“ Selamat kembali Syam.”
Nadia Asyila melebarkan senyumannya.
Wajah Iqmal Hisyam menyambutnya dengan pandangan wajah yang seakan kosong.
Sengaja. Tetapi hanya untuk seketika. Sesaat kemudian dia melemparkan senyuman
yang paling manis. Paling bermakna. Seakan menjanjikan sinar baru akan
menghiasi kehidupan mereka nanti.
“ Tak panas ke pakai baju ni?”
Usikan itu membuatkan Nadia Asyila
tergelak.
“Jom kahwin”.
Kata-kata yang terucap di bibir Nadia
Asyila itu membuatkan Iqmal Hisyam tersedak. Mereka rindukan kebebasan gelak
ketawa selama ini yang seakan turut terpenjara. Sekarang mereka bebas dengan
segalanya. Untuk seketika, pasangan itu saling meramas mesra jemari yang sejak
tadi bertaut.
Menghampiri jarak lima puluh meter, di
sebalik sebatang pokok yang berdiri gagah, Fazar Azameer meraup muka sambil
memejam matanya. Seakan terseksa dengan apa yang dilihatnya.
Memang dia yakin dan amat pasti kini
yang cinta Nadia Asyila sudah terkubur untuk dirinya. Walaupun kenyataannya
yang dia perlu sedar hakikat itu sejak lama dahulu. Sekarang, akalnya
memberitahu hati yang perasaan gadis terhadapnya memang telah lama terkubur.
Sekarang dia yakin yang realiti itu
wujud untuk selamanya. Akalnya juga sedar yang sememangnya dia tidak layak
untuk gadis itu. Bukan sahaja untuk masa sekarang tetapi untuk masa-masa yang
lalu juga.
Kebodohannya telah meragut
segala-galanya. Apa yang dikejarinya selama ini adalah kepalsuan yang
menyakitkan. Betapa suci hati gadis yang selama ini dipermainkannya.
Matanya memandang sekali lagi aksi
yang nyata terakam di matanya. Kemesraan kedua-dua pencinta yang jauh di
hadapannya menyentak hebat jantungnya.
“ Kau selayaknya mendapat kebahagiaan
daripada orang yang kau cintai. Aku tahu yang Hisyam akan bahagiakan kau. Dan
aku yakin yang dia takkan pernah sekali-kali mengecewakan kau.”
“ Bukan sahaja aku, malah dunia juga
tahu. Semoga kau akan mendapat apa yang kau impikan selama ini. Aku sebetulnya
manusia yang tidak layak mendapat insan sebaikmu. Maafkan aku Nadia.”
Dengan monolog yang diterbitkan khas
dari lubuk hatinya, Fazar Azameer memanjangkan langkahannya untuk menjauh dari
tempat itu. Dia mempunyai destinasi yang baru. Dia akan mengekalkan dirinya di
satu tempat yang selama ini dijadikan sebagai tempat dia menyembunyikan
dirinya.
Telah lima tahun dia menghilangkan
diri dan bertapuk di tempat yang tidak diketahui oleh sesiapa yang rapat
dengannya. Untuk kali ini, dia akan kembali lagi ke tempat itu. Tempat yang
sama yang telah dijadikan satu destinasi yang paling tepat untuk dia
menyibukkan dirinya. Untuk memudahkan dia melupakan rasa cintanya kepada wanita
itu.
Dia yakin yang segala kekejaman yang
dilakukannya terhadap Nadia Asyila selama ini sudah terbalas dengan penolakan
cinta daripada wanita itu. Dia tahu bahawa Yang Maha Esa takkan berlaku kejam
dengan hambanya.
Pasti ada takdir yang terindah yang
terselit di dalam diari hidupnya. Dia cuma perlu menyusuri jalannya untuk
mengisi ruang takdir itu.