Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,149
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

MALANG apalah agaknya hari ni! Adelia menyumpah di dalam hati. Sudah berbakul-bakul mesej daripada Kayla masuk ke dalam telefon.

Kau kat mana? Kau kata nak datang awal? Takkan kau tak dapat teksi lagi? Aku datang ambil kau laa... Hari ni teksi mogok ke? Kau okey?

Adelia teringat perbualannya bersama Kayla. Hah... kan aku kata aku nak beli kereta? Ada kereta kan senang nak ke mana-mana? Tak payah nak berbaris tunggu teksi. Pemandu teksi pula macam-macam fiil. Kalau nasib tak baik, dapat yang tak senonoh, macam mana?

Kalau nyawa melayang tak apa juga. Ni... kalau menjadi mangsa nafsu rakusnya? Nauzubillah Min Zalik. Seumur hidup mungkin akan dilanda fobia yang dahsyat. Tidak mustahil bila nampak teksi saja, akan menjadi histeria.

JAM hampir 6.15 petang sewaktu Adelia menekan punat lif untuk naik ke kondominium sewaan Kayla. Lambatlah pula lif turun. Mungkin ramai penghuni kondominium itu turun ke tempat-tempat riadah.

Setibanya di hadapan kondominium Kayla, Adelia mengetuk pintu bertalu-talu. Dia sudah membayangkan perkara pertama, kedua dan ketiga yang akan dibuat sebaik saja dia masuk ke dapur Kayla.

Lama pulalah Kayla membuka pintu. Ataukah semuanya terasa begitu lambat jika kita hendak cepat? Akhirnya pintu terbuka. Yang berdiri di muka pintu bukan Kayla tetapi seorang gadis tidak bertudung.

“You... Adelia?” soal gadis itu.

Adelia mengangguk seraya masuk ke ruang tamu. “Kay mana?”

“Bersiap. Oh ya... “ Gadis itu menghulurkan tangan. “I, Siti Hani.”

Adelia menggigit bibir kerana terlupa tata susila yang baik. Mereka bersalaman dan berbalas senyuman. Siti Hani menutup pintu lalu melangkah ke dapur. Rupa-rupanya tadi dia sedang memotong tembikai.

Di atas kabinet sudah ada susu, krim, telur dan gula. Adelia terkial-kial mencari periuk untuk membuat karamel. Dari beg sandang, dia mengeluarkan pemutar belon.

Matanya melilau ke serata pelusuk dapur. Periuk yang ada telah berisi kari ayam. Mana lagi periuk Kayla? Takkan dia simpan dalam bilik tidur kot?

“You cari apa?” soal Siti Hani.

Ligat saja tangan kanannya menyusun hirisan tembikai di dalam pinggan. Sementara tangan kirinya mencapai sebiji epal merah. Di sisinya semangkuk air berisi garam, tentunya... untuk mengelak isi epal menjadi keperangan.

“Periuk.”

“Tadi ada dua. Satu dah buat kari. Satu lagi rebus ubi.”

Adelia membuka kabinet untuk mencari mangkuk. Kalau dia ubah kari ke dalam mangkuk, pasti dia boleh guna periuk itu untuk memasak karamel. Inilah lecehnya di dapur orang bujang. Semua perkakas tiada. Semua benda tak cukup.

“Hai, chef...” Kayla menyapa dengan mesra.

Adelia ingat rakannya itu hendak menyumpahnya kerana sampai lewat. Mungkin malam ini moodnya baik.

Sorryaku lambat.”

“Tak apa. Kau buatlah krim karamel tu, janji boleh hidangkan sebelum tetamu aku sampai...”

Adelia tidak tahu sama ada untuk tergelak atau menangis. Dia hanya ada sejam saja.

“Kau ada serbuk agar-agar?” soal Adelia. “Kalau nak setcepat, kena guna agar-agar.”

Kayla tersengih. “Rumah aku ni nampak macam Giant ke?”

“Aku serius ni. Kalau aku tahu tadi, mesti aku singgah beli sebelum naik...” luah Adelia.

Hisy, masa begini pun Kayla masih hendak menyakat aku, fikir Adelia.

“Mesti ada kat kedai bawah,” jawab Siti Hani.

“Siapa nak beli?” Adelia bertanya macam orang bodoh.

“Kalau I nak tolong, mungkin sejam baru sampai balik sebab I tak berapa tahu tempat ni,” akui Siti Hani.

“Oh ya... Lia, ada pula hamba ALLAH jiran aku ni nak bawa kawan-kawan dia datang sekali. So,kau masak banyak sikitlah ya? Semua orang suka krim karamel, kan Siti?”

Siti Hani membenamkan hirisan terakhir epal ke dalam air garam sebelum meletakkan mangkuk itu di tepi singki. “You nak I tolong buat apa lagi, Kay?”

“Kay, kau tolong pergi beli serbuk agar-agar sementara aku buat karamel ni?” Adelia memujuk Kayla.

“Leceh nak turun bawah,” sahut Kayla. “Nanti aku tanya jiran aku dulu. Hari tu masa aku pergi jemput, dia orang suruh aku makan puding laici... yang, mak datuk... sedapnya!”

“Kenapa kau tak suruh dia buat bawa sini?” Dengan derasnya Adelia bertanya.

Kayla cuma tersenyum kecil. Tanpa banyak soal, dia melangkah ke pintu lantas keluar. Tidak sampai lima minit kemudian, dia sudah membawa pulang sepaket serbuk agar-agar.

Adelia yang sedang membasuh periuk melepaskan keluhan lega. Nasib baik! Setelah meletakkan paket itu di tepi bekas berisi telur, Kayla membantu Siti Hani menghidangkan makanan lain. Adelia segera menyibukkan diri menjerang gula di dalam periuk.

Sementara itu, dia menyapu mentega pada acuan. Dalam kelekaan, dia terlupa pada gula yang semakin menghanguskan dirinya. Tanpa membuang masa, dia menuangkan air dan mengacau deras supaya gula hangus itu larut. Kemudian barulah dia menuangkannya ke dalam acuan.

Langkah seterusnya dia memukul telur dengan gula hingga hancur. Kemudian menambah susu dan krim. Setelah itu ditapiskan pula ke dalam periuk. Hah? Periuk gula hangus belum dibasuh! Adelia mencapai periuk pula. Mujurlah tiada saki baki gula hangus di dalamnya. Cepat saja ia bersih.

Seterusnya dia menjerang campuran telur bersama serbuk agar-agar. Kacau lagi sehingga mendidih barulah dituang ke dalam acuan.

“Semua okey ke?” soal Kayla yang muncul di pintu dapur.

Adelia mengangguk. Setengah jam lagi dia boleh simpan krim karamel itu di dalam peti pembeku. Memang sepatutnya di dalam peti sejuk tetapi tentulah ia lambat beku pula nanti.

“Kau pergilah siap.”

“Siap?”

“Yalah... takkan kau nak pakai jeans lusuh dengan kemeja T tu? Carilah blaus aku yang cantik sikit... dalam almari ada.”

Adelia mendengus. “Yang nak datang jiran-jiran kau aje, kan?”

Kening Kayla berkerut. “Ikut suka kaulah.”

“Lagipun, aku duduk kat dapur aje, tolong basuh pinggan atau potong buah lagi...”

Siti Hani tiba-tiba muncul di sisi Kayla. “Mana best duduk dapur? Jomlah kenal-kenal dengan jiran Kay.”

“Okey.” Adelia bersetuju saja sebab semakin malas berdebat dengan mereka. “Pukul berapa dia orang nak datang?”

“Lepas maghrib kot...” sahut Kayla.

“Kalau macam tu, aku mandi dan solat dululah, ya?”

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin