Home Novel Cinta Hanya Untuk Dia
Hanya Untuk Dia
Nurul Izah
12/9/2013 13:29:22
62,095
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 5

Malam itu, aku mengenakan gaun malam yang ringkas rekaan Kak Ju sendiri dipandankan dengan tudung selendang dengan warna sedondon dihias manik-manik halus. Aku sekadar bersolek ringkas dan menyarungkan kasut tumit tiga inci untuk mengimbangi ketinggian. Aku wanita yang sederhana tinggi, kasut tumit memang menjadi pilihan aku terutamanya bila bertemu dengan pelanggan yang tinggi lampai.

Green Hall dihias indah, para tetamu jemputan sudah datang dan sudah pun duduk ditempat masing-masing. Aku juga terkejut kerana hampir semua jemputan telah tiba. Sekilas aku mengerling jam di pergelangan tangan. Betullah aku datang awal sepuluh minit sebelum majlis. Ketika aku melangkahkan kaki ke Green Hall, mereka semua berdiri memberi penghormatan. Ish… tak boleh jadi ni. aku bukannya suka dilayan begini. Pasti ini kerja Mr Wong yang membuat promosi lebih-lebih mengenai diriku. Aku cuba juga tersenyum.

Berat menyambut huluran tangan para VIP jemputan yang kebanyakannya berusia hampir empat puluhan. Hanya ada segelintir saja yang muda, boleh dikira dengan jari. Selebihnya adalah staf pengurusan Green Hotel. Satu persatu Johan perkenalkan kepada aku malam ini. Akhir sekali mataku tertumpu dengan seorang lelaki yang aku rasa aku pernah kenal... lebih dari kukenal.

Aku memandang wajahnya agak lama. Wajah yang selalu datang dalam mimpiku seiras dengannya. Cuma... di hadapanku ini seorang lelaki yang lebih dewasa.

Lelaki itu juga seperti aku. Terpegun melihat aku berdiri di hadapannya. Dia juga cuba mengamati wajahku. Mungkin cuba mengimbas memori lama. Tapi, benarkah dia? Tidak mungkin aku akan bertemu dia secepat ini. Tidak mungkin dia.

“Cik Amira, ini Pemilik Akira Holding. Pagi tadi yang datang tu Uncle Encik Khairul.”

Aku tersentak, merenung kembali wajah muda yang berdiri dihadapaku. Wajah itu serupa. Memang dia.... hanya kini wajah itu sudah lebih dewasa seiring dengan usia. Cahaya yang semula jadi dari anak matanya menyatakan lelaki itu memang dia.... dia.....

Hi….I am Khairul Azmi bin Dato’ Mahmud”

Berat aku menyambut tangannya, lebih berat dari menyambut tangan yang lain tadi. Pantas aku tersenyum kelat apabila Johan sudah memberi isyarat.

“Amira…”

Pandangan mata kami bertaut. Mata itu tidak pernah aku lupa……sedikit pun tidak. Ya Allah, kenapa boleh jadi begini. Lama dia menggenggam tanganku sebelum dilepaskan. Matanya tepat merenung anak mataku yang cuba beralih perhatian. Benarkah dia? Seolah mimpi bertemu dengannya malam ini…. Diakah Azmi?

Sepanjang majlis itu berlangsung hatiku tidak pernah tenang. Sesekali dia memandang aku yang duduk selang semeja dari tempatnya. Tempat duduknya yang menghadap ke arah aku membuatkan kami selalu bertentang mata. Cepat aku larikan anak mataku kemudian kembali menyambung perbualan dengan Johan.

“Kenapa Cik Amira... nampak gelisah....”

“Tak ada apa Johan... mungkin penat tak hilang lagi....”

“Saya tinggalkan Cik Amira sebentar ya... saya mahu berbual dengan Dato' Rustam”

Aku mengangguk. Mataku hanya mampu memandang Johan yang sudah berlalu menghampiri meja Dato' Rustam. Malam itu begitu lambat berlalu, lagu-lagu merdu langsung tidak mengusik hatiku. Seketika Johan berlalu meninggalkan aku, Khairul Azmi datang sambil tersenyum kecil. Aku gugup, seram sejuk rasanya seluruh badanku. Sudah lama aku tidak merasakan perasaan ini terhadap seorang lelaki. Perasaan yang pernah hadir dua belas tahun dulu. Ketika bersamanya.

“Boleh Iduduk di sini”

Aku mengangguk, menutup segala rasa dengan senyuman yang sedikit kelat. Sekilas aku mencari kelibat Johan, dia sudah duduk di meja lain sambil bergelak ketawa dengan Dato’ Rustam.

I tak sangka selama ni Green Hotel ada seseorang macam you. selama I bekerja sama dengan Green Hotel, I tak pernah pun berjumpa dengan you

Ada tafsiran yang kurang senang lahir dari hati kecilku. Azmi... tutur katanya sedikit sombong, sudah hilang awak dan saya yang selalu digunakan dulu... Hmmm sudah bertukar you and I. Dari kata-katanya dia seolah tidak mahu kembali ke masa lalu. Aku cuba untuk tenang, cuba untuk menganggap dia tidak lebih dari rakan perniagaan. Selagi dia tidak ungkit kisah lama, selagi itu aku akan cuba lupakan semuanya. Aku harus bertahan sehingga segalanya selesai.

“Saya bukan di sini.....”

Wajahnya berubah, mungkin sedikit terkejut mendengar pengakuanku. Kemudian dia mengangguk perlahan.

So, sekarang sudah bertukar di sini ke?”

Aku menggeleng. Wajahnya sedikit kelam namun terselindung dengan ketampanannya. Aku akui, wajahnya tidak banyak yang berubah, walaupun sudah dua belas tahun. Cuma sedikit janggut yang disimpan kemas menampakkan wajahnya lebih matang dan lebih bergaya. Senyumannya lebih menawan dari dua belas tahun lalu. Sudah berkahwinkah dia……atau sudah berpunya……duhai hati tidak berhenti dari bergetar apabila dia menatap wajahnya. Azmi……Az……betapa aku merinduimu. Ada rasa yang cuba bermukim di hati. Aku mengalihkan pandang ke arah tetamu yang datang.

Just six month, habis projek tu nanti saya akan kembali ke sana”

Masing-masing diam.

“Projek Green Hotel yang baru? Yang uncle I bincangkan pagi tadi?”

Aku mengangguk perlahan.

“Tak tunggu sampai bangunan itu siap ke? You percaya dengan Akira Holding? Manalah tahu kalau projek itu tiba-tiba terbengkalai? “

“Bergantung kepada keadaan. Saya percaya mereka di sini tidak akan biarkan perkara itu berlaku. Lagipun segalanya masih dalam pemantauan walaupun saya berada di sana.”

Azmi mengangguk lagi. perbualan kami terhenti apabila pengacara jemputan meminta para jemputan yang sudi menyanyi. Lama pengacara itu menanti akhirnya Azmi memberanikan diri untuk menyanyikan sebuah lagu. Pandangan mataku mengiringi langkah kakinya menuju ke pentas. Matanya tepat memandang ke arahku, sambil bibirnya mengukir senyuman.

Ketika not pertama berbunyi aku tersentak, lagu Jamal Abdillah dengan tajuk kekasih awal dan akhir menjadi pilihannya. Ya Allah, apakah permainannya. Lagu itu yang selalu dia nyanyikan dulu dan setiap kali dia menyanyikan lagu itu untukku, aku akan mencebik, sengaja menduga benarkah hatinya seperti lirik lagu itu. Setiap kali itu juga dia akan mengatakan ‘yes, my darling of course,Mira yang pertama dan terakhir dalam hidup Az...’ . Tapi aku sudah berjanji dengan diri sendiri, selagi dia tidak bersuara, selagi itu aku akan diam.

Ada air hangat bertakung di klopak mata. Pantas aku kesat sebelum ada yang sedar akan kehadiran air-air jernih itu. Mahu saja aku berlari pergi, apatah lagi renungan matanya seolah tidak lari dari memandang wajahku. Tapi aku sedar, majlis ini amat besar maknanya untuk Green Hotel. Aku bertahan……

Jam menunjukkan pukul dua belas malam. Sebelum majlis itu berlangsung, pengacara tersebut menjemput aku untuk menyampaikan sepatah dua kata sebagai wakil salah seorang pemegam saham Green Hotel. Ketika aku bangkit dari dudukku, semua tetamu yang datang juga bangkit sebagai tanda penghormatan. Ketika aku berjalan menuju ke pentas, Pandangan Azmi tepat ke arahku. Senyumannya begitu tenang dan hampir membuatkan aku berhenti melangkah dan ingin berlari pergi. Namun aku yakin, Allah tak akan membiarkan aku hanyut ketika ini. Langkah aku teruskan. Ucapan yang sudah disediakan ringkas tapi begitu sukar untuk membacanya. Nasib baik aku dapat menghabiskannya. Tepukan gemuruh dilemparkan untuk aku. Selepas bersalam dengan tetamu yang hadir aku bergegas menuju ke lif. Ingin cepat pergi dari tempat yang cukup menyiksakan.

“Cik Amira……Nice to meet you. I harap kita akan bekerjasama dengan baik”

Aku terkesima. Pantas berpaling lalu tersenyum kecil menutup segala rasa yang bermukim. Nasib baik pintu lif cepat terbuka, aku melangkah masuk. Sedikit senyuman aku berikan sebagai tanda menghormati dan….. sebagai tanda masih menyayangi…… Az, kenapa kau hadir?

Previous: Bab 4
Next: bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.