Malam itu, aku
mengenakan gaun malam yang ringkas rekaan Kak Ju sendiri dipandankan dengan
tudung selendang dengan warna sedondon dihias manik-manik halus. Aku sekadar
bersolek ringkas dan menyarungkan kasut tumit tiga inci untuk mengimbangi
ketinggian. Aku wanita yang sederhana tinggi, kasut tumit memang menjadi
pilihan aku terutamanya bila bertemu dengan pelanggan yang tinggi lampai.
Green Hall dihias indah, para tetamu jemputan sudah
datang dan sudah pun duduk ditempat masing-masing. Aku juga terkejut kerana
hampir semua jemputan telah tiba. Sekilas aku mengerling jam di pergelangan
tangan. Betullah aku datang awal sepuluh minit sebelum majlis. Ketika aku
melangkahkan kaki ke Green Hall, mereka semua berdiri memberi penghormatan.
Ish… tak boleh jadi ni. aku bukannya suka dilayan begini. Pasti ini kerja Mr
Wong yang membuat promosi lebih-lebih mengenai diriku. Aku cuba juga tersenyum.
Berat menyambut huluran tangan para VIP jemputan yang
kebanyakannya berusia hampir empat puluhan. Hanya ada segelintir saja yang
muda, boleh dikira dengan jari. Selebihnya adalah staf pengurusan Green Hotel.
Satu persatu Johan perkenalkan kepada aku malam ini. Akhir sekali mataku
tertumpu dengan seorang lelaki yang aku rasa aku pernah kenal... lebih dari
kukenal.
Aku memandang wajahnya agak lama. Wajah yang selalu
datang dalam mimpiku seiras dengannya. Cuma... di hadapanku ini seorang lelaki
yang lebih dewasa.
Lelaki itu juga seperti aku. Terpegun melihat aku berdiri
di hadapannya. Dia juga cuba mengamati wajahku. Mungkin cuba mengimbas memori
lama. Tapi, benarkah dia? Tidak mungkin aku akan bertemu dia secepat ini. Tidak
mungkin dia.
“Cik Amira, ini Pemilik Akira Holding. Pagi tadi yang
datang tu Uncle Encik Khairul.”
Aku tersentak, merenung kembali wajah muda yang berdiri
dihadapaku. Wajah itu serupa. Memang dia.... hanya kini wajah itu sudah lebih
dewasa seiring dengan usia. Cahaya yang semula jadi dari anak matanya
menyatakan lelaki itu memang dia.... dia.....
“Hi….I am
Khairul Azmi bin Dato’ Mahmud”
Berat aku menyambut tangannya, lebih berat dari menyambut
tangan yang lain tadi. Pantas aku tersenyum kelat apabila Johan sudah memberi
isyarat.
“Amira…”
Pandangan mata kami bertaut. Mata itu tidak pernah aku
lupa……sedikit pun tidak. Ya Allah, kenapa boleh jadi begini. Lama dia
menggenggam tanganku sebelum dilepaskan. Matanya tepat merenung anak mataku
yang cuba beralih perhatian. Benarkah dia? Seolah mimpi bertemu dengannya malam
ini…. Diakah Azmi?
Sepanjang majlis itu berlangsung hatiku tidak
pernah tenang. Sesekali dia memandang aku yang duduk selang semeja dari
tempatnya. Tempat duduknya yang menghadap ke arah aku membuatkan kami selalu
bertentang mata. Cepat aku larikan anak mataku kemudian kembali menyambung
perbualan dengan Johan.
“Kenapa Cik Amira... nampak gelisah....”
“Tak ada apa Johan... mungkin penat tak hilang lagi....”
“Saya tinggalkan Cik Amira sebentar ya... saya mahu
berbual dengan Dato' Rustam”
Aku mengangguk. Mataku hanya mampu memandang Johan yang
sudah berlalu menghampiri meja Dato' Rustam. Malam itu begitu lambat berlalu,
lagu-lagu merdu langsung tidak mengusik hatiku. Seketika Johan berlalu
meninggalkan aku, Khairul Azmi datang sambil tersenyum kecil. Aku gugup, seram
sejuk rasanya seluruh badanku. Sudah lama aku tidak merasakan perasaan ini
terhadap seorang lelaki. Perasaan yang pernah hadir dua belas tahun dulu.
Ketika bersamanya.
“Boleh Iduduk
di sini”
Aku mengangguk, menutup segala rasa dengan senyuman yang
sedikit kelat. Sekilas aku mencari kelibat Johan, dia sudah duduk di meja lain
sambil bergelak ketawa dengan Dato’ Rustam.
“I tak sangka selama ni Green Hotel ada seseorang
macam you. selama I bekerja sama dengan Green Hotel, I tak
pernah pun berjumpa dengan you”
Ada tafsiran yang kurang senang lahir dari hati kecilku.
Azmi... tutur katanya sedikit sombong, sudah hilang awak dan saya yang selalu
digunakan dulu... Hmmm sudah bertukar you and I. Dari
kata-katanya dia seolah tidak mahu kembali ke masa lalu. Aku cuba untuk tenang,
cuba untuk menganggap dia tidak lebih dari rakan perniagaan. Selagi dia tidak
ungkit kisah lama, selagi itu aku akan cuba lupakan semuanya. Aku harus
bertahan sehingga segalanya selesai.
“Saya bukan di sini.....”
Wajahnya berubah, mungkin sedikit terkejut mendengar pengakuanku.
Kemudian dia mengangguk perlahan.
“So, sekarang sudah bertukar di sini ke?”
Aku menggeleng. Wajahnya sedikit kelam namun terselindung
dengan ketampanannya. Aku akui, wajahnya tidak banyak yang berubah, walaupun
sudah dua belas tahun. Cuma sedikit janggut yang disimpan kemas menampakkan
wajahnya lebih matang dan lebih bergaya. Senyumannya lebih menawan dari dua
belas tahun lalu. Sudah berkahwinkah dia……atau sudah berpunya……duhai hati tidak
berhenti dari bergetar apabila dia menatap wajahnya. Azmi……Az……betapa aku
merinduimu. Ada rasa yang cuba bermukim di hati. Aku mengalihkan pandang ke
arah tetamu yang datang.
“Just six month, habis projek tu nanti saya akan
kembali ke sana”
Masing-masing diam.
“Projek Green Hotel yang baru? Yang uncle I
bincangkan pagi tadi?”
Aku mengangguk perlahan.
“Tak tunggu sampai bangunan itu siap ke? You
percaya dengan Akira Holding? Manalah tahu kalau projek itu tiba-tiba
terbengkalai? “
“Bergantung kepada keadaan. Saya percaya mereka di sini
tidak akan biarkan perkara itu berlaku. Lagipun segalanya masih dalam
pemantauan walaupun saya berada di sana.”
Azmi mengangguk lagi. perbualan kami terhenti apabila
pengacara jemputan meminta para jemputan yang sudi menyanyi. Lama pengacara itu
menanti akhirnya Azmi memberanikan diri untuk menyanyikan sebuah lagu.
Pandangan mataku mengiringi langkah kakinya menuju ke pentas. Matanya tepat
memandang ke arahku, sambil bibirnya mengukir senyuman.
Ketika not pertama berbunyi aku tersentak, lagu Jamal
Abdillah dengan tajuk kekasih awal dan akhir menjadi pilihannya. Ya Allah,
apakah permainannya. Lagu itu yang selalu dia nyanyikan dulu dan setiap kali
dia menyanyikan lagu itu untukku, aku akan mencebik, sengaja menduga benarkah
hatinya seperti lirik lagu itu. Setiap kali itu juga dia akan mengatakan ‘yes,
my darling of course,Mira yang pertama dan terakhir dalam hidup Az...’
. Tapi aku sudah berjanji dengan diri sendiri, selagi dia tidak bersuara,
selagi itu aku akan diam.
Ada air hangat bertakung di klopak mata. Pantas aku kesat
sebelum ada yang sedar akan kehadiran air-air jernih itu. Mahu saja aku berlari
pergi, apatah lagi renungan matanya seolah tidak lari dari memandang wajahku.
Tapi aku sedar, majlis ini amat besar maknanya untuk Green Hotel. Aku
bertahan……
Jam menunjukkan pukul dua belas malam. Sebelum majlis itu
berlangsung, pengacara tersebut menjemput aku untuk menyampaikan sepatah dua
kata sebagai wakil salah seorang pemegam saham Green Hotel. Ketika aku bangkit
dari dudukku, semua tetamu yang datang juga bangkit sebagai tanda penghormatan.
Ketika aku berjalan menuju ke pentas, Pandangan Azmi tepat ke arahku.
Senyumannya begitu tenang dan hampir membuatkan aku berhenti melangkah dan
ingin berlari pergi. Namun aku yakin, Allah tak akan membiarkan aku hanyut
ketika ini. Langkah aku teruskan. Ucapan yang sudah disediakan ringkas tapi
begitu sukar untuk membacanya. Nasib baik aku dapat menghabiskannya. Tepukan
gemuruh dilemparkan untuk aku. Selepas bersalam dengan tetamu yang hadir aku
bergegas menuju ke lif. Ingin cepat pergi dari tempat yang cukup menyiksakan.
“Cik Amira……Nice to
meet you. I harap kita akan bekerjasama dengan baik”
Aku terkesima. Pantas berpaling lalu tersenyum kecil
menutup segala rasa yang bermukim. Nasib baik pintu lif cepat terbuka, aku
melangkah masuk. Sedikit senyuman aku berikan sebagai tanda menghormati dan…..
sebagai tanda masih menyayangi…… Az, kenapa kau hadir?