Aku tiba di Lapangan
Terbang Senai tepat pukul 3 petang. Tidak sukar mencari seorang lelaki yang
bernama Najib kerana lelaki itu sudah pun menunggu di seberang jalan besar. Dia
seolah sudah mengenali aku. Ketika aku hendak melintas, dia melambaikan tangan
dan membuat isyarat supaya aku menunggu saja di sini.
Dari jauh aku lihat di melintas jalan dan menuju ke arah
aku. Beg dimasukkan ke dalam kereta. Setelah pasti arah yang harus dituju aku
mula memandu kereta. Najib juga meninggalkan nombor telefon. Dia kata takut aku
sesat. Hampir satu jam aku memandu keluar dari Senai menuju ke arah Ulu Tiram.
Itulah tujuan sebenarnya aku ke sini. Selain ingin melawat tapak, hatiku begitu
kuat untuk aku memandu ke arah sana. Kampung halamanku.
Hari semakin petang, rasanya sudah tiga kali aku memandu
di jalan yang sama. Aku mengeluh perlahan lalu memberhentikan kereta di tepi
jalan. Keadaan jalan semakin sibuk, kereta yang lalu-lalang sudah mula bergerak
perlahan menandakan kereta semakin banyak. Aku cuba bertanya kepada seorang
wanita yang kebetulan lalu. Katanya aku sudah terlajak. Simpang yang Najib
maksudkan tadi sudah terlepas jauh. Wanita itu menyuruh aku menghala ke kanan
selepas trafik light dihadapan, satu kilometer dari situ aku akan lihat simpang
Ulu Tiram.
Aku meneruskan perjalanan selepas pasti arah seterusnya.
Semasa aku memberi tahu Johan niatku untuk ke Johor, lelaki itu berkali-kali
menyuruh Pak cik Musa menghantar aku. Bukannya aku tidak mahu, tapi aku lebih
selesa memandu sendiri memandangkan tempat yang aku tuju bukan hanya di sekitar
Johor Bahru. Aku ada agenda sendiri, tidak sesuai rasanya kalau aku menyuruh
orang lain yang menghantar. Selepas hampir lima belas minit memandu aku
terjumpa papan tanda Ulu Tiram beberapa meter dihadapan. Aku mengucapkan syukur
ke pada Allah, akhirnya aku sampai juga ke tempat yang aku tuju. Perasaanku semakin lapang, menyusuri
jalan yang sedikit pun tidak berubah membawa aku kembali kemasa lalu. Hanya
kanan dan kiri jalan yang semakin pesat dengan perumahan. Tapi keadaannya tetap
sama, jalannya sudah lebih baik jika dibandingkan sepuluh tahun yang lalu.
Hampir sepuluh minit aku memandu aku melihat satu papan tanda menunjukkan SMK
Ulu Tiram lima ratus meter dihadapan. Aku tersenyum kecil, ingatan sepanjang
menuntut ilmu di situ kembali. Lima tahun aku disitu, tempat yang menyimpan
banyak kenangan. Tempat aku bertemu cinta pertama yang aku pertahankan sehingga
kini. Aku masih ingat Pak Abu yang menjaga sekolah itu. Dia amat baik, selalu
menegur aku. Adakalanya dia akan duduk berbual mengenai anak-anaknya apabila
aku menunggu bas dipondok pengawal.
Aku melihat sekilas jam dipergelangan tangan. Hampir
pukul enam petang. Aku memberhentikan kereta tepat di hadapan pintu pagar.
Suasana sunyi, aku berdiri merenung jauh ke dalam. Sekarang musim cuti sekolah,
itu sebabnya sunyi sepi.
“Cik, boleh saya bantu? Saya penjaga di sekolah ini?”
Aku tersentak lalu menghadiahkan senyuman kecil kepada
seorang lelaki separuh abad yang berdiri dihadapanku.
“Kalau saya tak silap, dulu Pak Abu yang menjaga sekolah
ini”
Lelaki itu mengangguk perlahan.
“Dia dah meninggal setahun lepas. Saya adiknya”
Innalillah……sayu menyentuh segenap ruang hati. Kalau
dicongak dan dikira, arwah Pak Abu sudah hampir tujuh puluh tahun. Semoga
rohnya dicucuri rahmat.
“Anak bekas pelajar di sini?”
Aku tersenyum. Lalu mengangguk. Aku meminta kebenaran
untuk masuk sebentar. Pada mulanya lelaki tua itu keberatan, tapi setelah aku
pujuk dia membuka pintu pagar dengan syarat hanya beberapa minit saja aku boleh
masuk. Lagipun katanya hari hampir senja.
Aku berjalan menyusuri tepi padang bola. Dulu disinilah
aku menghabiskan masa bersama Azmi. Azmi adalah salah seorang pemain bola
harapan sekolah. Namanya selalu menjadi sebutan untuk mewakili sekolah
diperingkat negeri. Setiap kali ada perlawanan, aku dan Zahid akan datang untuk
menyaksikan Azmi beraksi.
Aku terus menuju ke sebuah pondok di tepi taman Geografi.
Aku melabuhkan punggungku, mataku terpaku pada sekuntum mawar merah yang mula
layu diatas meja. Tiba-tiba jantungku berdegup laju. Az……ingatanku kembali pada
Azmi. Ah……mungkin bukan dia. Tidak mungkin dia datang sejauh ini hanya untuk
mengingati aku, mungkin orang lain. Lagipun aku tidak rasa ada lagi bibit-bibit
cinta dimatanya seperti yang aku pernah lihat dulu. Dia sudah menganggap aku
asing dalam hidupnya. Hanya aku yang terlalu naif dan masih setia dengan
kenangan yang ada. Aku mengeluh kecil lalu aku letakkan semula bunga mawar itu
ke atas meja. Mengenangkan lelaki itu, aku tidak memaklumkan tentang
pemergianku ke sini.
Di pondok ini, aku dan Azmi selalu meluangkan masa
bersama. Selepas habis kelas kami akan mengulangkaji di sini. Pandangan mataku
beralih ke hujung jalan.
Kali pertama aku mengenali Azmi ketika di tingkatan
empat. Azmi memasuki sekolah ini kerana tinggal dengan neneknya. Ayah dan
ibunya berhijrah ke luar negara mengembangkan perniagaan arwah datuknya. Dia
sendiri yang memilih untuk kembali ke sini. tambahan pula neneknya tinggal
seorang diri. Pada mulanya aku tidak berapa menyukainya, bagiku orang Kuala
Lumpur sombong. Melihat cara Azmi berpakaian sudah menunjukkan dia bukan
sebarang orang. Cara dan gayanya begitu tersendiri. Baju yang dikenakan
berjenama. Setiap apa yang dipakainya akan menjadi bualan di sekolah. Semenjak
dia masuk sekolah, ramai perempuan yang cuba mendekati. Bahkan kawan ku sendiri
sanggup berpatah arang denganku hanya kerana aku tidak menyukai Azmi. Entahlah,
tapi aku memang bencikannya dan aku sentiasa cemburu dengan kelebihan yang dia
ada.
“Kenapa kau benci sangat dengan Khairul? Bukannya
kehendak dia mengalahkan kau. Tapi hakikat! Dia memang pelajar pandai”
Aku diam mendengar kata-kata Zahid. Semenjak dia masuk ke
sekolah ini, reputasi aku sebagai pelajar cemerlang sedikit tercalar. Setiap
kali peperiksaan penggal bermula, keputusannya pasti dia yang terbaik.
Sedangkan perbezaan peratus antara aku dan dia tidaklah jauh sangat. Markahku
hanya kurang dua mata berbanding markahnya. Kemarahanku semakin kemuncak
apabila pertandingan Matematik yang seharusnya aku menjadi wakil ditukar kepada
namanya. Alasan mereka markah ujian Matematiknya lebih satu mata dari
markahku. Sedangkan itulah yang aku
nantikan selama ini. Dengan menjuarai pertandingan itu, aku akan mendapat
biasiswa.
“Dia dah mencabar Mira!”
“Ish kau ni Mira! persaingan tu normal. Lagipun secara
sihat. Apa yang tak kena dengan kau ni. Dia pun dah banyak kali tanya dengan
aku. Kenapa kau tak mahu tegur dia. Dia teringin sangat nak berkawan dengan
kau”
Aku diam. Lalu aku bangkit meninggalkan Zahid yang menggelengkan
kepalanya dengan perasaan marah yang meluap-luap. Aku sudah puas berusaha untuk
memasuki pertandingan peringkat negeri itu, tapi akhirnya usaha ku selama ini
sia-sia. Namanya juga yang menjadi pilihan. Sambil berjalan air mataku menitis.
Itu impian aku untuk mewakili negeri. Bukan senang untuk menjadi wakil. Mereka
akan pilih tiga orang saja di seluruh sekolah di Johor. Mereka akan memilih
seorang tingkatan tiga, seorang tingkatan empat dan seorang lagi tingkatan
lima.
Kemarahan aku telah membuat Azmi serba salah. Akhirnya
seminggu sebelum pertandingan dia memohon cuti. Katanya neneknya tak sihat. Dia
mencadangkan namaku sebagai ganti. Aku hanya sedar selepas habis pertandingan,
Zahid yang memberitahu. Katanya Azmi ada di rumah, tidak kemana-mana, neneknya
pun sihat. Dia menipu hanya kerana aku. Sebaik saja tiba di sekolah, aku terus
menemuinya di padang. Itulah kali pertama aku berdepan dengannya.
“Sorry. Saya tahu saya salah. Kalau bukan kerana
saya awak takkan menipu pihak sekolah”
Azmi tersenyum kecil. Senyuman yang terlalu manis buatku.
Aku renung wajahnya yang sedikit keputihan. Sudah lama aku kenal nenek Esah,
adakalanya dia bercerita tentang kisah mudanya. Nenek esah bercerai dengan
datuk Azmi kemudian dia ke sini selepas membeli tanah dan membuat rumah. Aku
selalu berkunjung ke rumahnya sebelum ada Azmi. Tapi dia tidak pernah cerita
mengenai cucunya. Apatah lagi mengenai anak-anaknya. Aku juga tidak menyangka
dia ada cucu setampan Azmi. Dari Azmi baru aku tahu nenek Esah itu adalah emak
tiri. Cuma Azmi yang agak rapat kerana nenek Esah pernah mengasuh Azmi ketika
Azmi kecil.
“Saya tak kisah kalau itu saja cara untuk melembutkan
hati awak. Saya ihklas nak berkawan dengan awak. Dari pertama kali saya jumpa
awak. Saya sukakan awak.”
Aku diam seribu bahasa. Baru kali ini ada seorang lelaki
yang berani mengakui perasaannya kepadaku. Selama ini ada juga lelaki yang suka
mengusik. Tapi aku tahu mereka sekadar mengusik. Tidak lebih dari itu.
Semenjak kejadian itu, hubungan aku dan Azmi semakin
rapat. Malahan ramai yang cemburu akan hubungan kami berdua. Walaupun akhirnya
membuahkan rasa kasih, tapi kami tidak pernah lupa tanggungjawab kami sebagai
pelajar. Setiap kali peperiksaan penggal bermula, keputusan terbaik pasti
ditangan kami. Indahnya saat itu.
“Nak, hari dah petang”
Aku tersentak. Lalu menyeka saki baki air mata yang
bertakung. Sebelum keluar aku menghulurkan not lima puluh ringgit sebagai
sedekah kepada pak cik itu. Pada mulanya dia menolak, tapi selepas aku pujuk
akhirnya di terima. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih. Katanya aku
seperti seorang lelaki yang selalu datang setiap kali cuti sekolah. Katanya
lagi lelaki itu juga suka duduk dipondok itu dan hanya akan pulang apabila
hampir satu jam berlalu. Lelaki itu juga suka memberinya wang dan lelaki itu
suka letakkan bunga mawar merah di atas meja.
Jantungku bagai direntap, Azmi ke?………benarkah dia, dia
tidak pernah ungkit kisah itu. Masihkah dia menunggu aku, argh....tak mungkin.
Mungkin hanya kebetulan. Ya Allah, kenapa aku harus mengingati lelaki itu lagi.
Aku berlalu meninggalkan sekolah itu dengan seribu tanda tanya walaupun tahu
tiada jawapannya. Aku cuba mengusir bayang-bayangnya.
Aku terus memandu sehingga sebuah papan tanda menunjukkan
Jalan Melati. Kereta aku pandu kekiri memasuki lorong tersebut. Hari hampir
senja. Walaupun lorong itu sedikit berubah, tapi aku pasti itulah jalannya. Aku
ingat nama Jalan Melati yang tertera di papan uzur suatu ketika dulu. Jalan
yang dulunya berdebu kini diturap cantik.
Aku cuba memandu perlahan sehingga ke satu simpang tiga
dihujung jalan. Aku menghala ke kiri, dari jauh aku memandang sebuah rumah yang
begitu uzur sekali. Aku berhenti tepat di bawah pokok rambutan yang hampir mati
dimamah usia. Aku batalkan niatku untuk turun memandangkan hari hampir gelap.
Suara kanak-kanak yang bermain-main di laman rumah sudah beransur sepi. Mataku
berkaca, rumah usang itulah tempatku membesar. Ya Allah,……sudah hampir roboh
menyembah bumi. Tiangnya sudah reput. Tapi pintunya kemas terkunci. Jelas
mangga yang tergantung sudah berkarat tidak berusik. Seolah sudah lama
ditinggalkan. Kembali kenangan lama yang membawa aku jauh dari tanah
kelahiranku.
“Abang jangan mimpi nak ambil tanah ini. Ini tanah saya,
peninggalan arwah emak. Lagipun orang tua itu sudah lama mewasiatkan tanah ini
untuk Amira. Abang tak ada hak!”
Aku diam menikus disudut dapur. Bukan sekali aku dengar
mereka bergaduh. Kali ini entah yang keberapa kali perkara begini terjadi.
Kasihan ibu. Dulu, ayah seorang yang baik dan bertanggung jawab. Walaupun hanya
seorang pemandu teksi tapi penuh dengan kasih sayang. Hidup kami tidaklah
mewah, hanya sekadar cukup. Ibu tidak pernah merungut, pendapatan ibu sebagai
tukang jahit dapat juga meringankan beban ayah.
Tapi, semenjak aku dengar ayah ada hubungan dengan
seorang perempuan yang selalu menjadi penumpangnya, sikap ayah berubah. Ayah
menjadi seorang pemarah. Ayah sudah berani memukul ibu. Aku juga pernah menjadi
mangsanya. Aku dan ibu semakin kesempitan wang. Aku lihat ayah pun begitu.
Sudah banyak kali ayah mahu menjual tanah ini. Tanah inilah yang menjadi
rebutan sejak akhir-akhir ini. Tapi malam itu, ayah bagaikan syaitan yang
kehausan darah manusia. Marahnya tidak seperti sebelum ini. Pukulan ayah yang
bertalu-talu menyebabkan ibu tidak sedarkan diri. Aku yang berlari mendapatkan
ibu juga menjadi mangsanya malam itu. Aku semakin lemah akibat menahan pukulan
ayah yang semakin menjadi-jadi. Selepas ayah pergi, aku bergegas ke rumah Pak
long. Malam itu juga kami hantar ibu ke hospital. Seminggu ibu koma, dan
akhirnya ibu pergi meninggalkan aku sendiri. Pak Long dan Mak Long terpaksa
memapah aku kerana aku tidak berhenti meratap di kubur. Semenjak hari itu
setiap hari aku akan kekubur. Setiap hari aku menangis. Bila hari hampir petang
barulah aku pulang ke rumah. Berkali-kali mak long memujuk menyuruh aku tinggal
di rumahnya. Tapi langkah kakiku berat. Sudahnya rumah yang suram itu juga aku
pulang. Walaupun gelap gelita, rumah itu juga yang melindungi aku di malam
hari. Saban hari mak long datang menghantar makanan. Tapi aku hanya mampu
menangis. Aku ingin pergi bersama ibu.
Genap seminggu ibu pergi. Ayah yang tidak pernah datang
semenjak ibu dimasukkan ke hospital sehingga meninggal, tiba-tiba datang
bersama seorang perempuan dan seorang lelaki.
“Ini mak cik Mona
dan ini pak cik kamu, Ijan!”
Aku hanya merenung sepi. Episod duka dalam hidupku
bermula ketika itu. setiap hari ada saja perkara yang akan membuatkan Mak cik
Mona marah. Dan ……akulah yang akan menjadi mangsa ayah. Kemarahan Mak cik Mona
adalah kemarahan ayah. Bukan Pak long tidak mahu membantu, tapi ayah pernah
tegur Pak long kerana mencampuri urusan peribadinya.
Sehari sebelum SPM tamat ayah dan Mak cik Mona telah
keluar awal pagi lagi. mereka hanya berpesan untuk menjaga rumah dan
menyediakan makan untuk Ijan. Melihat mereka membawa sebuah beg besar
menandakan mereka akan pergi untuk dua atau tiga hari. Malam itu, aku seperti
biasa mengulangkaji pelajaran. Esok adalah hari terakhir SPM. aku tidur lewat
dari biasa. Keadaan sunyi sepi, Ijan keluar dari petang tadi sehingga kini
belum pulang lagi. Aku sudah berkali-kali menguap. Buku di atas meja aku
kemaskan, peralatan untuk esok sudah siap di dalam beg sekolah. Tiba-tiba pintu
bilikku dibuka kasar. Ijan berdiri dihadapanku, aku sendiri tidak sedar bila
dia pulang. matanya merenung aku seperti mayat hidup. Aku tahu dia dibawah
pengaruh dadah dan bau arak dibadannya menyedarkan aku bahawa sesuatu yang
buruk akan berlaku malam ini.
Malam itu menghancurkan segalanya. Meragut segala yang
aku jaga selama ini. Malam itu juga aku nekad untuk melarikan diri selepas
melihat tubuhku hanya berselimutkan kain sarung. Aku menangisi nasibku. Aku
bencikan ayah! Ayah yang buatkan hidupku jadi begini, ayah hancurkan maruah
ku!.
Usai saja kertas terakhir pada pukul dua petang, aku
membawa diri. Tidak seorang pun sedar kehilangan aku petang itu. Tiada nota
yang aku tinggalkan untuk mereka dan Azmi. Walaupun Azmi berkali-kali bersuara
bertanya keadaanku yang kelihatan tidak bermanya, aku hanya menggeleng kepala.
Aku cuba untuk memberikan Azmi senyuman untuk menghilangkan kerisauannya. Aku malu untuk mendampingi Azmi hari itu, aku
cuba untuk mengelak dari bertemu dengannya. Zahid juga berkali-kali cuba bercakap
denganku. Tapi aku endahkan. Aku tidak sanggup berdiri di antara mereka berdua
selepas apa yang berlaku semalam.
Semasa keluar dari
pagar sekolah, aku dengar Azmi dan Zahid cuba memanggilku, aku tidak sanggup
memandang wajahnya lagi. Aku malu. Nasib menyebelahi aku kerana bas awam datang
tepat pada masanya. Aku kuatkan semangat untuk pergi. Bagiku tiada apa lagi
yang bermakna di sini, biarlah aku pergi membawa diri……… aku tak akan jejakkan
kaki lagi di sini.
Azan Mahgrib berkumandang menyedarkan aku dari kenangan
lama. Aku meraup wajah lalu menarik nafas panjang. Lama aku di sini! Ya Allah,
berilah aku kekuatan. Aku teringat akan Johan yang sudah menempahkan sebuah
hotel berdekatan Danga Bay. Aku terus memandu melewati beberapa rumah yang
masih seperti dulu. Kawasan kampung sudah semakin sunyi. Aku berhenti di
hadapan sebuah rumah bercat biru, lamannya yang luas mengingatkan aku kepada
rumah Pak long dulu. Aku merenung rumah yang pintunya tertutup rapat.
Suasana sunyi, tapi cahaya lampu dari dalam rumah
menunjukkan ada orang didalamnya. Aku terus mengamati rumah tersebut, sah! Itu
memang rumah Pak long. Rasa hatiku berbelah bagi. Patutkah aku turun? Atau aku
terus saja pulang? Niat untuk aku berpatah balik terkubur kerana perasaan rindu
untuk bertemu dengan Pak long dan Mak long. Tapi……aku takut. Perlahan aku turun
dari kereta lalu berdiri di muka pintu yang masih tertutup rapat. Samar-samar
aku dengar suara Pak long dan Mak long dari dalam rumah. Suaranya masih seperti
dulu, tidak berubah. Aku kuatkan semangat, pintu aku ketuk berulang kali dengan
perlahan. Lama aku berdiri sebelum mendengar seseorang menuju ke pintu dan
membuka kuncinya.
“Ya, cari siapa?”
Aku tergamam, wajah tua dihadapanku ku tatap lama. Puas
mengamati wajah tua yang termangu menanti jawapan. Aku masih mengamati. Mencari
persamaan wajah wanita yang banyak berjasa dalam hidupku. Dia memang Mak Long!
Di sebalik garisan halus itu aku tafsirkan wajah dua belas tahun dulu. Wajah
Mak long aku renung hiba. Rambutnya sudah hampir putih keseluruhan. Wajahnya
sudah berkedut, jelas menampakkan usianya. Lama di menatap wajahku. Tangan
tuanya menyentuh pipiku, aku biarkan air mataku jatuh di tangannya.
“Mira!” Suaranya yang serak masih mampu menjerit
Mak long memandang wajahku meminta kepastian. Aku
mengangguk lemah lantaran rindu semakin tidak dapat dibendung. Pantas aku cium
tangan mak long. Air mata tua Mak long mengalir laju ketika aku memeluknya.
Kemudian
muncul Pak long dari dalam rumah. Lelaki itu masih tetap gagah walau usianya
juga mengajak senja. Tegap dia berdiri di belakang isterinya meminta kepastian.
Selepas Mak long mengangguk berulang kali, akhirnya dia tersenyum lebar.
Tangannya diangkat tinggi mengucapkan syukur kehadirat Allah. Berkali-kali
laungan Alhamdulillah keluar dari mulutnya. Kepalaku diusap penuh kasih sayang,
dapat aku rasakan betapa mereka merindui aku. Dapat aku rasakan betapa mereka
menanti kepulangan aku. Betapa aku rasakan kegembiraan yang tidak dapat
digambarkan. Berdosakah aku meninggalkan mereka? Segala persoalan aku buang
jauh…aku sedar air mata mak long yang jatuh dibahuku meluahkan segalanya.
Pelukan
kami terlerai apabila mendengar seorang lelaki memanggil namaku. Jelas! Dan aku
kenal suara itu. Lama aku pandang wajah tua yang baru keluar dari dalam bilik.
Wajahnya bersih, rambutnya sedikit basah mungkin baru saja selesai menunaikan
sembahyang mahgrib. Lidahku kelu, wajah pak long dan mak long ku pandang silih
berganti. Mereka menggangguk.
“Ayah!”
suaraku seakan tersekat, aku melangkah perlahan mendekati
lelaki tua yang kelihatan lebih uzur berbanding pak long.
“Maafkan ayah, banyak dosa ayah kepada kamu. Maafkan ayah
Mira, ayah bersalah menyebabkan kamu menderita” Serak suara ayah diiringi
tangisannya. Tangisan yang seakan begitu asing aku rasakan. Tangisan yang tidak
pernah aku bayangkan selama ini. Tangisan sesalan yang teramat sangat.
Sekali lagi aku tergamam. Tidak menduga lelaki yang
menyebabkan aku jadi begini berdiri dihadapanku. Merayu dan memohon maaf
kepadaku. Lelaki itu hampir melutut dihadapanku. Nasib baik aku pantas tersedar
lalu mencempung badannya yang kurus itu. Tanganku basah dengan air matanya.
Perlahan aku cium tangannya, lalu aku usap wajahnya. Kemarahan yang selama ini
membuatkan aku pergi jauh hilang entah kemana. Yang ada kini hanya rasa kasih
sayang, rasa sedih dan simpati. Rasa bersalah kerana pergi terlalu jauh membawa
diri. Ya Allah besarnya kuasa Mu. Kau pertemukan aku semula dengan mereka di
saat ini.