Rasa Hati
Sebagai anak perempuan, sudah menjadi rutin harian untuk membantu ibu dan nenek menyediakan makan malam. Bukan saya seorang, malah kakak kandung saya iaitu Kak Iman juga turut membantu sama. Kami memotong bahan-bahan makanan yang hendak dimasak. Ada masa kami membasuh perkakasan dapur. Mahu ringankan beban keluarga katakan.
Apabila santapan malam sudah siap terhidang, maka kami sekeluarga mula menjamu selera bersama-sama, sambil berkongsi menceritakan hal-hal yang berlaku pada hari ini.
"Tadi waktu ayah nak pergi makan tengahari, ayah terjumpa dengan Pak Cik Azmi tau. Tak sangka pula boleh jumpa dia dekat sana. Katanya ada kursus dekat situ," cerita ayah kepada kami sekeluarga.
"Oh, kawan awak yang kena pindah ke Sungai Buloh tu ke? Lama tak dengar berita." Ibu melayan cerita ayah.
"Itulah, dengar cerita anak dia masuk MRSM tau. Tak silap ayah, anak dia tu sebaya Inas kan." kata ayah lalu memandang saya. Saya terdiam. Cepat-cepat kepala ini ditundukkan.
Saya tahu apa reaksi Kak Iman sekarang. Mesti dia sudah mula tersenyum sinis. Wajah yang suka menyakat saya.
"Waahhh, lama tak dengar tentang Rizwan tu! Dulu ingat lagi yang Inas selalu bermain dengan dia waktu kita datang ke rumah dia dulu," usik Kak Iman lalu mengerling ke arah saya.
"Akakkkk! Itu waktu kecil dulu la. Janganlah kacau Inas, malu tau," omel saya.
"Ohhh... tengok tu muka dia dah merahlah. Comel betul adik akak ni bila malu-malu macam ni," sakat Kak Iman lagi.
Tidak senang dengan tindakan itu, ibu menegur Kak Iman. "Iman, kita tengah makan ni. Jangan kacau adik kamu tu."
"Iman gurau sikit je bu. Takkanlah tak boleh." Kak Iman memberi alasan.
"Alah, apa salahnya Asma," celah Nek Mah yang merupakan mak kepada ayah. "Diorang kan dah besar. Lambat laun kena kahwin juga. Nanti dapatlah nenek merasa nak tengok menantu cucu kesayangan nenek ni." Sambung Nek Mah lalu tertawa kecil. Mulut ibu mulai jatuh.
"Mak, mereka ni masih sekolah lagi. Banyak yang nak kena belajar. As rasa lagi bagus kalau mereka fokus untuk belajar dulu," tegur ibu.
"Alah Asma, dulu kamu dengan Hamzah berdating waktu sekolah dahulu tak ada pula nak fikir fasal belajar ya. Biar je lah anak-anak kamu ni buat keputusan sendiri." Ibu terdiam sekali gus menahan malu. Kak Iman sudah mengekek. Dia gembira apabila Nek Mah sudi nak backup kami.
"Betul tu nek. Iman sokong sangat pendapat nenek tu," nyata Kak Iman gembira.
"Ehem!" Suara garau ayah mula kedengaran.
"Ayah nak mencelah sikit boleh? Ayah ni bukan tak kisah pasal anak ayah. Ikutkan ayah sangat sayangkan anak ayah dua orang ni. Tapi, dalam usia begini janganlah terlampau asyik fikir fasal cintalah, jodohlah, semua tu sementara je. Banyak perkara penting yang perlu kamu berdua buat. Lagi-lagi pelajaran. Ingat ya anak-anak ayah," pesan ayah panjang lebar. Saya dan Kak Iman hanya mengangguk.
"Baik ayah." Jawab kami serentak.
"Baguslah kalau kamu berdua faham. Ayah tak halang kalau kamu berdua nak bercinta. Tapi!" Perkataan 'tapi' ditekankan.
"Kalau dah ada calon ke, boyfriend ke, bawalah dia jumpa ayah. Biar ayah nilai dia sama ada dia layak atau tak," nasihatnya lagi. Tersentak Iman hingga terbatuk-batuk.
"Kenapa kamu ni, Iman? macam kena sampuk hantu je," tegur ibu.
"Errr.. hehehe... maksudnya Iman kena bawa dekat ayahlah, kan?" Pertanyaan kakak itu membuat ibu dah ayah terkejut.
"Eh!" Serentak suara dua orang dewasa ini dikeluarkan.
"Iman jangan cakap..." kata ibu terjeda lalu disambung oleh ayah.
"Kamu dah ada boyfriend?" Kak Iman tersengih lalu menggaru pipi.
"Aha. Ya, Iman dah ada. Hehehe." Mulut kakak makin menyengih lebar. Kami sekeluarga mula terdiam.
"Wah! Baguslah, bolehlah nenek dapat cucu," gurau Nek Mah yang teruja seraya memecahkan kesunyian kami.
"Maaak!" Meleret panggilan ibu yang tidak senang dengan gurauan Nek Mah.
"Mak gurau je lah. Kamu ni serius sangatlah Asma."
Ibu dan ayah mula menyoal Kak Iman tentang apa yang sudah berlaku. Dari awal hinggalah akhir, segalanya dijawab selamba. Saya hanya memerhati. Kadang kala bibir ini tercebik secara sendirinya. Mungkin rasa meluat dengan kisah Kak Iman itu. Cepat-cepat saya bangun dari meja makan.
"Inas dah habis makan," laung saya kuat.
"Okey, jangan lupa basuh pinggan ya." Ibu memberi pesanan.
Cukuplah saya mengiyakan. Segera saya mengambil pinggan untuk dibawa ke dapur. Lebih baik saya beredar daripada bercampur dengan perbualan mereka. Ikutkan saya sebenarnya tidak mahu berfikir soal cinta. Ia terlalu awal untuk saya.
Melihatkan ayah dan kakak masih lagi membincangkan tentang hal itu, membuatkan saya berfikir secara realistik.
Untuk seorang ayah semestinya perkara ini membuat dia berasa tidak senang. Manakan tidak, sudahlah kami adik beradik ini perempuan. Dijaga dengan baik seperti sekuntum bunga yang mekar. Tiba-tiba ada seseorang datang menyunting. Itulah perasaan ayah sekarang ini.
Kasihan ayah. Saya bersimpati kepadanya. Namun, inilah kehidupan yang perlu ayah tempuhi. Kak Iman pun sudah dewasa, hampir juga memasuki usia untuk berkahwin. Lainlah macam saya, baru hendak merangkak mengenal dunia.
Sejujurnya dalam fikiran saya, tidak pernah terlintas untuk mempunyai perasaan yang dinamakan cinta. Bukan apa, cuma... saya tidak tahu apa itu cinta.
Setelah pinggan dibasuh, saya pun menaiki tangga untuk menuju ke bilik.
"Inas, nak ulang kaji ke tu?" Tiba-tiba ibu menegur saya.
"Iya bu, Final exam pun dah nak dekat."
"Ya ke. Belajar rajin-rajin ya," ucapnya. Pandangan ibu terus berubah pada kakak.
"Tengok adik kamu tu Iman. Elok je dia belajar. Kenapa lah kamu tak jadi macam adik kamu tu?" omelnya.
"Eh! Tapi result Iman pun okey je dekat universiti."
"Iya ke? Ibu tak tahu pun."
"Aik, ibu! Iman kan dapat dekan setiap sem, takkan lah ibu tak ingat?" Kak Iman membidas dengan wajah sinis.
Perwatakan Kak Iman memanglah nampak seperti seorang yang suka bersosial, tetapi dalam gaya hidupnya itu, dia merupakan seorang yang bijak.
Akhirnya ibu pun akur kesilapannya. "Yalah, yalah. Kalau macam tu baguslah."
Saya hanya berdiam diri setelah menyaksikan situasi kakak itu.
"Cinta ya," gumam saya. Kepala ini digelengkan. Tanpa berlengah saya kembali menaiki tangga untuk naik ke bilik.
*****************************
Setelah hampir satu jam saya belajar, terdengar satu ketukan pintu daripada seseorang. Kebetulan saya sedang berehat. Lantas saya pun membenarkan orang itu untuk masuk.
Pintu bilik dibuka. Terlihat Kak Iman masuk ke dalam bilik dengan muka tersengih-sengih. Dia menutup pintu lalu menuju ke katil untuk duduk. Sengihannya tadi mula keluarkan suara. Dia ketawa kecil.
"Nampaknya sesuatu yang buruk dah berlaku hari ini, kan?" kata Kak Iman kepada saya.
Saya menunjukkan wajah yang risau. "Akak okey ke? Tiba-tiba je ketawa? Macam mana dengan perbincangan tadi?" tanya saya hairan. Manalah tahu tiba-tiba kakak saya ini ada penyakit macam Joker yang asyik ketawa tanpa sebab.
"Akak okey je. Lagipun akak berjaya yakinkan ayah untuk berjumpa dengan boyfriend akak."
Saya mengukir senyuman. "Baguslah macam tu. Jadi, akak datang ke sini sebab nak luahkan semuanya dekat Inas ke?" Saya bertanya lagi. Dia menggetus tawaannya lagi. Kali ini dia menahan bibir dengan jari.
"Pandai adik akak ni. Dengarlah sikit luahan akak ni. Lagipun minggu depan akak tak balik rumah tau. Nanti rindu pula dekat adik akak yang comel ni." Dia kemudian menggeserkan pipinya pada buhu saya. Dia hendak bermanja. Saya mengeluh kecil. Hendak buat macam mana lagi. Terpaksalah melayannya.
Sebenarnya kami adik beradik memang suka meluah sesama kami. Segala rahsia yang terpendam dan terbuku di dalam hati memang dijaga oleh kakak. Bahkan, trauma saya yang takut dengan lelaki juga turut diketahuinya.
"Yalah, yalah. Inas dengar. Kebetulan Inas tengah berehat ni."
"Rajin betul kamu ni, Inas. Kalau boleh bumi nak runtuh pun kamu masih belajar, kan," tegurnya.
"Ini je yang Inas mampu untuk gembirakan ibu dengan ayah. Bila Inas belajar diorang gembira." Kakak mengangguk faham.
"Baguslah kalau macam tu. Oh ya! Berbalik kepada topik kita. Ni akak nak cerita ni, sebenarnya tadi akak call boyfriend akak, nak beritahu tentang apa yang akak bincang dengan ayah. Tapi... boyfriend akak ni takut nak jumpa dengan ayah. Habis pening kepala akak ni."
"Eh! Macam tu pula. Kenapa dia takut?"
"Katanya dia terkejut sebab ayah tiba-tiba mahu berjumpa dengan dia."
"Kenapa dia nak takut? Dia ada buat salah ke?" Bahu saya didibab oleh kakak.
"Aduh, akak!" marah saya.
"Memanglah dia tak buat salah, Inas. Masalahnya permintaan ayah tu secara mengejut. Dia tak ready lagi tu. Ayah pun satu, nak jumpa secepat mungkin," omel Kak Iman lalu mengeluh panjang. Wajah matangnya tampak resah.
Tiba-tiba dia memandang saya. Seketika pula, bibirnya mula tersenyum.
"Inilah dugaan bercinta, Inas. Ia lebih kompleks dari apa yang kamu sangkakan," ujarnya kepada saya.
Pun begitu, kenyataanya itu menimbulkan satu kemusykilan dalam diri ini. Saya masih tidak mengerti apa itu cinta, malah untuk mengetahui perasaan itu juga tidak pernah dirasai oleh saya.
"Urrmm... akak. Inas nak tanya sikit boleh?" pinta saya dengan nada ingin tahu.
"Apa dia?"
"Macam mana perasaan bila kita suka dekat seseorang ya?"
Kak Iman memberi wajah sinis. "Wah! Wah! Adik akak dah pandai ya?"
"Tak... tak ada lah! Inas cuma tanya je. Akak ni." Pipi saya dikembungkan sebelah. Marah kerana dia mahu menyakat saya.
Kak Iman menggetus ketawa.
"Akak gurau je la. Benda ni normal la Inas. Kita ni dalam kehidupan sudah dicipta dengan adanya jantina, lelaki dan perempuan. Lelaki suka perempuan dan perempuan suka lelaki. Ia perkara yang normal. Ia fitrah manusia," kata Kak Iman. Kemudian, tubuh kurus milik kakak mendekati saya.
"Biar akak cerita sikit macam mana akak jatuh cinta dengan boyfriend akak." Entah mengapa saya tergerak hati untuk mendengar. Langsung kerusi belajar ini dipusingkan lalu menghadap dia.
"Awal-awal akak kenal boyfriend akak ni, dia sebenarnya taklah banyak bercakap dalam kelas. Tapi akak selalu tegur dia, yalah sebab dia pun antara pandai dalam kelas. Tapi kan, tak thau kenapa, setiap kali assignment kitaorang akan duduk dalam kumpulan yang sama. Tanpa sedar, akak dan dia terus rapat. Sampailah akak rasa macam tersuka suka dekat dia," cerita Kak Iman.
"Macam mana perasaan akak waktu tu?" soal saya kepadanya. Rasa ingin tahu menebal di dalam diri. Kalau boleh saya hendak tahu juga bagaimana rasa jatuh cinta.
"Rasa dia ya. Hmm..." Kak Iman mengetap bibirnya dengan jari ditekan pada bawah bibir.
"Rasa dia macam jantung ni berdegup dengan laju. Dada akak kadang rasa sakit, tapi sakitnya bukan sakit yang berpijar, ia sakit yang menyenangkan. Rasa berdebar-debar. Lagi tepat, akak selesa dengan boyfriend akak, walaupun hati ini sentiasa berdegup kencang."
Penerangan Kak Iman itu mengingatkan saya akan kejadian di astaka beberapa hari lepas. Semua tanda-tanda yang diberitahunya sama dengan apa yang saya rasai pada hari itu. Jantung saya berdegup kencang. Rasa sakit tapi ia menyenangkan. Dan paling penting, saya selesa dengan Rafie.
"Jadi, Itulah tanda bila kita sudah jatuh cinta. Ia kompleks tapi itulah yang akak rasa." Tambah kakak lagi.
Wajahnya dipandang lama. "Apa yang akak cakapkan tu betul ke?" Ayat itu sekali gus terpacul dari mulut ini.
Dahi kakak berkerut. "Cerita betullah. Kenapa nak tipu pula?"
Saya membuat muka terkejut. Sikit demi sikit pipi ini merona merah. Saya... jatuh cinta?
"Inas." Panggilan kakak mengacau lamunan saya. Mukanya saya pandang. Wajah hairannya lama memerhatikan saya.
"Inas, kamu ada suka seseorang ke?" Terbeliak biji mata ini saat mendengarnya.
"Ma... mana adalah. Perasaan akak je kot," Pantas saya menafikan. Secara tak langsung, tangan kanan saya mula mengusap lengan kiri, rasa tak selesa setelah disoal begitu.
"Aha! Tekaan akak mengena. Kalau kamu dah mengusap lengan macam tu mesti ia perkara betul."
Saya terkedu.
"Dahlah akak!" Pantas saya berdiri dari duduk. Lengan Kak Iman ditarik kasar lalu membawanya ke muka pintu.
"Inas nak sambung belajar. Jangan kacau Inas ya," nyata saya kepadanya. Pintu bilik dibuka. Tubuh Kak Iman ditolak keluar oleh saya.
Pun begitu Kak Iman sempat menoleh. Dia sudah tersenyum sinis.
"Macam tu ya. Nampaknya adik akak ni masih muda lagi ni." Kak Iman menepuk perlahan kepala saya, dia seperti dapat mengagak akan apa bermain di hati saya ini.
"Okeylah, kalau kamu sendiri dah cakap macam tu, akak keluar dulu ya. Belajar rajin-rajin." Pintu bilik ditutup secepat mungkin. Saya pantas mengunci bilik itu lalu bersandar padanya.
"Akak ni, macam tahu-tahu je," marah saya di dalam hati. Walaupun begitu, fikiran ini terngiang-ngiang akan kata-kata Kak Iman.
"Betul ke cakap akak tadi? Itukah perasaan apabila kita jatuh cinta? Tak mungkin. Saya... jatuh cinta?" getus hati ini.
"Tak mungkin, tak mungkin!" Kepala ini digelengkan.
"Lebih baik saya fikir tentang pelajaran. Ini semua duniawi semata-mata." Tanpa berlengah, saya kembali duduk di meja belajar, meneruskan pembelajaran yang tergendala.
Bersambung...