Hari demi hari, ahli Geng Impian semakin bertambah. Ia bermula dengan kemasukan Hairi dan Irwan. Atas cadangan Yusri, dia mengharapkan kehadiran mereka berdua mungkin mampu membantu masalah saya. Tambahnya lagi, mereka ini juga rakan baru Rafie.
Maklumlah, tujuan asal geng ini diwujudkan pun untuk mencapai matlamat saya dan Rafie. Oleh itu, saya tidak membantah. Lebih ramai lebih bagus.
Itu baru cerita tentang Hairi dan Irwan. kalau hendak tahu, ahli kami kembali bertambah dengan kehadiran Wani dan Iliy, iaitu kawan baik kepada Mona. Seperti sedia maklum, Mona sememangnya ahli geng kami setelah diajak Rafie.
Mengapa Wani dan Iliy turut serta?
Sebabnya ini sahaja cara untuk meleraikan pergaduhan mereka berdua. Hanya kerana salah faham, pergaduhan besar mula tercetus, masing-masing bermasam muka dan tak bertegur sapa, hinggakan Mona terasa diabaikan. Kasihan akan nasibnya, saya dan Rafie menghulurkan bantuan untuknya.
Hasil kebijaksaan Rafie, akhirnya Wani dan Iliy berbaik semula, itupun setelah mereka ketahui emosi Mona terganggu kerana pergaduhan itu. Air dicincang tidak akan putus. Apabila ego seseorang ditundukkan, suatu masalah akan selesai, syaratnya senang, hanya sekadar memohon maaf.
Drama air mata sudah tentu disaksikan oleh mata. Sampaikan saya juga turut menangis. Mereka bertiga berpelukan. Menunjukkan betapa eratnya hubungan persahabatan mereka. Mona beberapa kali mengucapkan terima kasih kepada saya dan juga Rafie.
Hari Rabu, pukul 3.30 petang, bertempatkan di Rasa Cafe, bermula dari itulah kami menjemput mereka untuk sertai geng kami. Ahli Geng Impian yang baharu.
Masalah Mona sudah selesai. Tiada yang mampu saya ungkapkan melainkan menzahirkan rasa lega.
Tangan saya didepangkan ke langit. "Gembiranya saya rasa. Diorang akhirnya berbaik semula." Ayat itu terkeluar dari mulut. Saya mula memandang Rafie yang sedang berjalan di sisi saya. Kami dalam perjalanan menuju pulang.
Pun begitu, Rafie tidak memberi reaksi. Dari ekspresi wajahnya seperti sedang memikirkan sesuatu.
"Awak?" Saya memanggil. Seraya itu, perlahan-lahan dia memandang muka saya yang jernih ini.
Saya memberi riak hairan. "Awak okey? Kenapa muka awak muram je ni?"
Dia masih membisu. Bibirnya dikemam sebelum mengalihkan pandangan ke hadapan. Perlahan-lahan jejaka kurus ini memberhentikan langkah.
Saya yang sudah terlajak ke hadapan menoleh belakang, sekali gus perjalanan ini terhenti. Hairan. Mengapa dengan Rafie ini? Secara-cara tiba-tiba perangainya berubah. Padahal sebentar tadi elok sahaja dia berbual seperti biasa dengan Mona dan rakan-rakannya di Rasa Cafe.
"Rafie?" Dia mendengus panjang.
"Inas, kau okey ke?" Soalannya itu membuat saya keliru. Saya tidak faham. Apa yang dia maksudkan sebagai okey?
"Apa maksud awak? Kalau ikutkan saya okey je. Tengok ni siap boleh tersenyum gembira lagi." Jawapan saya itu, masih tidak membuatkan Rafie berpuas hati. Sebaliknya, dia memandang saya dengan pandangan risau.
"Aku dah tak tahu sama ada senyuman kau tu hanya topeng yang menutup perasaan hati. Kau sedang bersedih atau pun tak?"
"Bersedih? Untuk apa?"
"Piano kau tempoh hari. Kau... dah tak menangis lagi ke?"
Mata saya terjegil. Rupanya itu yang membelenggu fikirannya. Peristiwa yang terjadi pada minggu lepas.
Pada minggu lepas, seperti hari kebiasaan saya dan Rafie pulang ke rumah secara beriringan. Ketika itu Iky tidak ada bersama kami, kerana dia mempunyai kelas tambahan di sekolah, persediaan untuk dia menghadapi peperiksaan UPSR.
Apabila perjalanan kami tiba di kawasan perumahan saya, mata saya terpandang akan sebuah lori sedang memarkir di hadapan rumah. Pada mulanya saya tidaklah berfikir panjang. Saya kira mungkin ibu mahu menjual perabot lama yang sudah tidak terpakai. Namun, jangkaan saya meleset.
Bukanlah perabot yang mereka jual, tetapi piano kesayangan milik saya. Melihatkan piano itu diangkat oleh pekerja lori, saya pantas meluru lalu mendekati mereka, hingga meninggalkan Rafie di belakang.
Kebetulan Kak Iman ada di situ. Saya lantas bertanya kepadanya. Menurut Kak Iman, keluarga saya sudah tidak mampu untuk membaiki piano itu. Kata dia kosnya terlalu mahal. Disebabkan tiada sesiapa melainkan saya memainkan piano itu, mereka mengambil keputusan untuk menjualnya.
Sungguh saya terkilan. Saya tidak kisah jika mereka hendak menjualnya, tetapi seeloknya mintalah pendapat daripada saya dahulu.
Selama 10 tahun saya bermain piano, tidak saya duga masa ini akan sampai. Ia meninggalkan rasa sentimental dalam diri saya. Akhirnya, terburailah air mata tanpa sengaja. Sampaikan saya tidak sedar Rafie melihat saya dari jauh.
"Jadi, awak memang nampak saya menangis hari tu?" Dia mengangguk. Terjawablah sudah persoalan saya.
Saya mengukir senyuman. "Awak janganlah risau. Saya okey. Lagipun, saya dah reda dengan pemergian piano itu."
"Jadi, kau dah tak menangis lagi?"
Saya menggeleng. "Tak. Tengok ni. Kan comel tersenyum ni," ujar saya sambil menekan kedua-dua belah pipi. Mahu menujuk comel. Manalah tahu ia menimbulkan tawaan padanya.
Walau rupa Rafie ada sedikit kerisauan, wajah muramnya perlahan-lahan berubah seri.
Perlahan-lahan saya mendekati dia. "Terima kasih sebab prihatin kan saya. Awak sememangnya kawan yang baik."
Rafie menggetus tawaan kecil. Lantas dia membuka mulut setelah lama dia berdiam diri. "Ya. Sama-sama."
Perjalanan yang tergendala kembali bersambung. Dan ketika itulah Rafie pula membuka bicaranya. "Inas, aku rasa aku dah faham mengapa kita perlu berkawan."
"Ya ke. Jadi, apa jawapan dari sudut pandangan awak?"
"Kawan ialah tempat untuk kita berkongsi rasa suka dan duka. Kawan juga tempat untuk kita meluah, itupun jika kita tidak mampu berkongsi dengan ahli keluarga. Dalam kita kesedihan, merekalah tempat untuk kita sandarkan kepala pada bahu. Mereka ada saat kita perlukan bantuan."
Dia menatap wajah saya. Sekali gus membuatkan mata kami bertemu. Matanya... berwarna hazel. Sungguh indah sampaikan saya terpegun.
"Sama macam kes Mona. Saat dia perlukan bantuan, kau dan aku sanggup untuk tolong dia. Sebab dia kawan kita. Dan paling penting sebab kita tak nak tengok dia menangis. Sebab itulah..." katanya terjeda.
Dia memandang sekeliling sebelum kembali menatap wajah saya. "Aku tak sampai hati melihat kau menangis."
Rama-rama bagai bermain di hati ini. Jantung ini pada mulanya berdenyut, secara tiba-tiba ia berdegup kencang.
"Jadi Inas, boleh kau janji dengan aku? Please jangan menangis lagi. Aku tak mampu melihat kau sebegitu. Kalau boleh, senyuman kau tu... aku nak jaganya. Selamanya."
Hanya tuhan sahaja tahu bagaimana rasa hati ini. Ia sudah pun terjemah pada pipi. Merah padam. Saya seperti tersuka pada Rafie.
Bersambung...