Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,143
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1
"BOLEHLAH, ya?” pujuk Kayla dengan mata yang sengaja diredupkan memohon simpati.

“Boleh apa?” Adelia cuba menduga kesabaran sahabat baiknya itu.

Bukan, Kayla bukan setakat sahabat baiknya, tetapi bagaikan kakaknya sendiri. Mereka membesar di kawasan perumahan yang sama nun jauh di bandar Kuala Lipis, Pahang. Oh, itu cerita lebih dua dekad yang lalu.

Kayla tiga tahun lebih tua daripada Adelia. Dia sebaya abang Adelia, Roslee. Roslee bersama rakan universitinya, Salwa sudah membuka agensi pelancongan beberapa tahun lalu. Kebarangkalian Salwa menjadi kakak ipar Adelia adalah besar. Jika tak, masakan mereka mahu membuka bisnes bersama, bukan? Itu untuk kepentingan masa hadapan juga.

“Buat krim karamel untuk parti aku...”

“Kan kau biasa buat sendiri?”

“Biasa tu memanglah... tapi, Chef Adelia Naurah... kau buat lagi sedap.”

Adelia merenung wajah Kayla yang bujur sirih. Hari ini Kayla memakai tudung turban ala Yuna. Kelas gitu.

Serius, kalau Kayla yang merayu, Adelia pasti kalah. Mujurlah dia perempuan. Kalau lelaki, hai... entahlah. Mungkin dia sudah lari jauh-jauh supaya dia tak dengar rayuannya. Kecualilah kalau lelaki itu idaman hatinya... makin dekat dengan dia adalah! Hisy.

“Apa lagi yang kau nak masak?” Adelia ingin tahu. “Takkan ubi rebus dengan ikan masin goreng dan kelapa parut lagi?”

Kayla tergelak kecil. “Oi, tolong sikit ya... itu signature dish aku. Periuk tak pernah tak licin, tahu?”

Adelia menghabiskan teh O di dalam cawan. “Kay, waktu rehat aku dah nak habislah. Nanti kita sembang lagi, okey?”

Kayla menghadiahkan senyuman paling manisnya buat Adelia. Dia datang dari Klang semata-mata untuk minum petang bersama rakannya di SACC Mall itu. Hmm, rupa-rupanya ada niat tersembunyi.

Mereka memang akrab tetapi untuk berjumpa dan menghabiskan masa bersama-sama agak sukar. Sebagai seorang pengurus bahagian pemasaran di sebuah pusat membeli-belah yang besar, Kayla sentiasa sibuk.

“Terima kasih belanja minum...”

Kayla mencebik. “Alah, setakat teh O dengan kuih pau dan karipap, tak ada hal punya.”

“Pau? Mana pau?” soal Adelia bertalu-talu. “Yang keras macam batu ni kau panggil pau?”

“Oopps...”

“Aku sensitif, sorry.

Kayla tersengih. “Chef memang macam tu. Kalau tak komplen, tak sah.”

“Bukan komplen, aku sekadar cakap yang betul,” balas Adelia dengan penuh diplomasi. “Tak baik cakap makanan tak sedap, tahu... ni rezeki ALLAH. Aku pun dah tersasul tadi.”

Adelia berdiri lalu menghulurkan tangan kepada Kayla.

“Lia, jangan lupa lusa,” pesan gadis itu. “Bawa baju sekali. Kan kau dah janji nak tidur kat rumah aku?”

“Lusa hari Jumaat, kan?”

Kayla mengangguk deras.

Adelia melepaskan keluhan panjang. “Selalunya Sabtu ada function... jadi, aku tak boleh janji nak tidur kat rumah kau. Serius. Kalau sesiapa dalam teamaku ada hal urgent,aku kena cover...

Kayla melepaskan tangan sahabatnya itu perlahan-lahan. “Okeylah. Tak apa, asalkan kau janji buat krim karamel untuk lima orang.”

“Ek eleh... lima orang aje?” Adelia mengusik Kayla sambil bercekak pinggang. “Ingat 50 orang tadi!”

“Kalau boleh, datanglah awal sikit. Boleh kau tolong-tolong potong buah ke atau bancuh air,” pujuk Kayla.

“Insya-ALLAH, Kay. Jangan lupa bahan-bahan untuk karamel tu, tahu? Aku nak datang melenggang aje.”

“Yalah, Datin Seri. Hamba sedia menurut perintah...”

Adelia tidak mampu menahan gelak. Gelagat Kayla memang mencuit hatinya kadangkala. Sebetulnya Adelia amat terhibur bila bersamanya. Mereka pun sering balik ke Kuala Lipis jika ada cuti panjang. Namun begitu, kalau Hari Raya memang Adelia jarang balik sebab tak dapat cuti. Waktu itulah ramai orang yang tiada kampung akan menyambut Hari Raya di hotel.

Sorrylah, aku menyusahkan kau, Lia.”

Adelia tersengih. “Tahu tak apa...”

“Ni hari aku minta tolong, esok hari kau... hah, gerenti aku tolong...”

“Ya, Cik Kayla. Bersedialah untuk aku menyusahkan kau pula,” usik Adelia sebelum cepat-cepat beredar dari situ.

Mujurlah teksi banyak. Adelia pun ikut beratur. Nasibnya baik. Bila tiba giliran, dia dapat teksi yang baru. Pemandunya juga seorang yang masih muda. Dia sempat mengerling nama yang tertera di atas dashboard.Ahmad Radzi.

Serta merta ingatannya diterjah wajah executive sous chef,Chef Razi. Dalam dunia perhotelan, executive sous chefjuga digelar head chef. Sejak dia mula bekerja di Malay KitchenHotel Green Cove dua tahun lalu, Razi dan dia menjadi rakan baik. Biar dia ulang perkataan tadi. R-A-K-A-N. Itulah yang sebenarnya. Bak ungkapan popular sekarang ni, BFF.

Adelia pun tak pasti kenapa hubungan mereka amat baik. Tiada langsung unsur cinta, okey. Hanya baik. Pertama, sebagai executive sous chef, kedudukan Razi di dalam hirarki dapur hotel adalah yang ketiga. Di atas sekali chef de cuisine diikuti executive chef. Di bawahnya pula sous chef.

Manakala di bawah sous chef adalah chef de partie. Adelia memegang jawatan chef de partie. Jangan pening kepala. Memang susah nak faham pasal hirarki ini. Lain hotel, lain pula susunannya. Apa yang penting, kelayakan dan pengalaman akan menaikkan kedudukan chef sehingga ke tahap paling tinggi.

Akhirnya teksi pun tiba di pekarangan hotel. Adelia bergegas turun lalu melangkah deras ke dalam. Dia pantas menuju ke loker. Ketika menyarungkan uniform chef di dalam bilik untuk staf, pelbagai perkara berlegar-legar di ruang mindanya.

“Chef Adelia, tadi Direktor F&B cari,” kata Linda, commis chef yang comel macam cup cake.

Adelia menanggalkan apron lalu menyangkutkannya di belakang pintu. Dia baru saja nak ambil mood menumis bumbu untuk rendang malam nanti.

Linda meneruskan kerjanya menyusun bahan-bahan untuk Rojak Buah. Ia salah satu hidangan untuk tea-breakbagi kursus sehari di function room.

Apa pula yang Mr. Melvin nak? Bukankah dia boleh tanya pada Chef Mohd Noor? Kenapalah pula dia tak call atau WhatsApp?Adelia membebel sendirian seraya menolak daun pintu. Sambil menunggu lif, dia cuba menghubungi Mr. Melvin.

“Helo, chef. Datang ofis pukul 6.00 boleh?”

“Okey...”

Bye.

Mr. Melvin mungkin sedang sibuk, Adelia berkira sediri. Begitu cepat dia memberi pesanan. Barangkali juga dia sedang bermesyuarat. Dia memikul salah satu tanggung jawab terpenting di hotel itu. Setiap kali ada acara di Dewan Bankuet, dialah yang sibuk ke hulu dan ke hilir.

Adelia membuat nota mental. Jam 6.00 petang berjumpa Mr. Melvin. Jam 7.00 malam dia boleh balik dan berehat. Jam 8.00 malam dia boleh melayari internet. Jam 11.00 boleh tidur. Ah, jika ini bukan kehidupan yang selesa, dia tak tahu apa lagi ungkapan yang tepat...
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin