Kartini dan Isma berasa lega. Setelah dua minggu
tersiksa dengan program orientasi yang disediakan oleh senior fakulti
undang-undang, akhirnya mereka dibebaskan.
Bebas? Memang bebas tetapi untuk dibebaskan juga mereka masih terkena.
Sewaktu mengambil gambar ramai-ramai iaitu bersama pelajar senior yang terlibat
dalam minggu orientasi tersebut, rupa-rupanya ada program lain yang
dirahsiakan. Sedang masing-masing sibuk menyebut “cheese” untuk bergambar, tiba-tiba sahaja mereka telah disimbah
dengan air dan tepung sehingga menyebabkan mereka semua basah dan putih dengan
tepung. Ada
yang menjerit kerana amat terkejut dan ada juga yang ketawa besar.
Apabila diingatkan semula tempoh dua minggu tersebut,
kadang-kala Kartini tergelak sendiri. Walaupun tersiksa namun dia akui program
seumpama ini sebenarnya berkesan untuk mengeratkan ikatan silaturrahim antara
pelajar junior dan senior. Sepanjang tempoh orientasi tersebut, kesemua pelajar
baru fakulti tersebut memakai pakaian berwarna hitam dan putih iaitu pakaian
rasmi bagi peguam dan pegawai-pegawai
yang bertugas di Mahkamah.
Antara acara yang telah disediakan oleh pelajar senior
adalah mentor dan mentee atau abang angkat atau kakak angkat. Setiap pelajar
junior telah diberikan tiga nama yang merupakan nama samaran setiap senior
mereka daripada setiap tahun iaitu Tahun Dua, Tiga dan Empat dan mereka perlu
mencari identiti sebenar mentor mereka. Mereka semua perlu menemuduga setiap
senior yang dijumpai kemudian menanyakan nama mereka serta latarbelakang untuk
memastikan samaada mereka itu adalah mentor mereka atau tidak. Dan akhirnya,
tanpa disedari mereka telah mengenali hampir setiap pelajar senior hasil dari
pencarian tersebut.
Tini dan Isma lega - kini mereka telah sah bergelar
mahasiswi. Mereka juga telah memulakan kuliah mereka sejak dua minggu yang
lepas. Memang terasa benar perbezaannya sewaktu menuntut ilmu di sekolah
dahulu. Di sini tiada pakaian seragam dan tiada aktiviti kurikulum yang
diwajibkan kepada setiap pelajar. Di sini mahasiswa dan mahasiswi bebas memakai
pelbagai fesyen pakaian kecuali yang menjolok mata. Pelajar juga boleh memilih matapelajaran
dan waktu kelas tutorial mengikut keselesaan masing-masing. Kuliah mereka pula
diadakan di dalam bilik-bilik kuliah yang agak besar yang mempunyai tempat
duduk yang bertingkat-tingkat.
“Tini, Encik Syed Imran, pensyarah Undang-Undang
Keterangan kita tu handsome kan,”
bisik Isma apabila mereka melangkah keluar dari Dewan Kuliah petang itu.
“Ye ke? Aku tak perasanlah…,”
“Kau ni buta ke tidur dalam kelas? Takkanlah lelaki yang
begitu handsomepun tak dapat tarik
perhatian kau?”
Kartini tergelak kecil. Memang begitulah perangai Isma setiap kali terlihat
lelaki yang kacak.
“Dia tu pensyarah kita. Aku hanya nak dengar dia punya lecture je, bukannya nak main mata
dengan dia. Tu sebab aku tak perasan tentang muka dia. Kau tu lainlah, pantang
tengok orang handsome sikit,” balas
Kartini menyebabkan Isma tergelak kecil.
Kartini terus mempercepatkan langkahnya kerana selepas
ini mereka ada satu lagi kuliah untuk matapelajaran Undang-Undang Tort. Ketegasan Puan Maimon
yang merupakan pensyarah matapelajaran tersebut amat difahami oleh setiap
pelajar oleh itu Kartini tidak mahu terlewat masuk ke kelasnya.
“Cepatlah sikit. Nanti lambat. Bukan kau tak tahu sikap
Puan Maimon,” gesa Kartini apabila dilihatnya Isma masih melenggang.
“Ya lah…,” balas Isma kemudian dia mempercepatkan
langkahnya menyaingi Kartini yang sudahpun membuka pintu dewan kuliah.
Nasib baik pensyarah mereka belum sampai. Jika tidak
pasti berdesing telinga mereka kena perli dengan pensyarah yang berumur empat
puluh tahun itu. Kartini melambai kepada Salwa dan Maznah yang duduk tidak jauh dari mereka. Lambaian mereka
dibalas.
Kelas yang agak bising dengan suara setiap pelajar
tiba-tiba sahaja senyap apabila Puan Maimon melangkah masuk. Pensyarah wanita
itu meletakkan buku-bukunya di atas meja kemudian berjalan ke tengah dewan
memandang kepada setiap pelajar baru.
“Kamu sudah baca
kes yang saya suruh cari minggu lepas?” Tanya Puan Maimon dengan suara yang
lantang dan tegas.
Kesemua pelajar mengangguk dan ada juga yang hanya
tunduk merenung buku. Takut melihat wajah pensyarah yang terkenal garang itu.
“Baiklah, sekarang saya nak soal,”
Menggeletar lutut Isma apabila mendengar kata-kata Puan
Maimon kerana dia memang terlupa hendak membaca kes itu. Memang Kartini ada
memberinya salinan kes tersebut tetapi sehingga malam tadi kes tersebut tidak
disentuhnya. Alamak…habislah aku….Isma semakin menggelabah.
“Ha! Yang tunduk-tunduk tu,” Puan Maimon menunjukkan
tangannya ke arah Isma. Kecut perut Isma sehingga dia tidak berani mengangkat
mukanya.
“Isma, Puan Maimon panggil kau,” bisik Kartini lalu
menyiku lengan Isma yang masih lagi tidak bergerak dari duduknya.
“Ha, jawab! Apa keputusan kes tu?” Tanya Puan Maimon
lagi agak kuat.
Perlahan-lahan Isma mendongak dan apabila melihat ke
atas meja, dia agak terkejut kerana terdapat sehelai kertas yang tertulis summary berkenaan kes tersebut. Isma
menoleh ke arah Kartini di sebelahnya. Kartini mengangguk.
“Errr…mengikut kes tersebut, bagi membuktikan
undang-undang kecuaian ada beberapa elemen yang perlu dibuktikan iaitu mesti
wujud satu tugas untuk berhati-hati dan pelaku itu telah memecahkan tugas
tersebut,” jawab Isma terketar-ketar.
Lama pensyarah itu merenungnya dan Isma berasa lega
apabila Puan Maimon mengangguk. Isma
menarik nafas panjang. Tangan Kartini digenggam erat.
“Thanks,” ucap Isma. Kartini tersenyum kemudian mengangguk.