Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 37

Fasha mengamuk sakan apabila Fazar Azameer tidak menerima dirinya kembali. Memang hatinya membekam. Bencinya kepada Nadia Asyila meluap-luap. Dia benci kerana Fazar Azameer menyebut nama Nadia Asyila yang dikatakannya adalah sejujur manusia.

Kononnya pencinta setia. Tidak seperti dirinya. Segala apa yang dirancangnya terbang melayang sekelip mata. Dia benci dengan semua itu.

Dia mundar mandir di dalam rumah yang berhawa dingin itu. Badannya langsung tak dapat merasakan sejuk kesan penghawa dingin itu. Dia seperti cacing kepanasan. Kebenciannya semakin meluap-luap apabila matanya terbayang-bayang wajah perempuan itu.

Perlahan-lahan udara dihirup dan matanya dipejamkan. Mengambil sedikit nafas dan mencari ketenangan. Punggungnya dilabuhkan di atas sofa yang tersedia di dalam rumah itu. Tangannya diangkat dan memicit-micit kepala yang sedang diamuk rasa marah yang menggila sebentar tadi.

Seketika kemudian, bibir mungilnya mempamerkan senyuman. Sedikit demi sedikit terserlah kelebaran senyuman itu. Segala apa yang dirancang sebentar tadi kembali menjamah pemikirannya.

Kemudian, perlahan-lahan dia menyambung kembali perancangan yang ternokhtah tadi. Mahu menyempurnakan apa yang terhalang. Perancangan yang kini telah bertukar arah dan mangsa.

Sesuatu yang akan menggemparkan dan akan meletakkan dirinya dalam kejayaan. Akalnya terus laju mengatur apa yang kini dirasakan sesuatu yang akan menyempurnakan dirinya.

Nadia Asyila memarkirkan keretanya di tempat parkir yang disediakan untuk pelawat. Seketika dia menarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan. Dia membuka pintu kereta dan mempersiapkan dirinya seterusnya mengambil langkah menuju ke bilik Dr. Syarif. Dia mahu menagih janjinya yang telah dibuat seminggu yang lalu.

Pintu bilik yang tertera nama Dr. Syarif bin Muhammad diketuk perlahan. Dia berdoa di dalam hati semoga doktor itu berada di biliknya dan tidak menyeleweng ke mana-mana. Harapannya itu supaya kerjanya menjadi mudah dan lagipun dia malas untuk menunggu.

Daun pintu ditolak perlahan apabila dia menerima arahan untuk berbuat demikian. Jelas suara doktor muda itu di telinganya. Dia tersenyum girang. Senyuman yang dilemparkan mendapat balasan.

Seraya doktor muda itu menggayakan tangannya sebagai tanda memberikan isyarat mempersilakan tetamunya itu duduk.

“Apa khabar Nadia?”

Senyuman makin dilebarkan.

“ Baik.”

“ Ada berita gembira ke? Happy je Nampak.”

“ Hai mengusik saya ke doktor?”

Dr. Syarif menghamburkan gelak. Sememangnya dia tahu apa yang membuatkan wanita di hadapannya itu begitu gembira.

“ Maafkan I sebab I tak dapat nak sempurnakan janji yang telah dibuat minggu lepas. Ada kes kecemasan yang tak dapat dielak.”

Tutur doktor muda itu menggugat keceriaan di wajah Nadia Asyila. Perlahan-lahan pudar. Jelas di penglihatan lelaki itu. Menunjukkan yang wanita itu tidak menyukai apa yang baru diucapkannya.

Senyuman di wajah Dr. Syarif semakin galak apabila melihat Nadia Asyila tertunduk.

“ I bergurau je la. Janganlah serius sangat. Takkanlah I nak hampakan pasangan kekasih yang memberi kesan di hati I ni.”

Nadia Asyila geram melihat wajah yang tersenyum gembira itu. Geram dengan gurauan yang sesaat tadi seakan menghancurkan harapannya. Namun dia turut sama tersenyum seketika kemudian.

“ Alah! Kalau doktor tak pergi pun saya akan bawa dia keluar. Hmm.”

Akal wanita itu muncul tiba-tiba. Mengungkapkan sekadar apa yang terlintas di fikirannya. Membalas balik apa yang terkesan di hatinya seketika tadi.

“ Hmm yelah. Jom lah kita pergi. Cuma dua jam je. Tak boleh lebih. Kalau apa-apa yang terjadi nanti I yang akan dipersalahkan.”

Nadia Asyila mengangguk. Memahami risiko yang sanggup diambil oleh lelaki itu jika berlaku apa-apa yang tidak diingini.

Mereka melangkah beriringan menuju ke arah wad yang menempatkan lelaki yang dicintai oleh Nadia Asyila. Derapan mereka menarik perhatian beberapa penghuni yang dilintasi.

Ada yang ketawa memandang mereka. Ada yang menjegilkan mata dan menyeringai. Tidak menyukai kehadiran mereka yang mungkin mengganggu atau apa-apa yang singgah di benak penghuni di hospital jiwa itu.

Walaupun ada jarak yang memisahkan mereka, namun ia turut memberi kesan kepada Nadis Asyila. Merapatkan langkahnya mendekati Dr.Syarif. Lelaki itu tersenyum.

“ Mereka takkan dapat menyentuh awak. Jangan risau.”

Nadia Asyila tersengih kelat. Mempamerkan barisan giginya. Masih ragu-ragu dengan kenyataan itu walaupun dia sedar akan realiti yang sebenarnya.

“ Tak sangka yang polis macam awak ni pun takut dengan mereka.”

Nadia Asyila rasa terpukul.

“ Saya pun manusia biasa.”

Gelak yang sedikit kuat terhambur di celah bibir doktor itu.

“ Dengan kekasih hati tak pulak. Pelik-pelik.”

Nadia Asyila diam. Kelu lidahnya untuk mengunggapkan sebarang kata dan menidakkan apa yang diucapkan oleh lelaki itu. Sememangnya dia kalah untuk berdebat dengan pakar jiwa itu.

Namun perlahan-lahan dia tersenyum apabila hatinya mengiyakan apa yang diperkatakan. Sesungguhnya cinta itu mempunyai kekuatan yang tersendiri. Memberinya kekuatan untuk terus bertahan.

Mencintai sambil terus mengubati kekasih hatinya.Walaupun dia sedar yang lelaki itu tidak normal seperti sebelumnya, dia yakin yang cinta lelaki itu masih kukuh untuknya. Masih berbekas kemas untuknya.

Jiwanya juga turut mengakui yang lelaki itu miliknya. Hanya miliknya dari dulu hingga sekarang. Dia juga akan memastikannya yang cinta itu akan kekal untuk masa yang akan datang. Nalurinya pasti.

Nadia Asyila memegang kemas tangan lelaki yang berjalan beriringan dengannya. Senyumannya dilemparkan apabila lelaki itu turut membalas genggaman tangannya. Hanya dengannya sahaja Iqmal Hisyam membenarkan setiap perbuatan wanita itu. Dirasakan selamat apabila berada di samping wanita itu. Hatinya membenarkan.

Akalnya tidak pasti siapa wanita yang selalu melawatnya di tempat yang menumpangnya. Namun dia senang dengan setiap tingkah yang dilakukan oleh wanita itu. Seakan ada sesuatu yang berbisik di hatinya bahawa wanita itu ada keindahan yang pernah bertapuk dalam hatinya.

Pintu kereta di bahagian belakang dibuka oleh Nadia Asyila untuk lelaki itu. selepas itu dimuatkan juga dirinya di bahagian belakang kereta. Bersebelahan dengan Iqmal Hisyam. Dortor muda yang baik itu sanggup menjadi pemandu tak bergajinya untuk hari ini.

Nadia Asyila gelak sendiri saat teringat kata-kata gurauan doktor itu. Pegangan tangan yang sejak tadi bertaut tidak dilepaskan oleh Iqmal Hisyam. Dia senang begitu. Apabila Nadia Asyila cuba untuk meleraikannya, dia semakin mengeratkan pegangan.

Akhirnya wanita itu hanya merelakan. Tersenyum sendiri. Berfikir seketika yang mungkin rasa sayang lelaki itu sentiasa ada untuknya. Walaupun ada perbezaan yang amat ketara dengan dirinya dahulu.

“ Kita nak ke mana ni Nadia?”

Pertanyaan doktor Syarif menyedarkan dirinya. Berfikir seketika arah tuju destinasi. Seketika kemudian, akalnya berbicara. Serentak itu mulutnya memainkan peranan.

“ Kita ke gudang yang terbiar di kawasan kampung dekat Banting.”

“ Untuk apa? Kenapa mesti gudang?”

“ Mengulangi sejarah.”

Doktor Syarif tersenyum dan mengangkat bahu. Biarlah! Pasti ada kisah yang tersendiri. Pandangan Nadia Asyila dilemparkan ke arah Iqmal Hisyam yang berada di sebelahnya. Lelaki itu mendiamkan diri sejak tadi. Tidak bertanya apa pun.

Seakan rela ke mana sahaja dirinya dibawa. Pandangannya dilontar ke luar tingkap. Nadia Asyila mengalihkan pandangannya pada tangan yang kukuh di genggaman lelaki itu. Dibawa genggaman itu singgah seketika di bibirnya. Menghadiahkan ciuman lembut pada belakang tangan lelaki yang dicintainya.

Menyesali betapa selama ini lelaki itu terlalu banyak berkorban untuknya. Betapa selama ini lelaki itu menyayanginya terlalu banyak. Betapa selama ini dia tidak pernah menghargai apa yang diberikan lelaki itu untuknya.

Betapa selama ini dia buat untuk melihat apa yang terbentang di matanya. Betapa selama ini dia tidak pernah mensyukuri pemberian yang maha Esa. Hanya kerana dirinya mahu mengejar apa yang tidak patut menjadi miliknya. Kekesalannya menebal.

Iqmal Hisyam memandang wajah wanita di sebelahnya apabila terasa tangannya hangat akibat sentuhan bibir wanita itu. Dia memandang kosong. Lama. Sesaat kemudian dia tersenyum. Menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik.

Setelah itu dia turut melakukan apa yang dilakukan oleh wanita itu sebentar tadi. Turut sama membawa genggaman itu menyentuh bibirnya. Akhirnya mereka bersama-sama melemparkan senyuman. Doktor Syarif yang menyedari adegan itu hanya tersenyum. Memahami apa yang tersirat dalam kepayahan kedua-dua hati itu dalam mempereratkan ikatan.

Terimbau kembali di ingatannya apabila Iqmal Hisyam merelakan Nadia Asyila memotong rambutnya untuk kembali pendek. Memberus gigi lelaki itu yang entah berapa lama tidak diuruskan. Selama ini, tiada sesiapa yang berani membersihkan gigi lelaki itu apabila pernah ditengking oleh Iqmal Hisyam.

Semenjak kehadiran Nadia Asyila, Iqmal Hisyam semakin terurus. Rambut dipotong kemas. Tiada lagi jambang dan janggut yang berserabai. Misai juga telah dicukur oleh wanita itu. Sudah kembali kemas.

Dapat dilihat dengan jelas olehnya betapa mendalam rasa cinta yang menjalar di setiap pembuluh darah wanita itu terhadap Iqmal Hisyam. Walaupun hakikat menunjukkan dengan jelas yang lelaki itu bukanlah sempurna seperti sebelumnya, namun, Nadia Asyila tidak pernah mengurangkan rasa cintanya. Sentiasa memekar dan menebal. Semua itu dapat dilihat dengan jelas oleh semua orang.

Cuma sekarang, hanya Iqmal Hisyam yang masih tidak dapat melihat semua itu secara normal. Pasti masanya akan tiba. Detiknya di dalam hati.

Kereta milik Nadia Asyila diparkir di hadapan gudang terbiar yang berada agak pendalaman itu. Sunyi. Tidak ada yang berani mendekati gudang itu apabila mendengar berita yang mengatakan bahawa gudang itu berpenunggu.

“ Apa kisah yang pernah terakam di sini?”

“ Kisah yang merubah kehidupan Syam. Menukar dirinya dalam keadaan sekarang.”

“ Tragis. Apa yang berlaku?”

“ Keikhlasan seorang pegawai polis dalam melakukan tugasnya. Menemui satu kebenaran yang menyakitkan kepada insan yang menyayanginya.”

“ Oh! Jadi kejadian itu berlaku di sini?”

Doktor Syarif mula menyedari duduk perkara yang sebenar. Kejadian yang berlaku yang meletakkan diri Iqmal Hisyam dalam keadaan sekarang.

“ Jadi apa yang you nak lakukan?”

“ Mengulangi sejarah.”

“ Maksudnya? Maaf untuk pertanyaan itu. I cuma tak mahukan awak melakukan sesuatu yang merbahaya. Hisyam tidak normal seperti yang you kenali sebelum you sedar dari koma. Dia telah menjadi orang lain. Dia ada dunia dia sendiri.”

“ Jangan risau. Saya dah lama faham keadaan tu. Saya takkan melakukan sesuatu yang akan memudaratkan.”

“ Boleh awak bantu saya?”

“ Itu dah memang menjadi tugas I.”

Senyuman diiringkan sebagai jawapan untuk persoalan itu. mereka memanjangkan langkah. Memasuki gudang yang terbina di hadapan mereka.

Perlahan-lahan Nadia Asyila mendekati Iqmal Hisyam yang kini sedang berdiri di tempatnya suatu ketika dulu. Nadia Asyila mula mencari ayat. Dia mahu menembalikan ingatan lelaki itu.

“ Syam ingat Fazar Azameer? Lelaki yang menjadi kawan baik Syam selama ini. Lelaki yang pernah syam ikat pada tiang di depan tu.”

Lelaki itu memandang kosong pada persekitaran yang asing di hadapannya kini. Sentuhan lembut di bahunya dipandang.

“ Syam ingat pada tempat ni?”

Diam. Tidak memberikan apa-apa jawapan. Kembali membawa pandangannya ke sekitar ruang yang berada di hadapannya. Nadia Asyila mencuba lagi. Membawa lelaki itu untuk berbicara.

“ Syam ingat tak apa yang Syam beritahu Nadia kat tempat ni?”

Masih diam.

“ Syam ingat pada apa yang Syam lakukan pada Nadia?”

Senyap. Perlahan-lahan Nadia Asyila membawa dirinya mendekati lelaki itu. Hanya setengah meter sahaja yang memisahkan mereka. Wanita itu membawa lagi langkahnya.

Semakin dekat dan dekat. Badannya yang sedikit rendah dijingkitkan. Memeluk badan sasa di hadapannya. Merangkul kemas leher lelaki itu. Tiada balasan pelukan untuknya. Lelaki itu kaku.

“ Syam ingat pada kata-kata Syam yang Syam takkan benarkan sesiapa pun memiliki Nadia. Hanya Syam yang akan memiliki Nadia.”

Iqmal Hisyam menolak perlahan-lahan tubuh Nadia Asyila yang melekat di badannya. Mencipta jarak antara mereka. Memandang wanita itu dengan pandangan kosong. Sesaat kemudian dia kembali merenung sekeliling.

“ Mungkin cara ini tak berkesan.”

Doktor Hisyam menepuk bahu Nadia Asyila perlahan-lahan. Memberi kesabaran untuk wanita itu.

“ Syam ingat pada bunyi tembakan?”

Pandangan Iqmal Hisyam terus menikam matanya. Tajam. Nafasnya naik turun dengan agak kasar. Tangannya memegang kepala seakan-akan menahan kesakitan. Langkahnya dilajukan menuju pintu keluar.

Nadia Asyila dan Doktor Hisyam membuntutinya. Turut sama mempercepatkan langkah. Risau dengan keadaan lelaki itu yang tiba-tiba berubah.

Langkah Nadia Asyila dan Doktor Syarif terhenti apabila melihat Iqmal Hisyam menyandarkan badannya pada kereta. Bertindak memeluk tubuhnya.

“ Syam okey?”

Nadia Asyila cuba menuturkan bicara.

“ Saya nak balik. Bawa saya keluar dari tempat ni.”

Nadia Asyila dan Doktor Hisyam berpandangan. Lelaki itu menuturkan ayat seperti orang normal yang sedang bercakap. Nadia Asyila ingin menuturkan ayat lagi tetapi dihalang oleh Doktor Syarif.

Wanita itu tidak membantah apabila lelaki itu sudah membawa dirinya memasuki perut kereta. Berada di bahagian hadapan kereta. Sebelah pemandu. Pandangan saling dihadiahkan oleh kedua-dua insan itu. Pelik. Apakah itu satu perubahan yang positif?

Nadia Asyila melabuhkan duduknya di bahagian belakang kereta. Tidak lagi bertemankan Iqmal Hisyam. Lelaki itu seakan bertukar menjadi dirinya kembali. Memandang kawasan luar dengan pandangan kosong. Senyuman juga seringkali dilemparkan. Entah untuk apa. Hanya dia sendiri yang memahami.

“Kenapa dengan dia doktor?”

“ Mungkin memori silamnya hanya datang untuk sesaat. Belum sempat untuk dia mengenali apa sebenarnya yang cuba you sampaikan, kenangan itu sudah berlalu. Dan sekarang, dirinya sama seperti apa yang kita kenali.”

“ Sebagaai seseorang yang bukan normal. Akalnya tidak berada di alam realiti walaupun jasadnya sentiasa ada di sini. Sebenarnya proses ini normal. Jangan risau. Kita akan usahakan lagi apa yang terdaya. Pasti akan ada selitan takdir yang indah untuk menghiasi hidupnya.”

“ Agaknya bila masa itu akan muncul. Sudah penat saya menunggu.”

Serentak dengan itu juga mereka berdua tergamam apabila Iqmal Hisyam mengawang-awangkan tangannya seperti berada dalam ketakutan yang teramat.

“ Itu!”

Laungan dari celahan bibir lelaki itu turut sama diiringi dengan tangannya yang menunjuk ke arah cermin depan kenderaan. Sekali lagi mereka tergaman apabila baru menyedari kereta yang dinaiki mereka terlalu dekat untuk bertembung dengan sebuah lori yang seakan sedang menuju tepat ke arah mereka.

Sudah terlalu lambat untuk Doktor Syarif mengelak kenderaan di hadapannya. Tanpa sebarang amaran, satu dentuman yang kuat kedengaran di tengah-tengah lebuh raya yang agak lengang itu.

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah