Home Novel Cinta SHIA
Bab 24

Kawasan yang agak lapang itu lengang. Adam masih belum muncul. Shia terus bersandar di ibatang pokok kekabu. Untuk hari itu, dia tak  berharap Adam sedia menanti di situ. Shia  hanya mahu bersendirian. Puas mengusik daun pohon semalu, tangan memintal batang rumput. Akhirnya jari-jemari sendiri dibelek-belek. Hati berbisik lembut.

Batang jari manusia yang tak sama panjang ini memperlihatkan kekayaan Tuhan. Sama seperti penciptaan manusia. Anak Adam diciptakan berbeza-beza rupa dan sifat, agar mereka saling kenal-mengenal. Agar dengan itu keperluan manusia akan saling mencakupi sebagaimana fungsi jari-jemari ini. Beza panjang dan pendek itu adalah kesempurnaan untuk tangan berfungsi.

Sehari dua ini hidup terasa begitu sempurna sehinggalah dia meneliti jari sendiri tadi. Jari-jari itu juga tak sama panjang seperti manusia lain, cuma dalam bentukyang terbalik. Yang pendek itu seharusnya lebih panjang. Keluhan berat yang dilepaskan bernada rendah.

“Mungkin kekurangan ini adalah takdirku yang abadi.”

Bunyi berdehem menghentikan monolognya.

“Sehari tanpa aku memang membosankan!”

Suara yang tiba-tiba sahaja menerjah cuping telinga memang menjengkelkan. Shia enggan berpaling. Dia tahu Adam dah labuhkan punggung di sebelah. Aroma tubuh lelaki itu menusuk kuat ke lubang hidung.

“Kau menung apa, Shia?”

Shia menoleh ke sisi. Rambut Adam rancak beralun dibuai angin hutan. Wajah bujur sireh itu mengorak senyuman manis. “Kau rasa aku ni layak tak untuk dicintai?”

Senyuman tadi ghaib berganti sebuah renungan yang mendalam. “Bergantung samada kau ni manusia atau hantu.”

Shia panggung kepala merenung Adam lebih lama. Jawapan itu sama menjengkelkan dengan sapaan tadi.

“Aku rasa, hari aku tanpa kau penuh dengan ketenangan.”

Jawapan Shia mengundang ketawa kecil Adam. Setelah itu barulah Adam mulai serius.

“Sememangnya manusia itu layak dicintai. Makhluk manusia ini istimewa kerana mempunyai sanubari. Itu yang mempengaruhi pertimbangan mereka sehingga ke had paling tinggi. Melebihi diri mereka sendiri. Sedangkan makhluk lain, cenderung pentingkan diri. Keutamaan sendiri di kedudukan tertinggi dalam semua pertimbangan.”

Bicara Adam adakalanya tidak seperti Adam. Dia bagaikan makhluk lain. Shia sedar akan perkara itu walaupun dia sering buat-buat tak tahu. Adam sememangnya penuh misteri daripada awal perkenalan mereka. Yang membuatkan Shia kekal di sisi Adam adalah kesudian makhluk itu untuk dekat di sisinya di saat manusia lain cuba menjauh. Pertimbangan Adam tak berdasarkan rupa paras. Shia masih menunggu bicara lanjut Adam.

“Sebab itu binatang mudah je merobek tubuh binatang lain tanpa rasa bersalah atau  hantu sedap-sedap je hisap darah manusia, tak minta izinpun." 

Senyuman yang bakal meleret cuba ditahan. Contoh kedua itu hanyalah rekaan untuk mengusik Shia meskipun Adam tahu Shia tak termakan dek contoh mengarut sebegitu. Dia menyambung hujah lagi.

"Kemahuan perut dan tekak mereka adalah pertimbangan paling tinggi. Keutamaan mereka adalah di-ri sen-di-ri.” Hujung ayat Adam diakhiri dengan ketawa sinis. 

Dia ketawakan diri sendiri agaknya kerana Shia tak menangkap apa-apa jenaka di situ. Selepas itu nada suara Adam berubah lagi.Lebih rendah, ke arah romantis.

“Manakala kau… adalah insan yang paling layak untuk dicintai. Kerana kau memandang setiap yang sedikit itu banyak, yang kurang itu lebih, yang buruk itu indah. Makhluk manapun akan berbahagia di samping kau, Shia.”

Kalau kata-kata itu terbit daripada mulut Walid, memang Shia dah pitam. Walaupun dari Adam, bicara sebegitu menusuk jauh ke lubuk hati. Mewarnai jiwanya. Tambahan pula anak mata Adam semakin lunak memandangnya. Seakan ada biasan cahaya ungu di situ.

“Walaupun niat kau hanya nak sedapkan hati aku, aku gembira mendengarnya.”

Senyuman manis Adam semakin melebar sebelum membuat pengakuan.

“Sebenarnya,aku dah lama tunggu kau kat sini. Sengaja aku bersembunyi tadi. Kot-kot kau nakmenari lagi macam hari tu.”

Tiba-tiba sahaja pipi terasa berbahang . Perlakuan kelmarin sememangnya tanpa sebarang perkiraan.Dia tak fikir apa-apapun semasa menari tu. Apa yang hati nak masa itu, Shia turutkan sahaja. Malu yang bertandang cuba dilindung dengan mengubah hala bicara.

“Kenapa? Aku nampak pelik buat macam tu?”

Bibir Adam menggaris datar. Bersungguh dia mengungkap bicara.

“Kalau hari ini kau kata aku mengganggu ketenangan kau, hari itu kau benar-benar mengganggu ketenangan aku.”

Mulut Shia sedikit terlopong. Kenapa Adam cakap macam tu? Bukannya dia ajak Adam menari sekali pun.

“Bahagian mana yang kau rasa terganggu? Tarian semberono aku tu? Atau suara sumbang aku?”

Raut serius amat jelas terpamer. Tangan Adam menjalar ke dada. Suara dilepas dalam bisikan.

“Hati aku. Kau dah usik hati aku, Shia. Jauh mencecah ke dasar.”

Tak sedar tangan dah menutup mulut yang semakin luas ternganga. Walau antara percaya dan tidak, ada debaran yang semakin kencang di dada. Shia mencari mengertian yang lebih mendalam menerusi anak mata Adam. Apa yang ditemui selepas itu sememangnya menyakitkan hati.

Ada rekahan senyuman  bermula dari mata Adam lalu menjalar ke bibir. Pipi Adam kembung menahan tawa. Meriah petang itu dengan ketawa menggila Adam.

“Aku geli hati la Shia.”

Shia boleh rasa kesabarannya semakin menipis. Hati dah mula menyumpah. Memang hantu betul Si Adam ni!

“Kalau aku ada kuasa, dah lama aku sumpah kau jadi pokok kekabu. Senang, bila kau sakitkan hati aku macam ni, aku tebang je buat kayu api.”

Jari telunjuk Adam tergoyang-goyang menafi. Ketawanya masih bersisa.

“Sumpah jadi pokok?  Pertama kali dalam hidup ini aku dengar. Selalunya manusia suka menyumpah jadi batu. Dah banyak kalipun dah aku tengok.”

Shia tahu dia hanya mampu menjeling. Setajam yang boleh. Geram betul!

 

 

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.