Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 1

Lelaki Pendiam


Masa Kini...

Secangkir teh dihirup. Manis rasanya. Ia menyegarkan badan ini untuk kekal celik di waktu pagi. Sementara menunggu waktu untuk menyiapkan sarapan, sebuah buku dicapai di atas meja, mahu membaca memandangkan ada masa terluang.

Tubuh ini disandarkan pada sofa, dengan lafaz bismillah, aku membuka helaian buku itu lalu membacanya.

Zaman persekolahan. Segalanya bermula dari sini. Pelbagai onak duri ditempuhi oleh kami sekawan sebelum menjengah ke alam dewasa.

Orang selalu berkata, semasa bersekolah tak usahlah bercinta. Bagi mereka percintaan itu tidak akan berkekalan selamanya. Cinta monyet kata mereka.

Namun begitu, tidak bagi pendapat aku. Kalau benarlah cinta itu tidak akan kekal selamanya, mengapa aku masih lagi mencintai dirinya?

Apa itu cinta? Bagi aku cinta itu hanyalah perasaan kasih yang lahir dalam diri kita terhadap seseorang. Adakalanya kita cintakan keluarga, dan kadang kita cinta akan seorang insan, dia yang istimewa, dia yang kita sayang selamanya.

Meskipun begitu, aku tetap beranggapan yang cinta itu merupakan fitrah yang sememangnya telah wujud dalam hati manusia sejak lahir.

Kalau cinta monyet itu berkekalan, tidakkah itu bermaksud itu takdir mereka?

Aku sendiri tidak tahu. Cumanya apa yang pasti, hati aku hanya ada seorang. Pasti satu dan tiadanya dua.

Disebabkan itulah, dalam cerita ini aku akan menceritakan kisah cinta mengenai aku, bersama seorang perempuan yang begitu istimewa. Cerita ini ditulis hanya untukmu, Inas. Kerana engkau yang teristimewa bagiku. Cinta hati aku yang pertama.

Itulah salah satu bait yang tertulis di dalam sebuah novel bertajuk Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu, hasil karya Fahim.

Aku hanya mampu tersenyum.

Mengapa tersenyum?

Kerana sayalah wanita yang dimaksudkan oleh penulis tersebut.

Ya, sayalah Inas. Heroin dalam novel Aku berjanji akan kembali untukmu.

Dan itulah sebab mengapa saya begitu menyukai novel ini. Tiap kali membaca, pasti saya akan teringat tentang zaman persekolahan saya yang terjadi lebih kurang 28 tahun lalu. Benar, saya sudah pun tua. Tahun ini pun usia sudah hampir memasuki 44 tahun.

Kalau hendak tahu buku ini sudah beberapa kali dikhatamkan. Anda fikir ia mengarut, bukan? Wanita yang hampir separuh umur seperti saya hendak mengenang kisah ketika zaman remaja.

Percayalah, manusia seperti saya ini wujud. Kalau tidak disebabkan buku ini, pasti kenangan semasa sekolah tidak akan selalu bermain dalam fikiran.

Saya melihat jam di dinding.

"Oh, dah nak pukul 7 pagi ya," getus hati ini. Maklumlah, hendak membuat sarapan untuk keluarga.

Lantaran itu, saya bangun dari sofa lalu meletakkan novel itu kembali di atas meja. Ada tugas yang lebih penting, iaitu menyiapkan sarapan untuk anak-anak.

Sebaik tiba di dapur, terlihatlah akan pembantu rumah saya. Dia juga baru sahaja hendak memasak sarapan pagi kami. Kak Jemah namanya.

"Selamat pagi, Kak Jemah," ucap saya riang.

"Selamat pagi, puan," balas pula Kak Jemah dengan senyuman.

"Pagi ni kita nak masak apa ni Kak Jemah?" Saya meminta idea untuk sarapan pagi kami.

"Mungkin roti bakar je Puan. Lagipun itu je yang budak-budak ni makan sampai habis," Kak Jemah memberi idea. Saya mengangguk faham, malah setuju dengan cadangan itu.

"Iyalah kan. Kalau macam tu Kak Jemah bakar roti dan saya bancuh air ya," arah saya kepadanya. Pintu belakang rumah dibuka, sengajalah saya membuka pintu itu, mahu melihat suasana pagi yang masih hening ini.

Bunyi kicauan burung mula kedengaran. Kepala ini didongakkan ke atas langit pagi yang masih samar-samar kebiruannya. Tiap kali saya melihat langit itu, pasti akan menzahirkan rasa kerinduan terhadap zaman persekolahan. Zaman di mana jiwa seorang remaja mula mengenal apa itu dunia.

Banyak memori yang tidak dapat lupakan. Lebih-lebih lagi memori manis bersama-sama rakan sekolah. Juga tidak dinafikan kenangan bersama dengan si dia.

Sang putera yang berjaya mencuri hati yang naif ini. Kerana dialah, hidup saya berubah. Cinta hati saya yang pertama.

*****************************

28 tahun yang lalu...

Dalam pertengahan bulan Jun begini, peperiksaan pertengahan tahun menjengah tiba. Dikesempatan itu, saya mengulang kaji pelajaran di perpustakaan sekolah.

Ketika itu, apa yang saya mampu fikirkan hanyalah tentang belajar sahaja. Jika ada masa senggang, waktu itulah digunakan untuk mengulang kaji. Bagi saya dengan hanya belajar sudah mencukupi untuk merenang gelora zaman persekolahan, itupun kerana mahu membanggakan ibu dan ayah.

Harapan keluarga terlalu tinggi, dan itulah tanggungjawab yang perlu ditanggung sebagai seorang anak. Kerana tanggungjawab itu, saya berusaha, hasil usaha itu pula, keputusan peperiksaan saya begitu memberangsangkan, hingga tersenarai dalam kalangan sepuluh pelajar terbaik sekolah.

"Inassss!" Terkejut diri ini setelah sahabat baik saya, Rina menyergah dari belakang.

"Oh mak!" Secara tak sengaja, saya melatah.

Melihatkan orang ramai memandang kami, serta-merta diri ini berasa malu kerana telah membuat bising di dalam perpustakaan.

"Ish! Rina ni dah Rina? Sergah macam tu je. Terkejut Inas tadi," marah saya dengan suara diperlahakan.

"Hehehe... saje nak sergah kau. Tengok khusyuk je belajar, tapi tak ajak orang. Jom la kita belajar sama-sama. Inas kan pandai," rayu Rina tersengih-sengih. Berani betul dia meminta, sedangkan tadi dia menyergah saya. Memang jenis tak malu Rina ini.

"Kalau ya pun janganlah sergah. Tapi tak apa, sebab Rina kawan Inas, Inas boleh ajarkan.. Tapi! Hanya dengan satu syarat, Rina kena belanja Inas aiskrim."

"Hah? Aiskrim lagi?" rungut Rina.

"Fuh... nasib baik Inas nak aiskrim je. Kalau nak kek Rina tak mampu." Dia akurnya dengan permintaan itu.

"Memang tak lah Inas nak minta kek. Lagipun Rina kan tahu yang Inas ni suka sangat aiskrim, sebab tu lah Inas pilih aiskrim sebagai upah."

"Hahaha betul juga. So, apa tunggu lagi? Cepatlah ajarkan aku subjek kimia ni. Tak faham la bab 5 ni."

"Yalah, yalah."

Maka bermulalah sesi perbincangan kami. Tanpa kami sedar sudah 2 jam berlalu hingga jarum sudah pun menunjukkan pukul 4.15 petang. Seperti yang dijanjikan Rina sebentar tadi, dia pun belanjakan saya satu aiskrim berperisa strawberi, Perisa kesukaan saya.

Akan tetapi, pada waktu itu siapa sangka bahawa hari itulah permulaan baru bagi kehidupan saya. Hari di mana saya mula membuka mata terhadap seorang lelaki.

"Hah, pilih cepat aiskrim kau tu. Aku nak belanja ni," arah Rina yang sudah pun mengeluarkan dompetnya.

"Hehehe... sekejap eh." Tersengih-sengih saya kerana bakal mendapat ganjaran setelah penat belajar. Berbaloi juga belajar penat lelah saya hari ini.

Apabila aiskrim diambil, peti aiskrim pun ditutup lalu saya memusingkan tubuh untuk berjalan ke arah kaunter.

Namun, tanpa saya sengaja, saya telah terlanggar seorang lelaki yang baru sahaja selesai membayar barangannya di hadapan kaunter.

"Eh!" Jerit kami serentak.

Bungkusan plastik lelaki itu terlepas dari pegangannya. Dengan tidak semena-menanya, saya terpijak akan bungkusan plastik tersebut tanpa sengaja.

"Prap!" Tergamam saya apabila menyedari akan tindakan yang tidak disengajakan. Apabila saya mengangkatkan kaki, barulah saya ketahui bahawa barangan yang dibeli oleh lelaki itu ialah sebatang aiskrim Milo.

Perlahan-lahan wajahnya saya pandang. Saya amatinya tubuhnya satu persatu. Orangnya berkulit cerah sedikit dan berketinggian kira-kira lima kaki lapan inchi. Rambutnya pula sedikit ikal dibahagian hujung rambut, tetapi disikat rapi sehingga menampakkan kesegakan pada dirinya.

"Eh? Lelaki ni..." Mata saya terbuka luas. Saya kenal dia. Rafie Razali, rakan sekelas saya yang pendiam.

Wajahnya kelihatan agak sedih, serta mulutnya yang terlopong sedikit. Barangkali terkejut melihat aiskrimnya dipijak saya. Segera saya pun meminta maaf kepadanya berulang kali.

"Alamak! Maafkan saya. Maaf sangat-sangat. Saya terpijak aiskrim awak."

Namun, Rafie tidak memarahi saya. Sebaliknya wajahnya tampak tenang bagai tiada masalah besar yang berlaku sekarang ini.

"Oh, ermm... okey, tak mengapa. Aku okey je."

Rina yang berada disebelah mula menyampuk.

"Eh, Rafie ke? Wei, sorry sesangat tau! Maaflah sebab Inas ni memang kelam kabut orangnya. Jadi maafkan lah dia ya."

"Eh? Tak apa, aku okey je. Lagipun aku boleh je beli yang baru. Hal kecik je," kata Rafie.

Penerangan itu sama sekali mengejutkan saya. "Eh, awak! Tak payahlah. Biar saya belikan yang baru. Lagipun salah saya tadi."

"Eh, tak payah la. Buat susah-susah je. Aku tak kisah pun. Lagipun aku-"

"Mana boleh macam tu, Rafie. Ni kan salah kitaorang. Jadi kitaorang kenalah gantikan balik. Betul tak?" Rina mencelah sekaligus mengakui kesilapan kami.

"Memanglah tapi... urmm... aku..." Rafie cuba mencari alasan untuk menolak tawaran kami berdua. Akan tetapi, kesungguhan saya dan Rina ini berjaya membuatkan dirinya berubah hati dan mengambil keputusan untuk menerima pelawaan itu.

"Iyalah. Aku terima," akurnya.

"Baguslah. Awak tadi beli aiskrim milo kan? Biar saya ambilkan." Saya pun mengambil aiskrim tersebut lalu menyuruh Rina membayarnya di kaunter. Setelah selesai, aiskrim tersebut diserahkan kepada Rafie. Dia hanya tersenyum kecil lalu mengucapkan terima kasih.

"Terima kasih ya, Inas, Rina. Kalau macam tu, aku gerak dulu."

"Okey Rafie. Tak ada hal," ucap Rina lalu diikuti saya.

"Jumpa kat kelas ya esok. Bye." Saya melambaikan tangan. Lantas lelaki pendiam itu berlalu pergi bersama lambaian dan senyuman yang sangatlah jarang dilihat sebelum ini.

Melihatkan bayang-bayang lelaki ini berlalu pergi, Rina pun cuba membuka bicaranya.

"Inas, Rafie tu kalau kau perhatikan betul-betul, boleh tahan juga kan rupa dia. Tapi tulah... dia tu pendiam sangatlah dalam kelas kita."

Pun begitu, bicaranya itu hanya melintasi gegendang telinga. Mata saya masih melihat bayang Rafie.

"Inas? Kenapa muka kau nampak sedih?" Dengan muka yang muram, pandangan saya berubah ke arah Rina.

"Rina... macam mana ni? Inas masih rasa bersalah la dekat Rafie."

"Aik? Kenapa pula?"

"Iyalah, ibu dia kan dah tak ada. Lepas tu Inas pula terpijak aiskrim dia tadi. Manalah tahu kalau-kalau itu je duit yang dia ada. Walaupun Inas dah gantikan balik tetap rasa ni tak boleh nak hilang," terang saya dengan penuh simpati.

Sayu hati Rina mendengarnya. "Aduh kau ni. Janganlah buka cerita sedih. Kita fikir positif je lah. Manalah tahu itu duit yang dia kumpul."

"Tapi... saya tetap rasa kesian dekat Rafie tu. Lagipun saya kan dah kenal dengan dia sejak sekolah lagi. Itupun sebab arwah mak dia pernah ajar kita masa dekat sekolah rendah dulu."

"Iyalah kan. Teringat pula dekat arwah Cikgu Nasuha tu, dah lah baik orangnya. Sayangnya dia dah meninggal." Rina sependapat dengan saya.

"Urm... tapikan Inas, bukan dulu kau selalu tegur dia ke? Kenapa sekarang dah tak bertegur langsung?"

"Inas malulah. Yalah kita kan dah remaja, mestilah ada sikit rasa malu dengan budak-budak lelaki. Lagipun... Inas kan... takut dengan lelaki," ujar saya kepada Rina yang sedia maklum akan masalah saya ini.

"Iyalah kan. Betul juga. Kau kan takut... Eh? Jap! Inas! Macam mana kau okey dengan Rafie?" Rina menunjukkan reaksi terkejut.

"Eh?"

Pertanyaan Rina itu mula membuatkan saya sedar akan perkara pelik yang telah berlaku pada hari ini. Telapak tangan ini diangkat lalu ditatap lama. Tiada sedikit pun tanda-tanda ia menggeletar. Saya cuba menekup dada. Pelik. Rasa resah pun tidak ada.

Akhirnya, barulah saya sedar apa yang telah berlaku. Itulah kali pertama saya dapat bercakap dengan seorang lelaki sejak sekian lamanya.

Benar. Inilah saya, seorang perempuan yang takut dengan lelaki.

"Eeeehhhh! Ha'ahlah!" Lantas saya memandang semula akan bayang Rafie yang masih belum hilang dari pandangan. Itulah hari yang mengubah segala-galanya.

Maka bermulalah kisah diri yang naif ini curiga akan lelaki pendiam ini. Kisah saya dan Rafie.

Bersambung...

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk