Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,175
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

RAZIP memandang tepat ke arah Syed Idlan. “Jom pergi sekarang,” ajaknya.

“Aku rasa tak sedap badan... kau pergi seorang ajelah.”

“Mana seronok pergi seorang?”

Syed Idlan tersengih. “Selama ni kan kau biasa duduk seorang, apa bezanya kau pergi seorang?”

“Sebab kau dah duduk sinilah, kau kena pergi tunjuk muka. Biar mereka semua kenal kau...” Razip cuba meyakinkan sahabatnya itu.

“Esok aku mula kerja. Aku kena tidur awal.”

“Cis, alasan! Kalau tengok bola sampai pukul 3.00 pagi, sanggup pula pergi kerja pukul 6.00 pagi.”

Syed Idlan bangun. “Hah, kau jangan nak startkomplen macam nenek aku pula.”

Razip tersenyum kecil. Mereka terus keluar menuju ke kondominium bernombor 6. Pintunya bertentangan dengan rumah Razip.

Demi terpandang ketibaan jirannya, Kayla bangun dari kerusi.

“Hah, Razip... masuklah. Ni kawan you yang baru pindah tu, kan? Siapa nama dia, I lupalah pula.”

“Syed Idlan.”

Mereka berbalas-balas senyuman. “Mari I kenalkan dengan Siti Hani, kawan ofis I. Yang tu jiran kita di hujung sana, Ismail dan Baharudin. Hmm, yang kat dapur tu, Hajah Jarini dengan suaminya, Haji Ahmad Denil.”

Tetamu menjamu selera dengan hidangan yang ada. Agak meriah juga suasana diselang seli dengan perbualan dan gelak ketawa. Adalah kira-kira 12 orang yang hadir. Hajah Jarini membawa lasagne sebagai buah tangan. Manakala Ismail menghadiahkan sebiji kek coklat yang dibeli di Secret Recipe.

“Eh, Kay... mana krim karamel yang you kata nak buat tadi?” soal Razip setelah dia menghabiskan sepinggan ubi rebus dengan ikan masin goreng. “Kecoh datang rumah nak cari serbuk agar-agar.”

Syed Idlan mencelah, “nasib baik ada sepaket.”

Hajah Jarini menyampuk pula, “mujurlah ada orang yang minat masak duduk dekat-dekat. Kalau datang rumah saya, habuk biskut ajelah yang ada.”

Mereka tergelak mendengar pengakuan wanita itu. Ahmad Denil turut mengangguk tanda setuju. Mereka memang nampak seperti pasangan suami isteri yang sangat romantis.

“Alamak, terlupa pula... mana Adelia ni? Tak nampak dari tadi?” Kayla bingkas menuju ke dapur.

Siti Hani mengekori. “Masih dalam bilik, agaknya.”

“Mungkin dia tertidur. Siti, boleh you tolong kejutkan dia, tak?” pinta Kayla.

Kayla membuka peti sejuk. Buat seketika dia menggelabah kerana tiada puding krim karamel. Kemudian dia terfikir untuk membuka peti pembeku. Ya ALLAH! Mujur Razip bertanya tadi. Kalau terlambat tentulah puding itu akan keras seperti ais.

Kayla meletakkan krim karamel itu di atas meja hidangan. “Ni dia... yang you tanyakan tadi, Razip. Jemputlah makan.”

Syed Idlan mengambil piring. Kayla meletakkan sepotong puding di dalam piringnya. Lelaki itu duduk semula di kerusinya sebelum menyuapkan puding ke mulut. Hampir-hampir saja dia hendak meluahkannya semula kerana rasa karamel yang pahit itu.

“Kenapa, Syed Idlan?” Rupa-rupanya, Kayla merenung ke arahnya sejak tadi. “Muka you berubah!”

Syed Idlan tersengih. “You ke buat puding ni?”

“Kenapa? Tak manis ke?” soal Kayla bertalu-talu.

Razip mengambil sepotong krim karamel lalu merasanya. “Kenapa pahit?”

“Karamel tu dah hangus...” jawab Syed Idlan.

Ahmad Denil juga menceduk sedikit lalu memakannya. “Bahagian kuning ni sedap pula.”

Tatkala itu, Siti Hani kembali ke ruang tamu. “Apa kecoh-kecoh ni?”

Kayla deras bertanya, “Adelia mana?”

Sebaik terdengar namanya diseru, Adelia yang berada di belakang Siti Hani terus menyoal. “ Kenapa Kay?”

Serta merta semua mata di ruang tamu itu tertumpu kepada Adelia. Dalam keadaan termangu-mangu, gadis itu menggosok mata. Hamboi, kau sudah kenapa Adelia? Di dalam hati dia mengakui selepas maghrib tadi dia tergolek di atas sejadah dan terus hanyut ke alam mimpi. Letih kerja seminggu terhimpun sekali gus.

“Kenapa?” tanya Adelia lagi.

“Cubalah rasa krim karamel yang kau buat tu,” ujar Kayla dengan mimik wajah lucu.

Adelia terpinga-pinga sejenak. “Kurang manis? Sorrylah, ya. Kita memang kena kurangkan gula dalam...”

Hajah Jarini dan Razip tergelak kecil. Adelia makin keliru. Sponton dia menjamah sedikit krim karamel itu. Fuh, terasa sungguh kepahitan karamelnya. Padahal warna coklatnya tidaklah begitu gelap.

“Minta maaf semua...” Lekas saja Kayla nak selamatkan keadaan. Senyum selamba saja dia. “Jom kita sambung makan kek yang Ismail bawa tadi. Ni... ubi rebus pun banyak lagi.”

Dalam keadaan serba salah, Adelia mengangkat mangkuk puding ke dapur. Terlintas pada fikirannya untuk membuang saja semuanya ke dalam tong sampah. Rugi memanglah rugi sebab tidak boleh dimakan tetapi macam mana hendak makan kalau karamelnya pahit?

“Sudukan bahagian kuning tu, letak dalam gelas,” seorang jejaka tiba-tiba bersuara. “Tuangkan krim, tambah buah-buahan dalam tin. Hah, dah jadi puding baru... tentu sedap.”

“Semua orang dah kenyang. Membazir aje kalau buat,” balas Adelia tanpa memandang ke arah lelaki itu. Dia perasan lelaki itu berdiri di ambang pintu menghala ke dapur.

Huh, macam berlagak pandai aje! “Kalau buang lagi membazir, Cik Adelia. Nak kasi tong sampah tu gemuk ke?”

“Ada awak kisah?”

“Alamak, garangnya Cik Adelia ni.”

Adelia mendengus keras. “Awak peduli apa kalau saya garang atau tak?” tingkahnya lantas keluar dari situ lalu menuju ke ruang tamu. Malas dia nak melayan lelaki itu berbicara.

Hajah Jarini dan Haji Ahmad Denil amat peramah dan mesra. Mereka bertanya tentang keluarga dan kampung halaman. Risau juga Adelia jikalau mereka bertanya di mana dia bekerja. Tentu menjatuhkan maruahnya selepas merasai puding krim karamel yang disediakannya tadi.

Haji Ahmad Denil turut bercerita tentang galeri lukisan miliknya yang terletak di Jalan Maarof, Bangsar. Sesekali isterinya juga mencelah dengan kisah-kisah lucu di sebalik kehidupan pelukis-pelukis yang mereka kenali.

“Hujung minggu depan, kami nak buat majlis sikit sempena pameran koleksi terbaru,” ujar Haji Ahmad Denil. “Jemputlah datang, ya.”

Hajah Jarini mencelah. “Nanti you datanglah dengan Kay. Kejap aje, makan-makan, tengok-tengok lukisan. Galeri itu banglo lama yang kami dah ubahsuai. Ada taman tema Bali di halaman tengah-tengah. Di situ nanti kami letak makanan... datang tahu?”

Adelia mengangguk. Pada telahannya, kalau Kayla pergi tentulah dia akan pergi juga. Namun begitu, itu bergantung pada jadual tugasannya di hotel.

Adelia menjamah ubi rebus dengan ikan masin goreng dan kelapa parut.

“Rasalah puding yang dah diubahsuai.” Tiba-tiba lelaki di dapur tadi muncul dengan gelas berisi puding, krim dan buah-buahan.

Hajah Jarini terus mencuba. Terbeliak matanya. Air mukanya membayangkan kenikmatan pancaindera rasa.

“Hmm... sedapnya,” puji wanita itu sambil menyuap sesudu kepada suaminya.

“Dah tak pahit dah...” kata Haji Ahmad Denil pula. “Macam mana you buat?”

Tetamu Kayla berkerumun di sekeliling Syed Idlan untuk menikmati puding krim karamel olahan terbaru. Semuanya memuji keenakan puding tersebut. Adelia hanya memerhati dari jauh dengan rasa sedikit rimas. Huh, bajet hebat!

Pandai Si Konon Bijak bernama Syed Idlan itu mencuri tumpuan ramai. Sahlah dia memang gemar memasak. Atau suka memperlekehkan orang lain. Kata Hajah Jarini tadi, Syed Idlan baru pindah ke situ dan dia duduk dengan Razip.

Dari ekor mata, Adelia nampak Siti Hani beria-ia berbual dengan Syed Idlan. Mungkin sudah terpikat dengan kesedapan puding krim karamel yang diubahsuai itu, huh! Sedangkan Razip lebih banyak berdiam diri dan memerhatikan orang saja. Barangkali sudah demikian perangai dia.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin