Selepas aku menunaikan
sembahyang mahgrib, mereka menyuruh aku duduk diruang tamu. Mak long yang setia
duduk disisiku menggenggam erat tanganku. Mungkin takut aku meninggalkan mereka
lagi. Mereka kata sebentar lagi Zahid akan pulang dari surau, katanya Zahid
baru saja menghabiskan pengajiannya di UKM. Sekarang dia bekerja di sebuah
syarikat swasta di Johor Bahru. Abang Zam dan Kak Ina sudah berkahwin dan sudah
ada anak masing-masing. Mungkin hujung minggu ni mereka datang untuk mengambil
buah durian.
Tidak lama kemudian Zahid muncul dimuka pintu. Lelaki itu
semakin tampan, persis wajah Pak long masa muda dulu. Dia terkejut, selepas
berkali-kali Mak long mengatakan memang benar aku, barulah dia tersenyum
gembira. Zahid benar-benar merindui aku sehinggakan dia terlupa kini kami telah
dewasa. Tanpa segan silu dia menggenggam tanganku dan mengusap lembut wajahku.
Selepas Mak Long memanggil namanya dia tersipu malu atas perlakuannya sebentar
tadi.
“Tak sangka Mira akan pulang. Lama Zahid tunggu saat ini.
Setiap hari Zahid berdoa. Akhirnya Allah
mendengar doa kami semua” Zahid bersuara.
“Maafkan Mira sebab tinggalkan macam tu. Mira tak berniat
buat semua orang risau”
“Patutlah beberapa hari ni hati Mak
long tak pernah tenang. Mata Mak Long bergerak-gerak. Beberapa kali Mak Long
menjenguk pintu rasa ada orang nak datang tapi tak tahu siapa. Tak sangka pula
anak Mak Long nak pulang rupanya.” Mak long menyeka saki baki air mata dengan
hujung lengan bajunya.
“Dah lah tu. Nampaknya Mira penat. Biar mak long siapkan
makan malam. Sebentar lagi kita boleh makan sama.” Suara pak long memecah
kesunyian.
Selepas makan malam, kami duduk di ruang tamu. Tenang
rasanya. Sudah lama aku tidak duduk dirumah kampung begini. Ayah mula bercerita
mengenai dirinya selepas aku pergi. Kini, ayah dan Pak long hanya sesekali
turun membawa teksi. Kalau musim buah, mereka akan turun ke dusun durian yang
dipajakkan bagi membayar hutang. Sedikit dari hasil jualan tersebut buah dapat
meringankan beban ayah yang sentiasa memerlukan rawatan di hospital lantaran
penyakit tuanya. Dengan perasaan sayu ayah bercerita mengenai rumah kami dulu.
Katanya tanah itu sudah dicagarkan ke bank dan sehingga kini mereka tidak dapat
menebus semula tanah tersebut. Mak cik Mona dan Ijan pula sudah hilang entah ke
mana. Mereka meninggalkan ayah ketika ayah dalam kesusahan. Selepas mereka
berdua pergi, barulah ayah sedar apa yang telah mereka lakukan. Ketika ayah
mengemaskan bilikku, ayah menjumpai baju ijan dan baju yang koyak rabak. Ketika
itu dia sedar apa yang telah berlaku, menangis sekalipun tidak akan
mengembalikan segalanya. Mungkin itulah pengajaran. Allah yang berkuasa
membalas segala perbuatan kita di dunia.
Banyak juga soalan yang diajukan oleh Mak Long dan Pak
Long. Aku hanya bercerita secara ringkas mengenai kerja aku di sini. Jelas
wajah mereka menunjukkan mereka bangga dengan usaha aku. Apatah lagi aku dapat
bekerja dan hidup lama di negara orang.
“Mira di sini cuma enam bulan aje”
Semua diam. Memandang kearahku seolah mahu penjelasan
lebih lanjut.
“Mira ditugaskan ke sini, habis kerja nanti Mira akan
pulang ke sana semula”
“Mira,……ayah tahu Mira marahkan ayah. Tapi kalau boleh
ayah nak tebus semula segalanya. Kalau boleh ayah nak mati di sisi Mira.
Janganlah pergi lagi nak. Ayah dah tua”
Mengalir air mataku. Aku menunduk memandang lantai. Aku
kehilangan kata-kata. Aku belum bersedia untuk tinggal di sini.
“Tak apalah, yang penting Mira dah pulang kepangkuan
kita” Zahid yang tadinya hanya membisu mula bersuara, dia seolah faham segala
apa yang tersirat di dalam hatiku. “Lagipun Zahid yakin Mira akan kembali”
Aku tersenyum memandang ke arahnya. Dari sinar matanya
jelas menunjukkan harapan. Senyuman Zahid meyakinkan aku semula.
“Kalau macam tu lusa kita buat kenduri kesyukuran sekali
dengan kenduri arwah. Mak Long nak jemput orang kampung datang tengok Mira” Mak
Long bersuara semula. “Paknya, telefon Angah dengan Ateh. Jangan lupa telefon
anak-anak sekali. Suruh mereka datang”
Aku diam. Esok aku harus melihat tapak yang Azmi
cadangkan. Lagipun aku sudah berjanji dengan Akira Holding untuk memberikan
jawapan secepat mungkin.
“Kamu ni, nak buat kenduri mengejut macam ni.... aku rasa
Mira tu ada kerja nak buat. Kalau ya pun, bincang dulu. Tak lah serba salah
budak tu” Pak Long bersuara melegakan sedikit hatiku yang berbelah bagi.
Mak Long tersengih kecil. Mengakui kesilapannya.
Pandangan Mak Long tumpah ke arah aku.
“Mira cuma tiga hari di sini. Kalau Mak Long, Pak Long
dan ayah tak kisah, Mira akan datang lagi minggu depan untuk kenduri.
InsyaAllah minggu depan Mira boleh ambil cuti”
Masing-masing setuju. Pak Long sudah beria mahu menumbangkan
seekor lembu miliknya untuk kenduri itu nanti. Katanya itu niat dari dulu lagi.
Kalau Mira kembali, lembu akan ditumbangkan dan dibahagikan dengan orang
kampung.
Aku tidak membantah. Menurut saja arahan Pak Long.
Walaupun sebenarnya aku belum bersedia lagi untuk segalanya. Tapi apa kata
mereka kalau aku tolak. Aku juga tidak memberitahu mereka rancangan aku disini
sebenarnya hanya untuk urusan kerja. Aku singgah di sini hanya kebetulan
menurut kata hati dan teringatkan Azmi.
Malam itu aku menghubungi Hotel yang ditempah oleh Johan.
Melihat keadaan mereka, tidak sampai hati mengatakan aku akan tidur dihotel
malam ini. Lagipun awal-awal lagi Mak long sudah mengemaskan bilik tamu
untukku. Jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Ayah dan Pak Long sudah
masuk tidur, tinggal Mak Long saja yang masih berkemas di dapur. Aku duduk di
beranda rumah sambil menikmati keindahan malam. Melihat bintang yang bersinar
indah. Selama ini aku jarang merenung langit, rasanya aku pun sudah lupa
keindahannya. Tapi hari ini, langit aku renung dengan penuh perasaan. Betapa
besarnya kuasa Tuhan.
“Kenapa duduk sendiri di sini, tak ngantuk lagi ke?”
Aku tersenyum kecil lalu memandang Zahid yang sudah
melabuhkan punggung di sisiku. Aku menggeleng perlahan.
“Tadi Zahid dengar Mira call hotel, tak nak
tinggal di sini ke?”
Aku pandang semula wajahnya. Mungkin senang kalau dapat
meluahkan segalanya kepada Zahid. Panggilan aku dan kau yang biasa digunakan
sudah berubah menjadi Zahid dan Mira. Hmm mungkin dia sedar masing-masing sudah
dewasa. Ada banyak perbezaan tutur bahasa.
“Sebenarnya Mira sepatutnya menguruskan projek di Danga
Bay. Green Hotel nak buka satu lagi cawangan di sini, sekarang ini hanya ada di
Putrajaya dengan Genting Highland. Segalanya sudah diaturkan”
“Dah tu sebenarnya bukan niat nak ke sini ke?”
Aku diam. Soalan itu sungguh berat, entah apa jawapan
yang sesuai harus dikatakan sekarang. Niat hanya untuk lalu saja dan bukannya
mengetuk pintu dan tinggal di sini.
“Mira hanya ingin lalu mengikut kata hati. Mira rindu
sangat. Tapi Mira belum bersedia untuk berhadapan dengan kalian semua. Mira
takut. Mira tak mampu hadapi kalian semua. Mira takut bila mengingatkan kisah
dulu.”
Zahid diam, ada keluhan keluar dari mulutnya.
“Mira, sampai bila Mira baru nak bersedia. Tiada siapa
lagi diantara kami semua yang mahu mengungkit kisah lalu. Pak su amat menderita
semenjak Mira tiada. Dia suka termenung sendirian. Adakalanya menangis sendiri
menyesali apa yang terjadi. Kami semua tak sangka semua itu berlaku. Tapi, itu
semua kisah lama. Tak payah ingat lagi.”
Aku diam. Membiarkan saja Zahid meneruskan kata-katanya.
“Pak Su pun dah insaf, janganlah simpan marah tu lagi.
Lagipun semua tu dah berlalu. Tak akan ada sesiapa yang ingat lagi. Kami semua
sayangkan Mira. Kami semua selalu cerita pasal Mira..... kalau tengok keadaan
Mira sekarang, bukan calang-calang Jawatan Mira di sana”
Aku tersenyum. Boleh tahan! Kalau dikira mengikut Ringgit
Malaysia, sebulan aku boleh dapat sampai lima puluh ribu. Rumah sudah habis
bayar tahun lepas, kereta pun aku beli potong duit gaji setiap bulan. Itu pun
sudah habis bulan lepas. Sekarang ini bolehlah tahan, di sini pun aku hanya
makan elaun luar negara. Tak usik pun gaji di bank dan aku pun tak pernah kira
berapa banyak yang ada. Kalau Green Hotel Johor siap, aku akan mendapat lagi
keuntungannya. Aku melabur hampir separuh wang simpanan yang ada untuk
membangunkannya.
“Alah……Zahid, kerja biasa aje. Sama jugalah dengan Zahid,
sama-sama jadi kuli”
“Zahid jadi kuli tak dapat pun nak rasa pakai kereta
macam tu. Umur kita sama Mira, Zahid baru mulakan kerjaya. Tak nampak lagi
hasilnya. Tapi Mira, tengoklah sendiri, dari cara Mira pun Zahid dah tahu.”
Jari Zahid menunjuk ke arah kereta BMW 1Siri di hadapan
rumah. Aku tergelak, lalu dia memandang wajahku semula.
“Itu kereta sewalah!” Kereta itu bukanlah apa sangat
kalau nak dibandingkan dengan kereta yang aku ada di Australia. Johan yang
menyewakan kereta itu untuk aku. aku pun tidak tahu menahu pasal perkara itu.
“Orang biasa takkan sewa kereta mahal macam tu…. Pasti
jawatan Mira besar. Syarikat mana yang boleh percayakan stafnya buat projek
berjuta ringgit seorang diri?”
Aku ketawa kecil. Biarlah semua rahsia.
Kesejukan malam mula menusuk ke dalam tulang. Seluruh
rumah pun sudah sunyi. Agaknya Mak Long pun sudah lena dibuai mimpi. Aku masih
belum mengantuk lagi, entahlah rasa senang pula dapat berbual dengan Zahid.
“Lama Mira di sana kan! Tak sangka pula Mira boleh hidup
di sana. Selama ini Zahid tak pernah terfikir Mira akan berhijrah ke sana.
Selalu juga Zahid ke Kuala Lumpur. Ada kawan Zahid di sana, kalau Zahid ke sana
Zahid akan pergi ke CM, KLCC, Sogo atau kadang-kadang lepak kat Dataran. Zahid
harap sangat dapat cari Mira. Zahid pernah juga hantar gambar dengan kawan di
Pulau Pinang. Minta dia tolong cari”
Aku pandang wajah Zahid. Wajah yang keputihan itu terlalu
jauh berbeza jika dibandingkan masa sekolah dulu. Gaya rambutnya menambahkan
lagi ketampanannya, cuma dia lebih selesa dengan gaya bersahaja. Memakai seluar
lusuh dan bert-shirt pagoda. Kalau dia memakai sut yang selalu dikenakan oleh
Azmi, pasti cair perempuan yang memandangnya.
“Kenapa senyum”
Aku menggelengkan kepala lalu tergelak kecil.
“Jauh rupa Zahid kalau nak dibandingkan dengan dulu”
Zahid tersenyum. Gigi putihnya tersusun rapi. Begitu
sempurna!
“Mira pun semakin cantik. Rasa macam tak percaya pula.
Zahid tak pernah bayangkan wajah Mira akan jadi secantik ini. Boleh cair
dibuatnya, duduk berdua lama-lama dengan Mira”
Aku ketawa lagi. Tak sangka pula dia akan puji melambung
tinggi. “Dah mula lah tu. Eh……bukan ke dari dulu lagi Mira cantik”
Zahid membuntangkan matanya. “Perasan!”
Malam semakin merangkak jauh. Jam sudah menunjukkan pukul
dua pagi. Aku berdiri lalu melangkah menuju ke pintu. Zahid turut bangkit dari
duduknya. Sebelum tidur sempat juga dia mengusik aku sekali lagi. Zahid, memang
tidak pernah berubah!