Kali
ini hampir setengah jam dia menunggu Bas Nadi Putera. Nurul Abyannajah atau
nama manjanya ‘Aby’ keluar agak lewat dari biasa. Ada saja halangan. Ketika
bangun pagi tadi baru dia perasan baju tidak di gosok lagi. Terkocoh-kocoh dia
menggosok baju batik yang berkedut seribu itu. Dua rakannya sudah siap
bersolek. Hanya tinggal menyarungkan kasut saja dan terus keluar. Usai menggosok,
tiba-tiba perutnya memulas. Tidak pernah lagi jadi begitu awal pagi. Kalau ya
pun ingin mengeluarkan semula isi perut, pastinya selepas dia mengambil sarapan
pagi. Agaknya makanan semalam yang agak pedas membuatkan perutnya sebu. Dia
tahu makanan pedas sudah menjadi pantang nenek moyangnya. Tapi apakan daya,
kecur liurnya melihat sambal sotong di kedai depan.
Ketika dia siap mahu keluar rumah,
telefon bimbitnya pula tertinggal di dalam bilik. Itu pun nasib baik dia
perasan. Kalau tidak, seperti orang hilang akal gamaknya bekerja tanpa telefon
bimbit. Inilah masalah zaman semakin canggih. Zaman hanya di hujung jari.
Sampaikan hilang kekasih tak mengapa, hilang telefon bimbit gila jadinya.
Selepas puas menyelongkar bilik yang ala-ala tongkang pecah itu akhirnya dia
jumpa juga Samsung Galaxy V yang baru sebulan dibeli. Lega hatinya melihat buah
hati kesayangannya itu. Baru beberapa langkah menuju ke lif, baru dia sedar
tapak kasutnya tercabut. Adoi! Nasib baik tak sampai pejabat lagi. Kalau tak
mana nak letak muka. Akhirnya dia berpatah balik, dan menyarungkan kasut tumit
3 inci ke kaki putihnya. Itu saja yang tinggal. Tunggu gaji minggu depan baru
beli kasut bertapak rendah, senang bila naik pengangkutan awam ni.
Selepas hampir sejam, muncul juga
Bas Nadi Putera bewarna kuning. Berduyun-duyun semua penumpang naik ke perut
bas. Pagi begini memang ramai sangat. Kalau nasib baik dapatlah tempat duduk.
Kalau nasib tak baik, bergayutlah jawabnya sampai di pejabat yang terletak
Presint 2 Putrajaya. Inilah masalahnya kalau dia sudah mengenakan kasut
bertumit 3 inci. Naik tangga bas harus berhati-hati. Dia memang menunggu
sehingga semua penumpang naik barulah dia naik. Sampai saja di tangga bas
tersandung dengan beg galas sekolah yang diletakkan betul-betul di tepi tempat
duduk. Nasib baik dia tidak tergolek! Ataupun jatuh tersembam di atas jalan.
Mahu menyumpah juga rasanya tapi kesabaran masih ada apatah lagi melihat orang
tua separuh abad menarik sedikit beg tersebut ke arahnya.
Memandangkan bas telah pun penuh, mengambil
tempat berdiri hampir dengan pemandu bas. Sambil tangannya mencari duit 2
ringgit di dalam kocek, matanya melekap ke wajah pemandu bas yang memang biasa
menjadi pengangkutannya semenjak bertukar ke sini. Mak oi, Handsome gila mamat ni. Siap pakai ray ban lagi. Macam tak percaya pula ada juga pemandu bas yang
boleh dikategorikan sebagai wajah pelakon utama. Kalau nak di bandingkan dengan
wajah-wajah pelakon yang ada memang sah lah mamat ni lagi cun.
“Cik, tiket dah ambil ke? Kenapa cik
pandang saya macam tu ada yang tak kena ke?”
“Ha… oh, tiket….. ya… ya.. dah emmm
… dah”
Malunya aku… kenapa pulak aku boleh
pandang mamat driver ni macam tak
pernah jumpa orang. Ish! Apa kena dengan aku pagi ni? Aby menyumpah sendiri.
Hei mata ni, macam nak curi tengok lagi. Macam tak puas lah nak tengok muka
dia. Hatinya berbisik lagi.
Selama
ini dia tak pernah naik bas lewat begini. Selalunya Pak Cik Man yang memang
rutin setiap hari dia jumpa. Semenjak dia kerja di sini, dia hanya kenal Pak
Cik Man, lelaki itu selalu berborak dengannya bila tiada penumpang.
Lama-kelamaan dia baik dengan pemandu yang separuh abad itu... Terkedu juga Aby,
pagi-pagi disajikan dengan wajah sebegitu rupa. Terubat juga kekalutannya pagi
ini, biar lambat tak mengapa asalkan dapat mencuri pandang wajah yang sedang
tekun memandu.
“Cik, duduklah kat situ….. angkat
beg saya tu, letak kat bawah”
Aby terpana sekali lagi…. ‘Ish dia bercakap
dengan aku ke?’
“Cik…. Ooo cik adik manis…. Duduklah
kat situ tu. Beg saya tu cik boleh letak ajek at bawah ni”
“Oh… ye ke… errr terima kasih yer”
Perlahan-lahan Aby mengalihkan beg sandang yang agak berat itu. Entah apalah
isinya. Tapi demi untuk duduk, dia buang segala malu yang ada. Hmmm baik nye
abang driver ni, siap bagi aku duduk
lagi.
“Lain kali kalau dah tahu nak naik
bas awam, janganlah pakai kasut tumit tinggi. Kalau tergolek tadi siapa susah?
Awak juga susah!”
Merah padam muka Aby memandang mamat
yang masih tekun memandu. Walaupun suaranya tenggelam timbul dengan deruman bas
yang agak bising tapi masih jelas di telinganya kata-kata lelaki itu.
‘Ish
suka hati aku lah! Macam tak biasa tengok perempuan pakai kasut tinggi. Hei…
nak aku cilikan juga mamat ni. Melampau! Tak sedar diri! Tak pernah lagi aku
kena tegur macam ni. Apatah lagi dengan driver
bas!...... Baru saja dipuji baik, tapi………fuh tak sangka!’
Nasib baik destinasinya sudah
sampai. Walaupun hanya dua puluh minit ke tempat kerja, tapi disebabkan ‘abang driver’ yang tak sedar diri tu,
bagai dua puluh jam duduk di dalam bas.
“Esok datanglah awal sikit, tak lah
lambat pergi kerja….. jadilah contoh penjawat awam yang baik”
Hatinya yang berbunga melihat
ketampanan pemandu bas tersebut akhirnya lenyap dengan perasaan menyampah
tiba-tiba. Suka hati dia nak tegur penumpang…. Ingat dia tu hebat sangat….
Setakat pemandu bas je dah berlagak! “Ish awak ni…. Suka hati sayalah nak
datang pukul berapa! Nak pakai kasut apa! Yang awak kisah sangat ni kenapa ha!”
Perlahan suara Aby dihamburkan. Kalau menjerit nampak sangat dia kurang sopan
berada di tempat awam begitu. Masam
mencuka wajah Aby menuju ke tempat thumb
print. Zaman sudah berubah mengikut peredaran semasa. dulu masa dia mula
bekerja mereka semua hanya menggunakan kad saja yang dimasukkan dalam mesin perakam
waktu. Kalau lewat terteralah warna merah di kad tersebut. Hari-hari lewat,
memang cantiklah rupa kad yang berwarna kuning air tu. Namun semenjak teknologi
sudah berkembang pesat, kad perakam waktu ditukar kepada sistem cap jari. Lebih
sistematik dan senang diselenggara. Mengurangkan risiko kesilapan atau
penyalahgunaan. Kalau pakai kad, kawan-kawan yang sekufu boleh tolong ‘ketuk’ bila datang lewat. Tapi semenjak
menggunakan cap jari, tiada lagi kedengaran komplen sesama staf yang melanggar
etika penjawat awam.
“Wei minah! Masam aje muka kau pagi
ni. Dah lah datang lewat. Kau tau tak, pagi-pagi lagi Encik Azfar cari. Kau dah
siapkan report yang dia nak semalam?” Arissa yang juga merangkap sahabat baik Aby
terus menongkat dagu menjenguk sabatnya itu yang baru mengatur nafas sambil
menyandarkan tubuh di kerusi. Bulan ini sudah beberapa kali sahabatnya itu
lewat ke tempat kerja. Dia sendiri pelik, orang lain berpusu-pusu membawa
kereta masing-masing, manakala Aby masih gemar bersesak-sesak di dalam
pengangkutan awam.
“Kejap lah aku siapkan… kau tak
nampak ke muka aku ni. Ish menyampah betul aku dengan mamat driver bas pagi tadi. Ada ke dia tegur
aku macam-macam. Jangan pakai kasut tinggilah, jangan lewat pergi kerja lah….
Dia ingat dia tu siapa ha! Boyfriend
aku?”
“Kau ni, apa kes pulak ni bergaduh
dengan driver bas. Ramai umat dalam bas tu sempat juga kau bergaduh dengan driver? Hmmm ok lah tu dia nasihat kau
jangan lewat pergi kerja, kau tak perasan ke kali ini dah masuk empat kali kau
datang lewat. Kalau keluar nama kau bulan depan dalam report aku jangan marah
pulak ye”
“Aku taulah…” Kendur suara yang
tadinya mahu meluahkan rasa marah meluap-luap. Terkenang namanya akan naik
bulan depan dan terpaksa menjawab surat tunjuk sebab. Kecut perutnya menghadap
Encik Azfar. Bosnya itu nampak saja lembut. Muka comel aje. Tapi tegas yang
amat. “Nak buat macam mana… aku dah siap awal pagi. Tapi ada ajelah yang tak
kena. Pagi ni tetiba aje sakit perut. Kalau aku tak kenangkan report yang nak
hantar tu, rasanya aku terlantar kat rumah aje. Dah lah! Aku nak siapkan report
ni dulu. Bagi dekat Encik Azfar awal-awal. Tak lah dia memekak aje telefon aku”
“Ye lah… aku nak turun café jap. Kau
nak kirim apa-apa ke?”
“Hmm kau belikan aku teh panas
dengan karipap dua biji”
Arissa berlalu meninggalkan Aby yang
terkulat-kulat menyemak setiap lembaran kertas di hadapannya. Hanya tinggal
sedikit saja lagi. Kerjanya yang merangkap pembantu Encik Azfar memerlukan dia
untuk menyediakan setiap report unit untuk dibentangkan dalam mesyuarat bulanan
Jabatannya. Setiap unit akan menghantar report kepadanya, tugasnya adalah untuk
mengasingkan mengikut kategori yang disediakan dan memasukkan segala data
menjadi satu laporan ringkas dalam format yang disediakan.
Seharian dia berhadapan dengan PC. Ketika
waktu rehat tengah hari tadi, dia sekadar memesan nasi goreng kampung kepada Arissa.
Itu pun sempat makan dua tiga suap sahaja. Selebihnya masih elok di dalam bekas
polesterin putih di sisinya. Seleranya mati bila dia menyemak semula laporan
tersebut. Ada beberapa kesilapan dalam kiraan bajet yang diberikan tempoh hari.
Kesilapan kecil itu membuatkan semua data tidak selaras dengan data yang unit
berikan kepadanya. Dia terpaksa meneliti beberapa laporan tahun lepas sebelum
menjumpai hasilnya dan akhirnya laporan tersebut siap walaupun jam sudah menunjukkan
pukul 8 malam.
“Yes! Siap juga akhirnya. Nasib baik
Encik Azfar ada meeting kat luar hari
ni. Kalau tak, jenuh aku menjawab soalannya” Jelas senyuman kepuasan terpamer
di wajah Aby yang letih. “Wei… thanks
sebab temankan aku hari ini” Pandangannya beralih ke wajah Arissa yang duduk di
sebelahnya.
“Tak pe, hari ini engkau punya.
Esok-esok kau pula yang temankan aku. Lagipun aku kena siapkan laporan
kehadiran ni. Nak bawa ke kes tatatertib. Dah dekat sebulan tak hadir. Ramai
pula tu yang”
“Ye ke… ada masalah peribadi kot.
Ataupun dah dapat kerja lain, gaji lagi besar”
“Ye la kalau dapat kerja sekalipun,
buatlah surat berhenti. Ni tak main hilang macam tu aje. Ramai lagi orang kat
luar tu yang berebut nakkan kerja kerajaan” Sambung Arissa panjang. Geram juga
dia kalau mengenangkan sikap segelintir kakitangan yang tidak mematuhi
peraturan. Kalau ada masalah sekalipun, datanglah jumpa bos masing-masing.
Minta pandangan. Lagipun rata-rata bos di sini semua baik-baik belaka. Banyak
lagi jalan yang boleh di pohon contohnya cuti tanpa gaji. Tapi tidak semua tahu
menghargai. Ada masalah hilang terus. Kononnya hal peribadi, tidak mahu
dikongsi dengan orang lain. Tapi tidak pula terfikir kerja-kerja yang
ditinggalkan menuntut untuk diselesaikan segera. Itu pun tanggungjawab juga.
Ramai orang di luar sana yang komited dengan kerja dan masih tertunggu-tunggu untuk
menjadi penjawat awam. “Eh, kau balik terus ke? Aku ingat nak ajak kau pergi
makan”
“Alamak… sorrylah malam ini aku kena siapkan skrip. Penerbit nak hari ni.
Dah banyak kali aku tangguh. Janji minggu lepas, tak sempat aku nak siapkan”
“Rajin betul kau ni… skrip, novel,
cerpen, ish macam-macam kau buat. Tak pe, lain kali kau kena belanja aku makan.
Penat tau aku temankan kau hari ini”
“Eh.. mengungkit pula. Elok-elok
dapat pahala dah hilang pahala tu”
Arissa hanya tersengih. Sengaja dia
nak mengenakan sahabatnya itu. Aby memang rajin bekerja. Dia bukan wanita yang
suka duduk goyang kaki. Setiap hujung minggu ada saja aktiviti yang boleh
mendatangkan duit. Mungkin sebab dia dari golongan susah. Emaknya pula
memanjang meminta duit dari dia untuk menanggung adik-beradiknya seramai lima
orang yang masih bersekolah. Ayahnya pula lelaki yang tidak rajin bekerja.
Bekerja kalau ada mahunya saja. Kalau datang malasnya, melepak di rumah sajalah
dia walaupun beras sudah habis. Abylah tempat emaknya bergantung harap.
Kasihan juga dia mendengar cerita
hidup gadis yang periang ini. Kalau dilihat dari luar seolah-olah Aby gadis
yang lincah. Tiada masalah. Tetapi selepas kenal dari dekat baru dia tahu,
banyak kisah duka dalam hidupnya. Namun begitu Aby amat sayang keluarganya.
Katanya dulu dia senang. Ayahnya bekerja sebagai Supervisor disebuah kilang
terkemuka. Gaji banyak kerana sudah kerja lama. Emaknya suri rumah.
Segala-galanya emaknya uruskan. Emaknya hanya tahu dapat duit saja. Namun ujian
Allah datang untuk hambaNya, Ayah Aby di tangkap kerana bersubahat dalam kes
kecurian. Walau hakikatnya lelaki itu tidak bersalah, tetapi kerana rakan baik
sendiri yang menganiaya, akhirnya ayah Aby di buang kerja. Selepas itu mulalah
episod duka dalam hidup Aby. Ayahnya sukar mendapat pekerjaan. Nasib baik
ketika itu Aby baru saja tamat SPM dan dia terus memohon kerja kerajaan. Dia
diterima kerja tidak lama kemudian. Bermula detik itu, gadis inilah yang
menyara keluarganya.
“Ok lah, jumpa esok… jangan lambat
pula esok”
Lambaian Arissa di balas dengan Aby.
Mereka berpisah di Lobi dan Aby terus menapak ke hentian bas.