Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,104
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

"SEJAK balik dari New Zealand, abang tengok awak dah berubah,” komen Datuk Talhah seraya menjeling ke arah isterinya yang baru saja meletakkan secawan kopi di hadapannya.

Datin Mona terkebil-kebil merenung suaminya sebelum duduk. Mereka baru saja selesai makan malam.

“Berubah macam mana?”

“Yalah... selalunya awak ceria aje. Bercerita sampai lupa makan dan minum... tapi, kali ini... apa masalah awak, Mona? Apa yang awak fikirkan?”

Wanita itu mengetap bibir.

“Awak bergaduh dengan kawan baik awak tu ke?” duga Datuk Talhah. “Atau awak merajuk sebab abang belum lagi penuhkan impian awak nak buka butik tu?”

“Mana ada?” tingkah Datin Mona.

Rumah banglo di Denai Alam itu sepi. Bak kata orang, kalau jarum jatuh pun pasti terdengar bunyinya. Kawasan perumahan pun sunyi. Kebanyakan anak-anak jiran tetangga semuanya sudah dewasa dan memiliki rumah sendiri di tempat-tempat lain. Jiran sebelah mereka pula kerap ke Australia dan England melawat anak-anak yang bermastautin di sana.

“Saya tengah berfikir...” Datin Mona membuat pengakuan.

“Bahaya tu!” Usikan Datuk Talhah membuat isterinya tersengih.

“Pasal Joanna dengan Rosli.”

“Ha’ah... awak tak cerita pun apa dah jadi semasa percutian tu.”

“Puan Sri memang suka pada Joanna,” akui wanita itu. “Saya rasa Rosli juga sudah mula sukakan dia, tapi... setelah seorang gadis bersama datuknya duduk dengan kami, saya dapat rasakan sikap Rosli tiba-tiba berubah.”

“Kenapa gadis itu duduk bersama? Dia kenalan Puan Sri ke?”

Datin Mona menggeleng.

“Kenalan Rosli?” soal lelaki itu lagi.

Kening Datin Mona berkerut. “Itu yang saya tengah fikir. Mungkin Rosli sudah berpakat dengan gadis tu cara dia nak perkenalkan gadis tu pada mama dia. Tak mustahil, kan? Mungkin dia tahu perancangan mama dia nak perkenalkan Joanna, jadi...”

Datuk Talhah tergelak kecil. “Awak dah terlalu banyak tengok wayang...”

“Abang, cuba serius sekejap,” kata Datin Mona. “Saya hanya nak Joanna dapat jodoh yang baik. Saya berusaha nak kenalkan dia dengan anak kawan saya sebab saya tahu mereka keluarga yang baik-baik belaka.”

Datuk Talhah segera menyampuk. “Dan ada kedudukan dalam masyarakat.”

“Kadangkala kita sebagai ibu bapa kena bagi dorongan dan tunjukkan jalan. Keluarga kaya jodohnya orang kaya juga supaya harta terjaga, tak ke mana-mana. Kalau tak, kekayaan tu nanti dihabiskan untuk menampung keluarga yang miskin, buat apa?”

“Astaghfirullahhalazim, tak baik cakap macam tu,” nasihat Datuk Talhah.

Datin Mona melepaskan keluhan panjang. “Memang banyak bukti sebelum ni... bukan abang tak tahu. Sikit demi sikit, kekayaan kawan-kawan kita habis sebab menantu mereka yang tak setaraf.”

Datuk Talhah mengurut dada menahan sabar. Kenapalah celupar sangat isterinya itu? Mungkin silapnya sendiri jarang mengajak Datin Mona ke masjid untuk mendengar ceramah agama. Lelaki itu menghabiskan kopinya. Kemudian beredar ke ruang tamu.

Datin Mona mengekori dari belakang.

“Awak nak buat apa sekarang?” soal Datuk Talhah.

“Entah...” Pendek saja jawapan wanita itu.

“Kita tengok ajelah nanti, Mona. Awak dengan Puan Sri dah perkenalkan Rosli dengan Joanna. Terpulanglah pada mereka nak cari kesesuaian. Kita tak boleh nak paksa-paksa...”

Datin Mona lekas menyampuk. “Tapi, kita boleh berusaha sebab kita tahu apa yang baik untuk mereka. Abang setuju atau tak ni?”

Belum sempat Datuk Talhah menjawab, kedengaran bunyi loceng di pintu pagar. Masing-masing tertanya-tanya, siapakah yang datang pada waktu-waktu malam begitu?

“Ada kawan awak nak datang ke?” soal Datuk Talhah dengan wajah berkerut.

Datin Mona menggeleng. “Selalunya dia orang akan telefon dulu kalau nak datang...”

Mereka bangun menuju ke tingkap bertirai lalu memandang ke luar pagar. Dalam cahaya lampu-lampu di atas pagar, kelihatan sebuah kereta berwarna cerah. Dan seorang lelaki serta perempuan muda sedang melambai ke arah mereka.

“Tu macam... Anna!” seru Datin Mona dengan suara teruja.

“Lelaki tu?”

“Itulah Rosli!” balas wanita itu dengan wajah ceria macam bulan purnama. “Cepat buka pintu pagar, boleh dia masuk parkingkat dalam.”

Datuk Talhah menekan punat remotelalu pagar pun terbuka. Dalam pada itu, Datin Mona sudah membuka pintu hadapan dan menyarungkan seliparnya. Riang sungguh hatinya dengan ketibaan anak tirinya bersama anak lelaki kawan baiknya itu.

“Anna... kenapa tak beritahu nak balik?” tanya Datin Mona dalam nada tidak percaya. Dia mendakap gadis itu dengan penuh kasih. “Rosli... parkinglah kereta kat dalam ni.”

“Tak apalah, aunty. Saya singgah kejap aje, hantar Anna,” balas anak muda itu seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Datuk Talhah.

“Lain kali datanglah lama-lama sikit,” kata Datin Mona.

“Insya-ALLAH, aunty. Datuk, saya balik dulu, ya...”

Sejurus selepas Nissan Sylphy itu beredar, Datuk Talhah menarik bagasi anaknya ke dalam.

Datin Mona seperti biasa begitu peramah bertanyakan itu dan ini kepada Joanna. “Kamu dah makan, Anna?” soal wanita itu dengan wajah ceria.

Joanna mengangguk. “Dah... dengan Rosli tadi.”

Datin Mona tersenyum hingga ke telinga.

Datuk Talhah cuma memerhatikan saja kerenah isterinya itu. “Kenapa balik tiba-tiba ni?” soal Datuk Talhah ingin tahu.

Mimik muka Datin Mona berubah murung. “Kan abang juga yang dah lama suruh dia balik?”

Joanna cuma tersengih. “Esok Anna cerita, okey... papa, mama?”

“Yalah... abang ni,” sahut Datin Mona yang nampak sangat terus menyebelahi anak tirinya. “Pergilah berehat di bilik, Anna. Esok mama masakkan breakfast,ya.”

Joanna tersenyum kecil sebelum beredar dari situ. Dia pasti papa dan mamanya tidak sabar untuk mengetahui apakah perancangannya kini. Dan dia yakin, soal pokok yang akan ditanya oleh mamanya adalah tentang Rosli.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin