Khabar Angin
Pada suatu petang, di dalam kelas 5 Sains Tulen, ada kelibat tiga orang pelajar sedang berdiri di bahagian belakang kelas. Dua orang lelaki dan seorang perempuan. Yang perempuan itu ialah saya, manakala yang selebihnya ialah Rafie dan Yusri.
Keberadaan kami bukanlah saja-saja. Kami cuma berlatih, semata-mata hendak meningkatkan kembali keyakinan saya yang tidak mampu berhadapan dengan lelaki.
Namun begitu, segalanya bagai serba tidak menjadi. Rafie yang memerhatikan saya dari tepi hanya menepuk dahi lalu tergeleng. Yusri pula mengusap belakang kepalanya. Masing-masing buntu kerana belum menemui penyelesaian, setelah melihat saya berpeluk tubuh bersama tangan yang sedang mengigil.
Ya, saya menggigil. Trauma saya masih belum pulih.
"Aku rasa cukup untuk hari ini. Kalau aku paksa pun resultnya tetap sama," kata Rafie. Suaranya pasrah. Setelah pelbagai usaha yang kami lakukan hari ini, ia langsung tidak membuahkan hasil.
"Maafkan saya, awak. Saya masih lagi takut," lirih saya dengan rasa bersalah.
"Kau tak perlu minta maaf, Inas. Aku hentikan semua ni sebab kehendak aku juga."
"Nampaknya hari ni pun sama juga ya," keluh Yusri pula.
"Maafkan saya ya ,sebab ganggu masa awak." Saya meminta maaf sekali lagi tetapi kali ini kepada Yusri.
"Tak apa, aku okey je. Lagipun, kau mungkin perlukan masa. Sama macam mamat ni juga, kan?" kata jejaka popular itu dengan jarinya dituju pada Rafie. Saya tersenyum dan mengiyakan kata-katanya.
Yusri mengambil beg sekolahnya di atas kerusi. "Okeylah korang, aku gerak dulu. Dah tak ada apa-apa lagi kan?" Yusri bertanya kepada Rafie.
"Ha'ah, kau dah boleh pulang," balasnya. Langsung Yusri melambaikan tangan kepada kami berdua dan berlalu pergi.
Saya mengeluh panjang. Sudah dua minggu kami cuba berlatih, namun hasilnya masih tidak jelas. Sedikit pun trauma saya tidak menurun.
"Inas, aku nak tanya sesuatu boleh?" Saya memandang wajahnya.
"Apa dia?"
"Dah dua minggu kita berlatih, tapi hasilnya masih pudar. Ia... nampak kelabu. Kau masih nak teruskan latihan ni?" soalnya.
Ada benar katanya itu. Perlukah saya berputus asa sekarang? Tapi, jika saya berputus asa tidakkah itu menunjukkan yang saya tidak mempunyai keinginan untuk berubah.
Tangan kanan saya digenggam kuat.
"Saya tetap nak teruskan," luah saya.
"Saya tak nak usaha ni terhenti di tengah jalan. Tambah lagi saya risau. Risau bila dah dewasa nanti, saya perlu mengharap keluarga saya untuk terus hidup. Saya... tak nak mereka terbeban." Pilunya hati hinggakan suara kedengaran serak. Bukanlah saya mahu menagih simpati, cuma terlebih beremosi ketika meluah.
"Macam tu ke," balasnya dengan wajah yang tidak mempunyai perasaan.
Seketika itu, dia berjalan untuk mengambil beg sekolahnya. Alang-alang, dia mengambil beg saya sekali, lalu menyerahkannya kepada saya. Tanpa berfikir panjang saya mengambil beg itu dan mengucapkan terima kasih.
"Jom kita gerak. Iky mesti tengah tunggu aku. Aku pasti dia mesti gembira bila jumpa kau." Bibir saya mengukir senyuman.
"Baikkk!" ucap saya dengan tangan membuat gaya hormat seperti askar.
"Mesti adik awak dah rindu dengan kakak dia ni. Hihihi."
Rafie memberikan senyuman. Sama sekali dia tergelak. "Mari, nanti kita terlambat pula." Dia berjalan menuju keluar dari kelas sebelum diikuti saya.
*****************************
Pancaran matahari terik mulai surut, ditutupi awan menjadi redup. Ditambah pula angin sepoi-sepoi, memukul badan yang hampir dihiasi peluh. Nasib cuaca hari ini berlaku baik kepada kami. Barulah terasa berangin sedikit, malah tidak berpeluh walaupun berpakaian seragam sekolah dan juga bertudung.
Mata saya melihat belakang Rafie. Seperti biasa dia berjalan di hadapan. Sepanjang perjalanan, kami berdua lebih banyak mendiamkan diri. Memanglah berdiam diri itu sifat bagi Rafie. Akan tetapi, ia terlalu janggal. Oleh itu, sengajalah saya cuba memulakan perbualan.
"Urmm... Raf-"
"Wei, Inas!" Belum sempat saya hendak membuka bicara, Rafie terlebih dahulu bersuara.
"Eh? Errr... ya?" Saya terpinga-pinga.
"Sebagai seorang kawan boleh tak aku berterus terang dengan kau?" Saat dia berkata begitu, langkahnya terhenti seraya memandang saya.
"Berterus terang?" Saya menggumam.
"Aku rasa kau... seorang yang pemalu. Memanglah aku tahu kau takut dengan lelaki tapi, apa yang aku nak cakap kemungkinan latihan kita tak menjadi selama ini sebab kau rasa malu."
Saya menggelengkan kepala. "Urmm... sebenarnya saya ni bukan jenis pemalu sangat pun. Sebab kalau malu, mustahil untuk saya tegur awak. Betul tak?"
Rafie diam sejenak. Dia tengah berfikir. "Hmm... betul juga. Jadi andaian aku tersilap lah ni," gumamnya perlahan.
Saya mengulum senyum. "Patutlah awak senyap je sepanjang perjalanan tadi. Rupa-rupanya awak fikir tentang ni ke?" Mata Rafie melilau ke sekeliling. Sempat juga dia berdehem.
"Uhm," balasnya lalu mengangguk.
"Terima kasih sebab concern tentang saya. Tapi..." Saya menjeda.
"...saya nak minta maaf. Maaf sebab latihan ini mungkin membebankan awak. Kalaulah peristiwa hari tu tak berlaku, mesti awak tak perlu hadap semua ni," kata saya yang sebenarnya tidak mahu mengingati detik hitam yang berlaku suatu ketika dahulu.
"Jadi peristiwa tu masih menghantui awak."
Saya mengangguk.
"Tak apa, perlahan-lahan kita betulkan. Sebagai kawan, aku percaya dekat kau, Inas. Aku percaya boleh atasi semua ni," ucapnya lembut. Lega saya bila dia berkata begitu. Dorongan yang sememangnya diperlukan tatkala kami mahu berputus asa.
Perjalanan kami diteruskan. Jika tadi dia berada dihadapan, kini kami berjalan beriringan.
"Jadi awak dah anggap yang saya ni kawan awak ya," soal saya bernada sinis. Dia tergelak kecil.
"Mestilah, setakat ni kau je yang boleh layan perangai aku."
"Yusri kan ada? Kenapa awak cakap macam saya sorang je kawan awak?"
Terus lelaki ini memalingkan muka. "Huh! Aku tak boleh nak masuk dengan perangai dia. Tapi... macam aku cakap sebelum ni, perlahan-lahan aku akan cuba terima dia."
"Ya, ya je awak. Hati awak ni memang keraslah. Cubalah lembut sikit hati tu," perli saya.
"Eleh kau pun sama. Cubalah berani sikit bila berhadapan dengan orang. Lagi-lagi orang yang jaga kaunter kedai. Aku boleh je ajar kau kalau kau takut lagi."
Alahai, kita pula yang kena perli balik.
"Yalah, yalah. Sila tunjuk ajar ya Cikgu Rafie. Saya akan buat apa sahaja untuk Cikgu." Sekali lagi saya berperangai sinis. Tubuh ini dibongkokkan sedikit seperti seorang pelajar menunduk saat bertemu dengan guru.
Rafie tertawa dan bibirnya ditahan dengan jari. "Kau ni dah kenapa? Bila masa pula aku cikgu kau?"
"Alah cikgu, cikgu tak terima ke? Janganlah macam ni. Sedih saya tau." Saya berpura-pura sedih. Sengaja nak bergurau dengannya.
"Tetap tak nak terima. Sebab aku bukan cikgu. Tapi aku kawan kau," katanya dengan bibir tersenyum nipis.
Sejujurnya muka dia nampak lebih elok jika tersenyum. Bukanlah bermaksud saya tertawan dengannya tetapi wajah Rafie akan nampak tenang dan segar bila dia senyum.
"Muka awak nampak lebih eloklah kalau senyum. Cuba kekalkan senyuman tu, nanti orang selalu salah anggap dekat awak. Tahu tak, muka muram awak tu macam raksasa nak makan orang." Kenyataan saya itu membuat Rafie menjongketkan sebelah keningnya.
"Perlu ke?" balasnya ringkas.
"Mestilah. Kalau tak sampai bila-bila hidup awak tak akan dapat kawan. Cuba senyum sikit."
"Senyum ya. Macam ni?" Rafie cuba menguntum senyum, tetapi senyumannya itu menyeringai, seperti dibuat-buat. Kelakar pula wajahnya ini. Langsung saya ketawa mengekek.
"Jadi memang teruklah senyuman aku ni. Menyesal aku tunjuk dekat kau," rungut lelaki ini.
"Alah, Rafie. Saya ketawa sebab senyuman awak tu terbaiklah," pujuk saya walaupun tawaan masih terlepas.
Jejaka ini mengolengkan matanya.
"Yalah tu. Kau cuma nak ambil hati aku je tu." Terus sahaja dia mempercepatkan langkahnya, lalu meninggalkan saya di belakang.
Alahai merajuk pula dia. Langsung saya tertawa kecil. Makin lama makin laju pula langkahnya.
"Wei, Rafie! Merajuk pula awak ni. Hei, tunggulah!"
Rungutan saya tidak diendahkan. Dengan pantas saya mengejarnya dari belakang. Begitulah rapatnya hubungan kami berdua sejak bersetuju menjadi kawan. Dari hubungan itulah baru saya tahu bahawa Rafie ini seorang yang sensitif.
*****************************
Hairan, sejak melepasi pagar sekolah, semua mata tertumpu ke arah saya. Pelik, kebiasaannya pelajar lelaki yang selalu pandang saya tetapi hari ini pelajar perempuan juga turut menjeling.
Saya ada buat salah ke sebelum ini? Ikutkan macam tak ada. Sungguh saya tak selesa. Pandangan tajam mereka seolah-olah saya telah membuat satu kesalahan yang paling besar.
"Wei, dia kan minah kerek yang takut dengan lelaki?" tanya seorang perempuan kepada rakannya. Pertanyaan itu didengari oleh saya.
"Ha'ah, dia lah. Semalam ada orang nampak dia berjalan dengan budak lelaki. Siap gelak ketawa lagi. Padahal dulu dialah yang beria cakap takut lelaki bagai," kata pula perempuan yang satu lagi.
"Ya ke. Apa nak hairan, perempuan jual mahal ni semua acah-acah je. Entah-entah dia ni pun jenis menggedik juga ni."
Langsung kaki ini terhenti. Sakit hati mendengarnya. Barulah saya faham mengapa ramai pelajar memandang saya hari ini. Rupa-rupanya mereka terlihat kemesraan saya dengan Rafie semalam.
Dua pelajar perempuan itu mula berbisik. Barangkali perasan yang saya mendengar perbualan mereka. Saya cuba menjeling, pandangan mereka berubah ke sekeliling. Akhirnya mereka buat-buat tak tahu sebelum beredar tanpa minta maaf.
Tangan saya dibuku geram. Rasa hendak tumbuk ditahan sebolehnya. Harap diri ini sentiasa tabah dengan dugaan yang menimpa.
*****************************
Ketika Rafie dalam perjalanan hendak menuju ke kantin, ada dua orang pelajar berdiri di hadapannya. Seorang berbadan gempal dan seorang lagi bertubuh kurus. Memikirkan pelajar itu hendak berdiri di situ, dia pun mengelak pelajar dengan berjalan melintasi mereka. Namun, tanpa disangka salah seorang dari pelajar itu menarik tubuhnya hingga membuatkan dia tertoleh ke belakang.
"Woi! Nak lari mana?" Marah pelajar yang berbadan gempal itu.
"Entah, aku nak cakap dengan kau," kata pula pelajar kurus itu.
Rafie hanya sekadar mendiamkan diri. Muka kedua-dua mereka diteliti olehnya. Gaya mereka seperti tidak puas hati dengan dirinya. Kemudian, matanya beralih pada name tag mereka. Yang Si kurus bernama Izlan dan Si gempal pula, Munir.
"Hei, aku dengar semalam kau dengan Inas balik sama-sama, betul ke?" soal Izlan.
"Aha," jawab Rafie mendatar.
"Asal dia boleh rapat dengan kau? Bukan dia takut lelaki ke?"
"Sebab dia kawan aku," balas Rafie selamba.
Geram dengan jawapan itu, pelajar kurus itu mula menggertak Rafie. "Hoi! Aku tanya tu jawab elok-eloklah." Marahnya hingga didengari oleh pelajar yang lalu lalang. Dia menarik kolar baju Rafie lalu dihempaskan pada dinding.
Belakang badan Rafie terasa sakit. Walau bagaimanapun, dia mampu menahan, setakat digertak begitu sedikit pun tidak menggentarkan hatinya.
"Aku tak faham macam mana Inas boleh rapat dengan kau. Dah lah nerd, sorang-sorang, lepas tu tak ada kawan pula tu. Kau nampak macam loser tau tak," provok lelaki itu.
Rafie tersenyum sinis. "Sekurang-kurangnya aku tak desperate macam kau." Rafie bertindak sinis. "Kau ni mesti budak kelas belakang yang acah gangster, kan?" Tambahnya lagi.
Kata-katanya itu membuatkan darah Izlan membuak. Dia sudah sedia satu penumbuk untuk dilepaskan ke muka Rafie.
"Hoi!" Baru sahaja hendak melepaskan tumbukannya, suara seorang pelajar lelaki datang mencelah.
"Ish! Siapa pulak yang dat-" Mata Izlan terbuntang. Mulutnya juga terlopong. "Yusri?" Gumamnya setelah melihat mata jejaka popular itu merenung tajam ke arahnya.
"Iz, apa kau buat dekat kawan aku ni? Kau tahu kan kalau sesiapa cari fasal dengan kawan aku, maknanya dia cari fasal dengan aku juga," kata Yusri dengan nada yang menggerunkan.
Izlan menelan payah air liurnya. Serta-merta pegangannya pada kolar baju Rafie dilepaskan. Tak lama kemudian dia meminta maaf kepada Yusri sebelum beredar bersama kawannya. Yusri menghampiri Rafie.
"Kau okey tak?"
"Aku okey." Balasnya sambil membetulkan kolarnya.
"Aku dah dengar pasal khabar angin tu. Harap kau tabah bro. Kalau diorang kacau kau lagi, aku boleh je tolong kau," kata Yusri yang prihatin akan rakannya itu.
Rafie mengangguk. "Jangan risau. Aku dah biasa dah. Terima kasih sebab tolong aku." Sebaik ayat itu diucapkan, Rafie menepuk bahu jejaka tinggi lampai ini sebelum beredar menuju ke kantin.
Bersambung...