Home Novel Cinta SHIA
Bab 5

SHIA 5


Pulang dari sekolah hari ini Shia telah ada peneman. Biarpun masih tiada lagi sebarang sapaan di antara mereka, Shia biarkan sahaja perlakuan biasa makhluk yang gemar mengekori jejaknya. Cuma kali ini tiada lagi ranting terbang. Makhluk itu sudah tonjolkan diri sepertimana yang Shia pinta semalam.


Shia juga pasti hanya dia seorang sahaja yang boleh nampak . Agak mustahil rakan-rakannya yang lain tidak perasan akan kehadiran makhluk itu. Oleh kerana sehingga ke saat itu, tiada sesiapapun yang terpekik atau terlolong ketakutan, Shia pasti jelmaan itu bersifat halimunan.


Semalam, Shia pasti sangat makhluk itu telah menampakkan wajah. Cuma dia sahaja yang masih belum bersedia. Tanpa menoleh, makhluk itu ditinggalkan begitu sahaja di dalam hutan. Menjelang masa tidurnya, penyesalan mula bersarang. Pasti makhluk itu bersedih kerana Shia buat tak tahu sahaja. Makhluk itu seperti mahu berkawan dengannya.  


Ingatan terhadap makhluk itu mengenangkan Shia akan hari pertama persekolahannya. Betapa dia teruja dapat menjejakkan kaki ke sekolah. Sudah kesekian lamanya dia mahu merasa nikmatnya mempunyai sahabat dan belajar bersama-sama. Malangnya, hari pertama itu penuh dengan kejutan dan kekecewaan.


Semua mata memandangnya dengan ketakutan. Malah ramai rakan sekelas yang menangis dan menjerit ingin pulang ke rumah. Kelasnya gamat pada hari itu. Akibatnya, Shia terpaksa diasingkan. Sudah takdir hidupnya untuk bersendirian. Di sekolah yang penuh dengan manusia itupun Shia tetap keseorangan. Hari pertamanya hanya bertemankan  guru-guru yang keluar dan masuk dari bilik guru dan sibuk menyiapkan tugasan masing-masing. 


Akibat dibuai kenangan, Shia tidur lewat semalam.

 

Langkah kaki semakin perlahan. Akhirnya Shia berhenti seketika untuk menggosok-gosok perut. Ada gelodak  yang kuat dari situ dari tadi. Sambil itu dia mengintai ke batang pokok langsat. Makhluk yang mengekorinya masih ada di situ.


“Menyorok konon!” Shia mencebik.


“Eh! Boleh nampak ke?” Suara itu indah tak seperti wajah si empunya suara.


“Kaki kau sahaja dah setinggi tiang gol. Ada hati nak menyorok.” 

Mendongak, Shia tersengih.


“Kau tak takut aku ke?” 

Makhluk itu memandang Shia hanya dengan sebelah mata. Sebelah lagi biji matanya dah terlondeh daripada kelongsong. 


“Kenapa pula? Sebab kau berbeza dari yang lain atau kau tak diterima seadanya?”

Makhluk itu tidak menjawab.


Keluhan berat terkeluar dari mulut Shia. Suram mewarnai wajahnya.


“Aku dah biasa dengan semua itu. Dah lali diperhati orang dari atas ke bawah. Dah tuli dengan ejekan. Sebab itu bila kau mengekori aku, aku senang hati. Sekurang-kurangnya kita ada persamaan.”


“Sebab itukah kau nak tengok rupa aku? Sebab aku hodoh?” 


Laju sahaja Shia menafi. “Taklah. Aku nak tengok air muka kau sebenarnya. Jadi kenalah tengok rupa kau dulu.”


“Nak buat apa?” 


Shia menyilang tangan. Makhluk yang berdiri dalam sepuluh langkah di hadapannya ditenung dari atas ke bawah. ‘Banyak cakap rupanya dia ni. Tanya pun banyak,’ hati Shia memberi gambaran awal.


“Adalah. Rahsia!”



Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.