Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,167
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

"KENAPA muka kau pucat, Lia?” soal Kayla sewaktu meletakkan cerek di atas dapur portable.

Adelia memegang lengan kirinya yang terasa kebas. Sejak terjaga subuh tadi, dia memang rasa tidak selesa. Dia rasa ada sesuatu yang tidak kena. Dalam posisi tertentu, lengan itu terasa pedih dan berdenyut-denyut.

“Sakit ke tangan tu?” Razip yang baru muncul pula bertanya.

Syed Idlan yang berjalan di belakangnya merenung wajah Adelia. Wajahnya dibayangi kerisauan.

Adelia hanya mengangguk.

“Patutlah tak banyak bercakap sejak bangun tadi,” ujar Kayla pula. “Aku ada minyak angin...”

Razip sudah membongkokkan tubuh ke arah Adelia. Dia menyentuh lengan gadis itu perlahan-lahan. Syed Idlan dan Kayla cuma memerhati.

“Sakit kat mana?” soal Syed Idlan ingin tahu.

Razip mengeluh. “Ni mesti pasal kau tertindih dia malam tadi.”

“Entah-entah tangan Lia dah patah?” Kayla meneka.

Syed Idlan mengetap bibir. “Kalau patah, teruk sakitnya... ni macam rileks aje.”

“Woi, takkan awak nak tengok saya meraung kot?” Adelia membalas dengan nada berang.

Razip dan Kayla tersengih. Syed Idlan cuma buat muka selamba. Dalam keadaan ni pun dia boleh pendamkan emosi dia!

“Harimau betina kalau dah cedera macam nilah...” sempat lagi chef itu mengusik Adelia.

Eeii, nak aje Adelia benamkan penumbuknya di hidung mancung lelaki itu. Atau sekeh kepalanya dengan siku. Biar Syed Idlan rasa sakit dan pedih macam yang sedang dia rasa ketika itu.

Kayla menyentuh lengan kiri Adelia. “Macam bengkaklah aku rasa...”

Adelia diterpa kebimbangan. Biar betul. Takkan kena tindih sekejap dah jadi parah macam ni?

“Baik pergi klinik segera,” usul Razip. Wajahnya penuh prihatin.

Kayla mengangguk. “Betul tu. Kalau tunggu lama, takut melarat pula.”

“Ala, tak apa. Mungkin lebam biasa. Esok baiklah...” balas Adelia kerana tidak mahu perkara itu menjadi penyebab perkhemahan mereka menjadi tidak seronok.

“Saya rasa, torn muscleni.Kena letak kiub ais, okeylah tu,” cadang Syed Idlan.

“Eh, awak doktor ke?” perli Adelia.

Syed Idlan tersengih mendengar pertanyaan Adelia.

“Kat mana nak cari ais?” soal Kayla. “Kena keluar ke kedai runcit. Dekat-dekat sini mana ada 7E?”

Adelia menoleh ke arah Kayla. “Kay, aku rasa aku nak balik dululah... pergi klinik panel dekat rumah aku.”

“Nak balik?” soal Kayla kembali.

Syed Idlan menyangkutkan beg sandangnya ke bahu. “Biar saya hantar awak, Adelia.”

Kayla dan Razip memandang Syed Idlan. Mata Adelia terbeliak mendengar kata-kata Si Konon Bijak itu. Huh, dia fikir aku akan setuju? Pergh. Macam bagus aje.

“Terima kasih, saya naik teksi aje.” Pantas Adelia memberi cadangan seraya berdiri. “Kay, tolong ambil beg aku dalam khemah.”

Razip memandang Adelia. “Mana ada teksi waktu pagi macam ni? Kay, ambil beg dia cepat. Biar dia balik dengan Syed Idlan. You tolong I kemaskan khemah.”

“Hah?” Mendadak Adelia menyoal.

“Lagi lama you tunggu sini, lagi parah tangan you tu nanti, Adelia...” Razip cuba menakutkan gadis itu.

Adelia terdiam.

“Apa lagi awak tunggu tu?” soal Syed Idlan. “Jomlah.”

Lekas saja lelaki muda itu beredar seraya menggalas beg pakaian Adelia. Weh, bila pula Kayla beri beg aku pada dia? Adelia menyumpah-nyumpah di dalam hati. Mereka ini buat aku rasa macam aku ini budak kecil. Semua kena ikut arahan. Tidak boleh berkata tidak.

Kayla segera memeluk rakan baiknya itu. “Apa-apa, callaku.”

Adelia mengangguk lantas mengekori Syed Idlan menuju ke tempat parkir. Lelaki itu membukakan pintu kereta. Tanpa banyak soal, gadis itu masuk.

Mereka meninggalkan daerah itu dalam cuaca pagi yang mendung. Adelia berasa serba salah kerana telah merosakkan suasana perkhemahan yang sepatutnya menggembirakan. Argh, itu soal kecil. Soalan besarnya adalah keadaan tangan kirinya yang semakin lama semakin kebas.

“Awak nak makan apa?” soal Syed Idlan setelah hampir 10 minit Satria meninggalkan tapak perkhemahan.

Adelia memandang ke arah jalan raya yang terbentang di hadapan. Mereka melalui kawasan perkampungan dengan pokok-pokok rendang di kiri dan kanan. Dada Adelia masih bergemuruh bila teringat tadi Syed Idlan telah membantunya memakaikan tali pinggang keledar.

Yalah, kan tangan kanan Adelia sedang mengampu tangan kirinya yang sakit? Kalau dibiarkan tangan kiri terjuntai, alamat sakitnya pasti bertambah lagi.

“Awak okey?” Syed Idlan bertanya lagi. “Sakit lagi?”

Adelia angguk sebelum menjawab. “Sekarang bukan aje sakit lengan, tapi sakit hati.”

Syed Idlan tersengih. “Sakit hati takde ubat, susah tu.”

Adelia mendengus keras. “Siapa suruh awak hempap saya semalam?”

“Saya ada pilihan ke? Yang awak ketuk kepala saya dengan senduk tu, kenapa? Ada saya komplen kepala saya ni benjol?” Syed Idlan melontarkan soalan bertalu-talu. Dia mengetap bibir. Menahan sabar.

“Saya risau sangat sekarang. Macam mana kalau tulang patah? Saya takkan dapat masuk pertandingan masakan tu!” Nada suara gadis itu kedengaran amat kecewa.

“Kan tadi saya kata, kalau patah... malam tadi awak dah meraung.”

Adelia terdiam. Terasa bodoh pula kerana risau bukan-bukan. Syed Idlan terus memandu Satria dengan tenang. Adelia pula yang gabra bila sesekali mereka bertentang mata. Memang dia rasa macam menyusahkan lelaki itu saja... tapi, kalau nak naik teksi tentulah tidak munasabah pula.

“Bukan tu yang awak kena risau sekarang, tapi...” ujar Syed Idlan sebelum membelokkan keretanya ke tepi jalan. Dia memberhentikan kereta itu betul-betul di hadapan sebuah gerai yang menjual kuih-muih serta nasi lemak.

Tanpa sepatah kata, Syed Idlan melangkah keluar. Adelia melihat dia memilih beberapa jenis kuih. Sesekali mak cik empunya gerai itu melemparkan pandangan ke arah gadis itu. Apa agaknya yang bermain di fikiran mak cik itu? Dia bertanya sesuatu kepada Syed Idlan sambil menuding ke arah Adelia.

Adelia nampak Syed Idlan memandang ke arahnya sambil tersengih. Sah-sahlah mereka berdua sedang bercakap pasal aku, fikir gadis itu. Memang nak kena belasah main-main gosip masa aku tengah sakit macam ni!

Seketika kemudian, Syed Idlan kembali masuk ke Satria. Sebaik saja menutup pintu di sebelahnya, dia membuka plastik berisi kuih lalu mengeluarkan sebiji karipap. Tanpa Adelia duga, dia menyuakan karipap ke mulutnya.

“Woi, apa ni?” Gadis itu menyoal sederas kilat.

“Makan ajelah, orang dah suap ni. Kan tangan awak sakit? Macam mana nak makan sendiri?”

“Sebelah aje yang sakitlah!” balas Adelia seraya cuba mengambil karipap itu dengan tangan kanannya.

Namun, dia gagal kerana karipap itu sangat hampir dengan bibirnya. Lagipun, tangan Syed Idlan menepis tangan kanannya yang ingin mencapai karipap itu. Terlintas di fikiran Adelia, takkan dia nak tolak tangan lelaki itu dengan sekuat hati kot? Silap hari bulan, jadi macam adegan gusti tangan. Gila.

Mata Syed Idlan memandang ke arah mak cik di gerai. Serentak dengan itu, mata Adelia juga turut mengekori pandangannya. Ternyata mak cik itu sedang leka memerhati ke arah mereka. Uiks, Adelia tak faham... apa yang sedang berlaku?

“Jangan degil, makan ajelah karipap ni...” pinta Syed Idlan.

Mahu tak mahu, Adelia menggigit hujung karipap itu. Serba salah betul. Ada rasa malu dan rasa menyampah dengan gelagat Syed Idlan. Setelah habis karipap itu, barulah Syed Idlan memandu kereta itu pergi dari situ. Amboi, sempat pula mak cik di gerai itu melambai ke arah mereka.

“Mak cik tu tanya kenapa isteri tak keluar kereta,” kata Syed Idlan tanpa sempat Adelia bertanya apa-apa.

Gadis itu tergamam. Isteri?

“Saya kata, isteri sakit kaki dan tangan,” jawab lelaki itu lagi. “Itulah sebabnya saya suap awak tadi.”

“Memandai awak tipu mak cik tu!”

“Sesekali apa salahnya? Lagipun, kita takkan jumpa dia lagi...”

“Isy, susah bercakap dengan orang macam awak ni!” Akhirnya Adelia terpaksa mengalah.

Syed Idlan terus memandu. Adelia pun tidak pasti berapa lama dia memandu kerana dia terlelap. Sedar-sedar saja, Satria sudah berhenti di hadapan sebuah klinik.

“Datin Seri, kita dah sampai...” Syed Idlan berdrama pula dengan gadis itu. Datin Seri? Macam bagus aje.

“Kat mana ni?”

“Klinik panel hotel,” jawab lelaki itu.

Huh, macamlah Adelia tak tahu. Yang dia pergi tanya lelaki itu, apa pasal? Mencari pasal, sebenarnya. Sebetulnya dia jarang sakit jadi memang tak biasa ke klinik. Selalunya selepas telan ubat tahan sakit atau ubat demam yang dibeli di farmasi, dia sembuh.

Tapi, kali ini lain pulalah. Ingatkan pergi temankan Kayla dapat berseronok dan berehat. Rupa-rupanya dapat musibah. Hmm... yang gembira tentulah pasangan yang sedang bercinta itu – Razip dan Kayla.

“Mana I.C?” soal Syed Idlan ketika Adelia terkial-kial hendak membuka tali pinggang keledar.

Tanpa banyak soal, Syed Idlan terus membantunya. Kemudian dia turun dan membukakan pintu. Eeii... macam puterilah pula. Perasaan Adelia terawang-awang sekejap.

“Nak buat apa I.C?” Adelia bertanya.

“Nak buat sos barbeku.” Selamba aje Si Konon Bijak itu nak berdrama waktu gadis itu tengah menahan sakit. “Dalam beg, ya?”

Adelia memang tak bawa beg tangan. Hanya ada beg sandang berisi pakaian. Alamak, malunya bila mengenangkan Syed Idlan akan melihat isi beg itu kalau dia yang mencari I.C. yang diletak di dalam dompet.

“Sa... saya... tolong buka zip, saya ambil sendiri.”

“Zip apa?” soal Syed Idlan. “Zip seluar?” usiknya pula.

“Wei, gila ke apa?” Celupar sungguh mulutnya menyakat tak tentu pasal.

Syed Idlan cuma tersengih. Dengan selamba, dia mengeluarkan kad pengenalan Adelia dari dompet. Dia tahu agak sukar untuk gadis itu berbuat demikian.

Dia terus membukakan pintu klinik lalu membuat pendaftaran. Mujur pesakit tiada pada waktu itu.

Adelia masuk sendirian berjumpa doktor kerana Syed Idlan mencari mesin untuk membeli resit parkir. Kata doktor, otot lengan gadis itu terkoyak sedikit. Dia memberi ubat penahan sakit dan krim untuk disapu di bahagian yang sakit. Katanya, Adelia perlu bercuti seminggu sebelum boleh kembali bekerja.

Jururawat meletakkan pengampu yang disangkut di bahu untuk tangannya agar ia tidak bergerak banyak. Sewaktu hendak keluar dari klinik, dia bertembung dengan Syed Idlan.

“Dah siap?”

Gadis itu mengangguk. “Boleh ambik beg saya tak? Saya nak balik naik teksi. Saya dah banyak menyusahkan awak, chef.”

Syed Idlan langsung tidak menghiraukan kata-kata Adelia. Dia membuka pintu kereta lalu berpaling ke arah Adelia. “Kalau awak tak masuk sekarang, saya dukung awak dan campak ke dalam kereta ni!”

“Hah?”

“Ingat saya tak berani ke?” duga anak muda itu seraya merenung tepat ke arah Adelia.

Adelia terkesima beberapa detik. Biar betul. Hatinya berbisik. Dia ingat, dia siapa nak arah-arah aku buat itu dan ini?

“Awak nak naik teksi? Awak tahu tak susah dapat teksi kat sini?”

“Saya tahu Shah Alam lebih daripada awak, Chef Syed Idlan.” Adelia sempat menyindir Syed Idlan sebelum melangkah masuk ke Satria. Tak apalah hari ni dia menang. Adelia sudah malas hendak bertekak.

“Doktor kata apa? Berapa hari dapat MC?” tanya Syed Idlan sambil terus memandu ke jalan utama.

“Tunggu. Awak tahu saya duduk mana?”

“Awak belum jawab soalan saya... eh, pembetulan... soalan-soalan saya.”

“Tak sangka awak ni... awak ni, macam ni...”

Syed Idlan tergelak kecil. “Itu bukan jawapan yang saya cari, Cik Adelia.”

Adelia mengeluh. “Otot lengan saya terkoyak. MC seminggu... tapi, saya takkan duduk diam sebab pertandingan tu minggu depan! Saya tak nak awak menang.”

“Okey.”

Adelia menoleh, merenung lelaki yang memandu itu. “Okey? Tu aje?”

Syed Idlan tersengih.

“Saya akan buktikan.”

“Ya, saya percaya. Tentu awak dah banyak belajar sejak hidangkan karamel hangus hari tu.”

Adelia menelan kata-kata lelaki itu dengan rasa jengkel. Lebih lama berbicara bermakna lebih panas hatinya. Syed Idlan terus memandu sehingga ke hadapan rumahnya. Mungkin Kayla sudah memberitahu lelaki itu di mana dia tinggal. “Terima kasih, Chef Syed Idlan.”

“Eh, biar saya tolong. Tangan awak tu kan sakit?”

“Ta... tak payah. Saya okey.”

“Ni nasi lemak bungkus mak cik kena tipu tadi... ambillah. Buat Milo panas... lepas tu makan ubat. Tidur.”

Adelia menjegilkan mata ke arahnya. “Saya bukan budak kecil.”

Syed Idlan cuma tergelak sebelum memandu pergi.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin