Home Novel Cinta SHIA
Bab 40

Malam itu Shia berkunjung ke banglo Walid bersama-sama Rafei, Rahimah dan si kecil Aish. Hanya Norasyikin dan Walid sahaja yang menyambut kedatangan mereka. Bapa Walid ke luar daerah menguruskan perniagaan keluarga.


"Buat susah-susah aje Kak Nora ni." Rahimah berbasa basi memulakan bual-bicara.

"Bukannya selalu Rahimah. Akak ni nak lepaskan hajat. Akak benar-benar berhutang budi dengan Shia. Kalau tak sebab jasa Shia ni, entah apa agaknya yang terjadi pada Walid."

Walid hanya mendiamkan diri di sisi Mamanya. Shia hanya dipandang pada ekor mata sahaja. 


Setelah berbual-bual di ruang tamu, Norasyikin mempersilakan tetamunya ke ruang kedua. Lauk pauk dah tersedia terhidang di atas meja makan untuk dijamah dua keluarga


"Jemput makan semua. Shia, Mak cik masakkan semua lauk-lauk ni khas untuk Shia."

Manis benar wajah Norasyikin mengalu-alukan tetamu di ruang makan. Sambil makan sibuk Norasyikin bertanya, "Apa rancangan Shia selepas ni? Nak sambung belajar lagi ke?"


Soalan itu mengingatkan Shia akan perbualannya dengan Rafei sebelum ini. 

"Ada juga perancangan macam tu Mak cik. Tapi bergantung kepada keputusan STPM nanti."


Norasyikin mengangguk dan tersenyum. Dia tahu prestasi gadis itu memang cemerlang. Mungkin keadaan fizikal Shia yang membuat gadis itu teragak-agak dalam menimbang keputusan.

"Kalau Shia dan Walid dapat sambung belajar di tempat yang sama bagus juga. Boleh saling bantu-membantu nanti. Kurang sikit susah hati Mak cik."

"Betul tu Kak Nora. Saya setuju sangat." 

Rafei menyampuk.

Soalan Norasyikin seterusnya memang Shia dah jangka. Gugup serta-merta datang sehingga dia tersedak nasi. Habiskan semua air di dalam gelas memasuki tekaknya. 

"Shia dah ada teman istimewa ke?" 


Kali ini Walid yang buat acuh-tak acuh akan perbualan di meja makan dari awal tadi mengangkat muka. Malah Shia rasa pandangan Walid lebih bersungguh-sungguh daripada Mamanya. Shia pandang wajah Walid dahulu baru berkalih ke Mama lelaki itu. Kedua anak beranak itu sama-sama memaku mata ke arahnya. Walaupun apa yang bakal keluar daripada mulutnya itu mudah ditebak, Shia lahirkan juga seikhlasnya.

"Rupa macam saya ni mana ada lelaki yang sudi buat kawan, Mak cik."

Tangan Norasyikin merentas ke sisi Shia. Jari lembutnya mengusap jemari Shia.

"Kalau ada lelaki yang macam tu, yang pandang rupa Shia dulu baru hati Shia, tinggalkan sahaja dia. Dah tentu dia bukan lelaki yang terbaik buat Shia atau mana-mana gadispun."


Kali ini Shia tertelan air liur pula. Dalam diam, mata melirik ke Walid. Raut wajah lelaki itu sedikit berubah.


Jamuan dua keluarga itu berakhir dengan huluran buah tangan daripada Norasyikin. Sebaik sahaja kereta Rafei beredar dari pagar rumah, Walid terus masuk ke dalam bilik. 


Dia duduk di atas kerusi. Gambar rakan setingkatan di dalam bingkai kayu ditatap lama. Mata tertumpu pada sosok Shia yang kurus dan tinggi. Gadis itu duduk di barisan hadapan sekali. Kata-kata yang pada mulanya hanya didengari hati, kini terlepas keluar dari bibir.


"Aku rasa malu, Shia. Aku selalu rasa kau memang tak layak untuk aku. Tapi hari ini aku rasa... aku yang tak layak untuk kau."


Sebak memenuhi dada. Bicara Mama semasa makan tadi masih terngiang-ngiang. Betapa kuat dia menahan malunya tadi. Terhadap Mama, Shia, lebih-lebih lagi dirinya sendiri. Tak dapat nak kira banyaknya cemuhan dia terhadap Shia. Walid sedar, Shia tak pernah ambil hati jauh sekali melawan. Mungkin disebabkan itu, bicara buruknya kepada Shia semakin menjadi-jadi. Ironi, kepada gadis itu juga dia memohon pertimbangan. Malah gadis itu juga yang berusaha menyejuk hatinya.


Selepas peristiwa di hutan tempohari, nama Shia lebih kerap muncul di benaknya. Kata-kata Shia malam itu memang menusuk kalbu. Kini dia semakin mengerti kenapa herdikan dan caciannya ditelan Shia. Bukannya gadis itu tak terasa, tetapi pengertian perasaannya didahulukan daripada perasaan si gadis itu sendiri. Shia memahami dirinya lebih daripada dia faham perasaannya sendiri. Gadis itu memang istimewa.


Ada ketukan di pintu bilik. Sebaik sahaja Walid berpaling, mamanya menjengukkan kepala. 

"Boleh mama masuk?"

Walid maniskan wajah dan mengangguk. Norasyikin duduk di birai katil bujang anaknya.

"Mari duduk rapat dekat Mama. Mama nak cakap sesuatu dengan Walid."


Kedudukan berpindah. Dari atas kerusi ke sebelah wanita yang melahirkannya. Sinar mata mamanya indah di kala itu. Wajah jelita itu senantiasa manis ketika mereka bertatapan. Kepala Walid diusap lembut.


"Walaupun hari-hari Mama lihat Walid membesar depan mata, dalam hati mama ni masih nampak anak mama ni kecil dan halus."

Suara Norasyikin semakin serak. Dia sudah tak mampu memendam rasa. Tangan anak tunggalnya dicapai dan dielus penuh kasih.

"Bila ingat Walid, Mama akan teringat diri mama sendiri. Refleksi mama banyak tertumpah pada Walid. Mungkin sebab itu mama tak bimbangkan Walid sangat. Mama tahu anak mama ni kuat semangat dan cepat berdikari. Cuma Mama kesal, perkara itu yang membuat mama lepas tangan. Sering sibukkan hal lain, Mama sering abaikan Walid. Biarkan Walid meneroka rencam dunia ini keseorangan. Sepatutnya tangan mama ni masih tak lepaskan tangan Walid."


Genggaman si ibu dibalas. Kedua tapak tangan Walid menghangatkan jemari Norasyikin.

"Jangan cakap macam tu Mama. Walid dah lama faham. Kesibukan mama dan papa tu demi keluarga kita."


Kepala Norasyikin teranguk-angguk. Kedua bibirnya dikumam erat menahan asakan emosi.

"Mama dah berusaha keras untuk naikkan ekonomi keluarga kita, tetapi nasib mungkin tak menyebelahi Mama. Aset yang kita ada mungkin akan berkurangan kelak. Sedikit demi sedikit. Mama tak kisah hidup tua susah atau bersederhana macam orang lain, tapi mama kesal tak dapat simpan untuk kesenangan Walid."


Anak mata Walid dipandang tepat. Norasyikin mahu anaknya tahu apa yang dia telah fikir dan putuskan demi kebaikan Walid.


"Mama bercadang... nak satukan Walid dengan Shia. Maafkan mama kerana mengatur hidup Walid. Mama dah selidik latar belakang Shia. Mama harap Shia dapat menampung kekurangan yang mama hendak berikan kepada Walid."


Walaupun dah tahu, permintaan Mamanya itu tetap meledak bagaikan letupan meriam buluh di malam-malam bulan Ramadhan. Walid terkasima buat seketika. Fikirannya berputar-putar arah yang sama, mencari alasan untuk menolak permintaan wanita itu.


Genggaman dieratkan. Norasyikin mencari hujah lagi untuk melembutkan hati si anak.

"Mama bukannya nak suruh Walid kawin sekarang. Mama nak Walid cuba kenal hati budi Shia dulu. Lepas tu, kalau Walid rasa boleh bertolak-ansur dengan Mama, kita teruskan sahaja perancangan ini. Mungkin merisik atau ikat tali pertunangan dulu. "


Wajah bersungguh-sungguh wanita itu mematikan semua ayat yang dah berderat-deret berkumpul di pita suara. Selain dari itu, ada satu sudut di dalam hatinya yang dia tak fahami. Sebahagian hatinya seolah-olah turut memujuknya agar menerima permintaan Mama. Walid benar-benar tak faham apa yang dirinya sedang lakukan.

"Apa pandangan Mama terhadap Shia?" hanya soalan itu yang terkeluar.


Norasyikin mengalih pandangan. Dia juga melihat wajah anak istimewa itu di dalam bingkai gambar di atas meja belajar Walid.

"Selain dari wajahnya, pada mata Mama, Shia itu sempurna. Dia tak terkinja-kinja macam anak dara lain. Budaknya sopan, lembut dan cerdik."


Entah kenapa hati Walid terasa berbunga mendengar tutur kata itu terbit daripada mulut wanita kesayangannya. Walid menguntum senyum.

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.