Home Novel Cinta SHIA
Bab 44

Seperti biasa, walaupun ketiadaan Shia, Akhtar masih setia menunggu di situ. Hari ini dia lebih banyak duduk di bawah teduhan pohon rambutan. Gugusan putik-putik bunga telah mula muncul dari celahan daun hijau. Dalam tempoh sebulan pemilik pohon rendang itu akan dilimpahi rahmat Tuhan. Buah merah berumbai yang dimakan oleh manusia atau dikokak dek tupai dan unggas rimba, pahala yang mengalir masih sama. Rumah peninggalan Nenek Jah yang sunyi itu bagaikan kediamannya. 

Hari Akhtar biasanya terisi dengan kenangan. Sama hal keadaannya di puncak menara malam tadi dan di ketika ini. Akhtar masih lagi ingat akan hari yang keramat itu. Ketika dia sedang berlatih memanah di lapangan sasar, tapak tangannya tiba-tiba sahaja bercahaya terik. Anaga yang menjadi pesaing hari itu melompat keriangan. Tangan Akhtar ditarik Anaga lantas mereka berlari anak.

"Mari sahabatku. Aku tahu apa yang patut kau lakukan."

Langkah Anaga penuh girang sedangkan setiap langkah Akhtar diselubungi cemas. Mereka meluru ke gapura Taman Astaka. Sebatang pohon megah berdiri di tengah-tengah tasik nan membiru di belakang Astaka. Pucuk pohon Amrita itu sayup mencecah awan sedangkan akarnya jauh terbenam ke dalam tasik. Anaga hanya menanti di pinggiran.

"Hanya mereka yang berhak ke atas daun Amrita itu bisa merentas tasik ini. Itulah caranya pohon itu melindungi daun yang hanya gugur sekali dalam satu kurun. Kau amat bertuah, Akhtar. Hajatmu bakal dipenuhi."

Sahabatnya itu masih terlihat teragak-agak. Hanya sebelah kaki mencecah tasik. Anaga menyuntik keyakinan kepada Akhtar.

"Usah khuatir, Akhtar. Kaca itu tidak akan berderai. Aku telah berjaya melaluinya sebelummu."

Kata-kata Anaga menjadi peneguh hati. Berhati-hati Akhtar melangkah di atas permukaan yang licin itu. Anaga memang benar. Tiada permukaan yang meretak apabila tasik dipijak. Anak-anak ikan kelisa bermain-main di bawah kakinya. Langkah Akhtar lurus menuju ke helaian ungu yang gugur. Sebaik sahaja daun ungu itu berada digenggaman, Akhtar mengaduh. Daun itu telah merengatnya. Akhtar menadah kedua tapak tangan. Sinaran ungu muncul dan semakin marak daripada daun dan tapak tangan Akhtar.

"Mari Akhtar. Kita segera jatuhkannya ke dalam perigi Asha. Kau sudah tahu apa yang kau mahu, bukan?"
Sekali lagi tangan Aktar ditarik Anaga. Kali ini Akhtar mengeraskan diri. Banyak perkara yang memenuhi fikirannya kini. "Aku mahu menemui Pendita Agung terlebih dahulu."

Setelah orang tua itu ditemui, Akhtar mengambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan. Sesampainya di perigi, Ratna sedia menanti tidak jauh dari situ. Keras suaranya meluncur amaran.

"Buang sahaja daun tak berguna itu. Ia hanya akan membawa derita kepadamu, Akhtar."

Tatkala daun itu teroleng-oleng di udara memasuki perut perigi, Akhtar pejamkan mata. Dia telah memilih untuk menggunakan azimat daun sakti itu. Di saat itu mindanya sesak dengan suara Pendita Samudra dan Ratna sebentar tadi.

"Sepertimana kuntum bunga ini, kau hanya punya satu peluang. Sehingga hujung nyawanya."

"Ingat, Akhtar. Petik di kala ia bersemi. Minum airnya. Nescaya kau akan bebas."

Pohon sakti itu mampu mengurniakan apa yang Akhtar idamkan selama ini; berada di bumi selama yang dia mahu. Dada terasa sungguh sesak jika dia berlama-lama di dunia manusia. Namun Akhtar juga tahu setiap anugerah itu ada imbalannya. Pohon Amrita itu memilih korbannya sendiri. Dia perlu mendapatkan semangkuk kecil darah korban yang terpilih. Darah manusia yang diminum akan mengubah transisi dan komposisi darahnya. Tubuh akan mudah mengadaptasi udara bumi. Sudah tentu anugerah itu juga didatangkan bersama helah. Darah itu mestilah diserahkan secara sukarela atau lebih tepat lagi ketika hati korban berada di kemuncak cinta.

Sebuah letupan kecil kedengaran diikuti kepulan asap tebal di gawang telaga. Akhtar tahu dia sudah tak mampu berpatah balik. Apa yang perlu dilakukan hanyalah sematkan semangat dan tekad di dada. Setelah itu perancangan demi perancangan dirangka dengan teliti bermula dari sebuah perkenalan. Sudah tentu dia perlu kenal siapa korbannya bagi memudahkan rencana. 

Atas sebab itulah kaki melangkah ke tempat ini lalu menemukan dia dengan Shia. Semakin Shia berakal, Akhtar mengesan masalah. Dia meragui keikhlasan hati anak itu. Lalu rencananya berkalih. Akhtar perlukan penyamaran untuk menilai Shia. Awalnya, dia memilih wajah yang hodoh untuk tujuan itu.

Hati anak kecil sememangnya suci. Dalam ketakutan, Shia menerimanya. Malah turut memberi nama baru, Adam. Saat itulah yang telah mula merubahnya. Setiap hari, Shia didekati dengan penuh teruja sehingga adakalanya Akhtar terlupa akan tujuannya yang sebenar. Penyamaran demi penyamaran dilakukan demi mengaburi niatnya. Shia tak pernah mengesyaki apa-apa. Gadis itu menerima apa sahaja dari Akhtar. 

Akhtar rebahkan badan ke tanah. Matanya terpejam erat. Wajah dua lelaki di hutan tempohari bakal mengalih rencananya semula. Renungan daripada kedua mata lelaki itu menakut Akhtar. Pandangan sebegitu berupaya membawa Shia pergi dari sisinya, mungkin buat selama-lamanya. Tiba-tiba sahaja dada terasa terhimpit. Akhtar mengatur hela nafas. 

Aneh! Ada kepedihan yang menjalar di situ sedangkan dia tidak bersedih. 

Perasaan apakah ini?

Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.