"ANNA dah hantar resume,
papa.”
Datuk Talhah menyapu
mentega pada sekeping roti. Wajahnya bercahaya. Gembira benar dia mendengar
pengakuan anak tunggalnya itu. “Jawatan pastry sous chef tu dah lama kosong, Anna. Macam tunggu
Anna balik aje.”
Joanna tersenyum
manis. Dia menghirup teh O perlahan-lahan. Ibu tirinya sudah keluar ke
gimnasium awal-awal tadi untuk beriadah bersama teman-temannya. Begitulah
rutinnya setiap pagi.
“Papa akan tanyakan head
chef bila papa masuk kerja nanti. Esok Anna boleh mula ke?”
Terbeliak mata gadis
itu mendengar kata-kata papanya.
“Kami sedang dalam
proses reorganizing kitchen staff. Beberapa chef akan dihantar ke J.B.
Jadi, kalau Anna dah masuk, mudah sikit kerja head chef.”
Joanna mengangguk.
“Anna tak banyak pengalaman kerja di hotel, tapi...”
“Jangan risau, Anna.
Sebagai lulusan International Culinary Institute di Switzerland, Anna tentu tak
ada masalah. Papa mahu Anna perkenalkan desserts yang belum ada di
mana-mana hotel di Malaysia ni. Biar semua orang datang ke Green Cove Hotel
kerana tu!”
Kedua beranak itu
saling berpandangan sebelum mengangguk.
“Ini akan memajukan
lagi hotel dan menarik lebih ramai ahli perniagaan untuk melabur dengan kita,”
ujar Datuk Talhah lagi.
“Papa dah patut
berehat.”
Lelaki tua itu hanya
tersenyum mendengar kata-kata anaknya. “Memang sampai bila-bila bekerja takkan
puas tapi bila hotel baru dibina, ini bermakna rezeki untuk lebih ramai orang
bekerja. Dengan cara ini, pendapatan mereka dan anak-anak mereka terjamin. Kita
kena kerja kuat, Anna.”
Joanna tersenyum
kecil. “Ya, itulah yang selalu mummy kata tentang papa. Kerja kuat sampai
lupakan dia...”
Air muka Datuk Talhah
berubah sedikit. “Dia terlupa untuk beritahu Anna yang dia juga kerja kuat
sampai lupakan papa.”
“Anna tak tahu kenapa
mummy belum kahwin lain. Ramai lelaki yang inginkan dia. Dia masih cantik, kan
papa?”
Datuk Talhah tergelak.
“Tu yang mama sangat cemburukan dia.”
“Anna faham.”
“Papa rasa, kalau Anna
dah kahwin, tentu Anna lebih faham.”
Joanna memandang
ayahnya dengan pandangan kosong. Hatinya berkata, tentu mama sudah bercerita
tentang Rosli. Buat sementara waktu, biarlah keadaan menentukan. Dia akui Rosli
seorang yang begitu bertanggungjawab dan mempunyai masa hadapan yang sangat
cerah, tapi buat masa ini dia hanya menganggap Rosli sebagai seorang sahabat.
“Papa nak pergi kerja
sekarang, Anna.”
Joanna menghantar
ayahnya di hadapan pintu. Dia ingin berehat di rumah saja sepanjang hari. Dia
juga mahu mengupdate blognya yang sudah agak lama terbengkalai. Sejak
Facebook menjadi kegilaan ramai, kebanyakan orang sudah tidak lagi menjenguk
blog.
Walau bagaimanapun,
Joanna tetap yakin ramai yang masih setia mengikuti ‘Joanna’s Bites’. Di
situlah dia berkongsi banyak teknik membuat manisan. Dia juga memperolehi
banyak respons daripada mereka yang melayari lamanwebnya itu. Itulah kepuasan bagi seseorang
chef.
Sewaktu hendak menaiki
tangga ke tingkat atas, Joanna ternampak kereta ibu tirinya sedang bergerak
masuk ke bawah anjung. Di belakang kereta itu, masuk pula sebuah BMW. Seketika
kemudian, riuh bunyi beberapa orang wanita berbual dan ketawa. Joanna melangkah
ke pintu hadapan lalu membukanya.
“Hai, Anna...” sapa
Puan Sri Zaini dengan wajah ceria. Dia yang memandu BMW tadi.
Joanna bersalaman
dengan teman-teman ibu tirinya. Datin Mona begitu bangga memperkenalkan gadis
itu. Rata-ratanya memang mempunyai suami berkedudukan tinggi dalam pentadbiran
kerajaan atau ahli-ahli korporat. Ada enam orang semuanya. Mesra dan peramah
sungguh mereka.
“Anna, mereka ni semua
tak jadi ke gim sebab dengar Anna balik sini. Mereka nak rasa sarapan Aussie
style.”
Joanna tersenyum
manis.
“Kalau you semua nak
tahu, Anna ni bakal menantu Puan Sri,” kata Datin Mona dengan megah.
Joanna menyembunyikan
kemelut di hatinya. Dia tidak mahu menjatuhkan air muka ibu tirinya. Biarlah
mereka menyelesaikan soal jodoh itu kemudian. Antara Rosli dan dirinya belum
ada apa-apa perasaan lagi. Perjalanan masih jauh.
“Insya-ALLAH...” sahut
Puan Sri Zaini sebelum berpaling ke arah Joanna. “Boleh kamu tunjukkan macam
mana nak masak sarapan ala orang Australia?”
“Ya, kami semua nak
belajar,” tambah seorang wanita yang berskarf corak rama-rama.
“Anna, tadi mama
singgah di Cold Storage beli sosej, bacon lembu, cendawan butang dan hash
browns.”
Joanna melangkah ke
dapur rumah yang luas dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih. Dia
mencapai telur dan tomato di dalam peti sejuk. Kemudian, dia menjerang air dan
memasukkan sedikit cuka.
“Nak buat apa ni,
Anna?” soal Puan Sri Zaini.
“Poach eggs...kalau
letak cuka, telur yang kita masukkan ke dalam air mendidih ni tak pecah...
cantik bentuknya.”
“Oooohh...” Beberapa
suara bernada kagum menyahut seiring.
“Sosej dengan bacon
ni mama tolong grilkan, ya, Anna?” ujar Datin Mona pula.
Suasana dapur mulai
riuh. Wanita-wanita itu bercerita tentang anak-anak perempuan mereka yang malas
ke dapur. Untunglah Datin Mona kerana Joanna seorang chef.
“Cendawan ni nak buat
apa, chef?” soal wanita berskarf tadi.
“Goreng dengan bawang
putih dan parsli,” jawab Joanna.“Hash browns ni kena goreng
juga.”
“Kalau macam tu, biar aunty
hiris cendawan ni, ya?”
Gadis itu mengangguk.
“Tomato tu belah dua, kita nak gril sekali.”
Datin Mona
mengeluarkan beberapa buah pinggan dari almari dan rakan-rakannya mula mengatur
di meja. Kalau di rumah mereka, tentulah semua itu dilakukan oleh pembantu
rumah. Dua orang lagi sibuk membancuh minuman.
Apa yang pasti, sesi
riadah di gimnasium untuk membakar lemak pagi ini menjadi sesi menambah lemak
badan. Kalau dinyatakan berapa banyak kalori untuk sepinggan sarapan ala
Australia, pasti terduduk semua wanita-wanita itu.
Puan Sri Zaini mencuit
lengan Joanna. “Bila Anna nak datang rumah aunty. Boleh kita masak
makanan kegemaran Rosli.”
Joanna cuma tersenyum
kecil. Semalam semasa di dalam kereta bersama Rosli, anak muda itu telah
menerima panggilan telefon daripada seseorang. Ada sesuatu tentang cara Rosli
berbual yang membuatkan Joanna terfikir pemanggilnya adalah seorang gadis yang
istimewa.
Hmm... Rosli bakal
menghancurkan hati ibunya, fikir Joanna. Ataukah Rosli akan menurut kata ibunya
dan menghancurkan hati gadis itu? Barangkali keputusan yang akan aku ambil
bakal mengubah segala-galanya...