Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
598,814
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Pagi-pagi lagi Hajah Fauziah sudah bangun. Setelah mandi dan bersolat subuh, dia bergegas ke dapur, menyediakan sarapan pagi untuk keluarganya. Air dijerang di dalam cerek elektrik. Sementara menanti air mendidih, dia mengupas sedikit bawang merah dan bawang putih. Tidak lama kemudian, bau harum nasi goreng merebak ke serata rumah besar dua tingkat itu.

Setelah nasi goreng siap dimasak, dia membancuh pula kopi di dalam teko dan merebus beberapa biji telur separuh masak. Siap semuanya, juadah itu diletakkan di atas meja makan.

Selesai mencuci pinggan mangkuk kotor dan membersihkan dapur memasak, Hajah Fauziah terkocoh-kocah naik ke bilik, bersiap untuk ke pejabat. Sekejap lagi jarum jam akan bergerak ke pukul tujuh. Lambat keluar dari rumah nanti, jalan menuju ke pusat bandar raya Kuala Lumpur akan mula sesak dengan kenderaan. Dia tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan seterusnya lewat tiba ke pejabat. Sebagai Timbalan Pengarah di Kementerian Pendidikan Tinggi, dia harus menunjukkan contoh terbaik kepada kakitangannya dengan sentiasa datang awal ke tempat kerja.

Seminggu dua ini, Hajah Fauziah berasa sungguh letih dan tidak cukup rehat. Apa tidaknya, pulang saja dari pejabat dan berehat tidak sampai setengah jam, dia sudah sibuk memasak untuk makan malam. Pakaian-pakaian kotor perlu dicuci. Pakaian yang sudah kering pula kena dilipat atau digantung di dalam almari. Kalau tidak dibuat semuanya itu, alamat bertimbunlah pakaian bersih di dalam bakul berhari-hari lamanya. Semak pula mata memandang.

‘Ini semua Kesumawati punya pasal!’ detik Hajah Fauziah di dalam hati, mencemuh pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di rumahnya sebelum ini. Panas hatinya mengingatkan peristiwa Kesumawati cabut lari dari rumahnya. Kalau setakat lari senyap-senyap tanpa memberi sebarang masalah, tidak mengapa. Ini habis wang dan barang-barang kemas dia dan anaknya, Farhana dikebas sekali. Sejak itu dia serik mahu mengambil pembantu rumah lagi. Tetapi, kalau tiada pembantu rumah, susah juga hidupnya. Kelam-kabut pula hidup mereka sekeluarga.

“Betul ke awak tak nak ambilmaiddari Indonesia lagi? Kalau awak nak, saya boleh uruskan,” cadang Haji Marzuki, ketika mereka bersarapan pagi. Bersimpati dengan keadaan isteri yang keletihan kerana terpaksa menguruskan tugas-tugas di pejabat juga di rumah.

Sambil menuang kopi ke dalam cawan, Hajah Fauziah mengeluh. “Saya dah seriklah, bang.” Dia menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan suaminya pula. Pinggan itu kemudian dihulurkan kepada Haji Marzuki.

“Habis tu... awak larat ke buat kerja-kerja rumah ni seorang? Saya takutblood pressureawak naik nanti. Anak dara awak yang seorang tu bukan boleh diharap,” sambung Haji Marzuki. Tunduk saja menyuap nasi goreng ke dalam mulut. Sambil itu sempat mengata Farhana, anak ketiga mereka yang terkenal dengan sikap berat tulangnya.

“Masuk Kesuma tu dah limamaid kita ambil. Tapi sorang pun saya tak puas hati. Semuanya bawa masalah,” keluh Hajah Fauziah dengan mulut mengunyah roti bersapu mentega. Dia tidak menjamah langsung nasi goreng. Cukup hanya mengalas perut dengan dua keping roti dan segelas susu suam. Mahu menjaga badan, katanya. Sebab itu dalam usia 50 tahun, badannya tampak langsing.

“Dah tu awak larat ke nak buat semua kerja-kerja ni? Saya tanya betul-betul ni.” Haji Marzuki mengulangi soalannya sebelum ini. Mahukan kepastian dari mulut isterinya.

Hajah Fauziah tidak menjawab. Diam berfikir sambil mengunyah roti.

Sedang asyik bersembang, turun anak sulung mereka, Ziyad, dari tingkat atas. Nampak sahaja umi dan abahnya bersembang, anak muda itu terus menuju ke meja makan.

“Awal Ziyad bangun?” tegur Hajah Fauziah sambil memandang anak bujangnya. Selalunya pada awal pagi begini, jarang nampak muka Ziyad.

Ziyad yang punya firma arkitek sendiri selalunya bangun lewat sedikit kerana dia tidak perlu tergesa-gesa ke tempat kerja seperti umi dan abahnya yang bekerja di jabatan kerajaan.

“Lepas solat subuh tadi, Ziyad tak boleh tidur. Ni yang bangun awal,” ujar Ziyad seraya menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan umi dan abahnya.

“Nak makan apa? Nak nasi goreng?” Hajah Fauziah mengangkat sedikit mangkuk berisi nasi goreng. Mahu dihulurkan kepada Ziyad.

“Biarlah dulu, umi. Kejap lagi Ziyad makan,” jawab Ziyad yang sememangnya tidak gemar menjamah makanan berat pada awal pagi. Perutnya yang agak sensitif tidak dapat menerima makanan yang berat-berat.

“Tak ada ke orang tempatan yang nak kerja dengan kita? Kalau ada, baru saya ambil. Kalau tak ada, saya tak nak ambilmaid Indonesia lagi. Serik saya. Buatnya datang yang baru ni, perangainya lebih kurang sama macam Kesuma, habis harta benda kita dilelongnya. Daripada dapat orang macam tu lagi, baik saya buat sendiri kerja-kerja rumah ni.” Hajah Fauziah meluahkan apa yang bermain di fikiran.

“Kalau macam tu, ikut awaklah. Jangan awak mengadu penat dengan saya nanti.” Haji Marzuki awal-awal sudah memberi amaran kepada isterinya.

“Umi nak ambilmaidorang tempatan? Sekarang susah nak cari, umi. Yang muda-muda mana suka jadi orang gaji ni. Baik mereka kerja kilang. Pergaulan bebas sikit. Yang tua pulak dah tak larat nak kerja. Baik duduk rumah, berehat, jaga cucu kat rumah,” celah Ziyad apabila mendengar luahan hati uminya.

Mengeluh berat Hajah Fauziah dibuatnya. “Kalau macam tu, terpaksalah umi buat semua kerja rumah sendiri,” ujarnya dengan muka sedih.

“Alah... apa susah? Hana kan ada?” sambut Ziyad lagi sambil ketawa kecil.

Hajah Fauziah merengus mendengar nama Farhana disebut. Haji Marzuki pula mengangkat kening.

“Nak harapkan anak dara pemalas tu? Baik tak payah. Buat penat mulut saja berleter, tapi perangai masih macam tu. Entah bila nak berubah, umi pun tak tahu. Kalau dah kahwin nanti perangainya masih tak berubah, kesian kat laki dia. Ni, tengoklah dah dekat pukul tujuh setengah, dia tak bangun lagi. Lewat ke kampus nanti, mula menggelabah... kata kita tak kejut dia,” rungut Hajah Fauziah.

“Kejap lagi turunlah tu,” kata Haji Marzuki sambil menolak pinggan ke hadapan. Nasi goreng sudah habis dimakannya.

Sebaik sahaja Haji Marzuki habis bercakap, turun Farhana dari tingkat atas sambil berlari-lari anak melompat anak-anak tangga.

“Hah... panjang umurnya,” tegur Hajah Fauziah dengan muka masam memandang anak daranya.

Haji Marzuki pula berwajah serius. Sementara Ziyad pula sudah tersengih-sengih mahu menyakat adiknya.

“Umi suruh cuci pinggan,” usik Ziyad dengan senyum lebarnya.

“Hisy, apa umi ni? Hana dah lewat ni. Hana adatest pagi ni.” Cepat Farhana memberi alasan. Kopi O di dalam teko dituang ke dalam cawan kemudian diteguk dengan rakus. Cawan yang sudah kosong diletak semula di atas piring. Selepas itu, dia buru-buru menuju ke pintu.

“Dah tahu ada test tak reti nak bangun awal? Budak ni kalau umur tujuh, lapan tahun... dah lama aku rotan. Ni dah umur dua puluh empat tahun, tak boleh nak buat apa. Mulut dah berbuih bagi nasihat pun tak jalan,” omel Hajah Fauziah yang melihat sahaja langkah Farhana hingga ke pintu.

“Rotan aje, mi,” hasut Ziyad sambil ketawa.

Hajah Fauziah tidak menyambut kata-kata Ziyad tadi.

Haji Marzuki juga tidak mengulas lanjut. Sudah letih melayan perangai anak perempuan tunggal yang tidak pernah berubah itu.

“Eh, umi pun dah lewat ni,” kata Hajah Fauziah sebaik saja terpandangkan jam besar di dinding ruang makan yang menunjukkan hampir ke pukul 7.15 pagi. Kelam-kabut dia mengemas pinggan dan cawan-cawan kotor untuk dibawa ke singki.

“Biarkan saja kat situ, umi. Nanti Ziyad cuci,” kata Ziyad yang memang ringan tulang membantu tugas-tugas di rumah bila ada masa terluang. Selebihnya dia kasihankan umi yang sudah terlewat mahu ke pejabat.

“Betul ke?Thank you, Ziyad. Ni yang buat umi makin sayang kat anak umi.” Hajah Fauziah mendakap Ziyad erat-erat. Pipi anak bujangnya dicium sedikit.

Tersenyum lebar Ziyad apabila sudah besar panjang begitu masih dimanjakan umi macam anak-anak kecil.

“Abah pun dah lewat ni. Abah pergi dulu,” kata Haji Marzuki yang bertugas sebagai seorang doktor pakar di Hospital Puchong.

Ziyad mengangguk. Bangun bersalaman kemudian mencium tangan abah dan uminya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.