Sudah tiga hari
berlalu. Semenjak kejadian malam itu, setiap saat aku terbayang wajah Azmi.
Kalau diikutkan jadual, semalam aku ada satu perbincangan di Akira Holding.
Tapi aku meminta Johan yang pergi dan mengambil beberapa pelan yang mereka
lakarkan untuk Green Hotel yang baru. Aku juga masih sibuk dengan urusan
promosi. Jadual aku untuk tiga hari ini begitu padat sekali. Sehingga
adakalanya hampir tengah malam baru aku pulang ke kamar.
Hari ini, pagi-pagi lagi Kak Ju menghubungi aku. Dia
beria-ia mengajak aku keluar menemaninya makan tengah hari di Alamanda. Dia
juga mahu menunjukkan Khazanah Butik miliknya di gedung membeli belah tersebut.
Pada mulanya mahu saja aku menolak pelawaan Kak Ju. Mataku masih sembab
lantaran menangis semalam. Semalam aku bermimpi Azmi. Dulu aku tidak pernah
kisah dengan mimpi yang datang. Tapi kali ini dia ada dihadapanku. Lelaki yang aku mimpi dekat dengan aku. Apa
yang harus aku lakukan kalau bukan mengalirkan air mata. Az... bagaimana aku
mahu meneruskan hidup ini sedangkan setiap nafasku menyebut namamu.
Badanku masih terasa lesu, teringat pertemuan aku dan
Azmi di Green Hall. Kenapa dia datang lagi…… kenapa aku ditakdirkan kembali ke
sini. Ya Allah…… apa dugaan yang engkau sedang berikan. Aku tiada jawapan.
Aku turun ke lobi ketika jam menunjukkan pukul sepuluh
pagi. Kak Ju baru saja bertolak dari rumahnya. Petang ini aku akan melihat
pelan tanah dan pelan bangunan yang Johan berikan tadi. Kasihan Johan, kerana
aku dia harus datang ke pejabat pada hujung minggu begini semata-mata mahu
menghantar pelan-pelan tersebut.
“Selamat Pagi Cik Amira, nak keluar ke?”
Aku tersenyum kecil lalu mengangguk kepada staf yang
menjaga bahagian kaunter perkhidmatan.
“Pagi tadi ada seseorang hantar ni kepada Cik Amira. Saya
baru saja nak suruh mereka bawa ke atas, tapi tak sangka jumpa Cik Amira di
sini”
Gadis manis bernama Suzy itu mengambil sesuatu di bawah
meja. Beberapa saat kemudian dia menghulurkan sejambak bunga mawar berwarna
kuning kepadaku. Aku terpinga-pinga, lalu memandang wajahnya. Suzy seolah
mengerti soalan yang lahir dari hatiku, dia mengangkat bahu lalu tersenyum
manis.
“Ada orang minat Cik agaknya……pagi tadi saya nampak dah
ada kat atas meja. Cantik tu Cik Amira, Baru tiga hari di sini dah ada orang
minat. Cik ajarlah saya ilmu yang Cik Amira pakai. Saya ni ha, dah berkurun
duduk kat sini tak seorang pun nak hantar bunga”
“Ish kamu ni.…… itu yang saya pelik. Saya tak terima
bunga dari orang yang saya tak kenal. Siapa yang bagi?”
Soalanku dipandang sepi oleh Suzy. Seketika kemudian, aku
melihat kereta Kak Ju sampai. Bunga di tangan aku serahkan kepada Suzy.
Pandailah dia nak buat. Aku tak mahu terima bunga dari orang yang aku tak
kenal. Bergegas aku meninggalkan Suzy yang kelihatan gembira menerima jambangan
bunga tersebut. Biarlah!
Hampir dua jam kami meronda-ronda kawasan membeli belah
yang mewah itu. semasa di butik Kak Ju, aku sempat memilih beberapa helai baju.
Pada mulanya dia menolak duit yang aku beri. Tapi setelah dipaksa berulang
kali, barulah dia mengambilnya dengan syarat dia akan suruh tukang jahitnya
menjahit baju kurung berlabuci yang terkenal zaman sekarang. Aku tidak
melarang, lagipun memang niat aku untuk membeli beberapa helai baju di sini.
Setelah puas keluar masuk kedai, kami singgah di restoran
KFC. Perutku sudah berbunyi kerana dari awal pagi lagi tidak diisi. Aku biarkan Kak Ju memilih tempat duduk yang
sedikit terlindung di sudut restoran. Aku pula menunggu giliran dikaunter. Agak
lama juga aku berdiri, semua kaunter penuh dengan orang beratur.
Puas mataku memandang ke kanan aku beralih pula memandang
kesebelah kiri. Dari celah-celah orang ramai yang keluar masuk pasaraya
Carefour, jelas aku melihat kelibat Azmi. Azmi dengan seseorang. Seorang
perempuan! Kemas tangan gadis itu melingkar dilengan Azmi. Aku terkedu, melihat
gelak ketawa Azmi jelas menunjukkan dia benar-benar gembira. Sesekali dia mencuit
hidung gadis itu manja. Kemudian Azmi dan gadis itu melangkah masuk ke
restorant KFC. Aku tergamam, hanya beberapa langkah saja jarak aku dan dia.
Mungkin dia tidak sedar aku di hadapannya. Aku bernasib baik, giliranku tiba
untuk memesan makanan. Hanya beberapa minit selepas itu aku berlalu dari
kaunter. Sempat aku melihat kelibatnya yang sudah beratur selang sebaris
denganku. Melihat perempuan yang masih setia di sisinya, aku mula rasa cemburu.
Kenapa perasaan itu harus hadir? Aku benci saat ini.. Ah…Biarlah! Mungkin benar
dia sudah ada yang lain. Untuk apa aku fikirkan, lagipun aku disini tak lama,
hanya seketika. Dua belas tahun aku mampu harungi, takkan aku mengalah kali
ini.
“Ramai orang kan?”
Aku mengangguk sambil tanganku meletakkan hidangan diatas
meja. Ayam goreng yang masih panas membuka selera menyebabkan lupa seketika
kepada Azmi.
“Petang ni kamu ada hal tak?”
“Ada kak. Kena tengok pelan tanah dan bangunan”
Kak Ju menggelengkan kepala. Wajahnya mula berkerut
memandang aku.
“Kenapa Kak?”
“Kamu ni, tak habis-habis pasal kerja. Kamu tak jaga diri
kamu pun. Kamu tak pernah ke tinggalkan kerja kamu sebentar dan cuba melihat
dunia luar... luar dari Green Hotel?”
Aku menggelengkan kepala lalu ketawa ku mula pecah
perlahan. Ada dua tiga orang jejaka mula memandang ke arah aku lalu melemparkan
senyuman. Aku membalas senyuman yang dilemparkan lalu beralih semula kepada Kak
Ju.
“Orang tu dari tadi lagi pandang kamu... agaknya nak
mengurat kamu”
Aku membuntangkan mata menatap wajah Kak Ju. Ada saja
yang dia mahu kenakan aku. Dari tadi dia mengatakan ada lelaki yang mencuri
pandang ke arah aku. Hmmm... sekadar pandang, bagi aku itu perkara biasa. Allah
bagi mereka mata untuk melihat. Apa salahnya, takkanlah aku nak marah pula.
“Dah lah akak ni... kesitu pula.”
“Ye lah, kamu ni asyik kerja-kerja-kerja. Kamu tak pernah
fikirkan diri kamu sendiri. Akak teringin melihat kamu ada seseorang yang boleh
menjaga kamu, menyayangi kamu. Jangan sia-siakan hidup kamu Amira”
Aku senyum lagi. Kak Ju mula buka semula buku lama
tentang cerita berumah tangga.
“Tak sampai seru lagi kak. Jodoh itu di tangan tuhan.
Biarkan ianya datang sendiri. Saya tak boleh berlengah pasal kerja kak, nanti
banyak pihak yang rugi kalau due date nya terlewat. Ini projek
pertama saya di sini”
Kak Ju sekali lagi menggelengkan kepala. Agaknya dia pun
malas meneruskan lagi kata-katanya. Ayam goreng di pingganku sudah hampir
habis. Air Pepsi yang masih penuh lagi aku sedut perlahan.
“Boleh kami duduk di sini?”
Jantungku seakan terhenti. Tidak salah, memang dia yang
sedang berdiri di sisi meja kami. Kak Ju memandang wajahku dengan sedikit
hairan. Cuba mencari jawapan.
“Sebenarnya meja lain dah penuh. Kalau you all
tak kisah I nak duduk di sini”
Aku mengangguk perlahan. Lalu membalas pandangan Kak Ju.
“Kak, ini Encik Khairul Azmi. Pemilik Akira Holding”
Aku hanya memandang sambutan tangan Kak Ju. Mata Kak Ju
liar memerhati wajah Azmi sehingga Azmi kelihatan serbasalah.
“Oh….lupa
pula. Ni adik I, Anne. Nama panjangnya Suhana, lama tinggal kat London dah jadi
Anne”
Aku ketawa kecil diikuti senyuman Kak Ju. Suhana mencubit
lembut lengan Azmi. Leganya perasaanku! Ingatkan kekasih hati, rupanya adik
kandungnya sendiri. Pengakuannya membuatkan hatiku berbunga semula.
“I mengganggu you
all ke?”
Kak Ju pantas menggelengkan kepala sebelum sempat aku
menjawab soalan Azmi.
“Ish……tak adalah Encik Khairul” Kak Ju mempelawa Azmi
duduk. Dia sengaja mengmbil tempat di sisiku. Argh, haruman yang dipakai cukup
menyiksakan aku. Aku diam. Perutku yang mula lapar akhirnya kenyang serta
merta. Kehadiran Azmi di sini merosakkan mood ku ketika ini.
“Gembira dapat kenal dengan Encik Khairul. Yelah, bukan
senang nak jumpa dengan orang macam Encik Khairul. Dengarnya tak lama lagi
Encik Khairul akan bergelar Datuk ye? Saya ada juga terbaca tentang Encik
Khairul di surat khabar. Hmm muda-muda ladi sudah berjaya”
Sambil menguis ayam yang masih panas Azmi mengangguk,
mengiakan kata-kata Kak
Ju. Aku sedikit terlopong, sungguh aku tidak tahu pasal ini. Aku pula hanya
menguncikan mulut begitu juga Suhana. Dari tadi lagi mata gadis itu
mencuri-curi memandang malu kearahku. Manis! Macam abangnya. Aku terus menjamah
kentang goreng yang hanya tinggal suku saja sambil mendengar mereka yang
semakin rancak berbual.
“Akak pun tahu juga pasal saya” Azmi memandang wajah Kak
Ju. Mereka berbual seolah sudah kenal lama.
“Mananya tak tahu Encik Khairul, suami saya yang cakap.
Apatah lagi ramai kenal Encik Khairul ni. Bujang lagi dah dapat gelaran Datuk.
Jarang orang melayu kita berjaya seperti Encik Khairul. Suami saya pernah jumpa
Encik Khairul dalam majlis. Tapi mungkin Encik Kharul tak kenal”
“Siapa suami Kak Ju?”
“Hamdan, Hamdan bin Sani”
“Ooo……Encik Hamdan. Takkan tak kenal, I selalu
borak dengan dia kalau jumpa di mana-mana majlis. Dia tu banyak pengalaman,
mama I pun kenal baik dengan Arwah isteri Encik Hamdan. Masa dia nak
kahwin tempoh hari, ada juga dia jemput . Masa tu kebetulan terserempak kat
Pahang. Tapi tak dapat datang sebab keluar negeri”
Perbualan semakin rancak, bermula cerita pasal bisnes
kemudian cerita pasal keluarga. Aku seolah seperti tunggul kayu yang sekadar
tersenyum tanpa mencelah cerita mereka. Dari cerita Azmi baru aku tahu
keluarganya sudah menetap di London. Kedatangan adiknya pun kerana cuti
semester, dan sekadar menjenguk abangnya
yang tinggal bersama pak long mereka. Hmm anak orang kaya, setakat London tu
dekat aje...
“Mira, kenapa senyap aje....” Kak Ju sengaja menegur aku.
Aku tercengang. Lalu pantas menggelengkan kepala menutup
ketidak selesaan aku ketika ini.
“Agaknya Cik Amira masih malu dengan saya. Maklumlah kak,
baru sekali kami bertemu. Syarikat saya sedang sibuk menguruskan projek Cik
Amira” Pandangan Azmi beralih kepada aku. “Cik Amira bercuti ke hari ini?”
Aku menggangguk lagi. Baru saja aku mahu menjawab Kak Ju
sudah mula berbicara.
“Dia ni terlalu cintakan kerja. Kerja itu seperti
nyawanya. Kalau tidak bekerja, tak tahulah akak bagaimana keadaan dia”
Aku membuang jelingan ke arah Kak Ju. Azmi ketawa kecil.
Ish Kak Ju ni, sengaja nak kenakan aku.
“Lepas ni nak ke mana?” Azmi menyoal kembali.
“Orang tu sibuk dengan kerja Encik Khairul..... macam
mana nak ajak jalan lagi”
“Ooo... Cik Amira buzy ker?” Azmi memandang aku semula.
“Tak adalah sangat, cuma nak tengok pelan yang mereka
ambil semalam. Saya tak sempat nak tengok, kalau saya dapat tengok hari ini,
lusa tak payahlah pinda lagi.”
“Kalau Cik Amira tak keberatan, saya akan datang petang
ini. Kita boleh tengok sama-sama. Lagipun petang ni saya memang free, dan apa
salahnya kalau kita berdua bincangkan perkara tu. Cik Amira pun nak cepat kan?”
Azmi mempelawa dirinya.
Entahlah, aku tidak sanggup menolak niat Azmi. Ayat yang
di susun .tersekat di kerongkongan aku. Aku biarkan pelawaannya tanpa jawapan.
Azmi dan Suhana meminta diri untuk pulang dan sekali lagi
berjanji akan datang di Green Hotel petang ini.
Keluar saja dari Restorant KFC, aku menarik tangan Kak
Ju. Kak Ju yang seakan mengerti lalu mengucapkan selamat tinggal kepada Azmi.
Aku membalas senyuman Azmi dengan lambaian. Sesak nafasku berada bersamanya!
Tapi aku hairan, dia tak kenal aku lagi ke? Sepanjang perbualan tadi, tidak
pernah dia menyebut kisah masa sekolah dulu. Ataupun……dia sudah melupakan aku.
12 tahun berlalu bukannya mudah untuk menyimpan kenangan yang ada. Sedangkan
aku masih mengingatinya dan sukar untuk melupakannya. Ah……kenapalah aku boleh
jadi begini.
“Kenapa senyap? Tadi dia yang ajak pulang”
Aku memandang sekilas ke arah Kak Ju yang sedang memandu
kereta. Aku mengeluh kecil. Pertemuan yang tidak dirancang dan sama sekali
tidak diingini ketika ini. Terlalu pantas rasanya semua berlaku, aku terpaksa
kembali ke sini, kemudian terpaksa berdepan dengan Akira Holding.... Hmmm
Akira, Amira, Akira, Amira.... sempena nama aku atau hanya kebetulan?
“Dia tu handsome tau! Dulu akak dengar dia tu kaki
perempuan. Tapi selepas kenal, akak tak rasa dia macam tu. Dia peramah. Akak
suka tengok rupa dia. Hmm... memang patut ramai anak dara orang terpikat. Tidak
mustahil kalau mereka kata Khairul Azmi tu kaki perempuan. Lelaki macam dia,
cukup sempurna. Semua perempuan mahu lelaki seperti dia. Kaya raya, handsome. ”
Anak mataku bulat memandang wajah Kak Ju. Kesitu pula Kak
Ju fikir!
Tapi betul ke dia tu kaki perempuan? Az…… Az dah berubah
ke? Mira tak pernah berubah, hati ini hanya untuk Az seorang. Ya Allah kenapa
aku harus memikirkannya lagi.
“Hei!”
Aku tersentak, pantas menggosok-gosok bahu yang terasa
sakit di tepuk oleh Kak Ju.
“Sakitlah kak!”
“Kamu tu menung aje dari tadi”
Aku tak menjawab kata-kata Kak Ju.
“Akak ni risau tengok kamu, kalau kamu berteman ada juga
yang ambil berat. Di sana dulu bukannya tak ada orang minat dengan kamu. Zack
tu, betul-betul tergilakan kamu. Sanggup menunggu kamu tamat kuliah. Sanggup
menemani kamu kemana saja. Akak ingatkan kamu dengan Zack dulu serius. Shah
yang tinggal di sebelah bilik kita dulu pun minat dengan kamu. Tak jemu hantar
bunga. Sampaikan nak bergaduh dengan Zack pun ada. Lagi anak mat salleh yang
selalu tunggu kamu di simpang jalan. Siapa nama dia?” Kak Ju mengerutkan
wajahnya, cuba mengingati lelaki kacak keturunan belanda itu. ”Ha! Jimmy, yup
Jimmy, saban hari tunggu kamu. Tapi budak tu lurus sangat, malu-malu pula tu.
Nasib baik masa tu Shah dan Zack dah tak ada, kalau tak agaknya haru-biru
bandar Adelaide dikerjakan mereka bertiga. Tapi tulah, kamu tak nak. Kamu ni
memilih sangat”
Aku tersengih. Mengingati tiga nama yang Kak Ju baru
sebutkan. Zack, atau nama sebenarnya Zakuan, kawan lelaki yang paling rapat
dengan aku. Kami sama-sama menyambung pengajian di peringkat ijazah walaupun
bidang berlainan. Dia terpaksa pulang apabila ayahnya tidak sihat dan tidak ada
yang meneruskan perniagaan keluarganya. Aku masih ingat kesedihannya kerana
terpaksa meninggalkan aku. Shah pula memang ada rupa, kalau habis belajar dia
akan menjadi seorang Doktor. Keluarganya pun pernah bertemu dengan aku, emak
dan ayahnya menerima aku seperti aku ahli keluarga mereka. Setiap kali dia
menjenguk anak kesayangannya itu, tiap kali itu juga mereka menjemput aku ke
kediamannya. Keluarga mereka memang kaya. Mereka menyewa sebuah apartment untuk
kemudahan Shah. Katanya senang kalau mereka mahu mengunjungi Shah di sini.
Tidak payah menyewa hotel. Tapi bukan aku tak mahu, cuma hati saja yang belum
terbuka lagi. Mereka semua aku anggap rakan dari tanah kelahiranku. Walaupun
aku sudah sebati di sana. Tetapi aku memerlukan rakan-rakan dari tanah tumpah
darahku sendiri.
Khairul Azmi cinta pertamaku, semenjak aku mencintainya
tidak pernah sekalipun perasaan itu berubah. Sehingga hari ini, dan ketika aku
bertemu kembali dengannya setelah sekian lama berpisah, cinta itu semakin
membara. Bagaimana untuk aku menerima orang lain sedangkan hati ini hanya untuk
dia. Lagipun aku sedar siapa aku sekarang.
“Belum ada jodoh kak. Dahlah kak, tak naklah cerita pasal
tu”
Kak Ju terus menghantar aku pulang ke Green Hotel. Jam
sudah menunjukkan pukul tiga petang. Aku
tidak berlengah dan terus saja menunaikan solat Zuhur. Usai solat, aku terus
pergi ke pejabat. Hanya ada beberapa orang staf yang belum pulang. Hujung
minggu begini hanya segelintir orang saja yang datang bekerja lebih masa. Aku
terus menuju ke bilik dan mengambil pelan-pelan yang berada di atas meja. Baru
saja aku mahu keluar dari bilik, telefon di atas meja berbunyi.
“Selamat petang Cik Amira. Ada seorang lelaki dari Akira
Holding menunggu Cik Amira di Lobi”
Aku terus teringat akan Azmi. Lelaki itu benar-benar
datang menemui aku. Apa yang harus aku buat ketika ini? Jantungku berdebar.
Tanpa berlengah aku terus menuju ke Lobi. Azmi sedang
menunggu di sofa putih dari Itali. Menatap wajahnya membuat aku tidak menentu.
Jantungku berdegup laju. Azmi yang baru saja sedar aku memerhatikannya terus
melambaikan tangan. Langkahku tiba-tiba berat untuk menemuinya. Namun aku gagahkan
jua. Demi tanggungjawabku terhadap Green Hotel. Aku harus ketepikan semua.
“Hi.... are you ok Amira?”
Aku terkesima. Amira.... cara dia menyebut namaku?
Pandangan wajahnya aku balas. Dia masih tersenyum, mungkin hatinya sedang
mentertawakan aku ketika ini.
“Duduklah, I ingat kita nak bincangkan sama-sama
pasal pelan-pelan yang staff I dah buat?”
“Mungkin sebaiknya kita bincangkan di dalam sana. Lebih
privasi dan tidak mengganggu orang lain.” Aku mempelawa Azmi selepas melihat
sebuah bilik menunggu sedang tidak digunakan.
“Ok... I tak kisah. Yang penting you
selesa.”
Kami seiringan menuju ke bilik yang dikhaskan untuk
membuat perbincangan kecil bersama pelanggan. Bilik yang berdindingkan kaca
lebih selesa bagi berbicara tentang hal kerja sini.
Aku mempelawa Azmi duduk di hadapanku. Matanya tidak
lekang dari memandang wajahku. Aku menjadi serba salah. Pandangannya penuh
menggoda. Matanya yang redup dan senyumannya yang begitu memikat. Sudah lama
aku tidak merasakan hebatnya jatuh cinta. Seolah sedang membawa aku ke alam
khayalan. Jantungku tersentak. Ya Allah, aku hampir terleka. Aku harus
ketepikan semua itu. Lebih baik kalau aku cepat kembali ke Australia dan jauh
dari dirinya. Aku harus sedar, aku yang tinggalkan dia dulu. Sekarang tidak
mungkin aku akan kembali kepadanya, apatah lagi setelah semua yang berlaku.
“Tak sangka jumpa you di sini........” Suara Azmi
perlahan.
Aku memandang tepat ke arahnya. Walaupun suaranya cukup
perlahan. Tapi masih kedengaran. Aku cuba lebih profesional dalam bekerja.
Kata-kata Azmi tadi aku biarkan sepi. Aku berharap Azmi tidak akan ungkit kisah
lama.
“Saya sempat tengok sedikit pasal pelan tadi. Ada
beberapa cadangan yang Akira Holding berikan. Tapi saya harus berbincang dengan
pihak di Australia sebelum membuat pilihan. Beri saya sedikit masa.”
Azmi sekadar mengangguk.
“Kalau you tak keberatan, I ingat nak ajak
you pergi meninjau tapak-tapak yang ada. Lebih baik kita pergi dulu tengok dan
buat analisis sebelum you bincangkan dengan pihak atasan. I think,
mereka di sana percayakan you. Mereka akan ikut cakap you kan?”
Aku tersenyum kecil.
“Tak semestinya. Banyak perkara yang mereka titik
beratkan... Hmmm pelan tanah yang ini saya tak berkenan. Bidang tanahnya tidak
luas. Persekitarannya pun tidak menarik.” Aku menunjukkan dua pelan di
tanganku. Azmi mengangguk.
“Amira... can I call you Amira?
Aku menjungkitkan bahu. Tidak kisah kalau itu yang dia
mahu.
“You lama di Australia?” Azmi
menyambung kata-katanya.
Aku berhenti dari menyambungkan kata-kataku.
“Bolehlah tahan lamanya... kenapa?”
Azmi menggelengkan kepala. Tidak dapat meneka apa yang
bermain di fikirannya ketika ini.
“Apa yang you impikan dengan Green Hotel?”
Aku terkesima. Soalan Apa yang Azmi cuba utarakan ketika
ini.
“Saya impikan hotel yang akan dibina nanti siap seperti
yang dijanjikan”
Azmi menundukkan pandangannya. Aku membawa Azmi kembali
berbicang mengenai pelan-pelan yang terbentang di atas meja. Selepas hampir
satu jam, aku menamatkan perbincangan kami.
“I harap kita akan bertemu lagi. I akan
bawa beberapa pelan lagi yang I reka sendiri. Sebenarnya I ada
satu lagi tapak yang nak ditunjukkan. May be esok baru mereka
hantar ke pejabat I. Tapak yang tu lain sikit, special untuk you.
Puas I minta mereka hantar pelan sebab ada juga orang berminat nak buat
chalet.
“Oh... really? Kalau macam tu kita boleh bincang
di office, kalau ada masalah I akan suruh setiausaha I call Akira
Holding”
Aku menghantar Azmi sampai di lobi. Beberapa mata
memandang ke arah kami berdua. Ada seorang perempuan melambai ke arah Azmi.
Azmi sekadar membalas lambaian dengan senyuman. Mungkin mereka kenal. Argh...
kenapa harus aku persoalkan. Lelaki seperti Azmi pasti ramai perempuan yang
mendampingi.
“I gembira dapat bertemu dengan you.... see
you”
Aku mengangguk. Aku pun gembira dapat bertemu dengan mu
semula Az...
Selepas solat Asar, aku memandu ke rumah Kak Ju. Selepas
melewati deretan perumahan, akhirnya aku sampai ke rumah banglo setingkat
miliknya. Beberapa hari aku disini mula
arif dengan sekitar Putrajaya. Jalan-jalannya teratur, kenderaan pun tidaklah
banyak sangat. Lagipun setiap simpang terdapat papan tanda memudahkan aku
mencari arah tujuan. Kereta diparkir di perkarangan rumah Kak Ju. Malam ini aku
berjanji untuk tidur dirumahnya memandangkan esok hari Ahad.
Masuk ke dalam rumah aku sudah mencium pengat pisang yang masak oleh Mak Teh. Kak Ju kata Abang Hamdan
akan pulang malam nanti dari Johor Bahru. Anak perempuannya pula ada di rumah
anak tirinya di Shah Alam. Mereka belum dikurniakan cahaya mata semenjak
berkahwin lima tahun lalu. Tahu saja Kak Ju mengandung, mereka kerap datang
bermalam. Semenjak akhir-akhir ini saja mereka suka menjemput Syafika bermalam
dirumahnya lagipun Syafika sudah masuk tiga tahun senang untuk dijaga.
“Kacau daun pula saya bermalam di sini”
Aku duduk di sisi Kak Ju sambil menikmati Pengat Pisang.
“Ish……kesitu pula. Kalau akak nak honeymoon lagi tak nak
lah kat sini. tak syok! Akak nak suruh abang Hamdan kamu bawa akak ke Itali”
Aku ketawa kecil. Tidak dinafikan, Abang Hamdan memang
seorang yang romantik. Dulu semasa mahu memikat Kak Ju, hampir setiap minggu
dia akan menghadiahkan jambangan bunga. Ketika itu Abang Hamdan bertugas di
kedutaan di sana. Kalau tidak bunga, pasti dia menghantarkan sekotak coklat.
Akulah yang paling untung kerana Kak Ju tidak berapa gemar memakan coklat.
Selepas makan malam, kami duduk di laman. Kembali melihat bintang-bintang yang
bertaburan di dada langit. Tenang sungguh! Sementara menunggu kepulangan Abang
Hamdan, Kak Ju menyuruh Mak Teh menggoreng keropok lekor. Di rumah Kak Ju tak
berhenti mulut ini mengunyah. Tidak lama kemudian wanita tua itu keluar semula
dengan sepinggan keropok lekor ditangannya beserta sos.
“Encik Khairul jadi datang ke petang tadi?”
“Jadi kak, kami bincangkan pasal pelan yang dia bagi
semalam. Kenapa kak?”
Kak Ju diam seketika sambil menyuakan keropok lekor
dimulutnya.
“Akak tengok dia pandang kamu semacam aje. Kamu tak
perasan ke?....orang macam kamu ni manalah perasan kalau lelaki cuba nak
memikat”
“Akak ni... perasaan akak aje. Akak sendiri yang cakap
dia tu kaki perempuan. Habis tu, bukankah sama saja pandangan matanya ke arah
semua perempuan?”
Kak Ju ketawa kecil.
“Selepas makan tengah hari tadi, akak tengok kamu lain
macam. Kamu ada masalah ke? Atau pasal Khairul Azmi? tengok lain pandangan mata
kamu. Kamu rasa kekok dia duduk di sisi kamu. Akak kenal kamu dah lama, ada apa
yang akak tak tahu? Atau kamu pun dah jatuh cinta dengan dia?”
Sah! Kak Ju cuba menduga sekali lagi. mungkin dia dapat
menghidu perasaan yang bercampur baur. Salah aku juga, selepas kejadian tengah
hari tadi aku semakin banyak berfikir. Semasa berbincang dengan Azmi petang
tadi banyak juga aku tersasul. Tapi aku masih mampu bertahan. Kadang-kadang
kenangan lalu datang tanpa diundang. Bertahun aku hidup di sisi Kak Ju, dia
sudah faham segala sikapku.
“Entahlah kak, tak tau nak mula dari mana. Semuanya
pantas betul terjadi……tak sangka pula jumpa dia sekali lagi”
Lancar mulutku berbicara. Mungkin sampai masanya aku
luahkan segala yang terbuku semenjak beberapa hari ini.
“Kamu dah kenal ke?”
Kak Ju semakin tidak faham. Selama aku mengenali Kak Ju,
tidak pernah aku cerita tentang Azmi. Lagipun masa itu aku sedaya upaya untuk
melupakannya.
“Dia kawan Mira masa sekolah dulu. Selepas kejadian hari
tu, Mira tinggalkan dia tanpa cerita. Entahlah kak,……semenjak hari itu Mira tak
pernah ada perasaan dengan lelaki lagi.
mungkin sebab Mira terlalu sayangkan dia. Mira cuba lupakan, itulah sebabnya
Mira malas nak pulang ke sini. Selepas semua berlaku, tak mungkin ada lelaki
yang sudi terima Mira. Apatah lagi dia. Dia nak wanita yang sempurna dimatanya.
Saya kenal sangat dia kak. Tapi tak sangka pula akan jumpa dia lagi. Malahan
bekerjasama dengan dia. Mira tak nak dia tahu segalanya pasal Mira, Kalau
boleh, Mira nak balik. Mira tak nak sampai dia tahu apa yang berlaku pada Mira.
Mira takut dia ungkit kisah lama. Mira malu kak”
Jelas Kak Ju Kelihatan terkejut. Lama dia menatap mataku.
Kemudian dia merapatiku lalu meletakkan tangannya di bahuku.
“Itu sebabnya kamu tak pernah bercinta lagi?”
Aku mengangguk lemah. Bukan aku pinta, tapi itu perasaan
yang lahir dari hatiku sendiri. Selepas itu, aku tidak pernah jatuh cinta lagi.
Bagiku, aku senang hidup sendiri. Lama kami diam sebelum Kak Ju mula bersuara
semula.
“Petang tadi macam mana? Apa yang dia cakap? Pasti dia
pun terkejut melihat kamu kan?”
Aku menggelengkan kepala. Dia macam biasa tak ada yang
berbeza. Nampak cool, kalau nak dibandingkan dengan aku.
“Dia biasa je kak. Macam tak kenal saya. Entahlah kak,
saya saja yang berlebihan melayan perasaan. Saya tengok dia seperti biasa. Saya
nak cepat selesaikan kerja dengan mereka. Saya nak pulang ke Australia”
Lama kami diam. Ada keluhan kecil terbit dari mulut Kak
Ju. Aku tidak mahu membebankan Kak Ju dengan masalah aku sendiri.
“Kamu tak ingin nak pulang ke kampung ke? Dah kebetulan
kamu datang ni”
Aku memandang wajah Kak Ju kosong, lalu beralih memandang
laman yang disirami cahaya bulan.
“Sampai bila kamu nak hidup begini. Lagipun sudah dua
belas tahun berlalu. Kamu masih ada keluarga, masih ada yang menunggu
kepulangan kamu. Takkan kamu tak kasihan dengan mereka yang sentiasa menunggu
kamu”
Aku mengeluh perlahan. Perbualan kami terhenti seketika
apabila Mak teh datang menghidangkan teh yang masih panas. Lama kami diam. Bila
sedar Mak Teh sudah masuk ke dalam rumah, Kak Ju memegang lembut tanganku. Air
mata yang bergenang jatuh perlahan.
“Mira, semua orang membuat kesilapan. Mungkin sekarang
ayah kamu sudah insaf. Lagipun bukan dia yang buat. Semua ayah pasti sayang
dengan anaknya. Hidup ini hanya sekali saja, jangan sia-siakan sisa hidup kamu.
Di sana Mira tak ada sesiapa. Pulanglah ke sini, kalau Mira tak nak duduk di
kampung kamu tinggallah di sini. kamu masih ada akak.”
Aku kehilangan kata-kata. Sisa air mata aku kesat
perlahan. Tidak berapa lama kemudian, Abang Hamdan datang. Kak Ju beralih
cerita lain. Kak Ju memang pandai menyejukkan hati. Abang Hamdan pun tidak
dapat mengesan apa-apa. Seperti kembali ke alam nyata, kami bertiga berbual
sehingga jauh malam. Banyak cerita Abang Hamdan mengenai kerjanya di Johor. Ah
hati……sebenarnya tidaklah sekuat mana.