Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 19

Wayang

Keadaan sekeliling gelap gelita. Tiada cahaya melainkan satu skrin besar yang memainkan sebuah cerita di hadapan penonton. Benar, saya berada di panggung wayang.

Beberapa hari yang lalu, Geng Yusri telah mengajak saya, dan rakan-rakan yang lain untuk menonton wayang. Malangnya Mei tidak dapat sertai kami kerana ada kelas tuisyen. Sebagai ganti, Rina telah mengajak Mona dan Wani.

Akan tetapi, hari yang saya sangkakan bakal menjadi seronok mula bertukar suram. Tidaklah saya duga cerita yang kami tonton ini ialah cerita seram. Kelemahan kedua saya selain takut lelaki.

Saya sebenarnya bukanlah setakat takut dengan lelaki, dengan hantu pun saya takut juga. Acap kali saya menonton cerita seram, bulu roma pasti menaik. Nasib baiklah dalam panggung wayang saya duduk di sebelah Rafie. Hilang sikit rasa resah ini.

"Kau okey? Dari tadi kau asyik tutup mata je." Rafie membisik ke arah saya. Prihatin sungguh dia hingga membuatkan saya selesa.

"Tak ada apa awak. Cuma saya jenis tak suka tengok cerita seram."

"Oooh... macam tu."

Sebaik cerita tersebut tamat, kami pun keluar dari panggung. Masing-masing menunjukkan wajah puas. Berbeza dengan saya yang masih lagi menggeletar ketakutan.

"Inas awak ni lembiklah, tengok cerita seram je mesti macam ni," tegur Rina. Dia ketawa setelah melihat saya menggigil satu badan.

"Huuu... Inas mana tahan, Rina. Inas takut sangat dengan cerita seram. Huhuhu..." rungut saya.

"Alah tak apa, nanti okeylah tu," pujuknya. Kemudian, dia berjalan ke hadapan lalu meninggalkan saya di belakang.

Saya mengeluh panjang. Macam manalah nak atasi ketakutan saya sekarang. Nanti malam mesti tak boleh tidur. Silap-silap saya terpaksa meminta Kak Iman untuk tidur di biliknya.

"Kau okey?" Datang satu suara lembut seorang lelaki. Saya tersenyum kecil. Siapa gerangan itu? Semestinyalah suara itu kepunyaan Rafie, kawan lelaki saya.

"Maaf, saya tak berapa okey. Masih menggigil lagi," kata saya sambil menunjukkan tangan yang sedang menggigil.

"Iya ke. Kesiannya." Rafie berfikir sejenak. Seketika pula, dia memetik jari.

"Aha, aku ada satu rancangan, tapi untuk kita berdua je tau," kata-katanya itu disertakan dengan jari telunjuknya diletakkan pada bibir. Dia memberi isyarat rahsia.

Saya pandang sekeliling. Tidak mahu ada yang mencuri dengar. Kemudian, pandangan itu kembali pada Rafie. "Apa dia?"

"Nanti, bila semua dah nak balik, kau ikut aku pergi ke satu tempat ni," cadangnya.

"Pergi ke mana?"

"Adalah. Ni surprise untuk kau je tau. Khas untuk kawan aku." Suara Rafie kedengaran teruja. Macam ada sesuatu hebat yang mahu dia tunjukkan kepada saya. Saya diam seketika, mahu mempertimbangkan cadangannya.

"Ermm... macam mana kalau Rina dan Mei ajak saya balik bersama?"

"Alah, kau cakap je yang kakak kau ambil kau. Tak pun kau cakap yang kau ada emergency." Selamba Rafie memberi buah fikiran.

"Tapi... tak ke nanti... saya..."

Saya bagai teragak-agak bukan kerana tidak setuju. Cuma takut jika Rina tahu apa yang saya buat dengan Rafie nanti. Sudahlah kami berdua. Pasti dia akan usik saya setiap hari.

Dalam keraguan itu Rafie memberikan senyuman ikhlas. Entah mengapa saya seperti tertarik gayanya itu hinggakan timbul rasa serba salah untuk menolak pelawaannya.

"Tak mengapa, kalau kau tak nak, aku tak paksa. Ni pun cadangan je. Aku cuma... nak buat kau gembira je," ujar Rafie lagi.

Setelah berkira-kira cadangan tersebut, akhirnya saya pun bersetuju. "Iyalah, saya terima pelawaan awak tu."

"Cantik! Kita jumpa nanti ya, Inas," ucap jejaka teruja. Setelah itu, dia mara ke hadapan lalu menuju ke arah rakan-rakan kami yang lain.

Saya dan Rafie akan berdua ya. Tidakkah ini bermaksud kami berdating? Saya sendiri tidak tahu.

*****************************

Selesai menonton filem, kami sekawan meluangkan masa bersama-sama dengan membeli belah dan bermain boling. Setelah penat, kami berehat dengan menjamu makanan tengahari di sebuah restoren.

Apabila saya selesai menyantap makanan, Rafie meminta diri untuk pulang. Seperti yang dirancang, dia akan pergi terlebih dahulu sebelum diikuti saya. Kini apa yang perlu saya buat cuma menanti isyarat yang bakal diberikan oleh Rafie.

"Ping!" Telefon saya berbunyi. Rafie telah memberi lokasi di mana dia berada. Sedar bahawa itulah isyaratnya, segera saya meminta diri.

"Rina, urrmm... kakak Inas kebetulan ada dekat sini. Dia kata ada emergency. Jadi... dia suruh Inas untuk pulang sekarang. Boleh kan kalau Inas balik dulu."

"Oh, emergency ke. Tak apa, awak balik dulu. Lagipun kitorang semua pun dah selesai makan ni." Mendengar jawapan Rina itu, benar-benar membuatkan saya terasa lega. Dia bagai tidak mengesyaki apa-apa.

"Ya ke. Okeylah, Rina. Pergi dulu ya." Segera saya menuju ke arah Rafie. Itupun berpandukan lokasi yang telah dia diberikan. Dalam beberapa minit, bertemulah kami berdua.

Rafie menyungging senyuman. "Itu pun kau."

"Maaf sebab buat awak menunggu." Kedua-dua telapak tangan ini ditemukan sebagai tanda maaf.

"Tak apa. Aku okey je. Kau sampai ni pun dah boleh kata awal tau."

"Ya ke. Lega saya dengar."

"Kalau macam tu, mari kita gerak sekarang," ajak lelaki bertubuh kurus ini.

"Ke mana?"

"Kita ke tempat yang boleh gembirakan hati kau." Walau hati ini mahukan jawapan, saya biarkan diri untuk terus berteka-teki. Harap kejutannya itu sesuatu yang berbaloi.

Saya hanya mengekorinya dari belakang. Dia maju setapak, saya juga maju setapak. Dia berhenti, saya pun berhenti. Ia berterusan sehinggalah Rafie berhenti sepenuhnya. Dia berhenti di hadapan pintu masuk arked.

"Kita dah sampai."

Saya menjeling padanya. "Eh! Ni ke tempatnya?" tanya  sayadengan jari telunjuk dituju ke arah arked tersebut.

"Yup! Ini tempatnya. Sejujurnyalah kan, aku tak pasti kalau tempat ni dapat gembirakan hati kau atau tak, tapi... apa salahnya kalau kita mencuba, kan?"

Saya menyengetkan kepala seketika sebelum membetulkannya semula. Pelik, kenapa dia cuba membawa saya ke arked ini. Ikutkan saya tak pernah langsung datang ke sini.

"Mari, kita masuk." Tanpa banyak bicara, saya mengikutinya.

Suasana agak riuh dengan bunyi-bunyi permainan yang terhidang di setiap sudut. Saya memerhatikan sekeliling seperti kanak-kanak yang mempunyai rasa ingin tahu. Ada yang bermain permainan lumba kereta, ada yang menari, malah ada juga yang memegang pistol mainan. Terdetik juga di dalam hati sama ada permainan yang dimainkan oleh mereka itu menarik amahupun tidak.

Sekali lagi, kami berdua memberhentikan langkah. Kali ini di hadapan satu kaunter penukar token. Beberapa keping wang dikeluarkan dari poket Rafie, lalu dia menyerahkannya kepada penjaga kaunter untuk menukar duitnya kepada beberapa token.

Sebaik selesai menukar wang, dia mengajak saya untuk menuju ke sebuah permainan yang bernama air hockey.

"So... kau nak cuba permainan ni? Aku yakin kau pasti suka," gumamnya sambil menepuk meja yang berada disebelahnya. Dia kemudiannya mengambil salah satu pemukul cakera dan menyerahkannya kepada saya.

"Kita tengok siapa lagi hebat," katanya lagi. Kali ini dia melemparkan senyuman. Saya terpinga-pinga.

"Eh? Tapi... macam mana nak main permainan ni?" Saya bertanya kepadanya. Walaupun diri ini hendak mencuba tetapi saya tidak mengerti bagaimana hendak bermain permainan ini. Melihat saya sebegitu, Rafie pun tertawa. Ingat kelakar bila saya jadi begini.

"Mainnya senang saje. Kau cuma perlu pukul cakera tu dan masukkan ke dalam gawang aku. Kalau masuk, kau dapat satu point." Jari telunjuknya diangkat menunjukkan bilangan nombor satu.

Setelah penerangan itu barulah saya faham bagaimana cara bermain.

"Oh, ya! Peringatan untuk kau. Waktu bermain, tangan kiri kau tu jangan sesekali letak dekat atas meja. Kalau terkena cakera ni sakit tau."

Pesanannya dibalas dengan anggukan. Maka kami pun mulakan permainan dengan Rafie menolak cakera tersebut ke arah saya. Saya cuba menghalang bola tersebut dan memukul cakera kembali ke arahnya. Bola itu melantun ke sebelah sisi kanan Rafie, dia cuba menghalang tetapi tidak berjaya. Akhirnya cakera yang dipukul saya masuk ke dalam gawangnya.

"Cantik! Tengok, awak dah dapat satu point."

"Oooh, macam tu ke cara main dia. Saya dah faham."

"Bagus. Kali ini aku tak akan bagi chance dekat kau," ujarnya Rafie dengan nada bergurau.

"Eeehhh! Jahat. Saya pun nak menang juga," rungut saya dengan nada manja.

Maka berterusanlah permainan kami sehingga permainan menjadi semakin sengit. Kami berbalas serangan. Namun begitu, secara tidak sengaja saya memukul cakera dengan lemah. Bola itu melantun tepat-tepat di hadapan Rafie.

Melihat peluang yang terhidang, tanpa berfikir panjang jejaka ini pun memukul bola itu dengan sekuat hati. Dia bernafsu untuk mendapatkan mata.

"Paaannng!!!"

Bunyi kuat berdentum. Tanpa disangka cakera itu terkena pada jari. Saya terlupa nasihat Rafie sebentar tadi. Saya meletakkan tangan saya di atas meja secara tidak sengaja.

"Adoi!" Jerita meleret, terpacul di mulut. Langsung saya menarik jari. Sakit, rasa seperti jari ini tersepit pintu.

Serta-merta Rafie bergegas menuju ke arah saya. "Wei, kau okey tak? Kan aku dah cakap jangan letak tangan kau dekat atas meja." 

"Sa... sakit... saya tak perasan yang saya terletak tangan dekat meja tadi."

Raut wajah Rafie berubah sesal. "Ya ke. Tak apa, kita duduk dulu dan tunggu sampai jari awak ni baik semula."

Kami berdua duduk di salah satu bangku yang tersedia di dalam arked tersebut. Melihatkan saya tertunduk diam, Rafie pun cuba membuka bicara.

"Macam mana dengan permainan tadi? Seronok?"

Saya mengiyakan. "Ya. Ia permainan yang baru bagi saya. Tapi tulah... tak sangka keseronokan kita jadi macam ni." Jari saya yang sedang kesakitan, dituju pada Rafie. 

Dia memandang dengan wajah kasihan. Kemudian, dia melihat pula jari saya yang sakit ini.

"Boleh awak tujukan jari awak dekat saya?" pintanya.

"Eh? Untuk apa?"

"Saya nak cuba sesuatu supaya jari awak tu cepat hilang sakitnya."

Lurusnya saya sampai percaya permintaannya itu. Apabila jari dihulurkan, terasa angin lembut meniup jari. Muka saya merona merah. Rupa-rupanya dia yang meniup jari saya yang sakit itu. Beberapa saat kemudian, dia pun memberhentikan tindakannya itu.

"Dah okey?" tanya dia kepada saya.

Saya mengangguk tanpa sebarang kata. Degupan jantung saya berbunyi kuat. Rasanya menekan. Sama seperti yang diceritakan oleh Kak Iman. Inikah rasa cinta seperti yang diceritakan oleh kakak? Langsung saya menggeleng.

"Urrmmm... Rafie... selain permainan tadi, ada yang lain ke?" Sengaja saya menukar topik. Harapnya ia dapat menghilangkan perasaan pelik yang bermain di hati ini.

"Ada je. Cuma aku tak pasti kau berminat atau tak."

"Saya cuba je. Selagi saya rasa seronok selagi itu saya suka."

"Okey, kalau macam tu apa kata nanti kita cuba main basketball?" ajak Rafie sambil menunjukkan jari ke arah permainan bola keranjang.

"Ehhh! Tapi saya tak reti."

"Alah, kau cuba je. Aku jamin kau mesti suka." Dia tampak bersungguh. Pasti permainan itu agak menarik.

Apabila kepedihan jari kembali pulih, tanpa berlengah kami bermain permainan bola keranjang seperti yang dicadangkannya. Ternyata saya menyukai permainan ini. Ia mudah, cuma baling sahaja bola itu ke dalam bakul yang tergantung tinggi.

Alang-alang kami sudah berada di arked ini, pelbagai permainan yang telah dicuba oleh saya. Maklumlah saya ini masih hijau dalam dunia arked ini. Sedang saya berjalan, mata ini tertumpu pada satu mesin foto yang terletak di sebelah permainan lumba kereta. Musykil akan mesin itu, saya pun bertanya kepada Rafie.

"Rafie, yang mesin tu untuk apa ya?" Dia memandang sekilas.

"Oh, itu tak ada apa yang menarik pun. Cuma mesin untuk tangkap gambar je."

"Mesin tangkap gambar? Itu pun ada dekat sini?"

"Ha'ah. Tapi mesin ni lain sikit. Sebelum tangkap gambar, kita boleh pilih filter  yang kita nak. Kau nak buat muka berkilau ke, muka macam kartun ke. Alah, lebih kurang macam Snapchat," terang Rafie tanpa jemu melayan kerenah saya.

"Maksud awak yang macam dekat poster tu ke?" Persoalan saya itu disertakan jari yang dituju ke arah poster yang ada pada mesin tersebut. Ia memaparkan gambar seorang wanita Jepun yang dikelilingi dengan sticker menarik. Di mukanya ada garisan blush, malah ada juga kilauan di sekeliling mukanya.

"Aha, yang itu. Mata kau akan berkilau-kilau dan ada tanda love macam dalam poster tu." Mendengar sahaja jawapannya, muka saya mula berubah teruja. Macam menarik untuk dicuba.

"Wah! Macam menarik je!"

"Kau nak cuba ke?" soalnya.

"Boleh je."

"Hmmm, okey. Lagipun bukan selalu."

Maka cubalah kami memasuki mesin tersebut dan mula bergambar bersama. Pelbagai gaya yang telah kami gayakan. Setelah selesai, gambar-gambar tersebut dicetak. Saya ambil gambar itu, lalu melihatnya. Keterujaan saya semakin meninggi apabila mendapati wajah saya tampak comel dari biasa. Dicampur pula dengan sticker arnab comel pada penjuru gambar.

"Waaahh! Saya nampak lainlah. Muka saya nampak lagi comel. Tengok tu siap sticker arnab sekali ada," kata saya lalu tertawa.

"Tapi bukan ke kau memang comel?" Pujian Rafie itu membuat saya terpaku.

"Eh!" 

"Eh? Err... maksud aku.. errr.. bukan kau memang comel ke? Yalah. Kalau tak... urmm... kenapa ramai budak sekolah kita... minat dekat kau, kan?" Rafie memberi alasan sebelum tertawa. Rambutnya pula berkali-kali dimainkan. 

Matanya dipandang saya. Dia cepat-cepat mengalihkan pandangan. Melihat dia begitu, saya pun tertunduk lalu tersengih sendirian. Semestinya saya gembira. Orang sudah puji takkanlah tidak gembira. Saya yakin dia pujian itu ikhlas.

"Sebenarnya ini pertama kali saya dengar orang lelaki puji depan saya. Jadi... terima kasih, Rafie," ucap saya kepadanya. 

"Err... sama-sama," ucapnya sambil menggaru pipi.

Situasi kini menjadi janggal. Perbualan yang rancak sudah terhenti. Kami berdua menahan malu, ditambah pula pipi masing-masing sudah pun merah. Namun begitu, saya masih selesa dengan Rafie. Harap momen hari ini berkekalan dengan lebih lama.

Bersambung...

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk