Zulqarnain
masih duduk di dewan solat mengerjakan solat sunnat walaupun hampir semua
Jemaah sudah bersurai. Hanya tinggal beberapa orang lelaki yang turut
mengerjakan solat bersamanya di ruang yang luas itu. Masjid Tuanku Mizan Zainal
Abidin atau lebih dikenali dengan panggilan Masjid Besi. Strukturnya yang
diperbuat seratus peratus dari besi menyebabkan gelaran itu diberikan kepada
salah satu masjid yang unik dan menjadi tumpuan di Putrajaya. Ruang solatnya
dibiarkan terbuka luas, membolehkan udara bebas keluar masuk menyejukkan segala
ruang. Rekaan kolam di sekeliling masjid menambahkan keindahan kerana jika
sekali pandang seolah-olah bercantum dengan tasik di luar sana. Ianya bagaikan
air terjun yang mengalir terus ke dalam tasik Putrajaya. Sungguh hebat pencipta
reka bentuknya yang begitu unik.
Sudah
menjadi kebiasaannya akan mengunjungi Masjid tersebut usai waktu bekerja.
Kadangkala menjengah tengah malam baru dia pulang ke rumah. Tenang hatinya di
situ. Jiwanya terasa terisi dengan alunan ayat-ayat alquran yang berkumandang
dari imam Masjid yang indah itu.
Sudah
hampir dua tahun berlalu. Bukan mudah untuk melupakan semua yang berlaku.
Memang bukan salahnya tapi kejadian itu tetap menghantui dia selama ini. Di
sinilah dia mencari dirinya semula. Di sini dia bertafakkur meluahkan segala
rasa yang bermukim.
Kesejukan
angin malam menyucuk ke tulang. Usai solat Zulqarnain terus menapak menuju ke
anak tangga. Tiba di sudut, matanya terpandang susuk tubuh perempuan yang
seakan dia kenali. Lama dia merenung wanita yang berdiri berhampiran kolam.
Wanita itu leka memandang tasik yang beralun lembut. Langkahnya mati di situ
bila wanita itu menoleh dan mata mereka bertaut. Masing-masing tergamam.
“Assalamualaikum”
Aby
terpaku memandang lantai. Matanya yang bengkak menyebabkan dia tidak mampu
membalas pandang lelaki yang berdiri sepuluh kaki darinya.
“Dah
malam…. Awak tak balik lagi ke?” Zulqarnain tahu dari baju kurung yang
dipakainya. Wajahnya yang di balut
telekung biru muda bersulam bunga mawar merah begitu indah di pandang. Namun
dia sedar, di tempat suci begitu tidak manis memandang wajah wanita yang bukan
mahramnya. Pandangan di larikan selepas Aby menggeleng sebagai tanda jawapan
kepada soalannya tadi.
“Ada
orang ambil awak balik ke?”
Aby
mendongak. Agakanya baru tersedar dia tiada kenderaan untuk pulang. Wajah
Zulqarnain di pandang sekilas sebelum kembali merenung lantai. Aby sekadanr
mengangguk. Dia yakin sebentar lagi ada teksi yang lalu di sini.
Terusik
hati lelakinya melihat wajah sendu Aby. Dia tahu gadis itu baru lepas menangis.
Melihat Aby masih membisu Zulqarnain perlahan-lahan melangkah pergi. Dia sedar
pastinya dia tidak diperlukan ketika ini.
Sampai
di tempat parkir kereta, Zulqarnain terus mendapatkan keretanya. Sebaik saja
dia memandu keluar dari parkir, tiba-tiba dia terbayang wajah Aby yang sendu.
Hatinya menjadi berat meninggalkan gadis itu sendirian. Jam di tangan dikerling
sekilas. Sudah menunjukkan jam sebelas malam. Kelibat Aby masih belum lagi
kelihatan. Kereta kembali di parkir di bahu jalan berhampiran pintu masuk
masjid. Sambil mendengar lagu yang berkumandang di corong radio, Zulqarnain
sabar menunggu.
Setengah
jam berlalu. Zulqarnain masih berkira-kira untuk meninggalkan perkarangan
Masjid. Muncul susuk tubuh yang di tunggu. Longlai langkah gadis itu di bahu
jalan. Matanya memandang kiri dan kanan seolah-olah mencari sesuatu. Zulqarnain
masih terus menjadi pemerhati.
Aby
liar meninjau jalan yang semakin sunyi. Lenguh kakinya menunggu kelibat teksi.
Tapi nampaknya hampa. Menyesal pula membiarkan Zulqarnain berlalu pergi tadi.
Tapi dalam keadaan begini rasanya bukan masa sesuai untuk menumpang lelaki itu
pulang ke rumah. Telefon bimbit di dalam beg di capai lalu tangannya pantas
mendail nombor teksi yang selalu menjemputnya. Tiada jawapan. Keluhan kecil
keluar dari bibirnya.
Kakinya
melangkah perlahan. Cuba mencari kawasan yang terang dan ramai orang. Tapi
waktu begini manalah ada lagi yang berkeliaran. Lainlah hujung minggu. Aby
mengetap bibir. Sejuk angin malam mencengkam tulang. Rasa mahu menangis
kembali. Tapi dia yang memilih untuk ke sini petang tadi. Sedangkan dia sudah
tahu bukan mudah untuk mendapatkan kenderaan awam jika lewat begini
Matanya memerhati beberapa kereta
yang lalu dihadapannya. Lenguh kakinya lama berdiri. Matanya mula berat. Sekali
lagi dia memandang ke hujung jalan. Matanya menangkap silau lampu kereta yang
berhenti di hadapannya. Jantungnya berdegup. Pelbagai tanggapan bermain di
minda. Kakinya siap membuka langkah seribu andainya benar yang di teka.
“Jom…saya hantar awak pulang”
Aby tersentak. Matanya memandang ke
dalam perut kereta. Gelap! Lama dia memandang lelaki yang mengajaknya pulang.
Mindanya mentafsir seraut wajah. Tiba-tiba segala kerisauan hilang sekelip
mata. Namun, kenapa lelaki itu. Lelaki yang dibenci. Memang benar, dia
menyampah melihat wajah itu selalu tersenyum nakal ke arahnya.
“Dah lewat Aby….awak tak nak balik
ke? Pukul berapa kawan awak nak datang?”
Aby tersentak sekali lagi. Bukan
masanya untuk jual mahal. Bukan saat ini mahu berbalah. Aby membuka pintu
kereta lalu melabuhkan punggungnya. Zulqarnain menekan pedal minyak. Akhirnya
dia meninggalkan perkarangan masjid dan hanya beberapa minit saja dia sudah
sampai di rumah.
“Terima kasih Qar” Aby tersenyum nipis.
Rasanya inilah kali pertama senyuman yang ihklas dihadiahkan untuk lelaki itu.
“Sama-sama”
Pintu kereta di tutup. Aby tidak
menunggu Zulqarnain berlalu sebaliknya dia terus melangkah perlahan.
“Aby…..”
Aby menoleh. Sekali lagi dia
memandang wajah Zulqarnain. Pandangan bertaut. Ada getar di jiwa yang sukar
untuk ditafsirkan.
“Aby…. Apapun yang berlaku pasti ada
hikmahnya” Zulqarnain pasti gadis itu sedang menghadapi ujian yang berat. Walau
tidak diluahkan, tapi dia dapat baca dari anak matanya yang redup. Ingin saja
dia menawarkan diri untuk menjadi bahu tempat gadis itu menangis. Tapi siapa
dirinya.
Aby tersenyum pahit. Dia cuba
mengangguk perlahan. Walaupun dia sebenarnya malu kerana lelaki itu seakan-akan
dapat membaca apa yang dilaluinya ketika ini. Sungguh! Dia tidak mahu meraih
simpati. Aby melangkah pergi. Biarlah apa tanggapan lelaki itu, yang pasti dia
sedang berjuang untuk meneruskan langkah yang masih panjang di bumi ALLAH ini.