Zulqarnain
meninggalkan pondok bas itu selepas melihat tubuh Aby hilang dalam lif. Entah
tiba-tiba saja dia menjadi seorang lelaki yang begitu perihatin dengan
perempuan. Kalau mahu dibandingkan dengan sebelum ini. Dia suka melabelkan
perempuan-perempuan zaman sekarang ini banyak yang menyusahkan saja. Suka
mempengaruhi fikiran lelaki dan membuatkan hidup lagi susah. Tak boleh buat
ini, tak boleh buat itu, belum tahap cemburu…. Tapi pelik pula bila pertama
kali bertemu gadis itu. Gadis yang ayahnya selalu ceritakan. Gayanya bersahaja.
Cara bercakap pun bukan jenis yang terlentok-lentok manja. Gadis yang penuh
pendirian.
Sampai di rumah, ayahnya sudah
menunggu di muka pintu. Senyuman Pak Man disambut dengan huluran tangan
Zulqarnain.
“Macam mana hari pertama bawa bas?
Seronok?”
“Bolehlah ayah… tapi penat juga lah.
Berapa kali round tempat yang sama. Berat juga kerja ayah ni kan. Hari-hari
menghadap penumpang yang macam-macam ragam”
“Dah jumpa Aby?”
Zulqarnain tersenyum kecil. Rapat
sungguh hubungan ayahnya dengan Aby sehinggakan nama itu yang mula-mula
disebut. “Dah…. Pagi tadi dia lambat pergi kerja, ni baru je hantar dia balik”
“Dia tahu tak kamu anak ayah?”
“Tahu, Qar dah cakap kat dia tadi.
Dia kirim salam”
Tidak lama kemudian ibunya muncul
dari dapur membawa seteko teh panas lalu menuangnya ke dalam cawan. Sudah rutin
Mak Seri menghidangkan air bila ayahnya pulang dari kerja. Sekarang gilirannya
pula dilayan begitu. Hmm alangkah baiknya kalau nanti dia dapat isteri juga
begitu.
“Apa yang anak-beranak ni senyumkan?
Macam mana hari ni? Seronok bawa bas?”
“Penat bu. Sakit pinggang Qar ni.
Tak sangka pula berat kerja ayah selama ini. Macam mana ayah boleh tahan bawa
bas selama 35 tahun”
“Dah itu aje yang ayah boleh.
Lagipun seronok, dapat jumpa ramai orang. Ayah jumpa ibu kamu pun sebab bas
juga. Masih ingat bas dulu-dulu. Daif. Buruk. Jalan pun tersengguk-sengguk. Dah
lah aircondtak ada. Sekarang ni
lain, bas canggih. Sejuk, gaji pun mahal”
Zulqarnain mengangguk-angguk.
Teringat zaman kecilnya dulu. Besarnya di dalam bas. Ayahnya akan menghantar
dan menjemputnya kerana ayahnya memandu bas kilang. Dia bersekolah di Jalan
Bukit. Tinggal di Semenyih. Setiap petang dialah yang paling lewat pulang
kerana pekerja kilang pulang jam 7.00 malam. Selepas Putrajaya siap dan
pengangkutan awam mula beroperasi, ayahnya memohon untuk bekerja di bawah
Perbadanan Putrajaya. Alhamdulillah diterima. Mereka akhirnya berpindah ke
Kampung Abu Bakar Baginda dekat dengan Putrajaya. Tambahan pula ibunya orang
sana, arwah nenek meninggalkan mereka sebuah rumah di sana.
“Sembang tu sembang juga, baik kamu habiskan cepat teh ni. Ibu dah siapkan
makanan atas meja”
“Ye lah bu. Qar nak mandi dan solat
dulu. Sekejap lagi Qar makan”
“Ha eloklah tu. Ayah dan ibu pun
belum makan lagi” Mak Seri menyambung lagi. Dia sendiri tidak menyangka anaknya
mahu bekerja sebagai pemandu bas. Pandangannya beralih ke arah suaminya yang
masih tersenyum. Berkerut wajah tuanya memikirkan apa yang bermain di fikiran
suaminya ketika ini. Agaknya senang hati dapat berehat di rumah. “Apa yang
abang senyum-senyum ni. Ha ni ada rahsialah dua beranak bincangkan tadi”
Ketawa Pak Man lepas perhanan.
“Pandailah awak ni…. Tu ha saya tanya dia dah jumpa ke dengan Aby. Tak sempat
pula saya tanya lebih awak dah datang”
“Aby? Siapa pula Aby tu? Hai
perempuan mana pulak ni bang, takkan lah awak ada hati nak pasang lain…baru aje
nak merasa awak pencen duduk di rumah”
“Ish…awak ni….ke situ pula” Pak Man ketawa
kecil. “awak tak ingat ke budak perempuan yang saya selalu ceritakan kat awak
tu. Budak tu sebaya Qar. Saja saya nak tahu pandangan Qar macam mana”
“Abang ni, ada ke nak padan-padankan
anak orang dengan anak kita. Kenal pun tak keluarga dia. Entah-entah dah ada
yang punya, manalah tahu. Budak sekarang ni mustahil tak ada pakwe. Lainlah
anak awak tu….”
“Hmmm….. manalah tahu jodoh. Saya
berkenan budak tu”
“Dah lah tu bang nak berangan.
Lagipun Qar baru dapat kerja. Anak kita tu lain bang, dia nak kejar cita-cita
dulu katanya. Tu lah dia tak nak berkawan dengan perempuan. Biarlah dulu Qar tu
stabil. Dah boleh bagi makan anak orang barulah kita fikir ke situ.”
Nasihat isterinya dibiarkan saja
bagai angin lalu. Rasa berkenan dengan Aby memang sudah lama terpahat semenjak
dia mula mengenali gadis itu. Gadis yang baik, pastinya keluarga pun baik-baik
juga. Dia hanya mampu berdoa, semoga jodoh anak lelaki tunggalnya itu adalah
dari kalangan gadis yang baik.