Home Novel Cinta SHIA
Bab 47

Bab 47

"Shia, bilik air di mana?" 

Nedim masih terpisat-pisat memandang sekitar rumah. Mungkin kantuk lelaki itu masih belum hilang.

"Bilik air di bawah, Nedim. Awak turun je tangga dapur ni terus jumpa."

Perlahan sahaja Shia melepaskan kelegaan. Kemunculan Nedim melarutkan suasana janggal di antara Shia dan Walid tadi. Tak betah dia kekok lama-lama dengan aksi Walid tadi. Semua itu mengundang kekeliruan perasaan. Gadis itu terus menyiapkan hidangan makanan manakala Walid hanya membisu menekur meja.

Wajah Nedim masih ada kesan basahan air sembahyang. Usai bersolat lelaki itu terus menuju ke dapur. Nedim mengambil tempat di sebelah Shia.

"Dah boleh makan ke Shia?" 

Soalan diutarakan setelah mengenang perut yang kelaparan. Sakit hati punya pasal, Nedim lupakan hidangan tengaharinya.

"Ha ah... Jemputlah makan. Nedim, Walid."

Walid menghulurkan pinggan kosongnya kepada Shia. Ternyata, tangan Nedim lebih pantas daripada Shia. Lelaki itu menyambar senduk di dalam mangkuk nasi . Dua senduk nasi memenuhi pinggannya, manakala satu senduk nasi dibubuh dalam pinggan Shia. Huluran pinggan Walid bak halimunan di mata Nedim. Mangkuk nasi diletakkan semula ke tempat asal. Sengaja sepupu Shia itu berdehem. Jelingan Nedim dipahat ke Walid.

"Ringan je senduk kayu ni. Ingatkan berat tadi."

Walid menyambut tikaman anak mata Nedim dengan tenang. Raut wajahnya tidak membiaskan apa-apa.

Bimbang detik kurang selesa sebegitu berlarutan, Shia cepat-cepat kautkan nasi untuk Walid. Moga tiga senduk nasi berupaya mengharmonikan detik perkenalan dua lelaki ini. Mujur setelah itu, tiada suara yang didengari. Kedua-dua lelaki di sebelah dan di hadapannya rancak mengunyah makanan. Shia biarkan sahaja suasana damai berlegar biarpun hajat awalnya nak memulakan sesi taaruf di antara Walid dan Nedim di meja itu. Nedim kelihatan masih belum bersedia. Entah apa yang mengganggu mood Nedim hari itu, Shia tak tahu.

Kerja mencuci pinggan memang mudah. Ternyata suasana tak mesra itu tidak mempengaruhi selera makan para pemuda ini. Kesemua nasi dan lauk tak bersisa di pinggan dan periuk. Sejenak, hanya bunyi dentingan pinggan tembikar dan siraman air paip yang memeriahkan suasana dapur. Kelibat Nedim dan Walid tak kelihatan. Usai urusan di dapur, Shia tutup semua tingkap. Nedim siap menantinya di birai pintu.

"Mari saya hantar awak balik."

Pelawaan Nedim disambut baik. Cuma hati Shia masih berdetik resah sebaik sahaja terpandang raut manis Walid. Lelaki itu juga menantinya di sisi motorsikal.

"Walid, aku balik dengan sepupu aku."

Walid mengangguk perlahan. 

"Hal yang aku nak bagitahu tu, nantilah kita sembang lagi."

Shia tahu senyuman yang dia ukir tak berupaya mengusir ngiang bicara Walid di dapur tadi. Enjin motorsikal dihidupkan, bicara Walid masih bersisa.

"Hurm... tadi... aku serius."

Previous: Bab 46
Next: Bab 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.