Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,183
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

SYED IDLAN menarik nafas lega ketika sebuah Proton Preve keluar dari tempat parkir. Dia terus memarkir Satrianya lantas melangkah ke arah Old Town White Coffee. Jam 3.00 petang, ruang restoran tidak begitu penuh. Di sudut kanan, Razip sedang membelek menu.

“Apa yang urgentsampai kau tak boleh cerita kat rumah?” Syed Idlan bertanya seraya mencapai kertas orderdan pensil.

“Susah sangat nak jumpa kau di rumah.”

Syed Idlan tersengih. “Bila aku dah balik, kau dah tidur. Bila kau nak pergi kerja, aku belum bangun.”

“Kalau dah kahwin jadi macam ni, entahlah...” keluh Razip tanpa mengangkat muka daripada menatap menu itu.

Syed Idlan tersengih. Untuk berkahwin impian setiap lelaki dan perempuan yang masih bujang. Cuma yang paling sukar mencari seseorang yang boleh hidup susah dan senang bersama.

Itu bukan prioriti utamanya sejak bekerja di Green Cove Hotel. Dia ada beberapa agenda yang belum tercapai. Umpamanya, pertandingan di antara kakitangan hotel yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Kini dia dan Commis Chef Stella sedang sibuk mencuba resipi ciptaannya untuk pertandingan tidak lama lagi. Semua bahan dibeli sendiri. Mereka hanya menggunakan dapur di Pastry Kitchen setelah selesai semua tugasan untuk hari itu.

Dengan pengalaman Syed Idlan sendiri, tidak banyak perubahan yang perlu dilakukan. Syed Idlan yakin Stella sudah faham apa yang patut dibuat pada hari pertandingan itu kelak. Mereka tidak asing lagi dengan penyediaan manisan. Jadi, bak kata orang Inggeris, ‘It’s a piece of cake’.

“Kau nak makan apa?” Syed Idlan bertanya setelah menulis pesanannya. Dia sudah makan tadi. Jadi, dia hanya memesan air limau nipis saja.

“Nasi lemak dengan kopi O.”

Syed Idlan mengangguk lalu terus menulis pesanan itu.

“Ada dua hal aku nak cakap dengan kau,” kata Razip setelah pelayan berlalu pergi. Cewah, macam serius aje.

Telefon bimbit Syed Idlan berbunyi menandakan ada mesej masuk. Namun, chef itu langsung tidak mempedulikannya. Dia memberi sepenuh perhatian kepada teman serumahnya itu.

“Hal pertama, minggu depan ada orang nak sewa bilik kosong tu,” kata Razip. “Kedua, aku nak ajak kau camping.

Syed Idlan menjegilkan matanya. “Camping?Mimpi apa kau?”

Razip tergelak pendek. “Bukan mimpi, tapi aku nak tunaikan hasrat seseorang.”

“Biar betul.”

Razip mengangguk. “Amalan baik menggembirakan hati orang. Dari dulu aku jenis outdoor...cuma bila dah bekerja ni, macam susah sikit. Bila weekendaje, nak cuci baju, bersihkan rumah dan rileks.”

“Aku weekendlah masa paling sibuk di hotel,” jelas Syed Idlan. “Mana pernah ada breaktime tu?”

Pelayan datang untuk menghidangkan minuman mereka.

“Amalan baik... apa tadi?” soal Syed Idlan. “Yang kau nak cakap tadi tu?”

Kening Razip berkerut. Dia cuba mengingati. “Oh, amalan baik menggembirakan orang.”

Syed Idlan tersengih seraya memeluk tubuh dan bersandar di kusyen. “Kau boleh gembirakan aku dengan cara tak ajak aku pergi camping.

“Bukan jauh pun... kat Bagan Lalang aje.”

“Jauh tu.”

Razip merenung wajah anak muda itu. “Pernah tak aku minta tolong dari kau sebelum ni?”

Syed Idlan melepaskan keluhan panjang. Razip yang lebih banyak membantunya tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Misalnya, menawarkan dia duduk bersama. Sewa pula murah sangat. Razip juga tidak lokek membeli barang dapur. Di dalam peti pembeku sentiasa ada ayam, daging atau udang. Di dalam peti sejuk juga tidak putus dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Lain macam aje ni,” tingkah Syed Idlan sambil mencapai gelas minumannya.

“Aku tak boleh pergi seorang,” sahut Razip. “Dan aku dah cuba ajak orang lain, semua ada hal. Ali Yeon, Shukor dengan Nasir dah berpakat nak panjat Bukit Broga pagi Ahad.”

Pelayan meletakkan sepinggan nasi lemak di hadapan Razip. Lelaki itu mencapai garfu dan sudu lalu mula makan. Keharuman sambal ikan bilis dan rendang ayam menggamit selera Syed Idlan, tetapi perutnya memang masih kenyang setelah diisi dengan pulut dan rendang daging.

“Bagan Lalang tu luas, bro...

Mendengar kata-kata Syed Idlan, Razip tergelak kecil. Itu petanda Syed Idlan hampir bersetuju untuk pergi.

“Nanti aku WhatsApp kordinat tempat tu kat kau,” janji lelaki itu. “Gerenti tak sesat punya sebab tempat tu kat tepi pantai. Banyak signboards.

Razip mula makan dengan penuh berselera kerana fikirannya tidak lagi kacau. Minda Syed Idlan pula yang bercelaru kerana jadual hujung minggu sangat padat. Memang mustahil kalau dia hendak sediakan semua hidangan dessert seawal mungkin.

Lainlah kalau pai, strudel, biskut, kek atau macaroons yang boleh tahan selama beberapa hari. Syed Idlan cuba memikirkan pelbagai alternatif. Dia perlu merancang supaya dapat bertolak ke Bagan Lalang seawal mungkin. Soalnya sekarang dia perlu berbincang dengan Chef Stella untuk menggantikannya.

“Mungkin aku sampai lewat sikit,” kata Syed Idlan.

“Takde masalah... asalkan kau ada pagi minggu dan bolehlah kita sediakan sarapan bersama-sama.”

“Okey.”

Syed Idlan meneguk minumannya sampai habis. “Eh... kau belum beritahu lagi hasrat siapa yang kau nak tunaikan tu?”

Lelaki itu mengunyah nasinya perlahan-lahan dengan penuh nikmat. Nasi lemak panas, rendang berempah dan sambal yang agak-agak pedasnya memang sedap dimakan tidak kira masa dan tempat. Kalau berkelah di tepi air terjun atau pantai, lagilah terasa keenakkannya.

“Kau datanglah dulu, baru kau tahu,” jawab Razip dengan selamba badaknya.

“Okey, insya-Allah... Sabtu malam, kan?”

Razip mengangguk. “Hah, satu lagi. Lepas aku pacak khemah, aku akan beritahu kau mana tempatnya. Dibuatnya banyak khemah yang sama, nanti kau keliru pula.”

Syed Idlan diam berfikir. Dia seakan-akan sudah dapat meneka ‘siapa’ yang dimaksudkan oleh sahabatnya itu. Sudah tentulah Kayla, gadis yang berjiran dengan mereka. Semenjak majlis kecil-kecilan di rumah Kayla, memang satu hari tidak sah kalau Razip tidak menyebut nama gadis itu.

Mungkinkah mereka sudah semakin serius? Jika tidak, masakan Razip beria-ia hendak menunaikan impian Kayla untuk pergi berkhemah. Selalunya orang akan gigih berusaha demi sesuatu impian.

“Aku kena balik hotel dulu ni,” ujar Syed Idlan sambil berdiri. “Terima kasih belanja minum.”

Razip mengangguk beberapa kali. “Apa-apa hal, call.

Syed Idlan segera beredar. Semasa memandu ke hotel, kenangannya diterjahi dengan wajah Nancy. Satu ketika dulu, dia juga banyak berkorban untuk gadis itu. Mereka melalui saat-saat indah bersama. Percintaan antara dua insan adalah sesuatu yang cukup mendebarkan.

Ah, mungkin tiada jodoh di antara mereka. Jikalau mereka telah tersurat untuk bersama, pastilah perjalanan cinta mereka menemui destinasinya iaitu sebuah perkahwinan.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin