"LIA, kamu tengok apa tu?” Suara Kak Hayati menampar
gegendang telinga Adelia.
Kak Hayati baru saja
turun dari biliknya di tingkat atas. Dia adalah sepupu ibu Adelia. Anak
perempuannya, Sabariah yang baru saja habis SPM juga tinggal bersamanya. Jadi
ini bermakna, Adelia dengan Sabariah berpangkat dua pupu. Seorang lagi teman
serumah mereka adalah rakan baik Kak Hayati, Kak Maz.
Kak Hayati sudah lama bercerai dengan suaminya. Manakala Kak Maz
yang berusia 36 tahun sedang bercinta dengan suami orang. Ya, bukan sesuatu
yang aneh, kan? Yang sadisnya, suami orang itu juga mempunyai kekasih hati yang
lain. Jadi, ia cinta empat segi dan bukan tiga segi. Cinta tiga segi sudah
sangat klise. Pada zaman siber ni orang sudah semakin meminggirkan soal kasih
suci dan cinta abadi.
“Ni blog masakan yang terkenal di Australia, Kak Yati,” jelas
Adelia.
Kak Hayati menghampiri Adelia yang duduk di meja makan rumah
teres empat bilik itu. Bilik Adelia bersebelahan dapur. Sementara pintunya
menghadap ruang tamu.
“Joanna’s Bites. Nama pemilik blog ni, Chef Joanna,” cerita
Adelia. “Emak dia berbangsa Australia. Ayah dia orang Melayu Malaysia.”
Kak Hayati yang berkaftan longgar membelek skrin laptop.
“Mana foto chef tu, Lia? Mesti cantik orangnya sebab berdarah kacukan.”
Adelia menggeleng. “Takde foto, Kak Hayati. Dia jenis low-profile.”
Kak Hayati menuding ke arah sebiji kek dengan aising berwarna-warni.
“Eh, sedapnya kek tu. Bila kamu nak buat untuk akak, Lia?”
Adelia tergelak kecil. “Insya-ALLAH... satu hari nanti.”
Kak Hayati melangkah ke dapur. “Nanti akak dapat bonus, akak beli
ketuhar. Boleh ler kamu ajar akak buat kek sekali, ya Lia.”
Adelia tersenyum. “Sab ke mana, Kak Yati?”
“Entahlah, malas akak nak tanya dia. Dia kata nak cari kerja
sementara tunggu keputusan. Tapi, akak rasa diamelepak
dengan kawan-kawan aje. Risau akak sebab dia selalu balik lewat malam.”
Adelia mengerling jam di kanan laptop.Sudah hampir 11.00
malam. Ada bunyi air mendidih di dalam cerek elektrik. Agaknya Kak Hayati
membancuh minuman panas. Selalunya dia akan duduk di ruang tamu menonton TV
hingga larut malam.
Telefon bimbit Adelia tiba-tiba berbunyi. Terus aje dia menjawabnya.
Suara seorang wanita menyapanya di hujung talian.
“Adelia, sorrykacau
malam-malam macam ni,” ujar Hajah Jarini. “Ni pasal majlis di galeri lukisan
hujung minggu ni. Katerer yang saya ambil tu tak dapat sediakan panini. Frust
sangat. Kay kata you pandai buat. Bolehlah, ya?”
“Panini? Saya...”
“You boleh datang malam tu, kan?”
Kebetulan memang Adelia offhari Sabtu itu. Dia ada cakap
pada Kayla yang dia boleh pergi ke majlis itu. Ya, apa salahnya, kan... beri
sokongan pada galeri lukisan Haji Ahmad Denil?
“Saya jemput you, kita
pergi awal ke Bangsar. Boleh sediakan panini di situ sebab ada dapur dan
perkakas lain. Apa-apa bahan yang you nak guna, saya belikan dulu.”
Kayla ni menjaja nama aku pula, fikir Adelia. Lepas peristiwa
krim karamel yang pahit tu, Kayla masih terus percayakanku! Atau mungkin juga
tiada orang lain yang sanggup buat panini dalam masa yang suntuk. Jika tahu
membuatnya memang mudah. Hanya tekniknya saja yang sedikit rumit.
“Berapa orang yang nak datang nanti?” soal Adelia.
Kata Hajah Jarini, dalam 100 orang. Adelia terus memberitahu
wanita itu apa yang perlu dibeli. Mereka berjanji untuk berjumpa pada hari
Sabtu pagi. Selepas menamatkan perbualan, barulah Adelia perasan Kak Hayati
sedang memerhatinya.
“Siapa tu?”
“Jiran Kay. Dia nak buat majlis.”
“Lia, akak risau dengan Sab tu. Bebas sangat ke sana ke mari.”
“Kan akak boleh nasihat dia, jangan kasi dia keluar?” Adelia pula
membidas. Cewah, bajet suci aje kau ni!
“Nanti dia marah, dia tak nak tegur akak. Kalau dia lari dari
rumah, siapa yang susah? Akak juga, kan?”
Adelia menutup laptopnya
lalu bangun. Dia tak faham kenapa ada juga ibu bapa zaman siber ni yang takut
pada anak mereka. Mungkin Kak Hayati terlalu manjakan anaknya itu.
Tiba-tiba terdengar kunci di pintu hadapan. Dengan tidak
semena-mena, wajah Sabariah yang pucat lesi terpacul di situ. Kak Hayati dan
Adelia saling berpandangan dengan penuh tanda tanya.
JAMUAN di galeri milik Haji Ahmad Denil berjalan lancar. Ada di
kalangan tetamu yang sudah membeli beberapa buah lukisan. Yang lain cuma
menikmati lukisan sambil menjamah finger foodyang telah disediakan.
Haji Ahmad Denil dan Hajah Jarini melayani tetamu mereka dengan gembira.
Selain panini yang dibuat oleh Adelia, ada bebola tauhu berinti,
mini pulut kuning dengan rendang, krim paf berinti tuna, jejari udang dengan
bijan dan seumpamanya. Jus buah-buahan seperti kranberi, delima dan oren juga
dihidangkan.
Adelia agak kecewa kerana Kayla tak dapat hadir. Sakit kepala,
katanya. Sekitar jam 6.00 petang, katerer menghantar makanan. Adelia
menyusunnya di dalam pinggan-pinggan besar. Hajah Jarini ke hulu ke hilir
melayani tetamu suaminya sambil memastikan makanan dan minuman mencukupi.
Syed Idlan dan Razip tiba kira-kira pukul 9.30 malam. Mereka
terus ke tingkat atas untuk membelek koleksi yang dipamerkan. Haji Ahmad Denil
menjelaskan tentang aspek menarik lukisan-lukisan itu. Kemudian mereka bertiga
turun ke taman kecil untuk menikmati hidangan.
Hajah Jarini yang sedang melayani rakannya berbual terus menyapa
Razip dan Syed Idlan. “Jemputlah makan,” pelawa Hajah Jarini. “Royana, mereka
ni jiran I.”
Syed Idlan dan Razip berbalas senyuman dengan Royana. Kemudian
mereka mengambil beberapa jenis makanan. Manakala Haji Ahmad Denil meneguk jus
delima.
“Sedaplah panini ni,” puji Syed Idlan sambil mengunyah
perlahan-lahan.
“Selalunya kalau sedap macam ni dekat restoran Italy aje,” sahut
Razip pula seraya mencapai kepingan yang ketiga.
Royana mencelah. “Hah, kan betul I cakap tadi, Jarini? I dah
minta nak bawa balik, tapi rupa-rupanya dah tinggal sikit...”
Haji Ahmad Denil dan isterinya tergelak kecil.
“Roy, yang lain I boleh bagi tapi panini memang dah takde. Ni pun
yang last...”
“Ada name-cardkaterer you, Jarini?” soal Royana.
“Katerer yang I ambil ni buat semua kecuali panini. Yang tu
istimewa sikit... tunggu kejap, ya,” jawab Hajah Jarini.
Wanita itu masuk ke bahagian dapur. Seketika kemudian dia muncul
bersama Adelia. “Hah, kalau nak tahu, ni orangnya yang buat panini tu.”
Syed Idlan dan Razip menjeling sesama sendiri. Terlopong mulut
Adelia melihat kedua-dua jejaka itu di situ. Dia langsung tak menyangka mereka
akan datang.
Royana menghampiri Adelia lalu bersalaman. “Boleh buatkan untuk I
tak? Minggu depan majlis cukur jambul anak saudara I.”
Adelia tersenyum kecil lalu mengucapkan terima kasih serta
insya-ALLAH. Royana memberikan name-cardnya serta memohon agar Adelia
menelefonnya.
“Semua orang puji panini yang you buat, Adelia,” kata Hajah
Jarini. “Lebih-lebih lagi Syed Idlan dengan Razip ni...”
Adelia hanya mampu tersengih. Kalau di rumah Kayla pudingnya
pahit, nampaknya di sini panininya berjaya menambat hati ramai. Hah, terbukti
sudah keupayaannya. Gadis itu berasa gembira lebih-lebih lagi bila teringat air
muka Syed Idlan sewaktu mata mereka bertentangan tadi. Nampak macam lelaki itu
tak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Hajah Jarini.
Beberapa orang tetamu baru sampai. Kecoh seketika tatkala mereka
mengelilingi Haji Ahmad Denil dan Hajah Jarini. Adelia segera berlalu ke dapur.
Hasratnya nak menyudahkan kerja mengemas. Sewaktu sedang mengikat beg sampah,
dia perasan seseorang mendekati. Argh, Si Konon Bijak tu, rupa-rupanya!
“Awak cari apa? Panini dah habis,” sindir Adelia tanpa menoleh ke
arah lelaki itu.
Syed Idlan tergelak pendek. “Di mana awak belajar buat panini macam
tu?”
Adelia ke singki membasuh tangan kemudian mengelapnya. Sengaja
dia hendak mendera lelaki itu. “Tu rahsia saya.”
“Rahsia?” soal lelaki itu sebelum tergelak lagi. “Awak seorang
yang fikir ia rahsia. Saya tahu, awak cilok resipi tu di internet, kan?”
Adelia membalas renungan Syed Idlan. “Kalau ya pun saya cilok,
awak nak buat apa?” Huh, beraninya dia!
Hajah Jarini tiba-tiba muncul di ambang pintu. “Oh, you di sini
rupanya, Syed Idlan... tu Razip tengah cari you. Dia kata nak balik dah. Oh ya,
Adelia, tolong tambah jus kranberi.”
Adelia melangkah ke arah peti sejuk lalu mengeluarkan botol
berisi jus itu. Selepas itu dia ke meja hidangan. Usai kerjanya mengutip gelas
dan piring di situ, dia ke dapur semula. Bila mendapati Syed Idlan tiada di
situ, dia bernafas lega. Entah kenapa hatinya tidak tenteram setiap kali lelaki
itu ada. Dia berasa seolah-olah ada cemuhan dalam renungan mata Syed Idlan.
Menjelang jam 12.00 tengah malam, Hajah Jarini menghantarnya
pulang ke rumah sewanya. Sebelum turun dari kereta, wanita itu menghulurkan
sampul surat.
“Apa ni, Hajah Jarini?”
Pantas saja wanita itu menjawab. “Buat beli aiskrim.”
Adelia hanya tersengih lantas mengucapkan terima kasih. Tiba di
bilik tidurnya, barulah dia membuka sampul itu. Alangkah terkejutnya dia kerana
di dalamnya ada lima helai not seratus. Syukur alhamdulillah.