Hari ini adalah hari pendaftaran asrama bagi
pelajar-pelajar baru Universiti Malaya. Kawasan universiti agak sesak dengan
kenderaan yang keluar dan masuk di setiap kolej kerana pendaftaran asrama dibuat
pada hari ini. Kain rentang berwarna warni dengan perkataan “Selamat Datang kepada Mahasiswa Mahasiswi
Baru” kelihatan di gantung di setiap pintu masuk utama kolej-kolej. Pelajar-pelajar senior yang dilantik sebagai
Ahli Jawatankuasa Pendaftaran Pelajar baru sibuk dengan urusan masing-masing. Ada yang menunggu di dewan bagi tujuan pendaftaran, ada
yang menunggu di pintu pagar bagi menyambut kedatangan pelajar dan ibu bapa dan
ada juga yang kelihatan berlari ke sana
ke mari entah kenapa.
Tini yang berada di dalam perut teksi baru sahaja
melepasi pintu gerbang bertulis “Universiti Malaya”. Perasaan bangga dan
terharu semakin menguasai dirinya. Dia juga akan menjadi warganegara universiti
tertua ini mulai hari ini. Dan dia akan
buktikan bahawa dia yang datang dengan harapan akan pulang dengan kejayaan yang
diimpikan.
“Mahu pergi kolej mana?” pemandu teksi berbangsa Cina
bertanya.
“Kolej Kedua ya tokey,” jawab Tini sambil mengintai ke
luar tingkap. Cuba
mencari papan tanda yang boleh memberikan arah yang betul.
“Ha, masuk simpang depan tu tokey,”
Pemandu teksi mengikut arahan Tini lalu membelok ke
jalan masuk menuju ke Kolej Kedua. Pemandu teksi itu membunyikan hon beberapa
kali bagi memberi makluman kepada pejalan kaki di hadapan mereka agar memberi
laluan. Setelah membayar tambang yang dikenakan dan menurunkan beg pakaiannya,
Tini berdiri sebentar menyaksikan suasana baru yang bakal ditempuhinya. Tini
menarik nafas panjang, perasaan bangga semakin menerjah dinding hatinya. Dia
kini adalah seorang mahasiswi di sebuah universiti paling berprestij di Malaysia.
Tini memandang sekeliling, cuba mengamati suasana baru
yang bakal mewarnai kehidupannya selama empat tahun akan datang. Bangunan Kolej
Kedua yang terletak selepas bangunan Kolej Pertama ini mempunyai dua buah
bangunan asrama untuk mahasiswi dan dua bangunan untuk mahasiswa. Dua buah
bangunan di bahagian hadapan adalah asrama untuk para mahasiswi yang terletak
secara berhadapan. Mereka dihubungi dengan koridor bermula di tingkat dua sehingga
keempat. Di bahagian tengah kawasan di antara kedua bangunan asrama mahasiswi
terletak sebuah dewan besar dan sebuah kantin yang agak besar bagi kemudahan
mahasiswa dan mahasiswi kolej ini. Bangunan
asrama lelaki pula terletak di bahagian belakang kawasan kolej ini.
Mungkin kerana universiti ini adalah universiti tertua maka reka bentuk
bangunan asrama juga adalah seperti sebuah rumah pangsa lama sahaja.
Walaubagaimanapun itu semua tidak penting bagi Tini. Apa yang penting adalah
dia mempunyai tempat tinggal yang selesa untuk membolehkan dia menghabiskan
pengajiannya selama empat tahun di sini.
“Biar saya tolong tarik beg ni. Adik nak buat
pendaftaran kan,”
lamunan Tini terhenti apabila seorang mahasiswa menegurnya. Tini mengangguk
kemudian beg pakaiannya telah bertukar tangan. Dia mengekori pelajar senior itu
menuju ke tempat pendaftaran asrama.
“Terima kasih”, ujar Tini dan pelajar itu tersenyum
kemudian meninggalkannya.
Sementara itu Isma pula gelisah mencari kelibat Tini di
celah-celah orang ramai yang membuat pendaftaran di Kolej Kedua itu. Kalau
boleh dia mahu diletakkan di dalam satu bilik dengan Tini. Dia telah pun
selesai membuat pendaftaran masuk ke bilik asrama dan kini sedang menunggu
abangnya mengeluarkan barang-barang dari kereta.
Ibu dan ayah juga duduk tidak jauh darinya. Wajah mereka
kelihatan letih tetapi kebanggaan di hati mereka tetap terserlah. Isma mengelap
peluh yang bermanik-manik di dahinya. Hari ini agak panas lebih-lebih lagi
berada di tempat terbuka seperti ini. Baju kurung sutera yang dipakai oleh Isma
beralun-alun mengikut gerak tubuhnnya. Rambutnya yang lebat dan hitam diikat
satu ke belakang. Anak-anak rambut di dahi berjuntaian ditiup angin, lalu
diselaknya ke belakang.
“Assalamualaikum,” satu suara yang menyapanya dari
belakang menyebabkan Isma menoleh. Senyuman terus mekar di bibirnya kemudian
salam Tini dijawab.
“Kenapa lambat sangat?”
“Tadi masa nak ke sini, ada accident kat highway.
Jalan sesak sikit. Lepas tu Tini kena cari teksi pulak,” jawab Tini sambil
mengesat wajahnya dengan tisu yang hampir lunyai.
“Ye ke…nasib baik tak lambat sangat kan. Tini dah daftar ke?” tanya Isma. Tini
mengangguk kemudian menunjukkan sebuah fail berwarna biru di tangannya.
“Dapat bilik mana?” Tanya Isma lagi.
“Blok A, Tingkat dua. Bilik 224. Isma bilik mana
pulak?,”
“Alaa…bilik lain, Tingkat Tiga tapi nasib baik Blok A
jugak,” jawab Isma agak kecewa.
“Makcik, pakcik,” Tini mengalihkan pandangannya kepada
kedua ibu bapa Isma sambil tunduk sedikit memberi hormat.
Encik Syed Mazlan tersenyum manakala Sharifah hanya
menoleh sekilas kemudian mencebikkan bibirnya tanda tidak senang dengan
kehadiran Tini di situ. Seperti biasa Tini pura-pura tidak nampak.
“Tini datang dengan apa?” Tanya Syed Mazlan.
“Datang naik bas pakcik. Emak hantar sampai Kuala
Kangsar je,”
Syed Mazlan mengangguk kepala. Dia kagum dengan Tini
kerana Tini memang seorang anak yang baik dan rajin. Memang dia tahu isterinya
tidak berapa menyenangi Tini. Dia pun pelik dengan sikap Sharifah kerana hanya
perkara kecil sahaja telah menyebabkan dia memusuhi Tini. Baginya apalah ada
pada nama dan pangkat, Syed atau Sharifah hanyalah satu nama yang direka dan
diletakkan oleh nenek moyang mereka, itu sahaja. Jika di Mekah sekalipun, semua
umat Islam adalah sama di sisi ALLAH, tidak semestinya kerana ada nama Syed atau Sharifah maka mereka diberi
sebarang keistimewaan. Sudah beberapa kali dia menasihati isterinya itu tetapi
pendiriannya tetap sama.
Selain itu, Syed Mazlan juga sedar akan sikap isterinya
yang terlalu kuat cemburu. Kejayaan Tini dalam pelajaran dan aktiviti
kokurikulum juga menjadi punca dia tidak berpuas hati dengan gadis itu.
Sharifah merasakan anak mereka Isma lebih berhak untuk menyandang segala
gelaran “terbaik” itu. Sharifah ternyata tidak dapat menerima bahawa Tini,
seorang gadis yang datang dari keluarga miskin dapat menandingi Isma. Kalau
boleh dia mahu Isma menang dalam setiap peperiksaan dan pertandingan yang
diadakan di sekolah mereka. Tetapi
sesekali terdetik juga di fikiran Syed Mazlan bahawa kemungkinan ada sebab lain
yang menyebabkan isterinya itu bermusuh dengan keluarga Tini. Jika tidak silap
Mazlan, permusuhan ini bukan sahaja bermula sejak Tini dan Isma berkawan baik,
tetapi ia telah bermula sejak dahulu lagi iaitu sewaktu mereka mula
berumahtangga. Pantang jika disebut nama Rohana yang duduk di hujung kampung,
sudah pasti Sharifah akan mengamuk. Berbagai kata-kata yang tidak sedap
didengar sering ditujukan terhadap Rohana sehinggakan Syed Mazlan malas hendak
menimbulkan nama Rohana lagi di dalam perbualannya. Rohana juga seolah-olah
tahu tentang perasaan Sharifah terhadapnya dan Rohana juga tidak pernah hadir
ke rumah mereka untuk setiap kenduri kendara yang mereka adakan walaupun
hakikatnya mereka tinggal sekampung. Lama-kelamaan, Syed Mazlan malas hendak mengambil
tahu tentang perkara ini kerana Sharifah seolah-olah mahu merahsiakannya.
“Itulah, kalau tumpang aku kan
senang,” Isma meluahkan kekesalannya kerana Tini menolak ajakannya untuk datang
bersama ke Kuala Lumpur
semalam.
“Isshh Is ni, kan
kereta kita dah penuh,” sampuk Sharifah tidak senang dengan kata-kata Isma
sambil menjeling tajam pula ke arah Tini.
Kartini tersenyum. Dia membiarkan sahaja kata-kata emak
Isma berlalu begitu sahaja ibarat mencurah air di daun keladi. Jika dia ambil
hati pun, bukannya dia dapat apa-apa faedah, hanya menambahkan dosa pada
dirinya jika dia kerap mengutuk orang tua itu. Baginya lebih baik dia memaafkan
sahaja setiap perbuatan dan tindakan makcik Sharifah kepadanya. Memang itu juga
yang sering dipesan oleh emaknya.
“Sebelum tidur,
kita maafkan lah orang-orang yang kita rasa ada buat salah pada kita,”……itu adalah pesanan ibunya setiap kali sebelum dia masuk tidur.
Dan memang itulah yang sering Kartini lakukan dan
Kartini akui amalan ini boleh dijadikan satu terapi yang paling berkesan untuk
menenangkan diri. Apabila marah tidak menguasai diri seseorang, sudah pastilah
dia sentiasa akan tersenyum dan gembira. Agaknya disebabkan amalan ini jugalah ibunya masih
lagi cantik dan manis walaupun telah berumur 46 tahun. Dan ramai yang berkata, kecantikan ibunya
banyak diwarisi olehnya.
“Hai Tini,” satu suara garau menyapanya tiba-tiba.
Ingatannya kepada emak sebentar tadi
hilang begitu sahaja.
Tini menoleh ke kanan. Kelihatan Syed Faizul sedang
tersenyum ke arahnya. Di tangannya terdapat sebuah beg besar beroda. Pasti beg kepunyaan
Isma. Kartini membalas senyuman Faizul walaupun dia tahu makcik Sharifah tidak
menyenanginya.
“Datang ke sini naik apa?” tanya Syed Faizul tanpa
mempedulikan renungan tajam emaknya.
“Naik bas. Kemudian ke sini naik teksi dari Puduraya,”
jawab Kartini ikhlas sebagai menghormati pertanyaan Faizul.
“Kalau tumpang abang kan senang. Kereta boleh muat seorang lagi,”
“Tak apalah abang Faizul. Mak nak hantar Tini. Kalau tak
dapat hantar sampai KL, sampai stesen bas pun jadilah,”
Syed Faizul mengangguk sambil terus mengukir senyuman
yang panjang. Kartini pula terus tunduk lalu melarikan pandangan matanya apabila
disedarinya mata Syed Faizul masih tajam
merenungnya.
“Dah tu, ibu dah panas duduk kat sini. Faizul, bawak beg adik kau tu naik ke bilik
dia,” arah Sharifah yang kurang senang dengan gelagat anak lelakinya itu.
Bukannya Sharifah tidak tahu yang Faizul sedang cuba
memancing hati Tini tetapi sengaja dia membutakan mata dan hatinya. Dia memang
tidak mahu Tini menjadi menantunya. Dia mahu keturunannya berkekalan, darah
Sharifah dan Syed mesti diteruskan dengan perkahwinan daripada keturunan yang
sama. Kali ini dia mahu menang dalam merebut Faizul dan dia akan pastikan Tini
tidak akan menang. Faizul anaknya dan dia tahu dia mampu mengawal anak keduanya
itu.
Syed Mazlan hanya mampu menggeleng kepala dengan sikap
isterinya. Kartini pula meminta diri untuk masuk ke biliknya dan Isma pula
mengikuti keluarganya yang telah melangkah ke tangga untuk ke biliknya. Sebelum
itu mereka sempat berjanji untuk bertemu di dewan makan pada pukul empat
petang.
Seperti dijanjikan, pada pukul 4 petang, Tini dan Isma
bertemu semula di dewan kerana satu taklimat bagi pelajar-pelajar baru akan
diadakan. Satu tanda nama yang agak besar tersemat di bahagian kanan atas baju
mereka. Arahan dari senior agar nama mereka ditulis besar-besar dipatuhi.
Kelihatan pelajar-pelajar baru berpusu-pusu masuk ke dalam dewan manakala
pelajar-pelajar senior pula berdiri di
muka pinu menyambut kedatangan mereka. Isma dan Tini berjalan beriringan sambil
berbual.
“Apa yang berlenggang-lenggang lagi tu! Cepat masuk!
Awak ingat ini nak pergi pasar ke?! Masuk cepat!!” tengking seorang lelaki
bertubuh kurus tinggi yang sedang bercekak pinggang di pintu besar dewan.
Isma dan Tini masing-masing terkejut apabila terdengar
jeritan itu. Terkocoh-kocoh mereka melangkah laju masuk ke dalam dewan begitu
juga dengan pelajar-pelajar baru lain. Sesi orientasi telah bermula…..Tini dan
Isma saling berpandangan tanpa senyuman.
Tidak sangka bahawa begitu cepat mereka akan dikenakan.