Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 41

Nadia Asyila tersentak dan kepalanya terus diangkat memandang wajah Iqmal Hisyam. Seketika tadi diarasakan kepala itu terlena di sisi katil milik lelaki yang dicintainya itu.

Lenanya tidak seenak lelaki itu yang telah memejamkan matanya lapan hari yang lalu. Dipandang dan ditenung sepuasnya wajah Iqmal Hisyam. Lelaki itu terus kaku. Tiada apa-apa perubahan. Nadia Asyila mengeluh. Sekejap tadi dia seakan merasakan ada pergerakan pada jemari lelaki itu. Mungkin hanya perasaannya. Perasaan yang selalu menduga hatinya.

Wajah yang dipandangnya kini sudah melepasi tahap bahaya sejak empat hari yang lepas. Alat bantuan pernafasan sudah tidak membelit wajahnya. Dia sudah mampu untuk bernafas sendiri.

Nadia Asyila mampu untuk tersenyum apabila doktor memberitahu bahawa perubahan yang berlaku itu adalah sesuatu yang positif. Dan tidak mustahil akan ada lagi perubahan yang akan berlaku. Itulah apa yang diharapkan dirinya selama ini.

Cuma masa dan saatnya sahaja yang perlu dinanti. Jawapannya sampai bila dia sendiri tidak tahu. Apa yang pasti dia akan bersabar dan terus bersabar. Disentuh lembut kepala yang berbalut itu. Simpatinya tumpah.

Apakah saat ini Syam sedang melawan kesakitan? Andainya masa dapat diputarkan kembali, Nadia takkan pernah biarkan sesiapa menyakiti Syam. Nadia takkan pernah bawa Syam keluar untuk mengundang kemalangan itu. Nadia takkan pernah melakukan salah dengan setiap tindakan yang akan Nadia ambil. Maafkan Nadia. Sedarlah! Bangunlah dari lena Syam yang panjang. Pandanglah mata ini yang selalu bersinar dengan rasa cinta untuk Syam. Bangkitlah!

Gadis sunyi itu bermonolog.

Isyarat yang berbunyi pada telefon bimbitnya menyedarkan gadis itu. Perlahan-lahan dia bangun dari duduknya. Beg sandangnya digalas. Tangannya yang menggenggam tangan Iqmal Hisyam sedari tadi diraih dan dibawa tepat mengenai bibirnya.

Setelah itu, dibawa bibirnya menyentuh balutan di kepala Iqmal Hisyam. Dipandang wajah lelaki itu dan dilemparkan sedikit senyuman. Senyuman pahit yang bersulamkan harapan agar mata itu terbuka untuk memandangnya.

“ Syam. Bangunlah! Nadia rindukan senyuman Syam. Rindu untuk bertentang mata dengan Syam. Nadia terlalu rindukan Syam. Bangunlah! Nadia mohon.”

Ada sebak yang terbekam di dada itu. Sebak yang cuba ditahan. Dengan ucapan itu, Nadia Asyila merelakan kakinya untuk berpaling arah. Mahu berlalu meninggalkan bilik dan bangunan hospital yang telah menjadi temannya sejak beberapa hari yang lalu. Perlahan langkahnya diatur.

“ Betul ke begitu banyak Nadia rindukan Syam?”

Derapan langkah yang tadinya mendapat rentak kini kaku. Pendengarannya menoktahkan gerak kakinya. Perlahan dipalingkan wajahnya untuk menatap wajah yang melontarkan suara itu. Wajah yang tadi membelakanginya. Wajah itu tersenyum padanya. Mata itu menatap kemas matanya.

Dengan deraian air mata dan senyuman yang kini semanis madu, diatur larian kakinya mencari mangsa. Didakap kemas tubuh Iqmal Hisyam yang terlantar.

Semakin erat pelukannya saat tangan lelaki itu melingkari badannya. Turut sama memeluk dirinya. Ternyata firasatnya seketika tadi bukan mainan perasaannya. Lelaki itu telah kembali.

“ Syam ingat Nadia?”

Nadia Asyila bangkit dari pelukannya dan memandang wajah itu. Lelaki itu tersenyum. Anggukan juga diberikan.

“ Jadi?”

“ Takdir Allah. Allah maha besar.”

Nadia Asyila menangis semahunya. Kekasih hatinya telah kembali. Dia amat bersyukur.

Iqmal Hisyam memandang wajah putih bersih Nadia Asyila. Sememangnya dia amat merindukan wajah itu. Kesyukurannya berganda dengan apa yang terimbau di kepalanya kini. Dia mengingati segala yang dilakukan oleh wanita itu semasa keadaannya tidak normal. Kesyukurannya tinggi melangit.

“ Terima kasih untuk segalanya.”

“ Syam dah ingat semuanya?”

“ Hampir.”

Perlahan-lahan disentuh kepalanya yang berbalut. Terasa sakit di bahagian sebelah kiri. Ditutup matanya seketika. Dikerutkan keningnya untuk mendapat kestabilan rasa sakit yang mengcengkam.

“ Macam mana dengan doktor yang merawat Syam?”

“ Doktor Syarif?”

“ Ya! Itulah namanya. Bangaimana dengan keadaan dia? Dia yang memandu kereta kan?”

Nadia Asyila duduk di kerusi. Nafasnya sedikit laju. Ingatan tentang doktor muda itu selalu menyesakkan nafasnya. Perasaan bersalah masih menggunung di dalam dirinya. Dia kini telah mendapat Iqmal Hisyam. Tetapi dia kehilangan pula doktor yang berusaha untuk menyembuhkan kekasih hatinya. Keadaannya menjadi serba salah.

“ Nadia.”

Iqmal Hisyam menegur.

“ Dia meninggal di tempat kejadian.”

Iqmal Hisyam kaget. Ditelan liurnya yang dirasakan pahit.

“ Innalillah hiwainnalillahhirojiun”

“ Ada berita yang lebih memeranjatkan.”

Direnung dalam wajah yang baru sahaja mencelikkan matanya itu dengan penuh kesayuan.

“ Apa?”

“ Kemalangan tu dirancang.”

“ What?”

Iqmal Hisyam seakan tidak mempercayainya. Nadia Asyila mengangguk tanda mengiyakan apa yang diperkatakannya.

“ Fasha menjadi dalang di sebalik kemalangan tu. Dia nak kita berdua mati.”

“ Astagfirullahhalazim.”

Perkataan itu meniti di bibir Iqmal Hisyam. Mereka berdua selamat dan doktor muda itu pula yang menemui ajal. Dia menggelengkan kepalanya berkali-kali. Dibaringkan kepalanya rapat ke bantal. Memejamkan matanya untuk seketika. Cuba menerima dengan aman apa yang baru singgah di telinganya.

Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah