Usai bersolat maghrib, Hajah
Fauziah duduk santai di ruang tamu. Sementara menanti suaminya pulang dari
surau berdekatan, dia menghabiskan masa dengan menonton siaran berita di
televisyen.
Lega hati Hajah Fauziah
kerana tugas-tugas di dapur sudah dilaksanakannya sebaik sahaja pulang dari
pejabat petang tadi. Pakaian kotor sudah dicuci. Juadah untuk makan malam juga
sudah siap dimasak dan kini terhidang di atas meja makan. Tugas yang masih
belum selesai hanyalah pakaian bersih yang bertimbun di dalam bakul menunggu
untuk dilipat. Yang itu akan dikerahnya Farhana menyempurnakannya nanti. Jika
Farhana mahu mengelak, pandai-pandailah dia berkeras dengan anak daranya yang
berat tulang itu.
“Termenung aje, umi?” sapa
Ziyad yang baru turun dari tingkat atas tatkala terlihat uminya sedang
duduk di depan kaca televisyen. Jarang
dia melihat umi duduk santai begitu. Selalunya pada waktu begini umi bagai lipas
kudung ke sana ke mari menyiapkan kerja-kerja di dapur.
“Umi tengok beritalah.
Bukan selalu umi dapat tengok berita pukul lapan ni,” jawab Hajah Fauziah
seraya tersenyum memandang wajah tampan anak bujang yang iras-iras Dr. Sheikh Muzaffar itu.
“Kerja umi dah siap ke?”
tanya Ziyad. Dia melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan dengan uminya.
“Dah. Petang tadi umi dah
siapkan.”
“Cepatnya! Macam ni tak
payahlah umi ambilmaid. Umi sendiri pun dah cekap
uruskan semuanya.” Ziyad tergelak mengusik umi.
“Memanglah umi boleh buat.
Tapi penatlah. Umi ni bukannya muda lagi. Kalau boleh, balik kerja umi terus
nak rehat. Tak mahu fikir nak buat kerja-kerja dapur lagi,” keluh Hajah Fauziah
sambil duduk tegak di sofa. Mahu meluruskan urat-urat pinggang.
“Susah-susah, ambil ajelah
maiddari agensi,” cadang Ziyad. Mudah membuat keputusan bagi pihak umi.
“No!Umi tak nak. Umi percaya, mesti ada orang tempatan yang nak kerja
dengan kita.” Hajah Fauziah berkeras menolak usul anak sulungnya.
“Kalau macam tu, nanti Ziyad
cuba iklankan dalamnewspaper. Manalah
tahu ada yang berminat nanti,” ujar Ziyad, menyedapkan hati umi.
“Hmm... bagus juga cadangan
tu. Buatlah cepat. Jangan tangguh-tangguh lagi. Takkan tak kesian tengok umi
kelam-kabut buat kerja sorang-sorang.”
Ziyad mengangguk.
“Malam ni Ziyad tak keluar
dengan Naz ke?” soal Hajah Fauziah menyakat anak teruna yang sudah setahun
menjalin cinta dengan Syafinaz, anak Datuk Majid.
“Naz ada hal malam ni,”
kata Ziyad. Tersenyum lebar dia mendengar umi menyebut nama bakal menantunya
itu. Mengingatkan wajah buah hati yang manis dengan sebiji tahi lalat di tepi
bibir, rindunya datang bertamu. Sudah tiga hari Ziyad tidak dapat menatap wajah
orang tersayang kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja. Bila dia
lapang, Shafinaz yang bekerja di syarikat papanya pula ada hal. Begitu juga
sebaliknya. Ada tidak ada, telefon bimbit itulah tempat mereka melepaskan rindu
yang bergelodak dalam jiwa.
Hajah Fauziah menjeling ke
arah Ziyad yang sedang tersenyum-senyum sendiri macam orang sedang angau. Entah
apa yang difikirkan si bujang itu sedari tadi. Agaknya memikirkan masa depan
bersama kekasih hatinya.
Kadang-kadang, risau juga
dia mengenangkan hubungan cinta Ziyad dengan Shafinaz. Sudah dua tahun mereka
berkepit macam belangkas, tetapi belum terdengar bunga-bunga mahu mendirikan
mahligai bahagia. Dia bertanya bukan kerana teringin sangat bermenantukan anak
orang kaya. Dia tidak kisah sangat siapa bakal menantunya. Berharta atau tidak,
bukan pilihan utama. Asalkan orangnya baik, rajin dan pandai mengambil hati
orang tua, dia sudah cukup bersyukur. Apa yang difikirkan sekarang, takut Ziyad
dan kekasihnya terlajak melakukan perbuatan di luar batasan agama. Maklumlah
mereka itu sudah terlalu mesra.
“Asyik berkepit aje, bila
nak ikat?” Entah kali ke berapa Hajah Fauziah menyuarakan suara hati seorang
ibu itu, dia sendiri tidak ingat.
“Ziyad dah tanya tapi Naz
kata tunggu dulu. Sekarang Naz tengah sibuk uruskan pembukaan anak syarikat
baru. Belum ada masa fikirkan tentang ni,” kata Ziyad dengan wajah serba salah.
Mencebik bibir Hajah
Fauziah mendengar alasan gadis pujaan hati anaknya itu. Sudah lali telinganya
mendengar alasan yang sama berulang kali. Memanjang sibuknya, macam dia sahaja
ahli korporat di dunia ini. Kalau sibuk sentiasa mencari harta dunia, baik
tidak payah bercinta dan berkeluarga. Buat pening kepala apabila timbul masalah
rumah tangga nanti.
“Umi risaukan diri Ziyad
tu. Takut dah tak sabar nak kahwin, mula buat benda bukan-bukan.” Muka Hajah
Fauziah mencerut memandang wajah Ziyad.
Ziyad ketawa besar
mendengar omelan umi. Sampai menepuk dahi. “Umi ni! Macam tak percaya pulak
pada Ziyad. Berdosa tau umi buruk sangka pada orang lain.Don’t worry. Anak umi ni baik orangnya.” Tawanya masih bersisa.
Biarpun menyedari umi mula
berprasangka bukan-bukan padanya, Ziyad langsung tidak berkecil hati. Dia faham
perasaan seorang ibu yang sentiasa meletakkan keluarga sebagai fokus utama
kehidupan.Umi risaukannya yang semakin dewasa dan matang. Bimbang jika
dia gagal mengawal naluri keinginan seorang lelaki dan akhirnya terlanjur
dengan kekasih hati. Tiada guna umi mendidiknya sedari kecil dengan ilmu-ilmu
agama jika begitulah tindakannya nanti. Di mana umi patut sorokkan muka jika
aib memalit diri kelak?
Hajah Fauziah tersenyum
mendengar jawapan itu. Tidak dinafikan Ziyad memang anak yang baik. Solatnya
cukup lima waktu sehari. Ziyad juga jarang-jarang keluar malam kecuali bersama
Shafinaz. Dia amat berbangga mempunyai anak sebaik Ziyad. Cuma dia tidak berapa
berkenan dengan Shafinaz, gadis pilihan anak sulungnya itu. Bukan kerana
Shafinaz tidak cantik, tetapi entahlah...
Ada banyak perkara tentang
Shafinaz yang membuatkan matanya tidak berkenan memandang. Salah satunya, cara
Shafinaz berpakaian ada kalanya terlalu menjolok mata. Hajah Fauziah kalau
boleh inginkan perempuan yang sopan dan bertudung menjadi menantunya. Tetapi,
selera Ziyad sudah tertumpah pada perempuan seperti itu. Takkan mahu ditegah?
Namun begitu, tidak pula disuarakan lintasan hatinya pada Ziyad kerana bimbang
anaknya berkecil hati.
“Umi tahu anak umi ni baik,
tapi akal kalau dah dipengaruhi hawa nafsu bukannya boleh berfikir dengan waras
lagi. Sebab tu umi suruh ikat cepat-cepat. Lagipun Ziyad tak risau ke asyik
pandang betis dan pangkal paha dia yang terdedah tu? Hari-hari Ziyad tanggung
dosa apabila terpandang bahagian tubuh Naz yang terdedah. Ziyad tahu kan semua
tu?” nasihat Hajah Fauziah lembut, namun tajam menusuk gegendang telinga si
jejaka berumur dua puluhsembilan
tahun itu.
Ziyad tunduk mendengar
leteran umi. Biarpun tidak begitu gemar umi menyentuh tentang peribadi
Shafinaz, namun dia tidak pernah membantah. Dia sedar apa yang disentuh umi
tentang Shafinaz, semuanya benar belaka.
“Ziyad ada cakap pada Naz
suruh tutup aurat? Kalau tak nak pakai tudung pun, suruhlah dia pakai baju
sopan sikit,” tegur Hajah Fauziah sambil menjeling Ziyad.
“Ziyad ingat nak cakap bila
dah kahwin nanti,” kata Ziyad lemah. Matanya masih tunak merenung permaidani
berwarna hijau lumut di ruang tamu.
Berkerut muka Hajah Fauziah
mendengar alasan Ziyad. “Kenapa tak
cakap sekarang? Takut Naz marah dan tinggalkan Ziyad ke?” Dia mahu menyelidik
ruang hati anak lelakinya.
Ziyad diam tidak menjawab.
Apabila soal Shafinaz diperkatakan umi, dia selalu mati akal mahu membalas
balik. Akhirnya, perbualan yang rancak dengan umi terhenti begitu sahaja.
“Umi sebenarnya ni tengah
tunggu panggilan Zarul. Janjinya hari tu nakcall dalam
minggu ni tapi sampai sekarang tak ada pun diacall. Umi nakcall dia, takut dia tengah
sibuk pulak.” Hajah Fauziah pantas mengubah topik bila melihat muka anak
bujangnya berubah monyok macam ayam sakit. Gagang telefon yang terletak di atas
almari antik berdekatan tangga, dikerlingnya dengan ekor mata.
“Kenapa
pulak umi tunggu Zarulcall? Zarul ada masalah ke?” tanya Ziyad. Hairan sedikit,
apabila umi tiba-tiba menyebut nama adiknya yang kini sedang menuntut di
London. Ada apa-apa yang berlaku pada Zarulkah? Ataupun umi rindu sangat pada
Zarul? Hati kecil Ziyad bertanya begitu.
“Tak ada apa-apa. Zarul
kata hari tu, tak lama lagi dia dah nak habis belajar. Kalau tak silap umi,
dalam pertengahan tahun ni. Umi nakconfirm
betul-betul bila tarikhnya tu sebab umi nak ambil cuti dan juga nak tempah
tiket,” jelas Hajah Fauziah sambil memandang sekilas ke wajah Ziyad yang kelihatan
terkejut.
“Umi nakbook tiket? Nak pergi jemput Zarul kat London ke?” soal Ziyad. Teruja
mendengarnya.
“Yalah, umi dengan abah dah
lama rancang nak pergi melancong. Dah lama kami tak pergi jalan-jalan,
lapangkan fikiran dan tengok negara orang. Sebelum Zarul balik ke Malaysia, umi
nak suruh dia bawa umi dan abah jalan-jalan dan tunjuk tempat-tempat menarik
kat London. Sambil menyelam minum air,” kata Hajah Fauziah. Tersenyum meleret
memikirkan perancangan sendiri.
“Ohh... bolehhoneymoon sekali, kan?” usik Ziyad.
“Hisy! Dah tua-tua nakhoneymoon apa!”
Ziyad tergelak.
“Siapa yang nakhoneymoon, umi? Abang long ke? Hai... tunang pun belum, dah sibuk fikir nak
honeymoon.” Menyampuk pula Farhana yang baru turun dari tingkat atas.
Sengaja mahu menyakat abang sulungnya. Si abang pula menjeling tajam mendengar
sindiran si adik.
“Tak ada siapa-siapalah,”
kata Hajah Fauziah. Pantas mencantas perbualan yang mula berbau sensitif itu.
Lebih-lebih lagi tatkala melihat wajah Ziyad sudah berubah keruh macam air
sungai selepas hujan.
Farhana menghenyakkan
punggung di sebelah Hajah Fauziah. “Tadi abang ngah adacallHana. Dia kirim salam kat umi, abah dan abang long,” ujarnya
dengan muka ceria memandang umi dan abang sulungnya.
“Waalaikumussalam... ada
dia beritahu bila dia habis belajar?” tanya Hajah Fauziah gembira mendengarnya.
“Hana ada tanya tapi abang
ngah kata dia sendiri pun belum pasti. Nanti bila dia dah tahu tarikhnya, dia
akancall umi,” terang Farhana yang sememangnya agak rapat dengan abang
ngahnya itu.
“Yalah,” sahut Hajah
Fauziah perlahan. Kecewa sebenarnya. Puas menunggu mahu mendengar suara Zarul,
tetapi hampa apabila anak yang jauh di mata menghubungi adik kesayangannya
pula.
“Hana tak sabar tunggu
abang ngah balik. Agak-agak abang ngah kat sana dah adagirlfriend tak? Entah-entah dapat tangkap girlfriend minahsalih.
Silap-silap, balik Malaysia nanti abang ngah bawa perempuan rambut perang,
kulitnya kemerah-merahan...”
“Hisym budak ni memandai
aje! Mulut tu cabul betul,” marah Hajah Fauziah dengan mata mencerlung merenung
muka anak perempuannya.
Dia bimbang perkara yang
disebut oleh Farhana itu benar-benar terjadi. Zarul bawa balik isteri orang
putih? Ya ALLAH! Minta disimpangkan! Sedangkan bakal isteri Ziyad pun aku tidak
berkenan, inikan pula hendak melayan menantu orang putih. Mahu kelam-kabut
hidup aku nanti, desis hatinya sambil memicit dahi yang tidak sakit.
“Kenapa ni, umi? Pucat aje
muka tu? Hah, umi risau abang ngah bawawife minah
salih ya?” teka Farhana, tersengih-sengih mengusik uminya. Seketika kemudian
berderai tawanya memecah kesunyian.
Ziyad yang cuma menjadi
pemerhati turut tergelak melihat muka umi sudah berubah masam-masam kelat.
Pintu hadapan terbuka.
Terjengul muka Haji Marzuki yang baru pulang dari menunaikan solat isyak di
surau berdekatan taman perumahan mereka.
“Apa yang suka sangat ni?
Dari luar tadi saya dengar suara riuh-rendah. Ada berita gembira ke?” tanya
Haji Marzuki seraya menanggalkan kopiah. Dia duduk di sofa bersebelahan Ziyad.
“Umi ni, abah. Takut dapat
menantu minah salih,” terang Farhana sambil tersengih memandang umi.
“Hah? Siapa pulak yang nak
kahwin minah salih? Kamu ke, Ziyad?” tanya Haji Marzuki. Berpaling memandang
Ziyad.
Ziyad yang baru hendak
membuka mulut, terus terbantut niatnya apabila Farhana sudah menjawab bagi
pihaknya.
“Hisy, abah ni! Apa pulak
abang long? Nak kena kerat lapan belas dengan Kak Naz ke? Ni abang ngahlah!”
kata Farhana dengan dahi berkerut memandang abahnya. Geram kerana abah kerana
lambat menangkap maksudnya.
“Zarul nak kahwin? Dengan
orang sana? Betul ke? Tak ada angin, tak ada ribut... alih-alih nak kahwin,”
ulas Haji Marzuki spontan.
Dari nada suara dan
ekspresi pada wajahnya tidak menampakkan dia gembira atau marah mendengarnya.
Riak mukanya selamba.
“Dengar sangatlah temberang
anak dara awak tu. Dia memandai aje tu. Zarul tu mana adagirlfriendlagi. Umi dah tanya dia betul-betul, dia kata belum ada,” jawab
Hajah Fauziah membetulkan cakap anaknya.
“Entah-entah abang ngah
tipu umi tak? Kalau betul macam mana, umi? Habislah umi nanti,” sakat Farhana
yang belum kering gusi mahu mengusik uminya.
“Hisy, budak bertuah ni!”
Tangan Hajah Fauziah sudah bergerak mengetil badan anak daranya yang duduk di
sebelah.
“Umi ni!” Menjerit Farhana
dibuatnya. Terus dia mengelak dengan menyengetkan sedikit badannya. Mahu
mengelak daripada terus digetis umi.
Haji Marzuki dan Ziyad
tergelak melihat aksi dua beranak itu.
“Saya ada cerita pada
jemaah kat surau tadi pasal kita nak cari pembantu rumah orang tempatan. Haji
Said kata, ada seorang perempuan duduk dekat-dekat sini tengah mencari kerja
jadi orang gaji. Isteri dia yang bagitahu,” terang Haji Marzuki apabila
masing-masing sudah senyap dan menumpukan perhatian pada kaca televisyen di
hadapan.
“Ya ke ni, bang? Seronoknya
saya dengar. Orangnya macam mana? Muda ke tua? Dah kahwin ke belum?” Hajah
Fauziah yang begitu teruja mendengar berita itu tidak bertangguh terus
menyerang dengan deretan soalannya.
“Tak tahulah saya sama ada
orangnya tua ke muda. Haji Said tak cakap pulak. Yang dia bagitahu saya,
perempuan tu janda, ada anak kecil. Dia tinggal dekat-dekat sini aje. Di
Kampung Seri Menanti sana. Memang nak cari kerja jadi orang gaji dekat kawasan
perumahan sini sebab senang boleh balik susukan anak dia,” terang Haji Marzuki
sambil memandang tepat ke wajah isterinya.
“Nak balik susukan anak
dia? Habis tu dia tak mahu tinggal sini terus ke, abah?” sampuk Ziyad tidak
faham.
“Yalah. Takkanlah dia nak
bawa anak dia tinggal sini dengan kita? Dia ni cuma nak kerja dari pagi dan
balik petang ataupun malam lepas maghrib. Lepas habis semua kerja, dia baliklah
rumah dia,” jelas Haji Marzuki dengan lebih terperinci.
“Ohh... macam tu.” Kepala
Hajah Fauziah terangguk-angguk tanda faham.
“Hah, macam mana? Awak
setuju tak ambil dia kerja dengan kita? Kalau setuju nanti saya telefon Haji
Said.” Haji Marzuki mahukan kepastian dari mulut isterinya.
Semua mata sudah bertumpu
ke wajah Hajah Fauziah, namun orang yang ditanya belum dapat memberi kata
putus. Masih berfikir-fikir. Menimbang-nimbang.
“Kalau dah datang pagi,
balik petang, gaji kena kuranglah. Tak boleh sama macam gaji pembantu rumah
Indonesia sebab kerja pun dah kurang sikit,” kata Hajah Fauziah menyarankan
begitu.
“Apalah awak ni berkira
sangat? Bagi sajalah gaji sama macam maid
Indonesia tu. Dia pun mesti orang susah. Dah namanya janda, kenalah cari nafkah
sendiri untuk besarkan anak-anak dia. Bukan ada suami nak bergantung hidup,”
bantah Haji Marzuki memandang tajam muka isterinya.
Hajah Fauziah terdiam.
“Kita ambil ajelah ya, umi?
Betul kata abah tu. Tentu dia susah, sebab tu nak sangat kerja jadi orang gaji.
Ada anak kecil lagi. Tentang gaji tu jangan risau, biar Ziyad yang bayar,”
cadang Ziyad, mahu melembutkan hati umi.
Dia tidak kisah membayar
lebih untuk gaji pembantu rumah baru ini. Selain ikhlas membayar untuk
perkhidmatan yang diberi, niat selebihnya adalah untuk bersedekah membantu
janda yang susah hidupnya ini. Lagipun apa yang dikisahkan sangat? Gaji semua
pembantu rumah yang bekerja di rumah
sebelum ini, dia yang bayar. Pendapatannya yang ada firma arkitek sendiri lebih
daripada mampu untuk membayar tiga, empat orang pembantu rumah. Jadi, mengapa
umi mahu berkira sangat dengan gaji jika bezanya nanti cuma dua, tiga ratus
ringgit sahaja?
“Macam mana, nak tak?
Cerewet sangat nanti, melepaslah. Saya tengok tadi Encik Bakhtiar yang tinggal
kat hujung simpang tu nampak berminat. Dia pun dah ambil nombor telefon Haji
Said. Silap-silap nanti Encik Bakhtiar dah sambar dulu.” Haji Marzuki
menakut-nakutkan isterinya.
“Saya bukannya apa, kalau
boleh nak cari yang boleh terus tinggal dengan kita. Senang sikit. Tapi kalau
dah tak ada, tak apalah. Abang telefonlah Haji Said kata kita jadi ambil dia
kerja dengan kita. Esok petang suruh dia datang rumah. Saya nakinterview dia sikit-sikit. Kena tengok juga orangnya macam mana. Takut
dapat spesies sama macam Kesuma. Eeii... fobialah saya dapat orang macam Kesuma
tu,” putus Hajah Fauziah sambil menarik nafas.
“Umi tak takut ke? Buatnya
yang datang tu janda cantik, muda lagi...”
“Dah... dah... jangan nak
melalut. Jom pergi makan semua. Malam ni umi masak simple aje. Ikan selar masak kicap, sayur kubis tumis air, sambal
belacan dah cukup. Tak laratlah nak masak kari atau asam pedas. Datang pembantu
rumah baru nanti, kita kerah dia masak ikut selera kita.” Hajah Fauziah mula
berangan macam-macam. Biarpun begitu, hatinya mula lapang apabila memikirkan
tugasnya di rumah akan menjadi ringan. Dapatlah dia terus berehat apabila
pulang dari kerja. Tidak lagi bertungkus-lumus seperti sekarang ini.
“Betullah, umi. Minta-minta
yang baru ni pandai masak. Tak adalah macam Kesuma dulu. Masakan dia tak ada
rasa langsung.” Ziyad pula menyambung angan-angan uminya.