Pesta Bunga Api
Masa kini...
Kokokan seekor ayam didengari dari luar rumah. Pada masa yang sama, saya juga selesai membaca al-Quran yang sememangnya menjadi rutin harian selepas menunaikan solat subuh. Sejadah dan telekung dibuka lalu disimpan kemas di almari. Setelah itu, saya menuju ke dapur demi meneguk sedikit air.
Tiba sahaja di dapur, terserempaklah saya bersama ibu. Dia sedang membancuh air teh. Mungkin mahu menyediakan sarapan pagi untuk saya dan anak-anak. Saya pun menghampirinya, lantas menegur.
"Selamat pagi, ibu." Ibu memberhentikan bancuhannya. Wajah ini dipandangnya.
"Selamat pagi, Inas." Senyuman manis ibu terukir. Kemudian, dia kembali membancuh kembali.
Kerusi meja mekan ditarik perlahan sebelum di duduk. Saya menongkat dagu sambil memerhatikan gelagat ibu itu. Perasan bahawa dirinya diperhati, sekali lagi ibu mengukir senyum.
"Kenapa tengok ibu macam tu, Inas?"
"Tak ada apa, ibu. Cuma Inas rindu dengan ibu."
"Ya ke. Ke nak membodek ni," seloroh ibu bersama tawaan kecil.
"Tak adanya nak bodek. Memang Inas rindu sangat dekat ibu. Maklumlah, Inas kan dah lama tak jumpa ibu."
"Alah, kalau nak kata lama tak berjumpa, rasanya suami kamu tu lagi lama. Hah, dia tu apa cerita? Lama tak dengar khabar."
"Dia baik-baik sahaja, ibu. Kadang-kadang selalu video call dengan Inas. Nak lepas rindu katanya."
"Kira baguslah tu." Perbualan kami terhenti seketika. Tidak lama selepas itu, ibu pun menuangkan air teh yang baru dibancuhnya ke dalam cawan. Untuk saya katanya.
Baru sahaja hendak meneguk, barulah saya teringat akan rancangan saya pada pagi ini.
"Urmm... ibu," panggil saya.
"Kenapa, Inas?"
"Ibu ada nak kirim apa-apa tak? Sebab Inas nak keluar nanti. Nak beli barang untuk rumah ni."
"Ada juga. Tapi... kamu nak ke mana ni?" Pertanyaan ibu itu, membuatkan saya diam seketika. Agak-agak dalam beberapa saat barulah saya memberi jawapan.
"Sebenarnya Inas nak ke kubur. Nak melawat Nek Mah." Suara saya berubah sayu. Lantas ibu melepaskan nafas berat.
"Ya ke. Tak apa ibu faham. Pergilah kalau kamu mahu. Nanti doalah banyak-banyak dekat dia ya."
Saya menyungging senyum. "Insya-Allah, ibu".
*****************************
28 tahun yang lalu...
Tubuh ini direbahkan di atas katil. Saya penat, gara-gara membantu kakak. Pada siang hari, saya menolong Kak Iman untuk mengangkat barang kolejnya ke ruma sewa. Rumah sewanya itu tidaklah terlalu jauh dengan Putrajaya, hanya di Kuala Lumpur.
Namun begitu, ia tetap memenatkan memandangkan kami berulang alik sebanyak dua kali. Nasib sekarang ini masih dalam tempoh cuti persekolahan. Jikalau esok hari persekolahan, pasti saya akan ponteng.
Keheningan malam diiringi angin sepoi-sepoi bahasa yang masuk melalui tingkap rumah. Sekali angin itu memukul tubuh, pasti membuatkan saya mengantuk.
'Tahan mata ni, Inas. Tahan sikit je lagi. Rafie belum hantar mesej pada hari ini,' desis hati ini.
Ya, saya masih menahan mata dari tidur kerana mahu menunggu kehadiran mesej daripada Rafie. Ikutkan, sudah dua minggu berlalu sejak peristiwa kami berbalas mesej buat kali pertama. Setiap hari, pasti saya akan tertunggu untuk menanti mesejnya.
Sebabnya hati saya berbunga, langsung tiada rasa jemu untuk bersembang dengannya. Mungkin itulah salah satu tanda apabila seseorang itu sudah jatuh angau.
Cumanya...
Adakah perasaan ini sekadar bertepuk sebelah tangan? Apa pandangan Rafie terhadap saya? Bukanlah saya tidak mahu meluahkan isi hati ini kepadanya, cumanya diri ini tiada keberanian. Tambahan pula, status hubungan kami hanyalah sekadar kawan.
Jikalau saya meluahkannya, tidakkah ia bakal meretakkan hubungan kami? Itulah perkara yang selalu membelenggu fikiran saya.
"Rafie". Tanpa sedar saya menyebut namanya.
"Kling!"
Telefon berbunyi, menandakan seseorang telah menghantarkan mesej. Mata yang tadinya kuyu, mula segar kembali. Telefon pantas dicapai. Saya menyunggin senyum. Ternyata orang itu ialah lelaki yang ditunggu-tunggu oleh saya.
Rafie: Inas. Hmmm... macam mana nak cakap ya. Awak, Rina dengan Mei free tak malam esok?
Saya mengerut dahi.
"Malam esok?" Dia ajak saya keluar ke? Timbul rasa ingin tahu dalam diri ini.
Inas: Ikutkan free je.Tapi mungkin susah sikit sebab malam kan.
Rafie: Itulah. Awak pun pernah cakap yang keluarga awak tak benarkan keluar malam. Tapi... Si Yush suruh saya ajak awak dan yang lain untuk tengok pesta bunga api esok.
Inas: Wah, bunyi macam menarik je! Pukul berapa ya agak-agak.
Rafie: Yush kata bunga api tu mula pukul 8.30 malam. Jadi mungkin habis sekitar jam 12.00 malam.
Inas: Rasanya saya boleh pergi kot. Sebab habis pukul 12.00.
Rafie: Tapi kalau boleh tanya family awak dulu tau. Saya tak naklah susahkan diorang nanti.
Inas: Tak apa jangan risau nanti saya akan minta izin dekat family saya
Rafie: Alright, Inas. Kalau jadi, kita jumpa esok ya
Inas: Okey Rafie.
Skrin telefon ditutup. Sebaik itu, lekas saya bangun untuk mencari ibu yang berkemungkinan berada di ruang tamu. Pada waktu begini dia dan ayah selalu menonton TV bersama-sama.
Setelah berjumpa dengan mereka, mulalah sesi pujuk memujuk antara kami. Nasib agak baik, ibu dan ayah membenarkan saya untuk pergi. Itupun kerana saya sudah perkenalkan Rafie dan yang lain kepada ibu dan ayah. Kalaulah saya tak perkenalkan mereka sebelum ini, pasti keluarga saya tak benarkan.
Biasalah ibu bapa. Pasti risau akan anak mereka, lebih-lebih lagi perempuan. Tak sabar pula nak tunggu hari itu. Bukan mahu menonton bunga api, tetapi mahu berjumpa dengan Rafie, Si jantung hati.
*****************************
Angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut. Sejuk rasanya. Maklumlah pertunjukan ini diadakan berdekatan dengan sebuah tasik. Tasik Putrajaya namanya.
Hari ini kami hanya bertujuh sahaja, Wani, Mona dan Iliy tidak dapat mengikut sama kerana mempunyai hal lain. Tambahan pula, mereka tiada kenderaan. Berbeza pula dengan saya, Rina dan Mei, kami menumpang kereta abang kepada Rina yang secara kebetulan mahu pergi ke pertunjukan tersebut bersama tunangnya.
Bagaimana pula dengan Rafie dan yang lain?
Mereka menaiki kereta kepunyaan Yusri. Apa yang lebih mengejutkan, pemandunya ialah Yusri sendiri. Berani betul dia ini. Mentang-mentang keluarganya kaya. Tidak mengapalah, asalkan mereka sudah selamat sampai sekarang ini.
Melihatkan jam baru memasuki pukul 8.30 malam, Yusri mencadangkan supaya kami budak perempuan untuk mencari tempat untuk dibentangkan tikar. Manakala, yang lelaki mencari makanan.
Majoriti setuju dengan cadangan itu. Lantas tugas itu dimulakan. Seusai mendapat tempat, Rina menghantar lokasi kami kepada Yusri. Nanti taklah dia tersesat.
Setelah segalanya selesai, mulalah kami menjamu selera beramai-ramai. Ia begitu meriah. Sambil menjamah, sambil itulah kami berbual dan berkongsi mengenai pengalaman yang terjadi ketika bercuti. Maklumlah, sudah lama kami tidak bertemu sejak cuti persekolahan bermula.
Sedang asyik kami bersembang, satu letusan bunga api menggegarkan suasana. Corak dan warnanya sungguh indah hingga berjaya memegunkan pengunjung yang hadir, termasuklah kami sekawan.
Ada diantara kami yang berdiri, ada juga yang duduk. Macam saya, kini sudah berdiri dan maju beberapa tapak ke hadapan.
"Wah... cantiknya bunga api tu!" gumam saya yang terpegun.
"Kan, Inas. Macam hari raya pula. Kan best kalau sekarang ni hari raya," seloroh Rina.
"Kalau fasal raya kau kena tunggu lagi lima bulan la, Rina." Muncul satu suara dari arah belakang. Apabila ditoleh, terlihat Rafie menghampiri kami berdua.
"Buat apa nak fikir fasal raya kalau kau boleh tengok bunga api sekarang ni." Tambahnya lagi.
Rina mencebik geram.
"Cheh! Spoil la kau, Rafie. Aku baru nak rasa keindahan bunga api ni tau," marahnya.
"Huh! Aku cuma cakap berdasarkan fakta je." Rafie bagai malas melayan kerenah Rina itu.
Tidak mahu ketegangan ini berterusan, saya mula menukar topik.
"Rafie, Rafie. Cantik kan bunga api ni?" Jari telunjuk saya dituju ke arah langit. Dia melihat langit itu. Agak lama dia memandang, seperti teringatkan sesuatu. Tidak lama kemudian bibirnya mula mengukir senyuman.
"Ya. Cantik sangat. Sampaikan saya teringat memori yang saya hargai."
Kata-kata Rafie itu membuatkan saya tertanya-tanya. Apakah memori itu?
"Memori yang awak hargai?" Saya mengulang ayatnya.
Baru sahaja Rafie hendak membuka mulut, Rina mula mencelah.
"Ish! Korang berdua ni! Nak ber-sweet pun janganlah dekat dengan aku." Rina memberi riak jengkel.
"Kenapa? Kau cemburu ke, Rina? Aku kan kawan baik Inas juga." Selamba Rafie mengusik lalu membahasakan dirinya sebagai 'aku'.
Wajah Rina makin meluat. "Huh! Tak ada lah cemburu pun. By the way, asal kau ubah dari 'saya' ke 'aku'? Tadi elok je 'bersaya-saya' dengan Inas."
"Dah dia kawan baik aku. Suka hati aku la." Penuh sinis Rafie berkata. Seperti dijangka, ayat itu membuatkan Rina panas hati.
"Cis, kau ni! Dari tadi potong mood aku. Dahlah, aku nak belah dari sini." Kegeraman Rina itu sekaligus menyebabkan dia membawa diri meninggalkan kami berdua.
Saya dan Rafie memandang sesama sendiri. Sejurus itu, kami berdua bersama-sama menggetus ketawa. Geli hati. Tambah pula, melihatkan raut wajah yang ditampilkan Rina.
Namun begitu, dalam tawaan itu ada timbul sedikit kelembutan dalam hati saya ini. Entah mengapa hati ini rasa bersalah terhadap Rina. Harap dia tak marahlah.
"Tak apa ke awak cakap macam tu. Nampak macam marah je dia."
"Jangan risaulah. Biar je dia tu. Dapatlah kita bersembang berdua. Lagipun, saya suka bersembang dengan awak." Suara lembutnya mendamaikan hati. Sampaikan bibir ini tersenyum lebar.
Manis betul mulut Rafie. Macam manalah hati ini tidak henti-henti bersorak, jikalau ucapan seperti itu yang keluar dari mulutnya.
"Betul juga cakap awak tu. Hahaha." Kemudian, kami kembali mendongak langit. Bunga api masih lagi meletus.
"Cantik betul bunga api ni, kan?" ujar Rafie.
"Ya. Cantik sangat."
Dalam keasyikan itu, secara tidak langsung saya mula teringat akan pernyataan Rafie mengenai memori yang dihargainya. Curiga, saya mula membuka mulut.
"Rafie, tadi awak caka-"
"Rafie! Inas! Pandang sini!"
Belum sempat saya hendak menghabiskan percakapan, suara Irwan pula mencelah. Langsung kami berdua memusingkan badan. Tahu-tahu satu cahaya menyinari tubuh.
Rupa-rupanya Irwan telah mengambil gambar kami berdua dengan menggunakan kamera DSLR miliknya. Irwan ini merupakan ahli kelab fotografi sekolah. Kalau hendak menangkap gambar, bolehlah mengupah dia. Gambarnya pasti cantik.
Alang-alang gambar diambil, saya dan Rafie mulalah memperagakan lagi pelbagai gaya, demi memperbanyakkan lagi koleksi gambar pada malam ini. Ataupun... demi menyimpan kenangan bersama Rafie.
Apabila selesai, Irwan pun menunjukkan gambar itu kepada kami berdua.
"Cantik betullah gambar korang ni. Nampak serasi." Irwan berseloroh.
Saya tak nafikannya. Sebab gambar yang diambilnya itu memang cantik.
"Nanti awak boleh hantar tak semua gambar ni?" pinta saya.
"Jangan risau nanti aku akan print-kan gambar ni seorang satu."
"Woi, Irwan!" Datang satu suara garau milik Hairi.
"Jangan ambil gambar diorang je ambillah gambar kitaorang sekali," jeritnya lagi
Irwan menepuk dahi. "Oh, ya! Lupa pula. Korang, jom kita berkumpul. Kita tangkap gambar ramai-ramai."
Maka berpusu-pusulah kami remaja sekolah ini untuk mengambil tempat. Pada mulanya Irwan tidak turut serta kerana dia yang mengambil gambar, tetapi setelah didesak beberapa kali, barulah dia meminta bantuan orang lain ambilkan gambar.
Tidak lama selepas itu, bunga api pun berhenti seketika. Dianggarkan dalam masa 30 minit letupan kali kedua akan diletuskan.
"Wei Rafie, jom ikut aku beli barang." ajak Hairi.
"Okey. Aku on je." balas Rafie.
Mendengar ajakan itu, Mei pun bertanya kepada saya.
"Inas, I think nak beli something la. You nak ikut?"
"Boleh juga." Ajakan itu pantas diterima. Saya pun masih lapar lagi. Sambil-sambil menunggu bunga api untuk meletus kembali, lebih baik saya makan angin dahulu.
Lantas Mei pun memanggil Rafie dan Hairi. "Hairi, Rafie!" Panggilan Mei membuatkan mereka berdua menoleh.
"Kitaorang nak ikut sama, boleh?" pinta gadis cina itu. Rafie dan Hairi bersetuju tanpa sebarang soalan. Maka kami berempat memulakan perjalanan.
Tanpa saya sedar, itulah hari yang mengubah segala-galanya. Episod yang membawa perahu berlayar di lautan.
Bersambung...