Home Novel Cinta SHIA
Bab 35

Dah dua kali Nedim rasakan sebegini. Bila kepalanya terasa memberat dengan ingatan yang tak baik, datang sahaja ke daerah ini pasti akan pulang dengan rasa damai. Memang ada sedikit pertelagahannya dengan Nenda semalam. Nedim mengaku perbalahan itu salah dia. Mungkin masanya terlalu awal untuk menentang kehendak Nenda. Nedim sangka penerimaan baik Shia terhadap nenda sudai memadai. Memang dia tak jangka Nenda masih meminta lebih daripadanya. Nenda mahu mengikat Shia terus di sisi. Sudah pasti dengan dia sekali turut terikat.


Malam itu Nedim tak fikir panjang. Hatinya merusuh. Dia hanya nampak satu jalan penyelesaian. Keputusan Shia! Hanya keputusan Shia bakal membuat Nenda akur. Oleh kerana itu, sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan, Nedim segera menghala ke utara. Dia tak menoleh ke jarum masa langsung. Sedar-sedar, setelah dua setengah jam di perjalanan, lampu keretanya menyuluh rumah Shia.


Ternyata apa yang diikhtiarkan tidak sia-sia. Firasatnya tentang Shia agak tepat. Gadis itu mempunyai nurani yang murni. Tak perlu banyak penjelasan Shia dah tahu apa yang terbuku di hati. Dia juga yakin Shia akan mengotakan apa yang dijanjikan. Tak sedar bibir mengorak senyuman sendirian mengenangkan peristiwa di kedai Shia tadi. Ah! Dalam polos wajah ada juga nakalnya gadis itu.


Dek kerana kedatangannya mengejut, banyak kerja-kerja yang terbengkalai diselesaikan terlebih dahulu sebelum dia bergerak pulang. Nedim singgah sebentar di beberapa buah bank dan kedai dia membeli hadiah Shia. Kelam-kabut nak cepat sangat tadi sampai terlupa meminta resit pembelian dan kad jaminan. Susah juga andai berlaku sebarang kerosakan pada telefon pintar yang diberikan kepada Shia. Dia sempat singgah di kedai penjaja kecil mencari buah tangan buat penyejuk jiwa Nenda yang telah dia bakar semalam. Setelah itu dia berhenti pula di stesyen minyak. Paras penanda minyak hanya tinggal suku. Perutnya juga buat hal. Usai mengisi petrol, dia bergegas ke tandas pula. Rupa-rupanya kegusaran yang sebenar bermula dari situ.


Tatkala menuju ke tempat parkir, Nedim terserempak dengan Rafei. Lelaki itu tidak memperdulikan Nedim. Tergocoh-gocoh menghulurkan wang kepada pembantu jualan, terus sahaja Rafei berkejar ke keretanya.

"Uncle!"

Sapaan Nedim bersambut dengan wajah cemas Rafei. Suara lelaki itu hampir tak terkeluar menyebut nama Shia.

"Kenapa dengan Shia, Uncle?" Sepupunya itu baik-baik sahaja semasa ditinggalkan tadi. 

"Shia... Ada orang nampak Shia hanyut di kepala air."

Suara Rafei tertahan-tahan. Begitu juga dengan air matanya.

Nedim tak pasti apa yang dimaksudkan dengan kepala air tetapi dia faham maksud hanyut. "Uncle nak ke mana ni?"

Rafei menggaru-garu kepala. Lagaknya bagai orang bingung.

"Entahlah. Cadangnya nak ke balai polis dulu. Lepas tu ke rumah Tok Penghulu. Nak kumpulkan orang kampung untuk mencari Shia. "


Habis penjelasan Rafei, Nedim pula diserang cemas dan bingung. Allahuakbar! Kalau Shia tak dijumpai, apa dia nak bagitahu Nenda... 


"Saya temankan Uncle. Saya follow belakang kereta Uncle nanti."


Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.