tetapi risau akan reaksi kawan kami yang sedang menunggu.

"Tapi... nanti diorang tunggu kita macam mana? Saya tak nak susahkan diorang. Lagipun tengoklah ni, saya boleh je berjalan macam biasa." Dengan yakin saya menunjukkan lagak berjalan. Tiba-tiba rasa sakit kembali datang. 

Sekaligus membuatkan saya hilang imbangan akibat kaki terasa lemah. Sekali lagi Rafie sempat menahan saya dari terjatuh. Dia pegang lengan saya. 

"Tengok, kaki awak tak okey lagi ni Inas," omel jejaka bertubuh kurus ini. Muka saya mulai merah. Malunya sampai terasa ke telinga.

"Ma... maaf." Saya sudah tertunduk malu. Setelah saya dapat mengimbangkan kembali tubuh, Rafie melepaskan pegangannya.

"Mari, kita duduk sebentar di bangku sana tu. Hati-hati berjalan."  

Saya hanya menurut dan mengikuti Rafie dari belakang.

Bersambung...

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk