Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,102
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

"ANNA dah hantar resume, papa.”

Datuk Talhah menyapu mentega pada sekeping roti. Wajahnya bercahaya. Gembira benar dia mendengar pengakuan anak tunggalnya itu. “Jawatan pastry sous chef tu dah lama kosong, Anna. Macam tunggu Anna balik aje.”

Joanna tersenyum manis. Dia menghirup teh O perlahan-lahan. Ibu tirinya sudah keluar ke gimnasium awal-awal tadi untuk beriadah bersama teman-temannya. Begitulah rutinnya setiap pagi.

“Papa akan tanyakan head chef bila papa masuk kerja nanti. Esok Anna boleh mula ke?”

Terbeliak mata gadis itu mendengar kata-kata papanya.

“Kami sedang dalam proses reorganizing kitchen staff. Beberapa chef akan dihantar ke J.B. Jadi, kalau Anna dah masuk, mudah sikit kerja head chef.”

Joanna mengangguk. “Anna tak banyak pengalaman kerja di hotel, tapi...”

“Jangan risau, Anna. Sebagai lulusan International Culinary Institute di Switzerland, Anna tentu tak ada masalah. Papa mahu Anna perkenalkan desserts yang belum ada di mana-mana hotel di Malaysia ni. Biar semua orang datang ke Green Cove Hotel kerana tu!”

Kedua beranak itu saling berpandangan sebelum mengangguk.

“Ini akan memajukan lagi hotel dan menarik lebih ramai ahli perniagaan untuk melabur dengan kita,” ujar Datuk Talhah lagi.

“Papa dah patut berehat.”

Lelaki tua itu hanya tersenyum mendengar kata-kata anaknya. “Memang sampai bila-bila bekerja takkan puas tapi bila hotel baru dibina, ini bermakna rezeki untuk lebih ramai orang bekerja. Dengan cara ini, pendapatan mereka dan anak-anak mereka terjamin. Kita kena kerja kuat, Anna.”

Joanna tersenyum kecil. “Ya, itulah yang selalu mummy kata tentang papa. Kerja kuat sampai lupakan dia...”

Air muka Datuk Talhah berubah sedikit. “Dia terlupa untuk beritahu Anna yang dia juga kerja kuat sampai lupakan papa.”

“Anna tak tahu kenapa mummy belum kahwin lain. Ramai lelaki yang inginkan dia. Dia masih cantik, kan papa?”

Datuk Talhah tergelak. “Tu yang mama sangat cemburukan dia.”

“Anna faham.”

“Papa rasa, kalau Anna dah kahwin, tentu Anna lebih faham.”

Joanna memandang ayahnya dengan pandangan kosong. Hatinya berkata, tentu mama sudah bercerita tentang Rosli. Buat sementara waktu, biarlah keadaan menentukan. Dia akui Rosli seorang yang begitu bertanggungjawab dan mempunyai masa hadapan yang sangat cerah, tapi buat masa ini dia hanya menganggap Rosli sebagai seorang sahabat.

“Papa nak pergi kerja sekarang, Anna.”

Joanna menghantar ayahnya di hadapan pintu. Dia ingin berehat di rumah saja sepanjang hari. Dia juga mahu mengupdate blognya yang sudah agak lama terbengkalai. Sejak Facebook menjadi kegilaan ramai, kebanyakan orang sudah tidak lagi menjenguk blog.

Walau bagaimanapun, Joanna tetap yakin ramai yang masih setia mengikuti ‘Joanna’s Bites’. Di situlah dia berkongsi banyak teknik membuat manisan. Dia juga memperolehi banyak respons daripada mereka yang melayari lamanwebnya itu. Itulah kepuasan bagi seseorang chef.

Sewaktu hendak menaiki tangga ke tingkat atas, Joanna ternampak kereta ibu tirinya sedang bergerak masuk ke bawah anjung. Di belakang kereta itu, masuk pula sebuah BMW. Seketika kemudian, riuh bunyi beberapa orang wanita berbual dan ketawa. Joanna melangkah ke pintu hadapan lalu membukanya.

“Hai, Anna...” sapa Puan Sri Zaini dengan wajah ceria. Dia yang memandu BMW tadi.

Joanna bersalaman dengan teman-teman ibu tirinya. Datin Mona begitu bangga memperkenalkan gadis itu. Rata-ratanya memang mempunyai suami berkedudukan tinggi dalam pentadbiran kerajaan atau ahli-ahli korporat. Ada enam orang semuanya. Mesra dan peramah sungguh mereka.

“Anna, mereka ni semua tak jadi ke gim sebab dengar Anna balik sini. Mereka nak rasa sarapan Aussie style.

Joanna tersenyum manis.

“Kalau you semua nak tahu, Anna ni bakal menantu Puan Sri,” kata Datin Mona dengan megah.

Joanna menyembunyikan kemelut di hatinya. Dia tidak mahu menjatuhkan air muka ibu tirinya. Biarlah mereka menyelesaikan soal jodoh itu kemudian. Antara Rosli dan dirinya belum ada apa-apa perasaan lagi. Perjalanan masih jauh.

“Insya-ALLAH...” sahut Puan Sri Zaini sebelum berpaling ke arah Joanna. “Boleh kamu tunjukkan macam mana nak masak sarapan ala orang Australia?”

“Ya, kami semua nak belajar,” tambah seorang wanita yang berskarf corak rama-rama.

“Anna, tadi mama singgah di Cold Storage beli sosej, bacon lembu, cendawan butang dan hash browns.”

Joanna melangkah ke dapur rumah yang luas dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih. Dia mencapai telur dan tomato di dalam peti sejuk. Kemudian, dia menjerang air dan memasukkan sedikit cuka.

“Nak buat apa ni, Anna?” soal Puan Sri Zaini.

Poach eggs...kalau letak cuka, telur yang kita masukkan ke dalam air mendidih ni tak pecah... cantik bentuknya.”

“Oooohh...” Beberapa suara bernada kagum menyahut seiring.

“Sosej dengan bacon ni mama tolong grilkan, ya, Anna?” ujar Datin Mona pula.

Suasana dapur mulai riuh. Wanita-wanita itu bercerita tentang anak-anak perempuan mereka yang malas ke dapur. Untunglah Datin Mona kerana Joanna seorang chef.

“Cendawan ni nak buat apa, chef?” soal wanita berskarf tadi.

“Goreng dengan bawang putih dan parsli,” jawab Joanna.Hash browns ni kena goreng juga.”

“Kalau macam tu, biar aunty hiris cendawan ni, ya?”

Gadis itu mengangguk. “Tomato tu belah dua, kita nak gril sekali.”

Datin Mona mengeluarkan beberapa buah pinggan dari almari dan rakan-rakannya mula mengatur di meja. Kalau di rumah mereka, tentulah semua itu dilakukan oleh pembantu rumah. Dua orang lagi sibuk membancuh minuman.

Apa yang pasti, sesi riadah di gimnasium untuk membakar lemak pagi ini menjadi sesi menambah lemak badan. Kalau dinyatakan berapa banyak kalori untuk sepinggan sarapan ala Australia, pasti terduduk semua wanita-wanita itu.

Puan Sri Zaini mencuit lengan Joanna. “Bila Anna nak datang rumah aunty. Boleh kita masak makanan kegemaran Rosli.”

Joanna cuma tersenyum kecil. Semalam semasa di dalam kereta bersama Rosli, anak muda itu telah menerima panggilan telefon daripada seseorang. Ada sesuatu tentang cara Rosli berbual yang membuatkan Joanna terfikir pemanggilnya adalah seorang gadis yang istimewa.

Hmm... Rosli bakal menghancurkan hati ibunya, fikir Joanna. Ataukah Rosli akan menurut kata ibunya dan menghancurkan hati gadis itu? Barangkali keputusan yang akan aku ambil bakal mengubah segala-galanya...

Previous: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin