Home Novel Cinta SHIA
Bab 33


"Aku tahu... kau... sebenarnya sunyi."

Lakaran di tanah terhenti walaupun Walid masih menunduk.

"Aku selalu nampak renungan redup kau di taman. Kau suka duduk dekat buaian kan? Tangan pegang handphone tapi mata kau merayap ke kantin. Kau perhati je kawan-kawan kau dengan mak bapak yang temankan diaorang. Wajah kau bertambah sayu... "

Shia telan air liur. Tak sampai hati pula nak sambung bicara. Tetapi di saat itu mata Walid dah terpaku ke arahnya. Ada kerutan di kening lelaki itu. Lama pandangan mereka berlaga.

"... bila tiba periksa besar. PMR. SPM, STPM."

Shia selingkan dengan ketawa. Dia perlu membuang gugup yang sedikit bertandang. Itu kali pertama dia meluahkan apa yang ada di benaknya tentang Walid.

"Tapi aku suka betul tengok gelagat pak cik, mak cik tu. Dah macam kenduri kendara kat kantin sekolah. Siap solat hajat, baca quran, makanan melimpah ruah. Macam diaorang yang nak ambil periksa."


Kuat hembusan nafas Walid. Wajah lelaki itu dikalih ke hadapan semua. Batang kayu dah dicampak ke tanah. Walid memicit-micit jemarinya seakan memujuk diri agar tidak melepaskan emosi. Mulut lelaki itu masih terkunci.


"Sebab tu... Walau kau herdik, maki, hina, caci aku, aku boleh buat bodoh je. Aku tak mampu nak marah kau sebenarnya. Aku nampak lompong besar dekat dada kau tu. Aku fikir, kalau perbuatan kau kat aku tu mampu tutup lubang dalam hati kau, aku relakan. Sebab aku tahu apa rasanya. Perasaan macam tu tak akan hilang walau kau jerit sampai satu kampung ni dengar."

Kini, Shia pula rasa sebak. Mungkin apa yang Walid alami, dia dah alamai dahulu. Malah Shia bernasib baik, pemergian Nenek Jah berganti dengan dua insan yang amat mengambil berat tentangnya. Sedangkan Walid yang mempunyai permulaan yang hebat, anak tunggal dan manja dengan kedua orang tuanya semakin melayu kasih sayang mereka dihambat masa. Mujur Walid cepat berdikari orangnya. 

"Kalau kau biar masa yang mengubat hati kau tu, kau akan menderita lama. Ubat yang paling mujarab senang sahaja. Kau kena belajar buka hati kau pada orang lain. Menerima kasih orang yang sudi sayangkan kau. Barulah kekosongan dalam hati itu akan terisi nanti." 


Walid tegakkan tubuh. Kecil bukaan kelopak matanya memicing Shia.

"Kau cakap macam ni... nak suruh aku layan Si Suhana tu ke? Benda apa yang kau sibuk membawang dengan dia tadi."


Mata Shia terbedik-bedik. Dia baru teringatkan sesuatu. Lekas-lekas tangan menyeluk saku yang masih basah. 

"Alamak! Surat Suhana..."

Sampul surat yang yang berlipat dua dikeluarkan bersama telefon bimbit. Sampul merah jambu itu dah bertangkup rapat. Kalau dia cuba buka kertas basah itu memang terlerai isinya.

Panjang muncung mulut Shia. Dia diserang rasa bersalah. Rasa sedihpun ada juga kerana tak dapat sampaikan hajat hati kawannya itu.

"Untuk siapa?" Bibir Walid terjuih mengarah kepada surat yang dah berketul di tangan Shia.

Shia ketap bibir dan tarik nafas.

 "Untuk kau la."

Pantas Walid berpaling ke hadapan. Dengusan kuat kedengaran. 

"Apa dia pesan dekat kau?"

"Tak ada apa. Suruh bagi surat ni je kat kau. Dia nak bagi sendiri tak berani. Kau kan garang macam Hulk."

Sambil menjeling gadis di sebelahnya, Walid hulurkan tangan. 

"Bak sini. Suhana suruh kau bagi surat ni sahaja kan?"

"Hm." 

Sia serahkan kertas basah di tangan. Cuma dia tak sangka sebaik sahaja Walid menerimanya, kertas basah itu masuk ke dalam air sungai semula.

"Aku dahpun terima. Lepas ni tak payah nak rasa bersalah bagai. Amanah kau dah ditunaikan."

Shia berlawan pandangan dengan Walid. Tak ada sekelumit raut bersalah di wajah lelaki itu.

"Kau tak nak tahu ke apa yang Suhana tulis dalam tu Walid?"

"Ah! Perempuan tu! Tengok muka diapun aku dah tahu apa yang dia nak cakap. Membazir masa aku je baca surat bodoh tu."


Sepatutnya Shia dah dapat menelah awal-awal lagi penerimaan Walid. Nasib baik Walid tak menyinga tengok surat tu. Kalau tak dengan dia sekali kena serang dek Walid. Mungkin kesejukan dah meresap sampai ke hati lelaki itu. Shia ubah topic bicara sebelum Walid bertambah marah.


"Walid, kita nak tunggu sahaja di sini atau nak cari jalan balik? Nak buat panggilan pun tak boleh. Dah jahaman handphone aku ikut berenang tadi." 

Lelaki itu memandang sekeliling sebelum menjawab. Nadanya masih keras.

"Gelaplah. Tak nak aku. Mak aku dengan Ustaz Rafei mesti tengah sibuk cari kita tu. Lagipun bukannya jauh sangat kita hanyut. Tak lama lagi jumpa lah tu. Aku cuma risaukan Ihsan sahaja. Dia pun hanyut sama dengan aku tadi."


Kebimbangan Walid sebenarnya kebimbangan Shia juga. Tetapi dia tahu nak bertanyakan khabar Ihsan kepada siapa. Kepada Si Pembuat angkara!


"Selama ni... kau stalk aku ke Shia?" 

Pertanyaan yang tiba-tiba muncul itu sedikit mengecutkan hati Shia. Memang wajarpun. Kata-katanya awal-awal tadi pasti dah menghiris hati kecil lelaki tu. Shia mencari imbangan untuk redakan baran Walid.

"Eh Mestilah! Akukan peminat setia kau." 

Shia panjangkan ketawa. Wajah tegang Walid dah mengendur. Cuma raut muka itu masih suram.

"Mengantuk aku dengar ketawa kau. Dah! Jangan buat bising. Aku nak tidur sekejap."

Walid rebahkan tubuh ke tanah. Berbantalkan lengan, dia melayan kehendak mata. Telinga Shia sempat menangkap omelan Walid sebelum lelaki itu terlelap.


"Hishh! Dahlah badan sakit. Hatipun sakit sama."



Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.