Home Novel Cinta Hanya Untuk Dia
Hanya Untuk Dia
Nurul Izah
12/9/2013 13:29:22
62,023
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
bab 6

Sudah tiga hari berlalu. Semenjak kejadian malam itu, setiap saat aku terbayang wajah Azmi. Kalau diikutkan jadual, semalam aku ada satu perbincangan di Akira Holding. Tapi aku meminta Johan yang pergi dan mengambil beberapa pelan yang mereka lakarkan untuk Green Hotel yang baru. Aku juga masih sibuk dengan urusan promosi. Jadual aku untuk tiga hari ini begitu padat sekali. Sehingga adakalanya hampir tengah malam baru aku pulang ke kamar.

Hari ini, pagi-pagi lagi Kak Ju menghubungi aku. Dia beria-ia mengajak aku keluar menemaninya makan tengah hari di Alamanda. Dia juga mahu menunjukkan Khazanah Butik miliknya di gedung membeli belah tersebut. Pada mulanya mahu saja aku menolak pelawaan Kak Ju. Mataku masih sembab lantaran menangis semalam. Semalam aku bermimpi Azmi. Dulu aku tidak pernah kisah dengan mimpi yang datang. Tapi kali ini dia ada dihadapanku. Lelaki yang aku mimpi dekat dengan aku. Apa yang harus aku lakukan kalau bukan mengalirkan air mata. Az... bagaimana aku mahu meneruskan hidup ini sedangkan setiap nafasku menyebut namamu.

Badanku masih terasa lesu, teringat pertemuan aku dan Azmi di Green Hall. Kenapa dia datang lagi…… kenapa aku ditakdirkan kembali ke sini. Ya Allah…… apa dugaan yang engkau sedang berikan. Aku tiada jawapan.

Aku turun ke lobi ketika jam menunjukkan pukul sepuluh pagi. Kak Ju baru saja bertolak dari rumahnya. Petang ini aku akan melihat pelan tanah dan pelan bangunan yang Johan berikan tadi. Kasihan Johan, kerana aku dia harus datang ke pejabat pada hujung minggu begini semata-mata mahu menghantar pelan-pelan tersebut.

“Selamat Pagi Cik Amira, nak keluar ke?”

Aku tersenyum kecil lalu mengangguk kepada staf yang menjaga bahagian kaunter perkhidmatan.

“Pagi tadi ada seseorang hantar ni kepada Cik Amira. Saya baru saja nak suruh mereka bawa ke atas, tapi tak sangka jumpa Cik Amira di sini”

Gadis manis bernama Suzy itu mengambil sesuatu di bawah meja. Beberapa saat kemudian dia menghulurkan sejambak bunga mawar berwarna kuning kepadaku. Aku terpinga-pinga, lalu memandang wajahnya. Suzy seolah mengerti soalan yang lahir dari hatiku, dia mengangkat bahu lalu tersenyum manis.

“Ada orang minat Cik agaknya……pagi tadi saya nampak dah ada kat atas meja. Cantik tu Cik Amira, Baru tiga hari di sini dah ada orang minat. Cik ajarlah saya ilmu yang Cik Amira pakai. Saya ni ha, dah berkurun duduk kat sini tak seorang pun nak hantar bunga”

“Ish kamu ni.…… itu yang saya pelik. Saya tak terima bunga dari orang yang saya tak kenal. Siapa yang bagi?”

Soalanku dipandang sepi oleh Suzy. Seketika kemudian, aku melihat kereta Kak Ju sampai. Bunga di tangan aku serahkan kepada Suzy. Pandailah dia nak buat. Aku tak mahu terima bunga dari orang yang aku tak kenal. Bergegas aku meninggalkan Suzy yang kelihatan gembira menerima jambangan bunga tersebut. Biarlah!

Hampir dua jam kami meronda-ronda kawasan membeli belah yang mewah itu. semasa di butik Kak Ju, aku sempat memilih beberapa helai baju. Pada mulanya dia menolak duit yang aku beri. Tapi setelah dipaksa berulang kali, barulah dia mengambilnya dengan syarat dia akan suruh tukang jahitnya menjahit baju kurung berlabuci yang terkenal zaman sekarang. Aku tidak melarang, lagipun memang niat aku untuk membeli beberapa helai baju di sini.

Setelah puas keluar masuk kedai, kami singgah di restoran KFC. Perutku sudah berbunyi kerana dari awal pagi lagi tidak diisi. Aku biarkan Kak Ju memilih tempat duduk yang sedikit terlindung di sudut restoran. Aku pula menunggu giliran dikaunter. Agak lama juga aku berdiri, semua kaunter penuh dengan orang beratur.

Puas mataku memandang ke kanan aku beralih pula memandang kesebelah kiri. Dari celah-celah orang ramai yang keluar masuk pasaraya Carefour, jelas aku melihat kelibat Azmi. Azmi dengan seseorang. Seorang perempuan! Kemas tangan gadis itu melingkar dilengan Azmi. Aku terkedu, melihat gelak ketawa Azmi jelas menunjukkan dia benar-benar gembira. Sesekali dia mencuit hidung gadis itu manja. Kemudian Azmi dan gadis itu melangkah masuk ke restorant KFC. Aku tergamam, hanya beberapa langkah saja jarak aku dan dia. Mungkin dia tidak sedar aku di hadapannya. Aku bernasib baik, giliranku tiba untuk memesan makanan. Hanya beberapa minit selepas itu aku berlalu dari kaunter. Sempat aku melihat kelibatnya yang sudah beratur selang sebaris denganku. Melihat perempuan yang masih setia di sisinya, aku mula rasa cemburu. Kenapa perasaan itu harus hadir? Aku benci saat ini.. Ah…Biarlah! Mungkin benar dia sudah ada yang lain. Untuk apa aku fikirkan, lagipun aku disini tak lama, hanya seketika. Dua belas tahun aku mampu harungi, takkan aku mengalah kali ini.

“Ramai orang kan?”

Aku mengangguk sambil tanganku meletakkan hidangan diatas meja. Ayam goreng yang masih panas membuka selera menyebabkan lupa seketika kepada Azmi.

“Petang ni kamu ada hal tak?”

“Ada kak. Kena tengok pelan tanah dan bangunan”

Kak Ju menggelengkan kepala. Wajahnya mula berkerut memandang aku.

“Kenapa Kak?”

“Kamu ni, tak habis-habis pasal kerja. Kamu tak jaga diri kamu pun. Kamu tak pernah ke tinggalkan kerja kamu sebentar dan cuba melihat dunia luar... luar dari Green Hotel?”

Aku menggelengkan kepala lalu ketawa ku mula pecah perlahan. Ada dua tiga orang jejaka mula memandang ke arah aku lalu melemparkan senyuman. Aku membalas senyuman yang dilemparkan lalu beralih semula kepada Kak Ju.

“Orang tu dari tadi lagi pandang kamu... agaknya nak mengurat kamu”

Aku membuntangkan mata menatap wajah Kak Ju. Ada saja yang dia mahu kenakan aku. Dari tadi dia mengatakan ada lelaki yang mencuri pandang ke arah aku. Hmmm... sekadar pandang, bagi aku itu perkara biasa. Allah bagi mereka mata untuk melihat. Apa salahnya, takkanlah aku nak marah pula.

“Dah lah akak ni... kesitu pula.”

“Ye lah, kamu ni asyik kerja-kerja-kerja. Kamu tak pernah fikirkan diri kamu sendiri. Akak teringin melihat kamu ada seseorang yang boleh menjaga kamu, menyayangi kamu. Jangan sia-siakan hidup kamu Amira”

Aku senyum lagi. Kak Ju mula buka semula buku lama tentang cerita berumah tangga.

“Tak sampai seru lagi kak. Jodoh itu di tangan tuhan. Biarkan ianya datang sendiri. Saya tak boleh berlengah pasal kerja kak, nanti banyak pihak yang rugi kalau due date nya terlewat. Ini projek pertama saya di sini”

Kak Ju sekali lagi menggelengkan kepala. Agaknya dia pun malas meneruskan lagi kata-katanya. Ayam goreng di pingganku sudah hampir habis. Air Pepsi yang masih penuh lagi aku sedut perlahan.

“Boleh kami duduk di sini?”

Jantungku seakan terhenti. Tidak salah, memang dia yang sedang berdiri di sisi meja kami. Kak Ju memandang wajahku dengan sedikit hairan. Cuba mencari jawapan.

“Sebenarnya meja lain dah penuh. Kalau you all tak kisah I nak duduk di sini”

Aku mengangguk perlahan. Lalu membalas pandangan Kak Ju.

“Kak, ini Encik Khairul Azmi. Pemilik Akira Holding”

Aku hanya memandang sambutan tangan Kak Ju. Mata Kak Ju liar memerhati wajah Azmi sehingga Azmi kelihatan serbasalah.

“Oh….lupa pula. Ni adik I, Anne. Nama panjangnya Suhana, lama tinggal kat London dah jadi Anne”

Aku ketawa kecil diikuti senyuman Kak Ju. Suhana mencubit lembut lengan Azmi. Leganya perasaanku! Ingatkan kekasih hati, rupanya adik kandungnya sendiri. Pengakuannya membuatkan hatiku berbunga semula.

“I mengganggu you all ke?”

Kak Ju pantas menggelengkan kepala sebelum sempat aku menjawab soalan Azmi.

“Ish……tak adalah Encik Khairul” Kak Ju mempelawa Azmi duduk. Dia sengaja mengmbil tempat di sisiku. Argh, haruman yang dipakai cukup menyiksakan aku. Aku diam. Perutku yang mula lapar akhirnya kenyang serta merta. Kehadiran Azmi di sini merosakkan mood ku ketika ini.

“Gembira dapat kenal dengan Encik Khairul. Yelah, bukan senang nak jumpa dengan orang macam Encik Khairul. Dengarnya tak lama lagi Encik Khairul akan bergelar Datuk ye? Saya ada juga terbaca tentang Encik Khairul di surat khabar. Hmm muda-muda ladi sudah berjaya”

Sambil menguis ayam yang masih panas Azmi mengangguk, mengiakan kata-kata Kak Ju. Aku sedikit terlopong, sungguh aku tidak tahu pasal ini. Aku pula hanya menguncikan mulut begitu juga Suhana. Dari tadi lagi mata gadis itu mencuri-curi memandang malu kearahku. Manis! Macam abangnya. Aku terus menjamah kentang goreng yang hanya tinggal suku saja sambil mendengar mereka yang semakin rancak berbual.

“Akak pun tahu juga pasal saya” Azmi memandang wajah Kak Ju. Mereka berbual seolah sudah kenal lama.

“Mananya tak tahu Encik Khairul, suami saya yang cakap. Apatah lagi ramai kenal Encik Khairul ni. Bujang lagi dah dapat gelaran Datuk. Jarang orang melayu kita berjaya seperti Encik Khairul. Suami saya pernah jumpa Encik Khairul dalam majlis. Tapi mungkin Encik Kharul tak kenal”

“Siapa suami Kak Ju?”

“Hamdan, Hamdan bin Sani”

“Ooo……Encik Hamdan. Takkan tak kenal, I selalu borak dengan dia kalau jumpa di mana-mana majlis. Dia tu banyak pengalaman, mama I pun kenal baik dengan Arwah isteri Encik Hamdan. Masa dia nak kahwin tempoh hari, ada juga dia jemput . Masa tu kebetulan terserempak kat Pahang. Tapi tak dapat datang sebab keluar negeri”

Perbualan semakin rancak, bermula cerita pasal bisnes kemudian cerita pasal keluarga. Aku seolah seperti tunggul kayu yang sekadar tersenyum tanpa mencelah cerita mereka. Dari cerita Azmi baru aku tahu keluarganya sudah menetap di London. Kedatangan adiknya pun kerana cuti semester, dan sekadar menjenguk abangnya yang tinggal bersama pak long mereka. Hmm anak orang kaya, setakat London tu dekat aje...

“Mira, kenapa senyap aje....” Kak Ju sengaja menegur aku.

Aku tercengang. Lalu pantas menggelengkan kepala menutup ketidak selesaan aku ketika ini.

“Agaknya Cik Amira masih malu dengan saya. Maklumlah kak, baru sekali kami bertemu. Syarikat saya sedang sibuk menguruskan projek Cik Amira” Pandangan Azmi beralih kepada aku. “Cik Amira bercuti ke hari ini?”

Aku menggangguk lagi. Baru saja aku mahu menjawab Kak Ju sudah mula berbicara.

“Dia ni terlalu cintakan kerja. Kerja itu seperti nyawanya. Kalau tidak bekerja, tak tahulah akak bagaimana keadaan dia”

Aku membuang jelingan ke arah Kak Ju. Azmi ketawa kecil. Ish Kak Ju ni, sengaja nak kenakan aku.

“Lepas ni nak ke mana?” Azmi menyoal kembali.

“Orang tu sibuk dengan kerja Encik Khairul..... macam mana nak ajak jalan lagi”

“Ooo... Cik Amira buzy ker?” Azmi memandang aku semula.

“Tak adalah sangat, cuma nak tengok pelan yang mereka ambil semalam. Saya tak sempat nak tengok, kalau saya dapat tengok hari ini, lusa tak payahlah pinda lagi.”

“Kalau Cik Amira tak keberatan, saya akan datang petang ini. Kita boleh tengok sama-sama. Lagipun petang ni saya memang free, dan apa salahnya kalau kita berdua bincangkan perkara tu. Cik Amira pun nak cepat kan?” Azmi mempelawa dirinya.

Entahlah, aku tidak sanggup menolak niat Azmi. Ayat yang di susun .tersekat di kerongkongan aku. Aku biarkan pelawaannya tanpa jawapan.

Azmi dan Suhana meminta diri untuk pulang dan sekali lagi berjanji akan datang di Green Hotel petang ini.

Keluar saja dari Restorant KFC, aku menarik tangan Kak Ju. Kak Ju yang seakan mengerti lalu mengucapkan selamat tinggal kepada Azmi. Aku membalas senyuman Azmi dengan lambaian. Sesak nafasku berada bersamanya! Tapi aku hairan, dia tak kenal aku lagi ke? Sepanjang perbualan tadi, tidak pernah dia menyebut kisah masa sekolah dulu. Ataupun……dia sudah melupakan aku. 12 tahun berlalu bukannya mudah untuk menyimpan kenangan yang ada. Sedangkan aku masih mengingatinya dan sukar untuk melupakannya. Ah……kenapalah aku boleh jadi begini.

“Kenapa senyap? Tadi dia yang ajak pulang”

Aku memandang sekilas ke arah Kak Ju yang sedang memandu kereta. Aku mengeluh kecil. Pertemuan yang tidak dirancang dan sama sekali tidak diingini ketika ini. Terlalu pantas rasanya semua berlaku, aku terpaksa kembali ke sini, kemudian terpaksa berdepan dengan Akira Holding.... Hmmm Akira, Amira, Akira, Amira.... sempena nama aku atau hanya kebetulan?

“Dia tu handsome tau! Dulu akak dengar dia tu kaki perempuan. Tapi selepas kenal, akak tak rasa dia macam tu. Dia peramah. Akak suka tengok rupa dia. Hmm... memang patut ramai anak dara orang terpikat. Tidak mustahil kalau mereka kata Khairul Azmi tu kaki perempuan. Lelaki macam dia, cukup sempurna. Semua perempuan mahu lelaki seperti dia. Kaya raya, handsome. ”

Anak mataku bulat memandang wajah Kak Ju. Kesitu pula Kak Ju fikir!

Tapi betul ke dia tu kaki perempuan? Az…… Az dah berubah ke? Mira tak pernah berubah, hati ini hanya untuk Az seorang. Ya Allah kenapa aku harus memikirkannya lagi.

“Hei!”

Aku tersentak, pantas menggosok-gosok bahu yang terasa sakit di tepuk oleh Kak Ju.

“Sakitlah kak!”

“Kamu tu menung aje dari tadi”

Aku tak menjawab kata-kata Kak Ju.

“Akak ni risau tengok kamu, kalau kamu berteman ada juga yang ambil berat. Di sana dulu bukannya tak ada orang minat dengan kamu. Zack tu, betul-betul tergilakan kamu. Sanggup menunggu kamu tamat kuliah. Sanggup menemani kamu kemana saja. Akak ingatkan kamu dengan Zack dulu serius. Shah yang tinggal di sebelah bilik kita dulu pun minat dengan kamu. Tak jemu hantar bunga. Sampaikan nak bergaduh dengan Zack pun ada. Lagi anak mat salleh yang selalu tunggu kamu di simpang jalan. Siapa nama dia?” Kak Ju mengerutkan wajahnya, cuba mengingati lelaki kacak keturunan belanda itu. ”Ha! Jimmy, yup Jimmy, saban hari tunggu kamu. Tapi budak tu lurus sangat, malu-malu pula tu. Nasib baik masa tu Shah dan Zack dah tak ada, kalau tak agaknya haru-biru bandar Adelaide dikerjakan mereka bertiga. Tapi tulah, kamu tak nak. Kamu ni memilih sangat”

Aku tersengih. Mengingati tiga nama yang Kak Ju baru sebutkan. Zack, atau nama sebenarnya Zakuan, kawan lelaki yang paling rapat dengan aku. Kami sama-sama menyambung pengajian di peringkat ijazah walaupun bidang berlainan. Dia terpaksa pulang apabila ayahnya tidak sihat dan tidak ada yang meneruskan perniagaan keluarganya. Aku masih ingat kesedihannya kerana terpaksa meninggalkan aku. Shah pula memang ada rupa, kalau habis belajar dia akan menjadi seorang Doktor. Keluarganya pun pernah bertemu dengan aku, emak dan ayahnya menerima aku seperti aku ahli keluarga mereka. Setiap kali dia menjenguk anak kesayangannya itu, tiap kali itu juga mereka menjemput aku ke kediamannya. Keluarga mereka memang kaya. Mereka menyewa sebuah apartment untuk kemudahan Shah. Katanya senang kalau mereka mahu mengunjungi Shah di sini. Tidak payah menyewa hotel. Tapi bukan aku tak mahu, cuma hati saja yang belum terbuka lagi. Mereka semua aku anggap rakan dari tanah kelahiranku. Walaupun aku sudah sebati di sana. Tetapi aku memerlukan rakan-rakan dari tanah tumpah darahku sendiri.

Khairul Azmi cinta pertamaku, semenjak aku mencintainya tidak pernah sekalipun perasaan itu berubah. Sehingga hari ini, dan ketika aku bertemu kembali dengannya setelah sekian lama berpisah, cinta itu semakin membara. Bagaimana untuk aku menerima orang lain sedangkan hati ini hanya untuk dia. Lagipun aku sedar siapa aku sekarang.

“Belum ada jodoh kak. Dahlah kak, tak naklah cerita pasal tu”

Kak Ju terus menghantar aku pulang ke Green Hotel. Jam sudah menunjukkan pukul tiga petang. Aku tidak berlengah dan terus saja menunaikan solat Zuhur. Usai solat, aku terus pergi ke pejabat. Hanya ada beberapa orang staf yang belum pulang. Hujung minggu begini hanya segelintir orang saja yang datang bekerja lebih masa. Aku terus menuju ke bilik dan mengambil pelan-pelan yang berada di atas meja. Baru saja aku mahu keluar dari bilik, telefon di atas meja berbunyi.

“Selamat petang Cik Amira. Ada seorang lelaki dari Akira Holding menunggu Cik Amira di Lobi”

Aku terus teringat akan Azmi. Lelaki itu benar-benar datang menemui aku. Apa yang harus aku buat ketika ini? Jantungku berdebar.

Tanpa berlengah aku terus menuju ke Lobi. Azmi sedang menunggu di sofa putih dari Itali. Menatap wajahnya membuat aku tidak menentu. Jantungku berdegup laju. Azmi yang baru saja sedar aku memerhatikannya terus melambaikan tangan. Langkahku tiba-tiba berat untuk menemuinya. Namun aku gagahkan jua. Demi tanggungjawabku terhadap Green Hotel. Aku harus ketepikan semua.

“Hi.... are you ok Amira?”

Aku terkesima. Amira.... cara dia menyebut namaku? Pandangan wajahnya aku balas. Dia masih tersenyum, mungkin hatinya sedang mentertawakan aku ketika ini.

“Duduklah, I ingat kita nak bincangkan sama-sama pasal pelan-pelan yang staff I dah buat?”

“Mungkin sebaiknya kita bincangkan di dalam sana. Lebih privasi dan tidak mengganggu orang lain.” Aku mempelawa Azmi selepas melihat sebuah bilik menunggu sedang tidak digunakan.

“Ok... I tak kisah. Yang penting you selesa.”

Kami seiringan menuju ke bilik yang dikhaskan untuk membuat perbincangan kecil bersama pelanggan. Bilik yang berdindingkan kaca lebih selesa bagi berbicara tentang hal kerja sini.

Aku mempelawa Azmi duduk di hadapanku. Matanya tidak lekang dari memandang wajahku. Aku menjadi serba salah. Pandangannya penuh menggoda. Matanya yang redup dan senyumannya yang begitu memikat. Sudah lama aku tidak merasakan hebatnya jatuh cinta. Seolah sedang membawa aku ke alam khayalan. Jantungku tersentak. Ya Allah, aku hampir terleka. Aku harus ketepikan semua itu. Lebih baik kalau aku cepat kembali ke Australia dan jauh dari dirinya. Aku harus sedar, aku yang tinggalkan dia dulu. Sekarang tidak mungkin aku akan kembali kepadanya, apatah lagi setelah semua yang berlaku.

“Tak sangka jumpa you di sini........” Suara Azmi perlahan.

Aku memandang tepat ke arahnya. Walaupun suaranya cukup perlahan. Tapi masih kedengaran. Aku cuba lebih profesional dalam bekerja. Kata-kata Azmi tadi aku biarkan sepi. Aku berharap Azmi tidak akan ungkit kisah lama.

“Saya sempat tengok sedikit pasal pelan tadi. Ada beberapa cadangan yang Akira Holding berikan. Tapi saya harus berbincang dengan pihak di Australia sebelum membuat pilihan. Beri saya sedikit masa.”

Azmi sekadar mengangguk.

“Kalau you tak keberatan, I ingat nak ajak you pergi meninjau tapak-tapak yang ada. Lebih baik kita pergi dulu tengok dan buat analisis sebelum you bincangkan dengan pihak atasan. I think, mereka di sana percayakan you. Mereka akan ikut cakap you kan?”

Aku tersenyum kecil.

“Tak semestinya. Banyak perkara yang mereka titik beratkan... Hmmm pelan tanah yang ini saya tak berkenan. Bidang tanahnya tidak luas. Persekitarannya pun tidak menarik.” Aku menunjukkan dua pelan di tanganku. Azmi mengangguk.

“Amira... can I call you Amira?

Aku menjungkitkan bahu. Tidak kisah kalau itu yang dia mahu.

“You lama di Australia?” Azmi menyambung kata-katanya.

Aku berhenti dari menyambungkan kata-kataku.

“Bolehlah tahan lamanya... kenapa?”

Azmi menggelengkan kepala. Tidak dapat meneka apa yang bermain di fikirannya ketika ini.

“Apa yang you impikan dengan Green Hotel?”

Aku terkesima. Soalan Apa yang Azmi cuba utarakan ketika ini.

“Saya impikan hotel yang akan dibina nanti siap seperti yang dijanjikan”

Azmi menundukkan pandangannya. Aku membawa Azmi kembali berbicang mengenai pelan-pelan yang terbentang di atas meja. Selepas hampir satu jam, aku menamatkan perbincangan kami.

I harap kita akan bertemu lagi. I akan bawa beberapa pelan lagi yang I reka sendiri. Sebenarnya I ada satu lagi tapak yang nak ditunjukkan. May be esok baru mereka hantar ke pejabat I. Tapak yang tu lain sikit, special untuk you. Puas I minta mereka hantar pelan sebab ada juga orang berminat nak buat chalet.

“Oh... really? Kalau macam tu kita boleh bincang di office, kalau ada masalah I akan suruh setiausaha I call Akira Holding”

Aku menghantar Azmi sampai di lobi. Beberapa mata memandang ke arah kami berdua. Ada seorang perempuan melambai ke arah Azmi. Azmi sekadar membalas lambaian dengan senyuman. Mungkin mereka kenal. Argh... kenapa harus aku persoalkan. Lelaki seperti Azmi pasti ramai perempuan yang mendampingi.

I gembira dapat bertemu dengan you.... see you

Aku mengangguk. Aku pun gembira dapat bertemu dengan mu semula Az...

Selepas solat Asar, aku memandu ke rumah Kak Ju. Selepas melewati deretan perumahan, akhirnya aku sampai ke rumah banglo setingkat miliknya. Beberapa hari aku disini mula arif dengan sekitar Putrajaya. Jalan-jalannya teratur, kenderaan pun tidaklah banyak sangat. Lagipun setiap simpang terdapat papan tanda memudahkan aku mencari arah tujuan. Kereta diparkir di perkarangan rumah Kak Ju. Malam ini aku berjanji untuk tidur dirumahnya memandangkan esok hari Ahad.

Masuk ke dalam rumah aku sudah mencium pengat pisang yang masak oleh Mak Teh. Kak Ju kata Abang Hamdan akan pulang malam nanti dari Johor Bahru. Anak perempuannya pula ada di rumah anak tirinya di Shah Alam. Mereka belum dikurniakan cahaya mata semenjak berkahwin lima tahun lalu. Tahu saja Kak Ju mengandung, mereka kerap datang bermalam. Semenjak akhir-akhir ini saja mereka suka menjemput Syafika bermalam dirumahnya lagipun Syafika sudah masuk tiga tahun senang untuk dijaga.

“Kacau daun pula saya bermalam di sini”

Aku duduk di sisi Kak Ju sambil menikmati Pengat Pisang.

“Ish……kesitu pula. Kalau akak nak honeymoon lagi tak nak lah kat sini. tak syok! Akak nak suruh abang Hamdan kamu bawa akak ke Itali”

Aku ketawa kecil. Tidak dinafikan, Abang Hamdan memang seorang yang romantik. Dulu semasa mahu memikat Kak Ju, hampir setiap minggu dia akan menghadiahkan jambangan bunga. Ketika itu Abang Hamdan bertugas di kedutaan di sana. Kalau tidak bunga, pasti dia menghantarkan sekotak coklat. Akulah yang paling untung kerana Kak Ju tidak berapa gemar memakan coklat. Selepas makan malam, kami duduk di laman. Kembali melihat bintang-bintang yang bertaburan di dada langit. Tenang sungguh! Sementara menunggu kepulangan Abang Hamdan, Kak Ju menyuruh Mak Teh menggoreng keropok lekor. Di rumah Kak Ju tak berhenti mulut ini mengunyah. Tidak lama kemudian wanita tua itu keluar semula dengan sepinggan keropok lekor ditangannya beserta sos.

“Encik Khairul jadi datang ke petang tadi?”

“Jadi kak, kami bincangkan pasal pelan yang dia bagi semalam. Kenapa kak?”

Kak Ju diam seketika sambil menyuakan keropok lekor dimulutnya.

“Akak tengok dia pandang kamu semacam aje. Kamu tak perasan ke?....orang macam kamu ni manalah perasan kalau lelaki cuba nak memikat”

“Akak ni... perasaan akak aje. Akak sendiri yang cakap dia tu kaki perempuan. Habis tu, bukankah sama saja pandangan matanya ke arah semua perempuan?”

Kak Ju ketawa kecil.

“Selepas makan tengah hari tadi, akak tengok kamu lain macam. Kamu ada masalah ke? Atau pasal Khairul Azmi? tengok lain pandangan mata kamu. Kamu rasa kekok dia duduk di sisi kamu. Akak kenal kamu dah lama, ada apa yang akak tak tahu? Atau kamu pun dah jatuh cinta dengan dia?”

Sah! Kak Ju cuba menduga sekali lagi. mungkin dia dapat menghidu perasaan yang bercampur baur. Salah aku juga, selepas kejadian tengah hari tadi aku semakin banyak berfikir. Semasa berbincang dengan Azmi petang tadi banyak juga aku tersasul. Tapi aku masih mampu bertahan. Kadang-kadang kenangan lalu datang tanpa diundang. Bertahun aku hidup di sisi Kak Ju, dia sudah faham segala sikapku.

“Entahlah kak, tak tau nak mula dari mana. Semuanya pantas betul terjadi……tak sangka pula jumpa dia sekali lagi”

Lancar mulutku berbicara. Mungkin sampai masanya aku luahkan segala yang terbuku semenjak beberapa hari ini.

“Kamu dah kenal ke?”

Kak Ju semakin tidak faham. Selama aku mengenali Kak Ju, tidak pernah aku cerita tentang Azmi. Lagipun masa itu aku sedaya upaya untuk melupakannya.

“Dia kawan Mira masa sekolah dulu. Selepas kejadian hari tu, Mira tinggalkan dia tanpa cerita. Entahlah kak,……semenjak hari itu Mira tak pernah ada perasaan dengan lelaki lagi. mungkin sebab Mira terlalu sayangkan dia. Mira cuba lupakan, itulah sebabnya Mira malas nak pulang ke sini. Selepas semua berlaku, tak mungkin ada lelaki yang sudi terima Mira. Apatah lagi dia. Dia nak wanita yang sempurna dimatanya. Saya kenal sangat dia kak. Tapi tak sangka pula akan jumpa dia lagi. Malahan bekerjasama dengan dia. Mira tak nak dia tahu segalanya pasal Mira, Kalau boleh, Mira nak balik. Mira tak nak sampai dia tahu apa yang berlaku pada Mira. Mira takut dia ungkit kisah lama. Mira malu kak”

Jelas Kak Ju Kelihatan terkejut. Lama dia menatap mataku. Kemudian dia merapatiku lalu meletakkan tangannya di bahuku.

“Itu sebabnya kamu tak pernah bercinta lagi?”

Aku mengangguk lemah. Bukan aku pinta, tapi itu perasaan yang lahir dari hatiku sendiri. Selepas itu, aku tidak pernah jatuh cinta lagi. Bagiku, aku senang hidup sendiri. Lama kami diam sebelum Kak Ju mula bersuara semula.

“Petang tadi macam mana? Apa yang dia cakap? Pasti dia pun terkejut melihat kamu kan?”

Aku menggelengkan kepala. Dia macam biasa tak ada yang berbeza. Nampak cool, kalau nak dibandingkan dengan aku.

“Dia biasa je kak. Macam tak kenal saya. Entahlah kak, saya saja yang berlebihan melayan perasaan. Saya tengok dia seperti biasa. Saya nak cepat selesaikan kerja dengan mereka. Saya nak pulang ke Australia”

Lama kami diam. Ada keluhan kecil terbit dari mulut Kak Ju. Aku tidak mahu membebankan Kak Ju dengan masalah aku sendiri.

“Kamu tak ingin nak pulang ke kampung ke? Dah kebetulan kamu datang ni”

Aku memandang wajah Kak Ju kosong, lalu beralih memandang laman yang disirami cahaya bulan.

“Sampai bila kamu nak hidup begini. Lagipun sudah dua belas tahun berlalu. Kamu masih ada keluarga, masih ada yang menunggu kepulangan kamu. Takkan kamu tak kasihan dengan mereka yang sentiasa menunggu kamu”

Aku mengeluh perlahan. Perbualan kami terhenti seketika apabila Mak teh datang menghidangkan teh yang masih panas. Lama kami diam. Bila sedar Mak Teh sudah masuk ke dalam rumah, Kak Ju memegang lembut tanganku. Air mata yang bergenang jatuh perlahan.

“Mira, semua orang membuat kesilapan. Mungkin sekarang ayah kamu sudah insaf. Lagipun bukan dia yang buat. Semua ayah pasti sayang dengan anaknya. Hidup ini hanya sekali saja, jangan sia-siakan sisa hidup kamu. Di sana Mira tak ada sesiapa. Pulanglah ke sini, kalau Mira tak nak duduk di kampung kamu tinggallah di sini. kamu masih ada akak.”

Aku kehilangan kata-kata. Sisa air mata aku kesat perlahan. Tidak berapa lama kemudian, Abang Hamdan datang. Kak Ju beralih cerita lain. Kak Ju memang pandai menyejukkan hati. Abang Hamdan pun tidak dapat mengesan apa-apa. Seperti kembali ke alam nyata, kami bertiga berbual sehingga jauh malam. Banyak cerita Abang Hamdan mengenai kerjanya di Johor. Ah hati……sebenarnya tidaklah sekuat mana.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.