Tertib
langkah Aby menaiki bas awam bewarna hijau tua itu. Semenjak insiden menemukan
dia dengan Zulqarnain, Aby mula pantang melihat bas bewarna kuning.
Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menaiki
bas warna itu walaupun dia tahu bukan Zulqarnain yang memandu bas tersebut.
Lagipun dia sudah melatih matanya untuk membenci segala warna kuning. Huh,
besar betul penangan Zulqarnain dalam hidupnya!
Seperti biasa, pagi-pagi begitu bas
memang sesak dengan penumpang yang menuju ke pelbagai destinasi. Duit di tangan
sudah bersedia untuk di sumbat ke dalam peti berhampiran pemandu. Aby sabar
menunggu gilirannya untuk membayar tambang bas. Sebaik saja dia mendongak,
sebaris senyuman menyambut pandangannya yang agak terkejut.
“Awak!”
Sebahagian penumpang bas memandang Aby.
Aby menekup mulutnya yang terlopong memandang Zulqarnain di tempat duduk
pemandu. Mahu saja dia kembali turun, tapi memandangkan ramai lagi yang
menunggu di tangga bas dia cuba bersabar.
“Duduklah kat depan tu….belakang dah
penuh tu, tak ada tempat awak nak duduk nanti”
Aby mendengus geram. Pandangannya
beralih ke perut bas yang sarat dengan penumpang. Itu sajalah kelebihan yang
dia ada bila menaiki bas Zulqarnain. Pasti lelaki itu memberikannya tempat
duduk di bahagian hadapan di mana letaknya beg sandang di situ.
“Duduklah cepat…awak tak nampak ke
ramai yang tunggu awak kat bawah tu”
“Hmmm yer lah!” Aby mendengus geram.
Pagi-pagi lagi dia terpaksa menghadap muka Zulqarnain. Matanya mencuri pandang
ke wajah Zulqarnain yang menumpukan perhatian di atas jalan. Aby mencebik
geram.
Beberapa penumpang sudah pun turun.
Zulqarnain masih tekun memandu menuju ke hentian seterusnya. Aby kembali
memandang tingkap. Masih awal. Pagi yang gelap beransur cerah. Pandangannya
mentafsir setiap apa yang dilihat sepanjang jalan. Pelbagai ragam manusia.
Pastinya pelbagai cerita. Setiap insan di muka bumi ada sejarahnya sendiri.
Kebanyakannya perantau yang tidak jemu mencari nafkah demi sesuap nasi. Dia
juga perantau. Namun hanya dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Cuma beberapa jam
dari sini, beberapa jam yang rasanya boleh menjadi berjam-jam lamanya bila tiba
musim perayaan.
Penumpang yang silih berganti di
pandang sekilas seolah mencari sesuatu pengenalan diri. Habis wajah penumpang
yang beratur pandangannya kembali ke jalan raya yang bertali arus. Tidak lama
kemudian bas berhenti lagi. kali ini mengambil seorang perempuan tua yang
kemudiannya duduk di sisinya. Aby tersenyum nipis membalas senyuman wanita yang
sebaya emaknya. Otaknya mengimbas wajah tua si emak yang masih tidak berhenti
mengharapkan wang masuk ke dalam akaun hari ini.
“Mak…saya tak ada duit lagi mak.
Bagilah saya tempoh sebulan lagi”
“Aby….Mak bukan tak nak, tapi kau
tahulah kalau Angah tak bayar yuran, dia tak boleh ambil exam”
Aby mendengus kecil. Adiknya yang
nombor dua bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tapi masalahnya
sekarang adiknya bukan seperti pelajar lain. Adik lelaki yang diberi nama Alif
itu adalah pelajar yang dibuang sekolah kerana menagih dadah ketika baru
memasuki tingkatan empat. Sudah banyak sekolah yang dia mohon untuk Alif
menyambung pembelajaran. Puas dia merayu. Dia cuba meyakinkan pihak sekolah
adiknya bukan seorang penagih tegar. Lelaki itu baru saja mencuba-cuba benda
terkutuk itu. Tidak menyangka percubaan pertamanya digagalkan pihak sekolah.
Lantaran tidak mendapat tempat di
mana-mana sekolah kerajaan, Aby akhirnya menghantar adiknya ke sekolah swasta.
Kesudahannya dia yang terpaksa menanggung segalanya. Segala-galanya!
“Mak, cuba mak pergi sekolah angah
tu kejap. Cakap dengan pengetua dia yang saya akan bayar sebelum exam nanti.
Lagipun ada enam bulan lagi kan?”
“Emak tak retilah nak pergi-pergi
macam tu. Kamu cari ajelah duitnya, dah empat hari dia tak ke sekolah sebab
benda tu. Mak takut dia tak boleh nak ambil exam. Kau pun tahukan sekolah
swasta memang macam tu”
Aby kehilangan kata-kata. Emaknya
seakan tidak mahu mengerti ke susahannya di sini.
“Kalau dah masukkan duit jangan lupa
call mak tau!”
Talian terputus. Deruman enjin motor
besar menghentikan lamunannya. Nasib baik dia tersedar, kalau tidak pasti dia
terlajak jauh. Beransur-ansur wajah emaknya hilang dari pandangan dan berganti
dengan penumpang lelaki yang baru memasuki perut bas. Aby bangkit dari
duduknya. Langkah dibuka seribu mengejar waktu yang menghampiri jam lapan pagi.
Zulqarnain masih belum bergerak.
Dari cermin sisi bas dia melihat kelibat Aby seolah berlari menuju ke pejabat.
Senyumannya lebar. Sekadar melihat wajah comel itu setiap pagi membuat hatinya
berbunga. Kakinya menekat klucht kereta sebelum memasukkan gear. Pedal minyak
ditekan sedikit. Bas mula bergerak meninggalkan seribu pertanyaan tentang
menungan si gadis tadi. Walau dia memandu, tapi sesekali dia mencuri pandang kea
rah Aby yang leka seperti memikirkan sesuatu. Argh… andainya gadis itu mahu
berkongsi. Dia sanggup mendengar segala luahan hati.
‘Aby….
Aku tunggu saat itu tiba’