Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,171
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

SYED IDLAN meletakkan kotak terakhir di dalam bilik. Lima kali turun naik lif memang memenatkan. Apatah lagi setelah memandu selama empat jam dari Georgetown. Dia mengunci gril lalu melangkah ke arah peti sejuk.

Rhythm Avenue, USJ 19. Kondominium tiga bilik itu mempunyai kemudahan gimnasium, gelanggang tenis dan kolam renang. Kalau difikirkan, memang berbaloi. Hendak membeli segala jenis keperluan juga senang kerana berdekatan pusat membeli-belah yang besar.

Syed Idlan melangkah ke tingkap yang luas. Dari tingkat 11, jelas kelihatan kenderaan yang bertali arus di Persiaran Kewajipan. Cuma itulah saja yang sedikit melecehkan. Kesesakan trafik. Senang saja nak selesaikan masalah itu. Bangun awal dan keluar cepat ke Lebuh Raya Persekutuan atau ikut Lebuh Raya Shah Alam.

Lelaki itu mencapai telefon lalu mencari nombor Razip. Tidak sia-sia dia mengenali lelaki itu hampir sembilan tahun lalu. Itu pun kerana Razip dan kawan-kawannya selalu melepak di restoran. Syed Idlan bekerja sambilan di situ ketika menunggu keputusan peperiksaan SPM.

“Assalamualaikum, Razip.”

“Waalaikumussalam. Kau dah sampai mana?” soal Razip di hujung talian.

“Dah sampai kondo kau...”

Razip tergelak pendek. “Macam mana? Okey?”

“Alhamdulillah. Setakat ni, okeylah...”

“Setakat ni?” duga Razip.

Syed Idlan tergelak pendek. “Aku baru pindah sini. Nak kena belajar pergi kerja ikut jalan mana... banyak dah berubah sejak aku belajar kat sini dulu.”

“GPS kan ada?”

“Bab tu tak payah ajar...”

Giliran Razip pula untuk ketawa. “Satu lagi bab yang aku tak payah ajar kau ialah...”

“Apa?”

“Mengayat awek...”

Buat seketika, ingatan Syed Idlan diterjahi dengan wajah manis Nancy. Entah macam mana hatinya telah terpaut pada gadis itu. Mulanya dia ternampak profil gadis itu di laman sosial Facebook. Memang cantik sehingga anak muda itu terfikir, mungkinkah gadis bernama ‘Nancy’ itu menggunakan profil bintang filem Hong Kong.

Itulah yang mendorongnya untuk ‘Poke’. Kemudian Nancy pula yang menghantar mesej ke ‘Inbox’. Syed Idlan terus main-main meminta nombor telefon. Mak datuk! Nancy serta merta memberikan nombornya.

“Barang-barang semua dah angkat?” Pertanyaan Razip memancung kenangan Syed Idlan terhadap Nancy.

“Dah.”

“Kalau kau lapar, masak aje apa yang kau jumpa dalam peti ais.”

Syed Idlan tersengih. “Nenek aku dah bekalkan ketupat dengan rendang.”

“Cantik...”

“Aku panaskan rendang kejap, ya.”

“Buatlah macam dapur kau sendiri, Idlan.”

Lama Syed Idlan merenung telefonnya setelah Razip memutuskan talian. Dia masih terfikir tentang Nancy. Kenapalah agaknya gadis Cina itu begitu mudah jatuh hati padanya? Apalah yang dia ada?

Tampan? Ah, ramai lagi yang lebih kacak. Putih melepak? Tidak, dia berkulit kuning langsat campur coklat. Hidung mancung? Mungkin juga, hehe... ayah dan ibunya keturunan Arab.

Kalau setakat memiliki sebuah Proton Satria, apalah sangat? Ramai lagi lelaki lain yang lebih bergaya dengan kereta BMW atau Mercedez atau Lotus. Mungkin Nancy boleh memilih yang mana dia berkenan.

Seperti lain-lain pasangan yang baru berkenalan, Syed Idlan dan Nancy ber-Skype bila ada masa lapang. Kadangkala sehingga sejam. Dan sehingga larut malam atau awal pagi. Sememangnya Nancy begitu menyenangkan. Apa lagi yang dikehendaki oleh lelaki kalau mendapat kasih dan perhatian gadis sejelita itu?

+ You mesti ramai girl friends di MSU.

- Adalah juga.

+ Jealous I.

- Buat apa nak jealous? Kita belum kenal waktu tu...

+ I tahu. I still jealous.

- You kan dapat I sekarang?

+ Dapat? Mana ada? You selalu mengelak kalau I pegang tangan you...

- Kan I kata, kena kahwin dulu baru boleh pegang.

+You ni old-fashioned!

- Bukan old-fashioned, sayang. Ni cara yang betul ikut agama Islam. Kalau you nak kenal I lebih lagi, you kena tahu pasal Islam.

+ Jadi, you tak sayang I?

- Of course I sayang you, tapi, you kena respect pendirian I.

+ Girlfriends you dulu tu... you bagi mereka pegang you tak?

Mengenali Nancy sepanjang lapan bulan mengajar Syed Idlan tentang banyak perkara. Barangkali TUHAN menghantar Nancy untuk menduga keimanannya. Tidak, dia tidak mendabik dada mengakui bahawa imannya setinggi gunung tetapi dia benar-benar teruji.

Nancy cuba menggodanya dengan pelbagai cara. Walau bagaimanapun, Syed Idlan bukan mudah terpedaya. Apatah lagi dia duduk bersama neneknya yang asyik membebel kalau dia tidur lambat atau balik lewat.

Orang tua itu jugalah yang menceritakan kepada Razip tentang Nancy. Bukan, bukan Syed Idlan yang cerita tetapi entah macam mana pada satu hari, Nancy menelefonnya menggunakan aplikasi Viber.

Nah kau... terpampang wajah Nancy di atas skrin telefon. Apa lagi nak disorokkan? Nenek bertanya soalan dari A hingga Z lebih teruk daripada Horatio dalam CSI: Miami.

“Razip, cuba kamu nasihatkan Syed Idlan ni. Nenek langsung tak berkenan kat perempuan yang berambut perang tu... tak pakai baju pula tu! Tak malu langsung,” kata nenek.

Puas Syed Idlan menjelaskan kepada neneknya bahawa Nancy memakai pakaian yang digelar ‘tiub’. Jadi, bahagian bahunya terdedah. Tiub tu kira macam berkemban. Dalam filem-filem hitam putih zaman dahulu, semua perempuannya berkemban.

Nenek ingat basikal aje yang pakai tiub. Kamu jangan nak kelentong nenek, Syed Idlan. Jangan kamu berkawan dengan budak tak senonoh tu! Jangan kamu ingat nenek dah tua, nenek tak ikuti perkembangan fesyen, Syed Idlan. Dulu nenek kamu ni pernah jadi Ratu Kebaya, tahu?

Kata nenek, bukan tiada perempuan lain yang lebih elok daripada Nancy. Sengaja Syed Idlan tidak mahu mencari. Sengaja Syed Idlan mencari pasal berkawan dengan perempuan begitu.

Razip cuba meyakinkan nenek bahawa Nancy bukan perempuan Melayu. Jadi, dia kurang arif daripada segi pemakaian yang menutup aurat. Razip pula yang kena bambu dengan nenek.

“Nenek tahulah dia bukan orang Melayu tapi, bangsa apa pun ada adat resam. Nenek bukan kolot. Inilah masalahnya dengan budak-budak zaman sekarang, Razip. Apa bangsa sekali pun, pakaian kenalah jaga. Jangan fikir moden nak buka sana, buka sini. Orang mungkin tak ada agama, tapi semua orang dah tentu ada bangsa. Bangsa Timur kena jaga adat dan tata susila.”

Nenek memberi amaran. Syed Idlan terkesima. Kata nenek, dia takkan restu kalau cucunya itu memilih Nancy sebagai teman hidup.

Rentetan dari itu, Syed Idlan mulai merenggangkan diri daripada Nancy. Dia memberi pelbagai alasan bila Nancy mendesak untuk bertemu. Dia sengaja tidak menjawab bila Nancy menelefon. Dan dia tidak sesekali akan menelefon semula gadis itu.

Setelah hampir dua minggu tidak mempedulikan Nancy, akhirnya Syed Idlan blockNancy daripada WhatsApp. Bukan itu saja. Dia juga unfriend gadis itu di Facebook. Teknologi mengajar manusia cara yang mudah untuk memutuskan hubungan.
Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin