Rancangan (Updated)
Pesanan makanan Yusri tiba di meja. Sungguh tak disangka, banyak juga yang dia pesan, telur separuh masak, roti bakar, parfait, expresso, dan berbagai lagi manisan. Macam orang tak makan selama sepuluh tahun pun ada juga.
"Banyaknya kau pesan? Bukan kau atlet ke? Atlet kan kena jaga badan," tegur Rafie.
"Cheat day bro. Alang-alang, aku makanlah puas-puas," balasnya. Satu suapan parfait singgah ke mulutnya. Berselera betul dia sampai terlihat pada wajahnya.
"Minggu depan bukan kau ada match bola ke?" tanya Rafie lagi.
Yusri mencerlung lalu memandang Rafie. "Wah, macam mana kau tahu? Ni mesti kau stalk aku, kan. Ya kan. Kan," sakat jejaka popular ini sambil menyiku tubuh Rafie.
Rafie bagaimanapun menepis kasar tangannya. "Huh! Ingat aku gay ke sampai nak stalk kau. Aku tahulah, aku pun tengok bola juga lah."
"Laahhh... kenapa tak cakap awal-awal. Ingatkan kau ni jenis baca buku je."
Rafie mencebik sambil mengangkat bahunya. "Well, kau belum kenal aku."
Begitu lancar perbualan mereka. Ikutkan nak menyampuk, tetapi saya tak mampu. Kalau menyampuk pasti trauma ini akan menjadi lebih teruk.
Muka yang berpeluh diusap dengan tangan. Sukar untuk saya tenangkan diri, ditambah pula nafas ini semakin laju. Sangat tak selesa hinggakan terpaksa menunduk kepala.
"Waaahh... awak berdua bersembang macam dah kenal lama, ya," tegur Mei setelah menyaksikan kelancaran perbualan antara Rafie dan Yusri.
"Tadi beria cakap yang awak tak boleh berkawan dengan Yusri. Betul tak, Inas?" Mei meminta persetujuan daripada saya.
Saya terpinga-pinga. "Eh? Err... eh?"
Kegugupan saya membuat Mei mengerut dahi. Barangkali dia perasan perubahan saya sekarang ini.
"Kenapa dengan awak, Inas? Awak nampak lain. Nafas awak... laju," soalnya kehairanan. Tapak tangannya ditekupkan pada dada saya.
"Wei, Inas!" Faham dengan apa yang sudah berlaku, Rafie memanggil saya.
"Kau jangan cakap yang kau tak biasa dengan mamat ni?" Jarinya ditujukan pada Yusri. Tak sangka tekaan dia mengena. Dengan berat hati saya menganggukkan kepala.
Rafie mengusap kasar wajahnya. Lantaran itu, wajah sesal mula terpancar. "Sorry Inas. Aku... terlupa."
Yusri saling memandang wajah kami bertiga.
"Eh? Kenapa ni? Apa yang dah berlaku?" Wajahnya tampak keliru. Kasihan Yusri, tak ada angin tak ada ribut, tahu-tahu dia dapati saya bagai hampir putus nafas.
Nasib ada Mei yang cuba untuk menerangkan situasi sekarang ini. "Sorry ya, Yus. Actually Inas ni tak biasa dengan lelaki. Jadi sebab itulah dia macam ni. Dia... kena anxiety."
"Eh! Betul ke? Maaflah kalau aku mengganggu. Aku tak tahu pula yang kau tak selesa." Yusri meminta maaf.
"Tak... tak mengapa, Yusri. Sa... saya cuma gementar sedikit je," jawab saya teketar-ketar. Wajah keliru Yusri tadi berubah kasihan. Mesti dia juga berasa bersalah.
Tanpa diduga, Mei menarik tubuh ini ke dalam dakapannya. Belakang saya ditepuk perlahan dan diikuti dengan usapan kasih, dia membelai saya, mengharapkan keresahan ini kembali pulih.
"Jangan risau, Inas. Saya akan jaga awak. Kita tenangkan diri awak dulu ya," pujuk Mei. Pelukan tubuhnya begitu mendamaikan. Ia seperti seorang ibu membelai anaknya yang kesedihan.
"Maaflah kalau nak bertanya. Sebenarnya, kenapa kau takut lelaki ya?" Pertanyaan Yusri itu membuatkan Rafie menyiku tubuhnya.
"Aduh!" adu Yusri.
"Kau ni, sensitiflah sikit. Ada lah kisah silam yang dah berlaku dekat dia," nasihat Rafie kepadanya. Dia begitu marah. Mana tidaknya, hanya dia seorang sahaja yang tahu mengapa saya begini.
"Janganlah marah dia, Rafie. Dia cuma bertanya je. Lagipun saya tak apa-apa, cuma anxiety sikit je." Teguran saya itu membuat Rafie akur.
Pandangan saya berubah pada Yusri. "Yus, maaf kalau saya tak dapat nak beritahu kisah di sebalik ketakutan saya ni. Harap awak faham, ya." Nampaknya Yusri faham akan kehendak saya itu.
"Tapikan Inas, saya pelik. Kenapa awak okey je dengan Rafie? Saya ingatkan trauma awak dah okey." Pertanyaan gadis berkaca mata ini buatkan saya menunduk. Perlahan-lahan saya menggeleng.
"Sebenarnya saya pun keliru lagi, Mei. Saya sendiri tak faham kenapa saya boleh bergaul dengan Rafie. Dia macam Rafie seorang je yang boleh buat saya selesa."
"Oh, jadi sebab itulah awak cuba rapat dengan Rafie? Sebab awak nak atasi masalah awak ni?" Gadis berbangsa cina meminta kepastian. Saya mengiyakan.
"Saya nak atasi masalah saya. Lagipun, kami berdua sendiri dah janji nak tolong sesama kami. Saya tolong Rafie dapatkan kawan dan dia tolong saya atasi ketakutan saya terhadap lelaki." Mei mula menoleh ke arah Rafie. Tahu apa yang dimahukan oleh gadis cina itu, Rafie pun mengiyakan.
Terangguk-angguk Mei yang mula memahami cerita saya. "Macam tu rupanya. Barulah saya faham."
"Kalau macam tu, apa kata aku tolong kau sekali." Datang Yusri menyampuk perbualan kami. Saya dan Rafie saling berpandangan sebelum kembali menoleh wajah jejaka popular ini.
"Maksud awak?" soal saya.
"Setakat ni kau boleh berhadapan dengan Rafie je, kan. Yang kau tak boleh cuma lelaki selain dia je. Jadi!" Perkataan 'jadi' ditekankan, seraya itu dia menyambung ayatnya.
"Alang-alang kau masih lagi tak boleh nak berdepan dengan aku, apa kata kita practice dengan kau cuba bersembang dengan aku."
Cadangan itu dipersetujui oleh Mei. "Waaahh! Bagus juga idea awak tu. Mungkin cara itu boleh atasi ketakutan awak tu, Inas."
"Macam mana, Inas? Kau setuju?" Rafie meminta pendapat saya.
"Urrmm... saya..." Saya teragak-agak untuk membuat keputusan. Kepala ini mula menunduk. Apa akan jadi sekiranya ia tidak berjaya? Malah, mungkin trauma saya ini akan jadi lebih teruk.
Cuba kalau saya masih takut. Usahkan takut, silap-silap saya boleh pengsan akibat terlalu takut. Masih segar dalam ingatan saya sewaktu diri ini pengsan di pusat beli belah. Waktu itu saya berusia 13 tahun, dikerumuni ramai orang hinggakan terpaksa berhimpit dengan lelaki. Akibat dikuasai ketakutan, saya akhirnya pengsan.
"Apa kata kita ajak Rina sekali." Dalam saya berfikir, Mei pula menyatakan pendapatnya.
"Awak nak ajak Rina?" tanya saya kepadanya.
"Yup. Biasanya dia memang mahir dalam bab selesaikan masalah orang," gumam Mei tanpa henti. Dia mengambil telefonnya lalu membuka Whatsapp untuk memberitahu Rina.
Rina ya. Mungkin dia mampu selesaikan masalah saya ini.
*****************************
"I see. Jadi itu sebab awak panggil saya ke mari ya, Mei?" tanya Rina kepada gadis berkaca mata ini setelah mendengar penjelasan daripadanya.
Sebentar tadi, Mei telah memesej Rina mengenai rancangan kami untuk membantu masalah saya dan Rafie. Tahu sahaja yang kami berada di kafe sekarang, dia pun bergegas ke mari.
"Aha, Sebab I tahu, Inas perlu bantuan kita. Takkanlah kita sebagai kawan nak biarkan dia ketakutan tanpa bantuan." terang Mei.
Rina menyungging senyuman.
"Aku faham. Demi pulihkan masalah Inas, aku sanggup." Kata-katanya itu membuat bibir saya tersenyum nipis. Terharu mereka berdua sanggup membantu saya untuk atasi masalah yang saya hadapi.
Rina berfikir sejenak. Tak lama selepas itu, dia mengutarakan padangannya.
"Okey, aku ada cadangan. Apa kata kita buat satu group Whatsapp untuk geng-geng kita je? Ni termasuk Rafie dengan Yusri. Kalau nak lepak sama-sama, kita boleh roger je dalam group tu. "
"Setuju! Mungkin dengan cara bersosial, trauma Inas boleh dipulihkan. Dan Rafie awak juga boleh mendapat kawan," balas Mei. Kemudian, matanya saling memandang saya dan Rafie.
"Kan, Mei kan. Diorang berdua ni introvert. Jadi cara inilah yang paling sesuai." Tambah Rina lagi dengan ayatnya dituju kepada saya dan Rafie.
Bagus juga cadangan Rina itu. Ikutkan saya ini bukanlah jenis yang suka bersosial. Maklumlah, saya ini pemalu orangnya, kalau nak bersosial pun mesti kena berteman.
"Maaf, aku tak setuju." Pantas Rafie menolak cadangan itu.
"Eh, kenapa kau tak setuju?" tanya Rina.
"Sebab cara tu macam nak paksa aku untuk berkawan dengan mamat ni je," tegas jejaka bertubuh kurus ini. Dia kemudian berpeluk tubuh.
"Habis tu, siapa lagi? Yusri je yang sudi untuk berkawan dengan awak, kan?" Rafie tersentak dengan kata-kata Rina.
"Itu..." Dia mahu mencari alasan, namun satu pun ayat tidak terluah dari mulutnya.
Tiba-tiba Yusri menggetus ketawa. "Come on lah, Rafie. Kita baru je bersembang beberapa hari yang lepas. Takkanlah kau tak anggap yang aku ni kawan kau," pujuknya.
Rafie menjeling muka Yusri. "Siapa je nak kawan dengan kau?"
Wajah ceria Yusri berubah muram. Muramnya itu bukanlah sebab sakit hati tetapi sengaja dibuat. Kedua-dua tangannya kini menekup dada.
"Janganlah cakap macam tu. Sedih titer. Pai ti awak sakitkan hati titer," usiknya dengan nada gedik. Hampir sahaja saya mahu menggetus tawa, nasib sempat menahan. Bukan saya seorang, malah yang lain memberi reaksi yang sama.
Rafie memberi pandangan jelik. "Apahal kau ni? Gay ke?"
"Bukan gay tapi terasa hati," balas Yusri sedih.
Rafie mencebik geram.
"Ah, lupakan je lah!" marahnya lalu menongkat dagu. Mukanya masam mencuka. Macam tak puas hati pun ada juga. Nampaknya dia betul-betul tidak setuju akan cadangan Rina itu.
"Wow, ni betul-betul tak puas hati ni," sindir Rina lalu melepaskan tawaan.
"Jadi, kau setuju?" soal Rina lagi.
Masing memandang Rafie. Mukanya nampak tak selesa dengan pandangan itu, hinggakan dia mengalihkan mukanya ke arah lain.
"Rafie?" Suara Rina memanggilnya lagi. Dan ketika itulah jejaka kurus ini mendecit.
"Yalah, yalah. Terpaksalah aku setuju dengan cadangan kau," bebelnya lagi.
"Cun! Maknanya kita kawanlah, kan? Betul, kan? Kan?" Berkali-kali Yusri meminta kepastian hingga terjemah wajah jengkel di muka Rafie.
"Ya, kau kawan aku, walaupun terpaksa," gumam Rafie. Dia tampak pasrah. Tak mengapalah, asalkan ini cara terbaik untuk kami berdua atasi masalah masing-masing.
"Kau setuju ke, Inas?" Rina mula menyoal saya.
Saya mengangguk. "Ya, asalkan trauma saya pulih."
Hampir menepuk tangan Rina sebaik mendengar jawapan itu. Teruja apabila cadangannya diterima.
"Bagus, kalau macam tu aku buat group tu sekarang." Dia mula mencapai telefonnya sebelum membuka Whatsapp.
Sambil mereka kembali berbual, saya cuba memandang Rafie. Mukanya masih masam. Barangkali hatinya terpaksa bersetuju.
*****************************
Perbincangan kami telah pun selesai. Dengan ini, masing-masing mula membawa haluan sendiri untuk pulang ke rumah.
Begitu jugalah dengan saya. Seperti biasa saya tidak berjalan seorang diri, saya ditemani Rafie. Memandangkan kawasan perumahan kami bersebelahan, kami berjalan beriringan untuk pulang.
"Wei, Inas." Rafie memanggil. Maka, saya pun mengerling mukanya.
"Kenapa, awak?"
"Kau rasa idea Rina tu boleh atasi masalah kita ke?" Dia cuba meminta pendapat saya. Saya yakin, pasti hatinya masih ragu. Apa yang diragukan hanya dirinya yang tahu. Yang penting sekarang ini saya harus menjawab pertanyaannya itu.
"Ikutkan mungkin membantu. Bagi saya, cadangan Rina tu nak bantu kita berlatih untuk bersosial. Macam kita buat latihan sebelum exam. Jika kita banyak buat latihan, mesti lama-lama akan terbiasa juga," terang saya.
"Make sense. Tapi ada sesetengah orang, bila dia rasakan yang latihan tu dah cukup, dia jadi overconfident. Kau tak rasa yang itu akan berlaku nanti? Macam mana kalau latihan tu tak menjadi." Cakapnya itu membuat saya diam seketika.
Ada benar juga katanya. Manusia akan jadi overconfident setelah dia yakin bahawa dirinya mampu untuk lakukan perkara yang mereka tidak mahir, namun sebenarnya kemahiran itu hanyalah sejemput sahaja. Kalau itu yang terjadi kepada saya, bukankah ia sesuatu yang buruk?
Pandangan saya beralih pada jalanan. Seraya itu, saya membalas percakapannya tadi. "Mungkin cakap awak tu ada betulnya juga."
Kesugulan hati seperti tidak dapat dibendung. Saya rasakan cara itu mampu membantu saya untuk atasi ketakutan terhadap lelaki. Tapi jika Rafie menolak, barangkali tiada cara lain untuk atasi masalah ini.
Tangan saya dikepal kuat. Mengapalah nasib ini yang menimpa diri saya. Serta merta kejadian empat tahun yang lalu bermain di kepala. Sekali gus, membuatkan perbualan kami terhenti.
"Kau macam tak suka je dengan pandangan aku tadi?" tegur Rafie. Dia perasan tingkah saya mula berubah. Saya tertunduk. Seketika itu, langkah ini diberhentikan. Agak-agak dalam beberapa detik, saya pun mengangguk.
Kini langkah Rafie pula diberhentikan. Dia menoleh ke belakang lalu menatap wajah ini.
"Inas?"
"Sejujurnya, saya nak sangat pulihkan masalah saya ni. Rafie, awak tahu tak betapa seksanya saya nak urus trauma ni? Nak bertanya tak mampu. Nak beli barang dekat kedai, kena pastikan sama ada cashier tu perempuan atau lelaki. Tak ke itu menyusahkan?" luah saya kepada Rafie.
Kemudian, wajah terkejutnya dipandang oleh saya. Bersama air mata yang ditahan, saya pun merintih.
"Awak tak fikir ke apa yang akan jadi pada saya di masa akan datang? Adakah saya perlu menerima trauma ini seumur hidup saya? Cuba awak jawab, Rafie."
"Itu... aku..." dia tidak mampu menjawab. Matanya melilau ke sekeliling, disertai pula mukanya yang sudah mulai resah.
"Kalau awak tak terima cadangan Rina tu, cadangan yang macam mana boleh selesaikan masalah saya? Bukan saya je. Masalah awak pun sama."
Rafie melepaskan nafas berat.
"Maafkan aku, Inas. Aku terlanjur kata. Aku terbuai dengan ketidakpuasan hati aku hingga tak sedar yang ayat itu menggores hati kau." Pintaan maafnya itu dipenuhi dengan rasa sesalan.
Namun, hati ini berat untuk menerima maafnya. Entah mengapa saya rasa begini, walhal ia perkara yang tidak disengajakan. Mungkin sebabnya saya teringat akan memori hitam yang berlaku empat tahun yang lalu.
"Susah untuk saya maafkan, tapi... dalam masa yang sama, saya rasa bersalah kalau tak maafkan awak." Air mata sudah mulai bercucuran. Saya mengelap air mata itu dengan lengan baju. Baru selesai mengusap sekali, sehelai tisu terhulur di hadapan saya.
Saya memandang, ternyata Rafie yang menghulur tisu itu. Mukanya tampak bersalah hinggakan tidak mampu bertentang mata dengan saya. Melihatnya sebegitu, saya pun mengambil tisu itu.
"Te... terima kasih," ucap saya.
"Sama-sama. Maafkan aku, ya." Ikutkan ini permohonan maafnya yang kedua. Tidak mahu dia mengucapnya berkali-kali, saya pun menerima pintaannya itu.
"Saya maafkan."
Tergendalanya perjalanan kami disebabkan luahan emosi yang terluah tanpa sengaja. Ikutkan inilah kali pertama saya menangis di hadapan seorang lelaki. Tidak saya duga bahawa lelaki itu ialah Rafie. Lelaki yang sudah dikenali saya sejak dari darjah satu.
"Anak raja bernama Tengku,
Jika tidur hendaklah berkelambu,
Usah menangis wahai kawanku,
Telinga dan hatiku sentiasa menemanimu."
Dia berpantun. Sungguh indah bahasanya. Tambah pula dengan suaranya yang tenang. Sekelip mata, jiwa yang resah kembali sejuk. Saya mula mengukir senyuman. Dalam beberapa detik, Rafie tersenyum sama. Entah mengapa, kami berdua akhirnya tertawa.
"Kau dah okey? Kau dah tak marah aku?" soalnya lalu menyeringai. Saya mengangguk ikhlas.
"Ya, cumanya... fikiran saya masih terganggu. Saya teringat tentang peristiwa hari tu."
Berkerut dahi Rafie saat mendengar cakap saya itu. "Peristiwa hari tu? Peristiwa yang mana?"
Saya mengemam bibir. Berkira-kira sama ada mahu mengingatkan dia akan peristiwa itu ataupun tidak. Hanya beberapa detik, saya pun membuat keputusan untuk memberitahu kepadanya.
"Peristiwa yang buatkan saya takut dekat lelaki." Serta-merta riak muka Rafie berubah. Dia diam. Tak bersuara. Malah, mukanya menjadi ketat.
Mengapa dia begitu? Hanya kami sahaja yang tahu.
Bersambung...