Home Novel Cinta Hanya Untuk Dia
Hanya Untuk Dia
Nurul Izah
12/9/2013 13:29:22
70,303
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 3

Aku termangu, pasti kecil hati Kak Ju. Walaupun dia bukan kakak kandungku, tapi pengorbanannya cukup bererti. Kalau bukan kerana dia, aku tidak akan sampai di sini. Kerana dia aku ke Australia, semenjak aku meninggalkan kampung dia sajalah yang aku kenal di Kuala Lumpur.

Aku bertemu dengan Kak Ju ketika aku sedang merayau di Jalan Tunku Abdul Rahman. Selepas hampir semua kedai aku masuki bagi memohon pekerjaan. Masa itu, kebetulan Kak Ju sedang memilih kain untuk butiknya. Tiba-tiba aku pengsan di sisinya. Mungkin kerana aku agak keletihan, sudah dua malam aku hanya menjamah beberapa keping roti semenjak berada di sini. Kak Ju yang menghantar aku ke Hospital. Setelah aku sedar, Kak Ju berada di sisiku.

“Amira dari mana?”

Aku terkebil-kebil melopong memandang wajahnya yang tersenyum manis. Aku hairan bagaimana dia tahu akan namaku.

“Nama akak Junainah. Panggil aje Kak Ju. Akak tengok kad pengenalan Amira tadi. Doktor kata Amira keletihan dan kekurangan air dalam badan. Mungkin esok baru boleh keluar. Amira tinggal di mana? Macam mana nak hubungi keluarga Amira?”

Aku diam. Lalu aku menggelengkan kepala.

“Saya seorang saja kak. Tak ada saudara. Saya datang sini sebab nak cari kerja”

Pandangan Kak Ju sayu. Aku cerita serba sedikit mengenai aku kepadanya. Akhirnya Kak Ju membawa aku pulang ke rumahnya. Rumah yang baru disewa beberapa bulan selepas dia di halau oleh suaminya. Kak Ju yang menolong aku mencari pekerjaan. Sementara, dia baru belajar untuk membuka sebuah butik. Selepas hampir dua tahun aku kenal dengan dia, dia berhasrat untuk berhijrah ke Australia, katanya bekas suaminya selalu mengganggu dan Isteri lelaki tersebut sudah berkali-kali menyerangnya di tempat kerja. Aku sedih dengan apa yang Kak Ju alami. Penderitaan yang aku lalui tidak seberapa berbanding penderitaan yang Kak Ju hadapi sekarang. Aku mengambil keputusan untuk bersama-sama Kak Ju. Dengan sedikit wang simpanan yang ada dan ditambah dengan wang simpananku yang sebenarnya masih tidak cukup banyak, kami berhijrah, dengan keyakinan kami pasti akan dapat mengubah kehidupan di sana nanti.

Sebulan kami di Australia masih belum mendapat pekerjaan tetap, sedangkan permit kerja kami hampir tamat sebulan lagi. Hampir seluruh Australia kami jejaki. Kami hanya dapat kerja kontrak beberapa bulan sebelum berhijrah ke tempat lain pula untuk kontrak kerja yang lain. Duit yang ada hanya boleh dikatakan cukup makan saja. Sehinggalah Kak Ju bertemu dengan Abang Hamdan. Lelaki itu yang memberikan kami kerja. Kebetulan Abang Hamdan ada kenalan di Australia yang membuka syarikat perkhidmatan. Dengan pertolongan Abang Hamdan kami dapat hidup. Kami menjadi pekerja pembersihan di beberapa buah hotel yang terkemuka secara kontrak.

Akhirnya Kak Ju berkahwin dengan Abang Hamdan. Walaupun lelaki itu duda dan sudah memiliki anak yang ramai, tapi mereka semua tidak kisah. Lagipun anak-anak tiri Kak Ju sudah berumah tangga. Mereka kata elok juga ayahnya ada yang menjaga, mereka menerima Kak Ju dengan ihklas.

Aku tidak jadi menyambung tidurku. Mataku terasa segar semula. Pantas aku mengeluarkan towel dari dalam beg dan mencari jeans beserta sehelai t-shirt biar kelihatan sedikit kasual. Tepat pukul lapan malam Kak Ju sudah datang. Pandai pula dia terus menuju ke tempat aku menginap.

“Sorrylah Kak, saya bawa akak keluar makan yer….jangalah merajuk” Aku memeluk tubuhnya lalu mencium pipinya yang masih nampak halus dan jelita. Tidak aku nafikan kalau Kak Ju kata umurnya baru masuk tiga puluh pasti orang percaya walhal sebenarnya dia sudah hampir separuh abad. Dia memang cantik.

“Kamu bawa akak keluar?…… kamu tahu ke jalan kat sini?”

Aku menjungkitkan bahu. Lalu ketawa kecil.

“Jomlah…… akak dah suruh Mak Teh masak sedap-sedap kat rumah. Kamu pun belum tengok lagi rumah akak. Tak jauh dari sini”

Aku pantas memeluk dia semula. Sepanjang perjalanan aku bercerita tentang kehidupanku selepas dia pergi dan aku juga bercerita bagaimana aku boleh pulang. Pulangku tanpa di pinta. Aku merasakan ingin kembali ke Australia. Kalau boleh, mahu saja aku minta mereka yang menyelesaikan semua kerja di sini untuk aku. Tapi itu sudah pasti tidak mungkin akan terjadi.

“Jadi kalau kamu tak terpaksa kamu takkan pulang?” Kak Ju menduga aku.

Aku diam, merenung keindahan malam dari taman ciptaan Kak Ju sendiri. Rumah Banglo yang terletak di Presint 14 itu adalah hadiah Abang Hamdan untuk Kak Ju. Tapi hari ini Abang Hamdan berada di Perlis, ada urusan kerja katanya. Sebagai seorang pengarah di Jabatan Kerajaan, Abang Hamdan selalu keluar untuk menghadiri mesyuarat. Aku memandang wajah Kak Ju yang lembut dan ayu. Wajah yang selalu menjadi sumber inspirasi untuk aku cekal menghadapi hidup ini.

“Bukan tak nak balik, tapi tak sampai seru lagi” Aku mengeluh kecil. “Hati belum terbuka lagi, tapi tak sangka pula macam ni jadinya”

Kak Ju tersenyum kecil. Lemah aku dengan senyumannya. Itulah senyuman yang memberi aku kekuatan. Selembut orangnya, dan secantik budi bahasanya. Kak Ju pun tak ada sesiapa lagi. Dia dibesarkan di rumah anak yatim. Katanya akulah satu-satu adiknya dunia dan akhirat. Air mataku mengalir perlahan, hangat rasanya. Kepulangan ini tidak pernah dirancang. Pada mulanya Mr Richard yang pergi tapi dia membatalkan rancangan kerana terpaksa pergi tempat lain. Aku yang menjadi mangsa, tapi entahlah…kesalkah aku kerana pulang ke sini. tempatku sendiri.

“Apa yang terjadi itu ada hikmahnya. Walaupun kamu kata belum sampai seru, tapi dah Allah kata ini jalannya. Kita hanya merancang. Tuhan yang menentukan”

Aku mengangguk perlahan, itulah perkataan yang selalu aku lontarkan.

“Kamu tak nak tinggal di sini ke? Lagipun bukannya jauh nak ke Hotel tu”

“Tak apalah kak, nanti kalau cuti saya datang bermalam. Lagipun di sana senang kalau ada masalah. Kerja macam saya ni tak tentu masa kak.. ada ketikanya entah di mana saya harus pergi. Saya masih lagi harus ikut arahan orang atasan. Saya cuba siapkan kerja tu cepat, lepas selesai semua kita boleh pergi bercuti kan?”

Kak Ju mengangguk gembira.

Jam menunjukkan pukul satu pagi ketika Kak Ju menghantar aku kembali ke Hotel. Rasa tidak puas bersembang dengan Kak Ju.

Aku menghempaskan badan di atas tilam. Seketika kemudian aku berdiri semula membuka beg yang masih sarat dengan pakaian. Satu persatu aku keluarkan kemudian aku susun di dalam almari. Setelah selesai, aku membuka beg kecil yang penuh dengan barang-barang peribadi. Buku-buku rujukan yang sentiasa aku bawa dan beberapa kelengkapan untuk diri sendiri.

Kemudian aku keluarkan sebuah bingkai kecil, lama aku renung wajah dalam bingkai tersebut. Aku tersenyum kecil. Wajahnya seiras wajahku, cuma hidungku lebih tinggi. Aku ingat kata-katanya, hidungku seperti hidung ayah. Entahlah, aku pun sudah lupa bagaimana rupa ayah. Selepas kejadian itu aku tidak pernah mengingatinya aku cuba melupakannya. Bagiku seorang ayah harus menjaga anaknya, tambahan pula anak perempuan. Tapi setelah dua belas tahun aku melarikan diri, kebencian itu sedikit pudar. Kemarahan aku sudah tidak seperti dulu. Cuma aku tidak ingin mengenang lagi kisah itu dan kisah itu yang membuatkan aku tidak ingin pulang. Aku letakkan bingkai kecil itu di sudut meja. Ibu……Mira dah pulang.

Jam menunjukkan pukul tiga pagi, aku seperti tidak mengantuk lagi. Aku bangkit mengambil air sembahyang lalu menunaikan sembahyang dua rakaat. Aku memohon kepada Allah agar segalanya mudah untukku, segalanya dapat aku tempuhi dengan tabah.

Usai sembahyang aku merebahkan badanku ke atas tilam. Tiba-tiba ingatanku kembali kepada ayah……wajah tuanya datang bertandang diminda.

Masih hidup lagikah dia. Ah biarlah! Dia ada Makcik Muna yang gedik tu. Kalau bukan kerana perempuan kelab malam tu, aku tidak akan jadi begini. Ibu tidak akan pergi dalam keadaan menderita. Aku memejamkan mata, cuba mengusir segala kenangan yang bertandang. Aku hanya tersedar apabila jam loceng berbunyi menandakan masuk waktu subuh.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.