Home Novel Cinta Hanya Untuk Dia
Hanya Untuk Dia
Nurul Izah
12/9/2013 13:29:22
61,939
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 7

Aku masuk ke pejabat lebih awal. Banyak kertas cadangan yang harus di baca. Alhamdulillah, promosi untuk minggu depan berjalan dengan lancar. Selepas membuat mesyuarat mengenai pelancaran promosi semalam langsung aku tidak melihat kertas cadangan yang dihantar oleh Akira Holding. Satu lagi pelan dihantar sendiri oleh Azmi semalam. Tapi aku tidak dapat bertemu dengannya kerana ada mesyuarat di luar. Aku meminta dia tinggalkan saja pelan itu kepada Lina.

“Cik Amira, hari ini ada appoinmentdengan Akira Holding”

“Pukul berapa?” Aku memandang wajah Lina yang berdiri di hadapanku.

“Setengah jam lagi. Mereka nak berbincang mengenai kertas cadangan yang mereka berikan semalam. Kalau Cik Amira sibuk kita boleh batalkan dulu. Jadual penuh hari ini. Tapi esok mungkin boleh.”

Aku mengangguk faham.

“Lepas ni ada apa-apa lagi tak?”

“Tak ada. Tapi nanti kalau ada appoinment baru, saya inform dulu” Lina membalas pandanganku.

“Teruskan dengan Akira Holding. Kalau boleh saya tak mahu lengahkan perkara ini. Saya tak mahu lewat dari jadual yang ditetapkan.”

“Kalau macam tu, saya prepare bilik mesyuarat sebelah. Kebetulan itu saja yang tak digunakan lagi” Lina menyambung kembali.

Aku mengangguk, setelah Lina pergi aku menyambung semula meneliti kertas cadangan di tanganku. Tepat pukul sembilan setengah aku menuju ke bilik mesyuarat. Ketika aku mahu menemui Lina, perempuan itu tiada di mejanya. Mungkin pergi toilet. Aku membuat andaian sendiri. Niat untuk bertanya mengenai staf Akira Holding yang datang aku biarkan saja. Lagipun sudah terlambat. Mungkin mereka sudah sampai. Pintu aku buka perlahan. Aku berdiri kaku, hanya tiga seorang lelaki di bilik mesyuarat tersebut. Azmi di apit dengan dua jejaka yang tidak kurang hebatnya. Pasti mereka staf terpilih di Akira Holding. Aku melangkah perlahan. Cuba untuk fokus dengan apa yang bakal dibincangkan. Mereka bertiga berdiri menyambut kehadiranku. Pandangan mata Azmi tepat ke arah ku. Argh... aku tidak boleh mengalah.

Nice to meet you again.Perkenalkan, ini Andry my arkitek dan Hisyam pakar hiasan dalaman. Mereka akan terlibat dalam perojek ini. Seperti yang tertera di dalam kontrak, Akira Holding akan menjalankan projek ini sehingga siap sepenuhnya. Begitu juga dengan hiasan dalaman, kami lebih utamakan kesesuaian dengan reka bentuk dan kualiti. Apa pun saya harap Cik Amira berpuas hati dengan perkhidmatan kami.”

Aku tersenyum kelat. Pagi lagi Johan mengatakan ada hal penting, tidak dapat menemani aku. Mr Wong pula menyerahkan tugas tersebut kepada aku. Katanya dia yakin aku akan buat yang terbaik. Lagipun dia harus kendalikan beberapa hal di luar. Fail di tangan aku letakkan di atas meja. Aku menarik nafas dalam sebelum mula berbicara. Sukarnya! Lidahku kelu, ayat-ayat yang baru saja aku hafal hilang entah ke mana.

“So… you sudah habis melihat cadangan itu?”

“Ha’ah……dah. Baru baca tadi, ada juga beberapa tempat yang menarik perhatian saya dan seperti yang kita bincangkan hari tu, tempat dan keluasan tanah memenuhi kriteria yang saya cari. Tapi saya nak lihat sendiri tentang kelebihan tempat-tempat yang Encik Azmi cadangkan. Ops….sorry, Encik Khairul” Sudah beberapa kali aku tersasul dengan namanya. Tempoh hari juga begitu. Sukarnya lidah ini untuk menyebut nama Khairul.

Wajahku merona merah mengakui kesilapan menyebut namanya. Teringat masa zaman sekolah dulu. Hanya aku yang memanggilnya Azmi. Katanya biarlah nama yang aku panggil lain dari yang lain. Dia mahu aku sentiasa mengingatinya. Andry dan Hisyam saling berpandangan, pelik agaknya mendengar aku menyebut nama bos mereka.

Its ok, I suka you sebut Azmi. I tak kisah, dah lama orang tak panggil I dengan nama tu”

Aku diam, terkesima dengan kata-katanya yang sedikit perlahan. Tapi jelas ditelingaku. Matanya tepat merenung mataku, cepat aku alihkan perhatian. Tunduk menghadap kertas ditanganku. Aku cuba berlagak profesional. Puas aku mengingatkan diriku. Hal kerja tidak sesekali akan bercampur dengan masalah peribadi. Lagipun Azmi bersikap biasa. Tiada tanda-tanda dia mengingati aku. Aku juga tidak mahu staf Akira Holding menghidu sesuatu.

How about Johor? Banyak kelebihannya. Tempat tu cantik, tepi pantai Danga Bay tu tempat perlancongan. Lagipun di sana sekarang tengah membangun. I baru saja dapatkan pelannya. Susah juga sebab mereka tidak mahu jual kepada kita. I tawarkan harga yang tinggi, tapi itu kalau You setuju. Pelan tanah di Johor i hantar semalam. i ingat nak jumpa you sekali, tapi semalam you sudah keluar. Nampaknya susah juga nak jumpa you kalau tak buat appoiment

Aku memandang wajahnya. Sekarang dia menyebut tentang Johor dihadapanku. Apa sebenarnya yang dia fikirkan?

“Jadual saya padat beberapa hari ini. Kalau nak jumpa saya, lebih baik tanya dengan Lina dulu. Tapi kalau sebelah petang, saya selalunya free. Nanti saya suruh orang survey tempat tu. Lepas tu baru boleh pilih”

You tak nak tengok sendiri?”

Aku tergamam. Johor, itu kampung halamanku. Dia sengaja mahu menduga atau dia?……ah….Azmi!

“Tengoklah nanti. Saya tak boleh janji. Pasal pelan tu, saya suka reka bentuknya. Cuma saya nak tambah sedikit kelainan di bahagian Lobi. Saya nak sesuatu yang penuh dengan sentimental value

Azmi mengangguk perlahan. Dia tersenyum kecil. Senyuman yang cukup memukau sesiapa saja yang memandang.

“Yang tu nanti saya fikirkan macam mana.”

Hampir satu jam berlalu. Pelbagai perkara yang kami bincangkan dan terus mendapat persetujuan. Berbanding tapak yang lain, Johor lebih memikat aku. Mungkin kerana aku sendiri lahir di sana. Keluasan tanahnya memang lebih besar. Kawasan keliling yang sudah membangun menambahkan lagi kelebihan tempat tersebut.

“Tak apalah. Rasanya setakat ni sajalah Encik Azmi. Saya bincang dulu dengan mereka. Lagipun kertas cadangan ni tak habis lagi saya baca. Kalau ada masalah nanti saya akan call Encik Azmi”

Azmi mengangguk.

“Dato' Zaidi sihat? Kenapa dia tak datang sekali?”

I sudah lama tinggalkan kerja di office tu. Selama ini I akan suruh uncle I yang handle. Itulah sebabnya you jumpa uncle I tempoh hari. Tapi I rasa mungkin sudah sampai masanya I ambil alih, dia pun sudah tua. Sudah sampai masa untuk berehat. Lagipun I harus belajar semua ni, mungkin esok lusa dah nak berkeluarga, tak boleh main-main lagi. Sepatutnya dari dulu lagi I mengambil berat akan Akira Holding. Tapi, I banyak sia-siakan hidup I.”

Jantungku bagai disentap kasar. Sudah bertunangkah dia, atau……’ banyak yang tersirat dari kata-katanya. Tiada kata-kata yang dapat diteruskan. Aku tersenyum kecil sambil menyusun semula fail di atas meja. Kami keluar beriringan.

I ingat nak ajak you keluar makan. I harap you tak malukan I dengan menolak pelawaan I.” Azmi memandang wajahku.

“Lagipun I dah tanya dengan setiausaha you, dia kata you tak ada apa-apa hal tengah hari ini.” Dia menyambung lagi

Aku berpaling memandangnya. Tubuhnya yang sedikit tinggi jelas menunjukkan dia bukan keturunan asli Melayu. Datuk Azmi keturunan Amerika. Mereka lama tinggal di London. Masa di sekolah dulu, ramai rakan sekolah menaruh hati padanya. Dengan ketampanannya, ketinggiannya dan senyumannya yang menggoda membuatkan ramai yang cemburu apabila aku dapat mencuri hatinya.

So?”

Aku tersenyum malu, menunggu jawapan rupanya. Jauh aku mengkhayal. Aku menggangguk, walaupun dalam hati menolak. Tapi lidahku kelu, lagipun jatuhlah maruah dia apabila seorang perempuan menolak ajakannya. Aku menyayanginya, aku tak mahu memalukannya. Lagipun hanya tinggal lima bulan lagi aku di sini. keluar ini pun kerana urusan perniagaan. Hisyam dan Andry juga ikut sekali. Pastinya tak akan ada isu antara kami.

Sepanjang perjalanan, Azmi sentiasa mencuri pandang ke arahku. Sesekali pandangan kami bertaut. Argh…! Kenapalah aku seksa diriku dengan menerima ajakannya! Ada rasa menyesal bermukim selepas duduk di dalam kereta bersamanya.

Azmi terus memandu keretanya. Lagu-lagu Jamal Abdillah yang menjadi pujaanku berkumandang dicorong radionya mengembalikan aku kepada kenangan lalu. Aku melemparkan pandangan keluar tingkap. Jantungku berdegup laju.

“Az, thanks. Sebab menjadi teman Mira”

Hari semakin petang, para pelajar sudah beransur pulang. Hanya beberapa orang saja yang tinggal memandangkan petang ini ada kelas tambahan begitu juga aku dan Azmi.

“Bukan teman……tapi kekasih. Kekasih awal dan akhir”

Aku diam, sekilas merenung wajah Azmi yang sudah kemerahan terkena bahang cahaya matahari. Bukan kali pertama dia katakan begitu tapi berkali-kali.

“Yelah tu awal dan akhir, entah-entah dia kahwin dulu”

Kata-kataku tenggelam dalam gelak ketawanya. Aku bukanlah jenis perempuan yang mudah merajuk dan mahu dipujuk rayu. Selama aku berkawan dengan Azmi, tidak pernah sekalipun kami bergaduh. Lagipun kami memang tak suka perkara yang remeh-temeh, apatah lagi nak besarkan cerita.

“Kalau Az kahwin dulu……Mira jadilah bini nombor dua Az!”

Ish! Kesitu pula dia ni. wajahku merona merah. Tak sudah nak mengusik aku. Malas aku mahu melayan kata-katanya, aku bangkit lalu meninggalkan Azmi. Baru beberapa langkah berjalan, Azmi mengekori aku.

“Kalau tak nak jadi bini nombor dua, ambillah ni. ini sebagai janji kita” Aku berhenti berjalan. Memandang kotak kecil ditangannya. Perlahan aku sambut kotak tersebut lalu membukanya. Sebentuk cincin emas belah rotan! Tanpa banyak soal dia terus menyarungkan ke jari manisku.

“Az... jangan berjanji. Az tak takut ada yang akan mungkir janji?”

Cincin yang disarung ke jari manis aku buka semula lalu aku letakkan di telapak tangannya.

“Kenapa Mira? Mira tak yakin dengan Az ke?”

“Az... kita masih muda. Perjalanan kita jauh. Mira yakin dengan cinta Az, tapi Mira lebih yakin dengan takdir tuhan.”

Azmi menarik lembut tanganku. Cincin yang berkilauan dipanah matahari petang diletakkan semula ke telapak tanganku. “Simpanlah, sebagai tanda cinta kita.”

Ah indahnya! Aku masih ingat saat-saat itu. Malahan cincin itu masih ada sehingga hari ini. Tapi peristiwa itu telah lama berlalu, apakah hatinya masih lagi seperti dulu?

“Lama termenung? Dah sampai. Tak nak turun ke?”

Aku tunduk menahan malu. Jauh aku berangan. Hisyam dan Andry berpandangan sesama sendiri. Kami seiringan masuk ke dalam restoran lalu duduk di tempat yang sudah ditempah oleh Azmi. Aku tidak mengesyaki apa-apa. Mungkin mereka sudah merancang untuk makan bersama, dan sengaja mengajak aku keluar. Sebagai ahli perniagaan, perkara begini adalah perkara biasa demi menjaga hati pelanggan.

“Jemputlah makan. I tau you suka makan asam pedas kan?”

Aku sekadar tersenyum. Dia tidak pernah lupa. Tapi adakalanya dia buat aku bagaikan orang asing di sisinya.

“Wah pandai Encik Khai pilih menu. Memang kami berdua tengah lapar ni.... Kalau Cik Amira nak tahu, asam pedas kat sini memang paling best di Bangi. Tak sangka pula walaupun Cik Amira lama di Australia tapi masih sukakan asam pedas, that amazing.Sepuluh tahun, tapi masih kekal dengan budaya ketimuran” Melambung-lambung pujian yang diberikan oleh Andry. Hisyam yang sudah menjamah nasi sekadar mengangguk menyokong kata-kata kawannya tadi.

“Biasa saja Encik Andry. Tiada yang membezakan. Tinggal selama mana pun, masih tidak akan mengubah darah melayu yang azali. Saya lahir di sini.”

“Kenapa you tinggal di sana? You bawa dirike?”

Aku sekadar tersenyum mendengar soalan Azmi. Tiada jawapan yang sesuai ketika ini. Melihat aku yang membisu, Azmi meneruskan makannya. Sepotong ikan pari diletakkan ke dalam pingganku.

“Makan banyak sikit. Kalau balik di Australia nanti, you pasti akan rindukan asam pedas ni”

Aku tersentak. Sengaja melarikan pandanganku selepas pandangannya tajam menikam anak mataku. Sesak nafasku. Dengan terpaksa aku mengunyah ikan dan nasi yang tinggal suku di dalam pinggan. Azmi!

Suasana sunyi. Hisyam membuka cerita tentang pelancongan di negara ini dan cerita tentang kertas cadangan tadi juga serba sedikit tentang Akira Holding. Cerita Hisyam membuatkan aku selesa semula. Aku cuba kembali fokus dengan tujuan aku di sini. Selepas makan Azmi menghantar semula aku ke hotel.

Thanks Amira... nice too meet you again”

Aku hanya membisu. Keretanya berlalu pergi. Az, kenapa kau hadir saat ini?

Malam itu aku terkenang kata-kata Azmi tentang cadangan untuk membuka cawangan di Johor. Johor…… Tempat itu langsung tidak pernah aku lupakan. Bagaimana agaknya tempat itu sekarang? Hatiku tiba-tiba sayu. Kejamkah aku? terlalu kejam sehingga langsung tidak ingat akan mereka yang masih menunggu. Mak long dan pak long yang sentiasa menyayangi aku pasti menanti kepulanganku. Abang Zam, Kak Ina dan Zahid pasti merindui aku. Mereka melayan aku seperti aku adik mereka. Walaupun kami hanya sepupu tapi dengan mereka aku bermanja. Mungkin Abang Zam dah kahwin, Kak Ina pun agaknya. Zahid……entahlah. Lelaki itu sebaya dengan aku. Dialah yang menjadi mangsa apabila aku keluar dengan Azmi lagipun Azmi itu sahabatnya. Kerana dia hubungan aku dengan Azmi semakin mesra sehingga membuahkan bibit-bibit cinta. Zahid juga yang akan menjadi mangsa apabila ayah mula naik hantu. Semenjak ketiadaan ibu. Zahid tempatku meminta pertolongan. Mak long dan pak long tempat aku mengadu. Bukan sekali dua mereka mahu aku berpindah ke rumah mereka yang selang beberapa rumah dari rumahku. Tapi aku sayang rumah itu. Kenangan bersama ibu terlalu bererti untuk aku.

Aku mengeluh kecil. Handphone di sisi kucapai lalu aku dail nombor telefon Kak Ju. “Mira nak balik Kak. Mungkin esok tengah hari. Mira nak selesaikan kerja dulu, lepas tu nak suruh Johan prepare di sana. Mira naik flight je, senang sikit”

Walaupun aku tidak melihat wajah Kak Ju tapi aku dapat rasa reaksi dia yang terkejut mendengar keputusanku.

“Pulanglah Mira, janganlah bawa kemarahan yang ada. Bawalah kasih sayang walau sedikit. Ingat Tuhan, hikmah disebalik semua itu lebih berharga.”

Pagi keesokannya aku sudah memaklumkan kepada Johan akan rancanganku untuk ke Johor. Aku meninggalkan beberapa pesanan kepada Lina untuk menyiapkan beberapa draf kertas kerja berkaitan. Johan sudah menyediakan kemudahan sewa kereta dan hotel. Lina juga sudah memberikan aku nombor tempahan penerbangan tengah hari ini. Semuanya sudah lengkap. Aku hanya berdoa semoga perjalanan ini akan menjadi petunjuk dariNya.


Previous: bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.