Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,176
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

"MASAK apa ni?”

Demi mendengar soalan itu, Adelia menoleh ke arah empunya suara. Syed Idlan? Apa dia buat kat sini?

Freenampak?” soal Adelia pula.

“Saya datang nak belajar macam mana nak buat puding karamel pahit,” sindir lelaki itu.

Adelia mengetap bibir. Tangannya ligat mengacau sambal ikan bilis di dalam kawah. Di dalam pengukus semerbak bau harum nasi lemak berdaun pandan.

“Boleh tak kalau awak tak cakap pasal tu?” pinta gadis itu. Hangat hatinya setiap kali kesilapannya itu diungkit. “Dah jadi sejarah, okey?”

Mereka saling berpandangan. Adelia mencampakkan hirisan bawang besar ke dalam kawah. Belum pun sempat tangannya mencapai sudip, Syed Idlan sudah terlebih dulu mengambilnya.

Eeii, peliklah perangai lelaki ni, fikir Adelia. “Awak ni suka kacau orang, ya.”

Lelaki itu tersengih menampakkan lesung pipitnya. “Tak, chef... chef salah. Saya hanya suka kacau adunan untuk buat kek atau pastri. Atau, hah... kacau masakan dalam kuali macam ni.”

“Kecohlah.”

“Apa, apa awak kata?”

“Takde apa-apa,” balas gadis itu sambil menuangkan santan ke dalam periuk besar. Malas dia hendak melayan Chef Pastry yang nampak aje baik tapi kadang-kadang sindirannya menghangatkan hati.

Syed Idlan berpura-pura berminat dengan bahan-bahan perencah yang dimasukkan oleh Adelia ke dalam kawah itu.

“Nak buat masak lemak cili padi ke?” soalnya.

“Ikan masin dengan nangka muda.”

“Wah, sedapnya. Bagi saya rasa sikit nanti...”

Adelia menjeling ke arah lelaki itu. “Tak payah, saya buat pahit... awak tak suka nanti.”

Menyedari dirinya diperli, Syed Idlan tergelak kecil. Seketika kemudian, chef itu beredar ke arah Rozhan pula. Rozhan sedang mengadun bahan-bahan untuk membuat kerabu taugeh dengan kerang. Entah bila Syed Idlan keluar dari Malay Kitchen itu, Adelia pun tak pasti.

Di DALAM bilik itu, ada dua buah meja. Meja Chef Mohd Noor terletak di sebelah kanan. Manakala meja kiri adalah untuk Adelia. Di hadapan meja Chef Mohd Noor ada sebuah kerusi untuk tetamu yang ingin berdiskusi.

Adelia duduk di meja lalu membuka laptop. Waktu rehat selama dua jam ini akan digunakan dengan sepenuhnya untuk mencari lebih banyak idea dari segi hiasan manisan.

Tanpa diduga, pintu bilik terbuka. WajahHead ChefRazi muncul. Mereka berpandangan seketika. Razi mencari Chef Mohd Noor ke? getus hati Adelia. Dia agak tergamam, sebetulnya. Bukan setiap hari seoranghead chef akan muncul di Malay Kitchen. Pasti ada sesuatu yang amat penting, yang membawanya ke situ.

“Chef Adelia belum lunch lagi?”

Adelia menggeleng tanpa mengangkat muka daripada menatap YouTube. Chef di dalam video tersebut menunjukkan cara menjerang gula dengan air dan cuka. Cuka atau sebarang bahan berasid seperti krim tartar akan membuat campuran gula itu lebih mudah dibentuk dan tidak retak bila ditarik. Adunan gula pada suhu tertentu akan menjadi lembut seperti doh pastri.

“Jom kita ke kafe?” ajak chef itu.

What? Oh no! Adelia terpanar seketika. Bukan sebab mereka tidak pernah makan bersama di kafe tetapi kerana suara dan wajah Mr. Melvin serta merta muncul di ruang mata. Jangan! Bukankah dia sudah memberi amaran bahawa beberapa chef di hotel itu tidak puas hati kerana tindakan Razi yang sering menyebelahi Adelia?

“I pun belum makan ni,” ajak head chef itu lagi seraya duduk di hadapan meja Chef Mohd. Noor.

“Err... ya... maksud I, tidak!”

Kekeliruan tergambar pada air mukaRazi yang Adelia kira mempunyai banyak pengalaman hidup itu. Walaupun masih bujang, gadis itu dapat merasakan sudah berduyun-duyun gadis yang pernah cuba memikat hatinya. Memang dia berkarisma dan kalau dia tidak menjadi head chef, kemungkinan besar dia sesuai menjadi pramugara.

“Chef Adelia, apa yang dimenungkan lagi tu?”

Adelia menyembunyikan rasa gugup dengan tergelak kecil. “I terlupa yang I dah janji dengan kawan nak lunch dengan dia.”

“Kawan?” soal chef itu sepatah.

Gadis itu mengangguk. Tak perlu beritahu siapa kawan sebab apa hak chef itu untuk tahu? Ni hal peribadi, okey.

Razi mengangguk. Dia bangun dari kerusi lalu duduk di tepi meja Chef Mohd Noor pula. “Ada tak Chef Mohd Noor beritahu you tentang menu majlis perkahwinan minggu depan? Klien nak kelainan sikit. Kalau you ada masa, Googlemasakan Jawa. Fokus utama kita, Nasi Ambeng.”

Adelia mengangguk. “Insya-ALLAH.”

“You tahu tak, di mana Nasi Ambeng paling sedap di Singapura?” tanya itu.

Adelia mengerutkan kening. “Di mana chef?”

“Restoran Mamanda di Sultan Gate dekat Istana Kampong Gelam.”

“Chef pernah rasa?”

Razi tersengih. “Mestilah. Bila teringat aje, meleleh air liur. Macam-macam lauk-pauk, urap dan sayur-sayuran. Kalau chef ke Singapura, jangan lupa ke sana. Di kawasan Bugis dan tak jauh pula dari Masjid Sultan.”

“Insya-ALLAH.”

Telefon Razi berbunyi. Lega sungguh Adelia kerana dia terus menjawab telefon seraya berlalu dari situ. Kalau dia tidak menerima panggilan telefon, entah lama mana lagi dia akan berada di situ.

Tatkala itu terdengar bunyi riuh di bahagian belakang kawasan Malay Kitchen. Di situ jugalah letaknya mesin besar tempat membasuh pinggan mangkuk, cawan, gelas dan segala peralatan yang digunakan ketika seminar berlangsung.

Dua orang pekerja Bangladesh bertugas di situ. Mereka jugalah yang membersihkan peralatan memasak, membuang sampah sarap dan mengelap lantai.

“Chef Adelia!” Adelia tersentak sewaktu terdengar namanya dipanggil.

Di tengah-tengah keriuhan suara perbualan pekerja Bangladesh dan dentingan pinggan mangkuk serta cawan dan gelas, dia langsung tidak perasan suara lelaki itu.

Di dalam kelekaan dia mencari informasi tentang Nasi Ambeng, imaginasinya hanyut ke Tanah Jawa dengan alunan muzik ala gamelan yang mententeramkan jiwa.

Bila dia terdengar ketukan di tingkap kecil di dinding sebelah kiri, barulah dia melirik ke arah itu. Mr. Melvin, rupa-rupanya! Demi bertentang mata, dia menggamit ke arah gadis itu. Wajahnya serius. Adakah dia membawa berita sedih atau berita gembira kali ini?

Dengan hati yang berat, Adelia menyarung kasut lalu keluar. Mr. Melvin sudah menarik bangku kecil di tepi kabinet keluli lalu menuding ke arah sebuah lagi bangku di sisinya.

“You belum lunch,kan?” soal Mr. Melvin macam guru sekolah bertanya budak tadika.

Adelia menggeleng. Mr. Melvin meletakkan sepinggan besar berisi sandwic, kek buah, quiche, kuih talam keladi dan pai coklat.

“Duduk,” arah lelaki itu sambil melangkah menuju ke tempat menyimpan cawan.

Dia kembali semula ke meja dengan memegang teko di tangan kanan dan dua biji cawan di tangan kiri.

“Apa ni semua?” Adelia menyoal macam orang kurang siuman.

Lunch dengan I. Makanan ni semua tak baik dibuang. Kan semua ni elok lagi?” Mr. Melvin hendak berleterlah pula.

Sebetulnya Adelia memang lapar. Dia terus menyuap sebiji quiche mini ke dalam mulut dan menghirup kopi yang baru saja dituang oleh Mr. Melvin.

“Gelojoh...” seru anak muda itu. “Memang spesis tak boleh dibuat bini.”

Adelia tergelak. Entah kenapa Mr. Melvin macam buang tebiat tengah hari ini. Dia turut mencapai sandwic tuna.

“Kenapa banyak tak habis?” Adelia ingin tahu. “Tak sedap ke? Chef pastri yang baru tu tak pandai masak, ya?” Sedap aje mulutnya hendak mengata siapa lagi kalau bukan Syed Idlan.

“Orang dah jemu makan kuih-muih ni semua. Yang manis-manis pula orang tak suka sebab nak jaga badan.”

Gadis itu mengangguk.

“Tapi, kalau hidangkan macarons atau pavlova, memang licin,” komen lelaki itu.

“Sebab nak buat susah, kan? Atau harganya mahal?”

Lelaki itu tidak menghiraukan pertanyaan Adelia. Dia merenung gadis itu di sebalik matanya yang dikecilkan sedikit. “Chef pastri yang baru? Maksud you... Chef Syed Idlan?”

Adelia buat muka selamba. Dia yakin Mr. Melvin mampu menangkap maksudnya.

“Semua gadis di hotel ini cakap pasal dia.”

“Apa?” soal Adelia pendek. “Apa yang specialsangat pasal dia?”

Adelia bukannya nak tahu sangat. Sekadar melayan lelaki itu berbual. Kalau dibuatnya Head Chef Razi berpatah balik dan datang semula ke situ, pastilah dia tahu bahawa ‘teman’ yang Adelia maksudkan itu, Mr. Melvin.

Mr. Melvin mengunyah sepotong kuih talam perlahan-lahan. “Dia pandai ambil hati.”

Adelia hendak tergelak. Pandai ambil hati? Pergh... Dengan dia, lelaki itu cuma pandai membuli!

“Mereka kata dia sangat gentleman.

“Mereka? Mereka siapa?”

Mr. Melvin tergelak pendek. “Meriah sikit hotel ni.”

Adelia hanya mengulum senyum pahit. Serta-merta dia mengubah topik perbualan dengan bertanyakan tentang seminar yang akan bermula pagi esok.

Biarlah semua gadis-gadis di hotel itu hendak terguling-guling syokkan Syed Idlan. Adelia boleh bayangkan, nampak bayang-bayang lelaki itu pun sudah pasti mereka setengah gila. Itu belum lagi tercium bau pewangi yang tercalit di tubuhnya... ditambah dengan keharuman esen vanila atau esen ros yang diletaknya di dalam adunan kek dan biskut.

Sekurang-kurangnya mereka ada sesuatu yang boleh buat mereka teruja. Adelia mencebik bibir. Hatinya berbisik... hoi, aku? Bagi free pun aku tak nak! Cis, boleh jalan aje lelaki yang suka membuli perempuan macam tu!

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin