Home Novel Cinta Hanya Untuk Dia
Hanya Untuk Dia
Nurul Izah
12/9/2013 13:29:22
70,300
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 10

Pagi-pagi lagi aku dan Zahid bertolak ke Johor Bahru. Lelaki itu berkeras mahu menemani aku hari ini dan menunjukkan bandar Johor yang banyak berubah. Untuk aku, dia sanggup mengambil cuti kecemasan dan mengetepikan kerja-kerja penting hari ini. Sepanjang perjalanan, kami leka berbual. Bercerita mengenai masa kecil hinggalah tamat sekolah. Hanya cerita pasal Azmi yang tidak disentuh. Tidak disebut nama itu walau sekali. Aku pun tidak mahu bertanya apa-apa walhal aku sendiri mahu tahu apa yang terjadi pada Azmi setelah aku meninggalkannya. Juga cerita neneknya tempat kami bertiga singgah makan gulai lemak cili api. Nenek Azmi asli orang negeri sembilan dan pakar dalam bab masak memasak.

“Tak sangka Zahid dapat pandu kereta ni. Sudah lama Zahid impikan dapat memiliki kereta ini suatu hari nanti”

Aku tersenyum. Zahid penuh dengan impian. Dari kecil lagi aku mendengar banyak impiannya. Setiap impian yang disulam dalam anganannya pasti akan ada namaku meniti dibibirnya.

“Mira... kalau besar nanti aku nak bawa kau pergi London. Kita akan menghabiskan degree di sana”

“Yelah tu.... banyak kau punya London....” Selalunya akulah yang menjadi perosak akan cerita-ceritanya. Ada saja yang aku sangkalkan. Tapi aku yakin, suatu hari nanti dia akan memenuhi mimpinya itu. Ternyata benar, Zahid baru saja pulang dari London kerana kursus kejuruteraan.

“Kenapa tengok Zahid macam tu?”

Aku ketawa kecil. Kenangan zaman kanak-kanak hilang bersama tegurannya.

“Zahid masih suka berangan ya?”

Wajah Zahid kemerahan menahan malu. Dia menjungkitkan bahunya.

“Tak adalah berangan macam dulu-dulu. Sekarang ni berangan lebih dewasa. Nak kahwin, ada rumah sendiri”

Aku ketawa kecil. Impian yang seharusnya aku pun miliki.

“Mira dah kahwin ke?”

Aku membuntangkan mataku. Lengannya yang agak sasa itu aku cubit sepuas hati. Ada pula soalan merepek ini yang terkeluar dari mulutnya.

“Sakitlah! Betullah tu Zahid tanya. Manalah tahu dah kahwin dengan mat salleh, dah ada anak ramai.... salah ke?”

“Ish Zahid ni..... kalau Mira dah kahwin, sahlah suami Mira yang temankan Mira balik ke sini... Apa punya soalan la dia ni”

Zahid menarik nafas lega. Senyuman manis kembali terukir di wajahnya. Dia terus memandu sehingga kami tiba di tapak yang di maksudkan. Usai memarkir kereta, Zahid dan aku terus turun. Ada tiga orang lelaki yang sudah menunggu kami.

“Maafkan kami agak terlewat.” Aku terus menghampiri mereka bertiga. Salah seorang dari pada mereka mengangguk faham.

“Saya Ilham dari Pejabat Daerah Johor.” Ilham menghulurkan tangan.

Serba salah aku dibuatnya. Tangan aku hulur kembali dengan rasa berat. Lalu aku memperkenalkan diri dan juga Zahid. Kami berjalan ke sekitar tapak. Tidak jauh dari sini, kelihatan pasir memutih dan kedengaran deruan ombak. Aku dapat bayangkan Green Hotel berdiri megah di sini. Pemandangannya cukup cantik. Sempurna. Samar-samar dari sini boleh melihat bandar Singapura. Wow! Pandai Azmi mencari tapak ini. Tidak rugi kalau dia sanggup berebut dengan orang lain demi Green Hotel.

“Kalau Cik Amira setuju, kami akan menghantar segala butiran lanjut. Boleh beri saya kad Cik Amira. Senang untuk saya berhubung nanti”

Aku mengangguk perlahan. Aku sebenarnya tidak selesa dengan Ilham. Cara dia memandang aku dari atas ke bawah terasa seperti seorang pemangsa mencari mangsa. Ketika aku menyambut huluran tangannya dia sengaja menggenggam tanganku lebih lama. Tidak segan walau aku ditemani Zahid. Dasar lelaki!

“Minta maaf Encik Ilham, kad saya tertinggal di KL. Maklum sajalah agak kelam kabut bertolak ke sini semalam. Tapi, Encik Ilham boleh terus hubungi Akira Holding. Mereka yang menguruskan segalanya berkenaan tanah. Saya rasa tak ada apa-apa lagi. Nanti saya akan bincang terus dengan Akira Holding”

Ilham terkulat-kulat. Kalau setakat nak mengurat dengan cara tak senonoh baik lupakan Encik Ilham oiiii.... bagi free pun aku tak mahu.

Aku dan Zahid meminta diri untuk pulang. Aku memberi alasan ada perkara lain lagi yang harus aku lakukan. Sengaja aku memegang erat lengan Zahid. Sekurang-kurangnya dia tahu aku milik Zahid untuk masa ini. Padan muka!

Sebaik masuk dalam kereta, aku menarik nafas panjang. Lega rasanya. Zahid yang sedari tadi tidak berkata apa-apa menghamburkan ketawanya disaat itu juga.

“Kenapa pegang lengan Zahid macam tu? Kalau makwe Zahid nampak, mau kena pukul dengan penyapu”

Aku menjeling kasar. Oh sudah berpunya konon. Gelaklah sangat.

“Geramlah tengok Ilham tu tadi. Macam tak pernah jumpa perempuan. Ada pula rupa macam Mira ni nak di 'test'nye. Tak patut sungguh. Nampak cara dia bercakap tadi, sengaja nak rapatkan badannya dengan Mira.”

“Alahai minah ni... orang nak mengorat memanglah macam tu. Lelaki biasalah kalau jumpa perempuan cantik. Apatah lagi cantik macam Mira. Semua orang nak”

Aku menjeling tajam ke arahnya. Lengannya yang sasa aku cubit lagi. Geram betul!

“Aik marah pula! Betul apa yang Zahid cakap.”

Zahid diam kemudian dia memandang ke arah aku. Secara tiba-tiba pandangan kami bertembung. Bila mata bertentang mata pasti hati berdetik. Ada sedikit rasa yang menjurangkan perhubungan aku dan Zahid. Kami sudah dewasa.

Zahid melarikan pandangannya. Wajahnya kemerahan menahan malu agaknya. Ish, dengan aku pun nak rasa macam tu juga ke? Aku mendengus sendiri. Macam tak biasa pula bercakap dengan aku.

Kami meronda di sekitar Angsana Johor Bahru. Meninjau beberapa kedai jam tangan. Aku teringin membelikan sesuatu untuk ayah dan pak long. Jam di hadapanku aku acu beberapa kali di tangan Zahid. Memang sesuai kalau ayah dan pak long mengenakannya. Tanpa bertanya harga, aku terus menyuruh pekerja kedai itu membungkuskan kedua-duanya sekali. Ketika aku mahu membayar, Zahid sudah meninggalkan aku. Tanpa berlengah aku menyuruh pekerja itu membungkuskan satu lagi jam yang sedari tadi di pandang oleh Zahid. Hmmm apa salahnya memberi sesuatu sebagai hadiah kan? Selesai saja urusan pembayaran, aku terus membuntuti Zahid yang sudah jauh di hadapan.

“Kenapa tinggalkan Mira? Tak suka ke teman Mira shoping?” Aku memandang wajahnya sekilas sengaja mahu melihat reaksinya tadi.

“Malulah Mira... Mira yang bayar. Orang kedai tu pandang semacam.”

Aku ketawa kecil. Apa salahnya pula. Pandangan orang semua tak kena.

“Apa salahnya. Mira yang nak beli, bukan Zahid” Aku menjawab bersahaja.

“Ya lah... Zahid ni lelaki. Orang memang tak faham, tapi kalau lelaki keluar dengan perempuan, harusnya lelaki yang bayar.”

Aku menggelengkan kepala. Tidak setuju dengan pendapatnya. Lagipun itu perkara kecil. Aku dan Zahid bukannya suami isteri. Pergi kedai harus suami yang bayar. Barulah nampak tanggungjawab. Tapi tak semua sama. Kalau suami bergaji kecil dan isteri pula bergaji besar, apa salahnya kalau isteri keluar duit. Lagipun hidup bersama, takkanlah nak berkira pula.

“Ok, lepas ni kalau Mira nak shopping, Zahid tolong bayar kan. Boleh tak?”

Giliran Zahid pula memandang aku lalu ketawa kecil.

“Takutlah... cita rasa Mira tinggi. Tengoklah tadi, masa beli jam. Tak tanya pun berapa harga. Terus beli dan bayar. Kalau Zahid, berfikir sepuluh kali pun belum tentu dapat beli.”

“Ish... ke situ pula. Sama saja Zahid. Lagipun jam tadi tu hadiah untuk ayah dan pak long. Kalau ada duit kenapa nak berkira sangat. Itu kecil berbanding jasa mereka terhadap Mira.” Aku memandangnya kembali. Mataku tertumpu kepada seutas gelang tangan di kedai emas. Cantik. Sesuai untuk mak long.

“Mira.... nak beli apa lagi?”

Aku sekadar tersenyum lalu menarik tangan Zahid masuk ke kedai tersebut. Memang cantik, harganya pun boleh tahan. Lagipun harga emas masih murah. Bentuknya agak sederhana, sesuai kalau dipakai hari-hari. Aku meminta sedikit diskaun kepada pekerja kedai tersebut. Pada mulanya dia agak keberatan. Tapi selepas aku memujuk beberapa kali, akhirnya dia setuju dengan harga yang aku tawarkan. Aku tersenyum puas. Sekurang-kurangnya kalau aku balik esok, aku tinggalkan sesuatu untuk mereka.

“Dahlah tu, apa lagi yang Mira nak beli untuk orang kat rumah? Mira beli barang semua ni macamlah tak nak balik lagi ke sini”

Zahid membebel semula. Lelaki seperti dia pastinya begitu mengambil berat akan semua perkara. Zahid bukan lelaki yang suka menabur duit kepada perkara tidak berfaedah. Semasa aku melihat beberapa helai baju untuk orang di rumah, dia menegah aku. Belum sempat melihat harganya dia sudah menarik tanganku keluar. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk makan. Aku menyuruh dia belanja aku makan kali ini. Zahid tersenyum lalu mengangguk.

“McD boleh?” Zahid bertanya. Jarinya menuding ke arah kedai Mc Donald yang tidak jauh dari sini.

“No problem. Kat mana-mana pun tak kisah asalkan kenyang”

Kami sama-sama ketawa. Bertuah dapat lelaki seperti Zahid. Baik dan berhemah. Hmmm untunglah buah hatinya........


Previous: bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.